Monday, January 26, 2009

Selesai hutang 1..

Haah.. Seronoknya Lepas Bayar Hutang

Saya dah selesai bayar semua hutang yang saya tertunggak ..

1- Saya dah hantar laporan buku UPENA yang saya edit. Saya tulis laporan dengan terperinci untuk penulis dan penyusun buku tersebut betulkan isi kandungannya sebelum diterbitkan oleh UPENA. Apa yang saya tulis? Saya tulis macam ni..

ULASAN TERPERINCI PENILAI:
MANUSKRIP BERTAJUK WANITA DAN UNDANG-UNDANG: HAK –HAK WANITA DAN ISU-ISU KEHARTAAN


_______________

Secara umumnya manuskrip ini adalah bagus untuk diterbitkan dan mempunyai nilai-nilai ilmu yang boleh mendidik masyarakat. Ia merupakan satu koleksi artikel-artikel yang ditulis oleh ramai penulis. Oleh kerana artikel-artikel ini dihasilkan oleh ramai penulis, maka kita dapati terdapat banyak perkara yang tidak seragam dan berbeza-beza. Antaranya susunan ayat- ada yang terlalu panjang dan sukar difahami, kurang kesinambungan antara paragraf dan mempunyai tahap mudah bacaan oleh orang awam yang berbeza antara artikel. Justeru, dicadangkan semua artikel yang ada dapat ditambah baik sebelum diterbitkan. Ia bertujuan untuk menjadikan buku ini mempunyai nilai-nilai akademik yang baik dan tidak akan dipertikai, lebih menarik minat pembaca sama ada ilmuan bidang terlibat atau pun orang awam dan sekali gus memudahkan pemahaman pembaca. Latar belakang semua penulis bagi setiap artikel perlu dinyatakan dengan terperinci, selaras seperti yang ada dalam artikel pertama. Dicadangkan juga agar diselaraskan kaedah ‘footnote’ atau sebagainya supaya tidak berbeza-beza antara artikel.

Saya nyatakan secara terperinci ulasan sebagai penilai menurut setiap satu artikel untuk memudahkan penyusun memperbaiki dan menambah nilai kepada semua artikel terlibat.

1- Artikel pertama- Hak dan Kehartaan Wanita di Malaysia: Perspektif Undang-undang Masakini.

Artikel ini sangat baik tetapi mempunyai beberapa salah ejaan tidak mengikut Kamus DBP 4 seperti sama ada, keabsahan dan keesahan, hadis dan hadith dan lain-lain. Begitu juga ada ayat digunakan agak panjang, berulang dan ianya menyukarkan kefahaman pembaca. Dicadangkan supaya paragraf serta beberapa ayat disusun kembali untuk memudahkan pembaca untuk mengikuti aliran perbincangan. Huraian kes juga perlu dilengkapkan dan dibentuk ayat yang lebih tepat untuk mengelakkan kekeliruan.


2- Artikel kedua – Hak Wanita Dalam Pusaka: Kajian Menerusi Ayat 11, 12 dan 176 Surah an-Nisa.

Artikel ini menggunakan pendekatan pentafsiran kepada peruntukan ayat al_Quran. Dicadangkan beberapa pindaan besar perlu dibuat sebelum boleh diterbitkan: Antaranya huraian kepada kadar diterima wanita agak mengelirukan, contoh digunakan ada yang tidak tepat. Huraian Ayat 176 juga didapati kurang tepat dan perlu dirujuk lebih terperinci. Istilah ta’sib dan asabah perlu diterjemahkan dengan lebih tepat.

Terdapat beberapa kekurangan yang perlu ditambah baik iaitu kesilapan ejaan, ada ayat yang berulang, keselarasan penggunaan kata pendek dengan Kamus DBP 4 seperti SWT, SAW dan lain-lain. Dicadangkan sesetengah ayat supaya dibentuk semula /rephrase supaya lebih membantu kefahaman pembaca. Penulis juga perlu mendapatkan rujukan untuk hadith dan mendapatkan tafsiran yang lebih tepat berkenaan istilah waris dan ahli waris yang digunakan dalam artikel.

3- Artikel ketiga – Pentadbiran Harta Pusaka: Tanggungjawab Pentadbir dan Hak Waris

Artikel ini perlu diletakkan latarbelakang akademik penulis, selaraskan seperti artikel pertama. Penggunaan kata pendek SWT dan SAW juga perlu diselaraskan. Dicadangkan agar diletakkan penjelasan tambahan dalam perbincangan peruntukan perlembagaan dan peruntukan enakmen dengan meletakkan contoh-contoh yang lebih banyak untuk memudahkan pemahaman pembaca dan tidak hanya ‘copy and paste’ peruntukan undang-undang yang ada. Kesilapan ejaan dan jarak antara perkataan perlu diperbetulkan dengan teliti. Artikel ini baik dan mempunyai sedikit kesilapan sahaja yang tidak memberi kesan kepada nilai artikel, namun ianya perlu diperbaiki dan dibentuk ayat bersesuaian di beberapa tempat untuk membantu pembaca memahami apa yang dikupaskan oleh penulis.

4. Artikel keempat- Mut’ah: Hak Wanita.

Dicadangkan perincikan latarbelakang penulis seperti yang lain dan diperbaiki beberapa kesilapan yang ada. Abstrak diharap dapat dikemaskan dan di’rephrase’ serta elakkan dari menggunakan andaian umum. Perlu ditambah rujukan kepada data dan kenyataan yang digunakan dalam artikel bagi menambah nilai ilmiah artikel ini. Penulis menyatakan kenyataan diambil dari Mohd Afzal tetapi tiada rujukan terperinci buku/artikel rujukan diletakkan. Ayat yang berulang dicadangkan supaya dibuang dan beberapa ayat yang panjang dibentuk semula supaya lebih mudah difahami. Huraian kes juga perlu diperbaiki supaya difahami oleh pembaca dengan lebih mudah. Adalah dicadangkan agar penulis membuat analisa mengikut perkembangan tahun terdahulu kepada tahun terkini untuk melihat trend keputusan mahkamah dalam memutuskan kes muta’ah dan bukan sebaliknya.

Terdapat kes dinyatakan dalam artikel tetapi tidak mempunyai apa-apa relevansi dengan perbincangan seperti kes Syed Bulat v Intan. Penggunaan v perlu ditukar kepada lwn. Penulis juga menyentuh perlaksaan muta’h di Negara lain tetapi tidak diletakkan daripada di mana rujukan diperolehi. Dicadangkan artikel ini ditambah baik dengan tambahan rujukan bagi data dalam artikel dan juga bilangan bibliografi untuk menambahkan nilai ilmiah penulisan ini.

5- Artikel kelima- Ukuran Menetapkan kadar Muta’ah

Artikel ini juga perlu dilengkapkan latar belakang penulis yang selaras dengan artikel lain dan perlu ditambah nilai ilmiah dengan meletakkan rujukan yang tepat kepada setiap kes dan data dinyatakan. Artikel ini sangat pendek jika dibandingkan dengan artikel-artikel yang lain. Jika boleh adalah lebih baik bagi penulis memanjangkan lagi perbincangan dengan kupasan yang lebih terperinici serta perlu ditambah bibliografi untuk menjadikan penulisan ini lebih berautoriti dan ilmiah.

6- Artikel keenam- Hibah: Mekanisme Meningkatkan Hak Wanita Dalam Pewarisan

Artikel ini juga perlu dilengkapkan latar belakang penulis yang selaras dengan artikel lain Saya berpendapat artikel ini mengelirukan di mana penulis menyatakan hibah meningkatkan hak wanita dalam pewarisan. Huraian penulis adalah tersasar kerana hibah adalah satu kaedah alternatif memberi harta kepada pihak lain dan tidak boleh dikatakan menambah hak wanita kepada pewarisan. Hibah tidak meningkatkan hak wanita dalam pewarisan tetapi boleh meningkatkan jumlah harta yang diperolehi wanita selain faraid. Huraian bahagian tersebut perlu diperbetulkan terlebih dahulu di samping memperbetulkan sedikit kesilapan ejaan, pembentukan ayat yang lebih memudahkan pembaca. Rujukan kepada setiap data yang dinyatakan perlu diperbaiki dan ditambah baik untuk memberi nilai ilmiah yang tinggi kepada artikel ini. Artikel ini juga perlu diletakkan bibliografi yang selaras seperti artikel-artikel yang lain.

7- Artikel ketujuh- Wanita dan Pemilikan Harta

Artikel ini membawa perbincangan baru kepada pendekatan adat pepatih. Cuma perlu diperbaiki ejaan, jarak antara perkataan dan penggunaan istilah yang tepat seperti dalam Kamus DBP 4.

8- Artikel kelapan- Emas: Pelaburan Terbaik Wanita

Dicadangkan agar disahkan apakah keadaan emas pada penghujung akhir tahun 2008 adalah seperti dinayatakan dalam abstrak. Jika tidak ayat bahagian tersebut perlu di’rephrase’ supaya tidak mengelirukan. Latar belakang penulis perlu dilengkapkan seperti artikel yang lain. Rujukan bagi kenyataan yang diletakkan dalam artikel wajar ditambah dan dinyatakan dengan baik untuk memberi nilai tambah kepada tulisan ilmiah. Manakala rujukan sebenar seperti siapa yang menemubual dan bagaimana kenyataan seseorang diletakkan dalam artikel perlu diperbetulkan di samping kesialapan ejaan kepada beberapa perkataan yang ada dalam artikel.

Kesimpulannya, saya memberi pujian yang tinggi kepada usaha penulis dan juga penyusun manuskrip ini. Terdapat beberapa artikel yang hanya memerlukan sedikit pembetulan tatabahasa, susunan ayat dan pembentukan ayat yang mudah difahami oleh pembaca. Namun begitu terdapat juga beberapa artikel yang memerlukan penambahbaikan yang agak besar dan terperinci. Ini bertujuan untuk memberi nilai ilmiah yang benar, memudahkan pembaca mengikuti aliran perbincangan dan yang paling penting dapat mengangkat nilai ilmiah kepada tulisan yang ada dalam mansukrip ini.

Sekian terima kasih.
____________________

Alhamdulillah.. selesai..amin