Wednesday, September 30, 2009

Belajar Abroad

Artikel..

Hari ini 30 Sep, artikel yang saya tulis bertajuk Sara Hidup, pertembungan nilai cabaran di luar negara disiarkan dalam Berita Harian di ruangan Rencana.
_______________

Sara hidup, pertembungan nilai cabaran belajar di luar negara
Oleh: Nur Hidayah Muhd Hashim

SETIAP tahun ratusan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara, sama ada atas tanggungan sendiri atau di bawah tajaan biasiswa kerajaan, agensi atau syarikat korporat. Perbelanjaan bagi menampung setiap pelajar bukanlah suatu yang murah.

Beribu-ribu ringgit diperuntukkan untuk pelbagai keperluan termasuk bayaran yuran pengajian, duit poket, insurans kesihatan, bayaran sewa rumah dan sebagainya. Jumlah perbelanjaan pula berbeza antara peringkat pengajian dan juga bidang yang diambil.

Dengan harapan untuk melihat negara luar yang mempunyai seribu macam perbezaan, memperoleh pengalaman mencari ilmu di negara lebih maju, mempelajari budaya dan kepelbagaian bahasa di tempat orang adalah sebahagian daripada faktor pendorong seseorang pelajar menanam cita-cita dan memilih untuk belajar di luar negara.

Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah besar wang untuk tujuan pendidikan termasuk menghantar pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) ke luar negara.

Australia adalah antara tempat yang menjadi pilihan ramai pelajar Malaysia. Antara banyak negeri di Australia, Victoria pula adalah tempat yang mempunyai bilangan pelajar Malaysia yang paling ramai. Setakat ini ada hampir 7,000 pelajar tajaan yang mencari ilmu di situ dalam pelbagai bidang sama ada peringkat ijazah atau lepasan ijazah.

Kehidupan di luar negara sebenarnya sangat berbeza dengan apa yang dilalui dalam negara kita. Dengan perbezaan taraf hidup, kadar mata wang yang tinggi dan persekitaran yang berbeza adalah cabaran baru yang perlu dihadapi.

Di Victoria, pelajar Malaysia kerap menghadapi masalah mendapatkan sewa rumah yang sesuai dan dekat dengan tempat pengajian. Rata-ratanya sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik ditawarkan dengan kadar sewaan A$300 (RM870) seminggu atau A$1,300 (RM3,770) sebulan dan ia akan menjadi lebih mahal jika berdekatan dengan universiti.

Ada sebahagian pelajar Malaysia yang berkeluarga terpaksa menyewa rumah A$350 (RM1,015) seminggu atau A$1,500 (RM4,350) sebulan semata-mata kerana terdesak mendapatkan rumah yang dekat dengan universiti. Keadaan mungkin agak berbeza bagi pelajar bujang yang boleh berkongsi dengan beberapa pelajar lain untuk menjimatkan perbelanjaan.

Pada masa sama, keperluan menjadi lebih mendesak apabila kedua-dua pasangan belajar. Anak-anak perlu ditinggalkan kepada seseorang atau menghantarnya ke tempat asuhan. Semua ini memerlukan tambahan perbelanjaan sekitar A$300 sebulan.

Bagi yang terpaksa berulang menggunakan kenderaan awam dari rumah ke universiti, lebih banyak lagi wang terpaksa diperuntukkan, apatah lagi tiada tambang konsesi diberikan kepada pelajar luar negara dewasa ini. Kita berharap agar pelajar luar negara seperti pelajar Malaysia akan diberikan tambang konsesi dalam mendapatkan khidmat kenderaan awam di Victoria pada masa akan datang.

Dari segi keagamaan, persekitaran berbeza turut menjadi cabaran bagi pelajar beragama Islam yang membawa anak-anak ke sini. Tidak ada kelas pengajian agama formal atau kelas mengaji al-Quran disediakan di sekolah kerajaan.

Ada beberapa sekolah berorientasikan agama di Victoria seperti Sekolah Darul Ulum, Kolej ILIM, Kolej King Khaled dan lain-lain, namun yuran pengajiannya agak mahal antara A$3,000 hingga A$6,000 (RM8,700 - RM17,400) setahun bagi setiap anak. Sudah tentu ia agak membebankan bagi yang mempunyai anak ramai.

Justeru, bagi ibu bapa yang prihatin, mereka terpaksa mengajar anak-anak mengaji di rumah sendirian atau menghantarnya ke sekolah agama yang diusahakan pihak tertentu yang sudah mendapat status penduduk tetap di sini.

Umpamanya bagi pelajar Malaysia yang berada di sekitar utara Melbourne, ada yang menghantar anak ke sekolah agama setiap hari Ahad dikenali sebagai Madrasah al-Muhajirun dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari yang dikendalikan oleh warga Singapura di sini.

Sudah tentu ia tidaklah mencukupi untuk memantapkan tahap pengajian agama dan menerapkan nilai Islam kecuali diteruskan oleh ibu bapa di rumah. Namun ia boleh dianggap memadai daripada tiada langsung sentuhan mata pelajaran agama untuk anak-anak kita.

Bagi anak-anak yang memilih untuk memakai tudung ke sekolah, mereka selalunya berdepan pelbagai pertanyaan daripada rakan sebaya atau guru mengenai pakaian dipakai. Ia juga adalah cabaran bagi ibu bapa yang memilih untuk mendidik anak-anak mereka bertudung menutup aurat.

Bahkan ia juga cabaran besar untuk anak terbabit sama ada mampu untuk menjawab dan bertahan dengan soalan demi soalan. Ada kes yang mana pelajar Malaysia ditanya kenapa mengenakan tutup kepala kepada anak mereka. Antara alasan diberikan adalah memaksa anak menutup aurat satu perlanggaran terhadap hak asasi kanak-kanak dan ia tidak oleh dilakukan.

Namun selepas anak berkenaan menjawab bahawa dia sendiri suka dan memilih untuk memakai pakaian menutup aurat, barulah pihak yang menahannya meninggalkan mereka dan memohon maaf atas tindakan mereka.

Perbezaan yang dihadapi sebenarnya boleh memberi kesan positif dan boleh juga sebaliknya. Bagi yang negatif, ia melihat semua cabaran ini sebagai sesuatu yang menyusahkan dan memilih untuk mengalah kepada keadaan.

Namun bagi mereka yang positif, perubahan ini memberi kekuatan dalaman untuk menjadi Muslim lebih tabah sekali gus mensyukuri nikmat yang diberikan. Perbezaan dan cabaran ini juga membawa kepada satu pengertian dalaman betapa indah dan bertuahnya hidup di negara sendiri, Malaysia.


Penulis ialah pensyarah kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Shah Alam, kini mengambil PhD Undang-Undang di Melbourne merangkap Presiden Persatuan Lepasan Ijazah Malaysia Victoria (VMPGA) 2009/2010.

Eid Mubarak Lagi..

Ahad 27 Sept..

Hari ini kami sekeluarga pergi ke beberapa buah rumah- meraikan jemputan Eid Mubarak.. Terima kasih kepada semua yang telah membuat open house dan menjemput kami. Hari ni kami mengajak sekali Ping dan Tracy ke tiga-tiga open house bersama-sama..

1- Mula-mula jam 10.15 pgi- ke KgVic rumah En Rasul. Mereka mengadakan open house bersama-sama beberapa keluarga iaitu Keluarga Rasul, Keluarga Ustaz Nushi, Keluarga Rosalam dan Keluarga Nasrul. Majlis dibuat di rumah Rasul. Mereka menjamu satay, nasi beriani dengan lauk kambing dengan kueh mueh..

Memang besar dan sedap sangat makanannya..
Saya makan sehingga menjilat jari.. hehe..

Tracy pi snap gambar saya.. Saya tengah makan.. nyum nyum.. [hehe..] Apa saya tengah bercerita tu yer? Eva dan Iza terpegun mendengarnya.. Saya cite pasal resipi masak nasi beriyani ker.. tak ingat lak.. hehe..

Kat sini, dapat berjumpa beberapa kawan-kawan dari KgVic seperti Idah, Azah, Miza, Nana, Nab, Rodzi, Ika dan lain-lain-lain.

2- Kemudian jam 11.40 kami ke rumah keluarga Rami dan Syafiq pulak..

Inilah Rami, Ping dan Tracy..

Jep cameraman mengambil gambar kami berdua.. siap ada blog address Jep kat gambar tu.. power betul. Sapa nak kenal Jep, sila ler ke blog beliau..


3-Kemudian ke Dandenong pulak..Meraikan jemputan Kg Dandy- En Pidi, Dr Laily, Ani dan Rashdan, Lajiman, Suraya dan lain-lain yang telah sudi menjemput EXCO VMPG. Kami datang selepas beraya di rumah Rami..
Bersama-sama En Pidi dan Dr Laily.. First time saya jumpa En Pidi semasa program di Clayton, kemudian berjumpa isterinya Dr Laily dan akhirnya saya rasa saya macam dah lama mengenali mereka.. mereka sangat baik dan merupakan senior yang telah lama berada di Kampung Dandenong @ Kg Dandy. Kedua-duanya adalah tuan punya blog Salam Monash dan juga pakar masak dendeng.. Sodap..

Kami balik selepas berkenalan dan mana ada kesempatan, sempat juga berstory tentang VMPG terutama kepada kawan-kawan yang berada di Gypsland.. Kami ucapkan terima kasih kepada tuan rumah dan kawan-kawan baru di sana. Alhamdulillah.. Semoga jumpa lagi..

Sunday, September 27, 2009

Melihat Kebesaran Allah..

Tulip Festival.. Melbourne 26 Sept 09

Subhanallah.. cantiknya bunga ciptaan Allah.. bercolourful bagai..

Sabtu, kami ke Tesselaar Tulip Festival di Silvan.
Pergi berkonvoi beberapa kereta bersama kawan-kawan sekampung. Sekarang spring tapi sejuknya hanya ALlah yang tahu.. cuaca tak tentu sekarang.. always raining, cold and windy.

Sampai sana, banyaknya bunga-bungaan... ada warna merah, ada kuning, ada putih, ada campur-campur..
Pandainya orang Belanda yang bawa tulip ni ke Australia, dan bersungguhnya usaha dia, penuh bersusun pokot bunga dengan batas yang cantik, selaras dan tersusun..

Saya takjub!
Takjub pada Maha Bijaksana Dia Pencipta..
Takjub pada berbagai warna dalam satu jenis bungaan..
Takjub pada kesungguhan manusia menanam dan menjaga..
Takjub pada ramainya yang datang melihat bunga..

Dalam setiap kejadian, ada tanda kewujudan dan kebesaran Allah..
Semoga kita menyedarinya.

Barbaris pelbagai warna....
Cantik sungguh... Subhanallah...



Taraa... Aisyah dan Umi...

Aisyah dengan Goyota ...

Comelnya dua orang wanita Melayu terakhir abad ini...
Aisyah dengan Spek hitamnya bersama Kak Faleeq..



Barangan yang dijual.. Saya nak beli tapi tak dapat perkenan Tuanku.. hehe... Abah tak kasi beli, dia kata.. 'Nak beli barang Belanda, pergi ler Holland, buat apa beli kat sini?' Nampak gaya kena pergi Belanda ler tahun depan... hehe..

Isyy... cantik kan bunga tu? Saya berada di sebalik bunga tu pun kira ok kan? Pandai Abah ambik gambar..


Tengoklah bungaan di belakang Abah dan Aisyah.. tak tau apa perkataan nak cakap.. Cantik betul..

"Aisyah.. Lipatler elok-elok baju tu... tak kemas ler panjang berjuntai camtu.. Mai sini Umi lipat..."


Ada persembahan Makcik-makcik tu menari-nari tarian Belanda.. Sebelum dia menari, kami ambik gambar dulu..

Satu pengalaman yang menarik..
Bagi yang minat bunga, datangler sini..

Friday, September 25, 2009

Rumah Terbuka

Rumah Dibuka v Rumah Ditutup..

Rumah terbuka.. open house .. please come...

Rumah tertutup.. close house.. please do not come...

Macam tu ker? hehe... No lah!

Taqhayyirul ahkam bi taghayyirul azman.. Berubahnya hukum dengan berubahnya masa... Dan juga Al-Adah Muhakkamah.. Custom can be authoritative. Itu Islamic Legal Maxim yang mungkin sesuai dengan perubahan custom di kalangan kita. Dulu-dulu, custom dan budaya kita tidak seperti sekarang. Dulu dan di kampung-kampung, tetamu datang bila-bila masa dan pintu tuan rumah sentiasa terbuka.. Berubahnya zaman dan tampat, banyak juga perubahan berlaku dalam pembawaan dan adat kita semua.

Dengan kesibukan masa, kerja dan tenaga, adat sudah semakin bertukar. Sekarang, kita sukar bersedia setiap waktu, maka diletakkan istilah open house. Ketika adanya open house, maknanya tuan rumah dalam keadaan bersedia menerima tetamu, rumah sempat dibersihkan. Makanan bersesuaian sempat disediakan dan sebagainya.. Sedangkan boleh saja kalau kita nak datang tak kira waktu.. Cuma legal maxim ini sedikit sebanyak mengikat kita juga...

Sebenarnya open house mempunyai kebaikan dan ada juga sedikit keburukan. Kadang-kadang berlaku pembaziran, kadang-kadang berlaku salah jemput, terlupa jemput dan lain-lain. Sebagai yang menjemput, kita berharap orang yang kita jemput sudi datang ke rumah kita. Manakala sebagai yang dijemput, kita perlu sedaya upaya memenuhi dan meraikan jemputan yang diberi. Pada saya kedua-dua adalah penting. Kita berbudi orang berbahasa. Kita memberi orang merasa.

Sekadar mengambil jalan tengah, jika saya ingin ke rumah sapa-sapa yang tidak mengadakan open house, saya akan call tanya dulu bersedia tak terima kita menjadi tetamu. Itu hanya sekadar meraikan tuan rumah agar tidak terbeban dengan kehadiran kita..

Wallahua'lam..

p/s Hari raya ketiga-Selasa 22 Sep 09- kami sekeluarga ke Open house rumah Umi Salwa, kemudian Kak Hada, kemudian ke rumah Neezam dan kemudian ke rumah Suzana. Tapi disebabkan tersilap menyusun waktu, kami tak sempat ke rumah Yusli. Maaf banyak-banyak ye.. Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah sudi menjemput kami meraikan open house mereka. Saya dan keluarga sangat meraikan..

Tuesday, September 22, 2009

Eid Mubarak

Hari Raya Idil Fitri di Melbourne..

Sesuatu yang baru, menyayukan,namun memberi nimat tersendiri yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Hanya pada Allah dipanjatkan syukur di atas semua nimat yang diberi..

Ahad 21 Sep 09, jam 8.30 pagi, kami sekeluarga ke Reservoir Civic Centre tempat disewa untuk tujuan Solat Hari Raya dan perhimpunan pelajar Malaysia Bundoora. Bertakbir dan bertemu dengan rakan taulan yang ada di sini.

Lepas takbir memuji Allah, solat sunat bersama-sama, dan pastinya makan lagi.. menjamu selera potluck dari semua keluarga.. Banyak betul makanan, tak larat nak makan.. Lepas makan semua mengambil gambar bersama-sama.. Makan, bersembang, bermaaf-maafan, bersenda gurau gambaran persahabatan yang wujud. Semoga salah silap, kecik hati dan lain-lain terlerai dengan ucapan maaf yang dilafaz. insya Allah..

Saya sendiri...
Umpp.. seperti yang lain, saya juga mintak maaf kalau tersalah bahasa dan insya ALlah saya memaafkan semua salah silap yang dilakukan kepada saya. Semoga Allah turut memaafkan semua salah silap saya dan semua.. amin..

Malam tadi jam 10mlm, saya telefon Malaysia, sembang-sembang dengan Ma, Ayah dan Idi serta ucap Selamat hari Raya, minta maaf banyak-banyak.. Semua adik beradik saya balik dan ada di kampung kecuali saya ... sedih gak yer.. tapi tak pelah.. Saya selalu doakan agar Ma dan Ayah di Kota Bharu serta Mak dan ABah di Bangi sihat selalu, dijauhkan dari sakit yang berat dan semoga sejahtera selalu..begitu juga adik beradik dan keluarga yang lain.. insya Allah..

Sehari sebelumnya, saya transfer duit RM700 ke dalam akaun adik saya Tie untuk hadiah hari raya kepada semua yang tercinta.. Tak banyak sangat, siket jer.. sekadar hadiah Hari Raya daripada Kami di Melbourne..[Tak masuk duit dana tau, duit Dana RM400 untuk September dah transfer dah..]- Untuk Ma dan Ayah $300, Untuk Wea (nenek saya $50), semua Mak Sedara dan Ayah sedara sebelah Ma ($50 sorang), Moksu Jah (mak angkat ayah $20), semua anak sedara dapat siket je ($5 sorang).. jadi ler yer untuk Raya puasa.. Raya Haji nanti duit raya lain yer..
--------------

Ambrose Hall..

Saya keluar awal dari Dewan Reservoir ke Ambrose Hall di Brunswick untuk menghadiri Jamuan Raya anjuran MASA, VMPG dan Persatuan lain- dalam jam 11.50 pg. Sampai dalam jam 12.20 tgh, ramai pelajar dah balik. Tujuan saya untuk menunjuk sokongan selaku Presiden VMPGA dan tidaklah berhasrat untuk makan di sana.. Saya berjumpa dan bersembang dengan Amir, Pengerusi MASCA, katanya dalam 700 kot yang hadir ke Ambrose Hall. ALhamdulillah..

Saya sebenarnya plan nak ke Jamuan raya KgVic untuk bertemu sahabat-sahabat di sana, tapi sebab dah jam 1.o0 pm, rasa macam dah lambat sangat takut semua orang dah balik. Jadi kami tak pergi ke sana, terus balik ke rumah... Rugi juga rasanya sebab saya memang sangat berhasrat untuk turut sama memeriahkan perhimpunan di sana. Abah kata, nanti sampai takde dah orang, plan pun bertukar...

Gambar ini saya, Pah dan adik-adik Barnes Way tengah berjalan keluar dari Dewan Ambrose Hall

-----------
Beraya...

Petangnya jam 4pm- kami keluar beraya selepas balik rumah sekejap solat Zuhur dan Asar. Mula-mula ke rumah adik-adik di Main Drive.. dijamu makan nasi lemak ANtarabangsa.. pandainya adik-adik ni masak, kalah nasi lemak antarabangsa Kampung baru.. Terima kasih ye Faleeq, Su, Wahida, Adah dan Nana..

Lepas tu ke rumah Jumie pulak...
Makan rendang, nasi himpit, pulut kuning.. banyaknya menu dan sedap sungguh..
Terima kasih ye Jumie dan Asyraf..


Ini beramai-ramai di rumah Jumie..(kamera Jep)

Lepas tu pergi rumah Cik Din dan Gee pulak di Thomastown.. Solat maghrib jemaah dulu, lepas tu makan behun Serawak, rendang dan nasi himpit..Terima kasih ye Din dan Gee..

Lepas tu pergi rumah Azida dan Fendi dulu. Solat Isya' kat sana. Makan-makan lagi. Terima kasih ye Zida dan Fendi.

Lepas tu pergi rumah Tasha dan Adili pulak.. makan rendang lagi..Terima kasih ye Tasha dan Adili.. Semua program raya hari ini dibuat secara konvoi kereta seramai 13 orang.. Kami satu kereta, Umi Salwa dan adik-adik barnes Way 1 kereta, Hamzah dan Fiza 1 kereta dan Adah, Faleeeq dan adik-adik Main Drive satu kereta..

Jam 10.30 malam, kami semua balik rumah masing-masing..kekenyangan dan penuh syukur pada ALlah di atas segala nikmat yang diberi..Lepas solat Isya' terus zzzzzzzzz...

---------------
Hari Raya Ke 2- Isnin 21 Sep 2009

Adik-adik bujang yang baik dengan saya ingin saya raikan.. begitu juga sahabat-sahabat yang ada di Bundoora. Tetapi saya tak mampu nak buat jamuan besar, walaupun dalam hati saya sangat ingin melakukannya..

Kalau di Shah Alam, saya akan upah jer semua orang.. Tapi kat sini, saya nak upah sapa? Takde sapa nak terima upah saya, jadi saya masak setakat mampu saja..dengan bantuan Abah dan Aisyah. Saya buat spaggetty bolognise dan bihun tomyam.. campur kueh mueh siket-siket.. pastu air kat rumah saya lain dari rumah orang lain.. ada warna biru dan ada air warna hijau..pelik..

Masa datang tu, ada juga kawan-kawan yang sudi menambah menu yang ada.. Mahadhir dan Jamiila datang bawak seperiuk kuah kacang dengan nasi himpit yang banyak dengan wajik.. terkejut sungguh saya.. Time kasih ye Mahadhir dan Ila. Zida juga datang bawak kuah kacang dan nasi himpit.. Time kasih juga untuk Zida.

Ini dalam rumah kami.. sebahagian yang hadir..duduk lah mana dapat dan makanlah apa yang ada yer...

Aisyah menulis kad raya dan menampalnya di cermin depan rumah... Creativenya anak Umi.. Tahniah ye Aisyah..

Inipun sebahagian tetamu yang datang... di depan rumah ni..masa nak balik

Ni pulak dari kamera Yusri.. nak mengambil gambar beramai-ramai..


Akhirnya... gambar beramai-ramai diambil oleh Yusri, Jep dan Tiqie..

Kalau ada yang saya tak sempat dan tak tersms maklumkan jamuan di rumah kami, kami mintak maaf yer.. Majlis berakhir jam 7.30 malam.. Alhamdulillah.. Agaknya dalam 60-80 orang rasanya yang hadir... Terima kasih kami ucapkan untuk semua yang sudi hadir..

Lepas solat Maghrib, kami pulak keluar beraya di rumah Nazura .. balik rumah jam 10.30 malam..

Beraya di sini .. sesuatu yang baru untuk saya sekeluarga..
Dalam kesibukan berhari raya, jangan tinggal kewajipan yang asasi, jangan melakukan maksiat dan marilah kita selalu berdoa agar Allah meneguhkan pegangan kita dan melimpahkan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.. amin

Esoklah kemas rumah.. letihnya dan terus zzzzzz

Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya

Hari Raya..

Insya Allah kita akan menyambut hari raya tidak berapa hari lagi. Di Melbourne, Jabatan Agamanya telah mengeluarkan pengumuman bahawa Raya jatuh hari Ahad 20 September 2009. Dengan hati yang tulus, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya, Eid Mubarak dengan ucapan Maaf Zahir Batin kepada semua keluarga, sahabat baik, kawan-kawan, kenalan jauh dan juga kenalan blog yang mengenali saya melalui blog ini. Semoga Allah menerima segala ibadah yang kita lakukan dan semoga Allah akan memanjangkan usia kita semoga dapat kita berjumpa dengan Ramadhan lagi di tahun akan datang. amin

SELAMAT HARI RAYA
MINAL A'IDIN WAL FAIZIN..

p/s Jep telah membuat video ucapan hari raya pelajar-pelajar di sini dan ada diletakkan dalam Facebook beliau. Saya ada juga sharekan video tersebut dalam Facebook saya.

Friday, September 18, 2009

Peristiwa...

Banyaknya..

Banyak perkara berlaku dalam minggu ini..

1- Aisyah telah berjaya mendapat tali pinggang biru 1 calit pada Sabtu lepas. Grading dibuat di Stadium Hoki Melbourne. Kena bayar AUD70 plus AUD10 untuk buku kerja yang baru.. Aisyah sangat seronok dan Abah telah mengambil gambar dan video Aisyah grading. nanti Umi uploadkan..
Aisyah belajar di Hall Teakwondo..Itulah Master Martin Hall, 7h Dan

2- Saya rasa sangat seronok dan teruja bila ada dua malam, kawan-kawan datang solat terawih dan witir di rumah kami. Pada hari Isnin 14 Sep, kawan-kawan dari Bundoora dalam 30 orang campur lelaki dan perempuan. Lelaki dalam 16 orang di hadapan dan perempuan termasuklah anak-anak berada di saf belakang.

3- Pada 16 Sep, kawan-kawan dari KgVic datang berterawih, witir dan bertadarus di rumah kami. Saya rasa dalam 20 orang semuanya, tetapi hanya lelaki, yang perempuan berada di saf paling belakang hanya ada 2 orang.. iaitu Aisyah dan Umi..

Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi datang. Semoga keberkatan bacaan Quran dan solat ramai-ramai akan terjirus dan merata ke seluruh rumah kami dan keseluruhan hidup kami semua..

Thursday, September 17, 2009

Ilmu Penulisan..

Ilmu Penulisan...


Kali ini saya nak kongsi beberapa tips mengenai penulisan..[sekadar yang saya tahu..].



Kenapa dalam setiap penulisan, kita kena letak pengenalan diri? Ada yang tanya saya soalan camtu.. Sebenarnya yang saya belajar- apa pun yang saya tulis, di dalam apa majalah, jurnal, bahan ilmiah, surat khabar, metro dan sebagainya, begitu juga semasa saya menyampaikan ceramah di mana dan bila sekali pun, mesti diletakkan nama tempat kerja kerana ia mempunyai merit career wise- akan diiktiraf kerana kita meletakkan sinonimnya kita dengan tempat kita mencari rezeki- begitulah yang saya buat.

Kenapa pula perlu diletak sebagai pelajar? - iaboleh memberi merit thiqqah atau trustworthy pembaca terhadap apa yang dibaca. Bahawa penulis tidak bercakap atau menulis sesuka hati tetapi dia mencari data dan bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis.

Kenapa pula diletak jawatan di luar kerja hakiki? Yang saya belajar adalah ia boleh mempunyai nilai mandat dan kepimpinan, dan mentakkidkan (menguatkan) atau menambah nilai kekuatan pada hasil karya. Secara tak langsung, tulisan yang berkait dengan bidang dan sumbangan persatuannya dianggap benar kerana dia berada dalam persatuan tersebut. Contohnya, saya boleh nyatakan VMPG menganjurkan iftar kerana saya yang meluluskannya.. Ia menunjukkan kebenaran fakta. Kalau saya menulis sebagai Exco Persatuan Peguam Syarie (dulu-dulu..) maknanaya saya menceritakan apa yang berlaku di mana saya salah seorang penggiatnya.


Justeru, jika seseorang penulis menulis artikel dalam majalah dan diletakkan pengenalan seperti Penulis adalah Peguambela Peguam cara- ia akan memberi nilai kekuatan hujah bahawa penulis bercakap atas nilai keilmuan yang dipegang dan dia bertanggungjawab dari segi moral dan perundangan terhadap apa yang ditulisnya. Ia menambah kepercayaan pembaca dan menolak perdebatan terhadap salah benar dakwaan dalam penulisannya.



Jika ditulis- Penulis adalah pelajar PhD ... Ia turut memberi nilai kekuatan tetapi tidak cukup kuat untuk menambah thiqqah masyarakat- PhD dalam bidang apa? Sekiranya penulis menulis sesuatu isu berkait dengan bidang seperti menulis mengenai undang-undang, tanpa menyebut latarbelakang, pembaca boleh argue, betulkah apa yang ditulisnya? Namun jika artikel berbentuk pemerhatian, pendapat terhadap isu general, ia tidak memberi apa-apa kesan..



Satu lagi; semasa saya ditemuduga Prof Madya hari tu- saya diberitahu bahawa hasil penulisan di akhbar-akhbar yang menyatakan penulis adalah pensyarah CITU, UiTM mendapat merit lebih tinggi berbanding tulisan yang tidak mengaitkannya dengan jawatan dan majikan saya.. [Wallahua'lam..].



Kalau kita kerja sendiri macam Peguam ker Businessman ker, tak kisah lah nak tulis nama majikan sebab tak de nak guna hasil penulisan untuk naik pangkat..



Secara prinsip, saya berpegang kepada work smart iaitu: kita berbuat sesuatu biarlah kerana Allah, semoga mendapat ganjaran yang baik di sisiNya dan masa yang sama mendapat habuan dunia. Bukankah itu doa kita setiap saat: Rabba atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah.. [Ya Allah berilah kami berjaya di dunia, dan berilah kami juga berjaya di akhirat]



Itulah sekadar perkongsian terutama bagi pensyarah macam saya....

Nanti saya nak sambung tips menulis sebagai satu skill..

Ramadhan Kareem



Berita Harian 17 Sept 2009

Ramadan di Perantauan: Bazar Ramadan meriahkan suasana puasa di Melbourne
Daripada Nurhidayah Muhd Hashim di Melbourne, Australia





BAZAR Ramadan di Kampung VicNorth, Melbourne tetap meriah dengan pelbagai masakan Melayu.


Perantau kongsi semangat 1Malaysia jalani ibadah seperti di tanah air

SEPERTI penduduk Islam di negara kita, kami rakyat Malaysia di Melbourne, Australia turut berusaha menjalani ibadah Ramadan dengan semangat 1Malaysia. Pelbagai usaha dijalankan untuk menyemarakkan rasa bersama di kalangan masyarakat Malaysia.

Secara kasarnya, lebih 7,000 pelajar termasuk siswa ijazah dan pasca ijazah bujang atau berkeluarga berada di Victoria. Adalah suatu yang sangat menarik di utara Melbourne, komuniti masyarakat pelajar di sini berusaha merapatkan hubungan dan menggelar diri mereka sebagai Kampung VicNorth.

Di sebuah penempatan lain dikenali sebagai Desa Bundoora dan sebagainya. Semua ini bertujuan menjaga perhubungan sesama pelajar di sini, merancang program kemasyarakatan dan keagamaan di samping tidak melupakan tugasan hakiki sebagai pelajar.


Puasa dan bazar Ramadan sesuatu yang sukar dipisahkan. Jika di Malaysia, pelbagai jenis makanan dijual di bazar Ramadan di seluruh negara. Kerinduan kepada makanan Malaysia sangat ketara terutama bagi mereka yang kali pertama berpuasa di sini.

Namun, kerinduan ini dapat diatasi juga atas keprihatinan beberapa perkumpulan penduduk di sini yang bersepakat mengadakan bazar Ramadan di tempat yang berbeza setiap minggu. Bagi yang pandai memasak, digalak menyediakan pelbagai juadah dan kuih-muih untuk dijual kepada rakan. Antara yang menarik perhatian ramai adalah sate, kuih ketayap, lepat pisang, bubur lambuk, qasidah, rojak, popia goreng dan rendang tok. Walaupun tidak sehebat bazar di tanah air, ia tetap meriah.

Di sini juga menjadi tempat melepaskan rindu mendapatkan kuih tradisi di samping merapatkan persahabatan sesama anak Malaysia. Melbourne tempat yang subur dengan kepelbagaian bangsa.

Dari segi aliran pemikiran, mazhab Hanafi dikatakan mazhab paling ramai diikuti di sini. Terdapat masjid yang dikenali mengikut latar belakang penduduk setempat seperti Masjid Somalia, Masjid Albania dan Masjid Turki.

Ramai juga pelajar Malaysia yang hadir beribadah di masjid berdekatan sepanjang Ramadan. Masjid di sini hampir semua mengadakan lapan rakaat Tarawih dengan bacaan panjang mengikut juzuk al-Quran dan tiada selawat antara solat Tarawih dan witir seperti di Malaysia.

Komuniti pelajar Malaysia yang prihatin turut mengadakan solat Tarawih berjemaah secara bergilir dari rumah ke rumah setiap malam. Bagi yang mempunyai rumah agak besar, mereka akan menawarkan diri menjadi tuan rumah dan rakan lain akan datang beramai-ramai dengan keluarga bersolat.

Solat Isyak, Tarawih serta witir dan disudahi dengan tadarus beramai-ramai dan juga moreh yang dibawa secara pot luck. Kemeriahan memang jelas dirasai apabila beramai-ramai menghadiri majlis seperti ini

Persatuan pelajar juga tidak terkecuali menganjurkan majlis iftar dan solat Tarawih berjemaah untuk pelajar Malaysia di Victoria. Setiap Sabtu dan Ahad, Dewan Malaysia Melbourne menjadi tumpuan pelajar di sini untuk beribadah dan mengeratkan silaturahim.

Umpamanya, pada 5 September lalu, beberapa badan pelajar seperti Ehsan, VMPG dan KUAM bekerjasama menaja iftar pelajar di sini. Dilihat sekali lalu, semangat beribadah dan kemeriahan serta keakraban pelajar di sini seumpama tidak terasa bahawa kami sebenarnya berada jauh dari Malaysia.

Ia seumpama negara kecil Malaysia dengan semangat 1Malaysia berada jauh di bumi Kangaroo ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam melanjutkan PhD undang-undang di Melbourne, merangkap Presiden Victoria Malaysia Postgraduate Association (VMPG)


_______________

p/s Sebenarnya En Yusuf Editor Berita Harian menghubungi saya meminta saya menulis mengenai bagaimana kami di sini menyambut Ramadhan. Saya menghargai permintaan tersebut dan menulis serta mencari gambar yang menunjukkan apa yang saya tulis. Saya hubungi En Rasul bertanyakan kalau ada gambar bazar di rumahnya dan saya juga mengirim gambar rakan-rakan solat terawih di rumah-rumah. Tetapi En Yusuf maklumkan semua gambar tak beolh pakai, pecah kerana tak cukup pixelnya.. Akhirnya gambar Rasul tenagh jual sate dipakai. Ia adalah gambar yang diambil oleh Subhan (kawan Rasul). Saya juga berjanji dengan En Yusuf bahawa saya akan cuba menghantar 2 artikel sebulan untuk ruangan agama.. Semoga saya mampu melakukannya.. insya Allah..

Sekarang saya tengah menyusun jadual hidup saya dengan lebih tersusun dan saya perlu patuh kepada jadual tersebut. Research PhD adalah no 1. Yang lain-lain mengisi ruang sebagai sumbangan saya kepada masyarakat, kerana Allah sebagai amal jariah untuk saya di hari kemudian...

Monday, September 14, 2009

Khatam Quran

Khatam Quran Muslimat..

Hari tu selesai majlis khatam Quran yang dianjurkan di tempat saya. Majlis diadakan di Dewan Student Union sebelum berbuka dan kemudiannya kami sama-sama berbuka di sini. Ramai yang hadir. Alhamdulillah..





Sunday, September 13, 2009

Terawih

Masjid di OZ

Masjid Albania

Saya ke masjid Albania terawih hari Jumaat malam Sabtu. 11 Sept- Siketnya orang sedangkan masjidnya sangat besar. Solat 8 rakaat... Tandasnya subhanallah macam tandas hotel. Tandas di masjid2 di sini, keseluruhannya sangat cantik dan bersih, kering dan disiapkan tuala untuk lap kaki dan lap badan jika ada yang nak mandi. Diletakkan dua besin tertulis - clean towel and dirty towel.. Subhanallah.. Kalau di Mesia begini, alangkah cantiknya..

Masjid Preston

Kami ke masjid Preston hari Sabtu malam Ahad 12 Sept- Masjidnya besar dan orangnya sangatlah ramai.. Ramai sangat dengan orang Arab dan Somalia, bau minyak atar kuatnya.. sesak hidung saya... Pastu punya ramai, nak ambik selipar nak keluar lepas solat, berbaris dalam 10 minit baru dapat keluar.. ramai sungguh tapi Imamnya subhanallah.. macam Masjid Haram.. sayu dan sangat menusuk..

Masjid Turki

Kami ke masjid Turki di Lalor hari Ahad malam Isnin 13 Sept. Orangnya sederhana ramai. Saya terkejut melihat Imam baca sangat pelik, satu ayat satu rakaat.. macamna tu? Lepas fatihah, dibaca ayat pertama surah Al-Mulk.. then terus rukuk.. Rakaat kedua baca fatihah dan ayat kedua surah al-Mulk, pastu rukuk..Saya terkejut sungguh sebab tak sangka pendik sangat ...

Masjid Somalia

Kami ke masjid Somalia pada Selasa 15 Sept- Imamnya seperti Rashad Mashari.. menusuk kalbu.. Penuh dengan wanita Somalia dan saya berkenalan dengan Fatmah dan anaknya Muna. Sebelum Isya' ada caramah dalam bahasa Arab.. saya rasa terbuai, terbayang saya tengah dengar ceramah subjek Undang-undang Syariah dalam bahasa Arab di UIA dulu.. Saya belajar dulu ada paper dalam Bahasa Arab dan ada paper dalam Bahasa Inggeris. Teringat pensyarah2 saya.. semoga Allah memberikan pahala yang banyak untuk mereka..

Masjid Coburg

Malam ini kami ke sana 17 Sept.. Wanita tak ramai, hari hujan dan sangat sejuk. Imamnya baca sangat sedap, macam Rashad Masyari jugak. 20 rakaat- 1 juzu' habis setiap malam. Malan ini juzu' 29 rupanya. Esok Imam akan baca juzu' 30..

Semuanya berbeza pengalaman.. Sesuatu yang baru..

Saturday, September 12, 2009

Tarawikh v Tawarih

Tarawih..

Saya ada terbaca blog seseorang yang menceritakan dia masa kecik terkeliru antara perkataan tarawikh dengan tawarikh.. Tawarikh tu mata pelajaran sejarah, zaman dulu kita panggil subjek tawarikh, yang tarawih tu solat sunat masa Ramdhan.. Saya baca blog dia sambil ketawa... hehe.. Saya pun senasib dengan dia.. Bukan setakat keliru masa sebut, masa niat solat pun saya niat.. 'Sahaja aku sembahyang tawarikh dua rakaat kerana Allah..' adoii...

Tapi tu masa saya kecik, bila saya dah besar saya dah boleh bezakan dua perkataan tu.. Tapi rasanya bila saya dah darjah lima atau enam, saya baru boleh bezakan.

__________

Masa kecik pengalaman menyambut Ramadhan dan solat di masjid adalah sangat indah dan penuh cerita sensasi.. Yang saya ingat, ada kalanya saya naik basikal, duduk depan kat palang tengah2 basikal tua kepunyaan Atok saya sebelah My mother. Kami panggil dia Chek... Chek ni sangat baik, tak pernah marah, dia selalu pergi Masjid dan saya ikut Chek duduk atas palang basikal Chek tu.. [tau ke palang tu? saya tak tahu panggil apa, antara tempat duduk rider dengan handle basikal, ada besi palang gitu, saya duduk atas tu ler..]. Pergi dan balik dengan Chek dari masjid.

Masa saya darjah 2 ke darjah 4, saya jalan kaki dengan kawan-kawan pergi masjid. Kakak-kakak saya pun sekali ler jalan kaki. On the way balik dari Masjid, ada kedai yang jual colek buah.. ohhh sedapnye.. pecah liur teringat colek' buah Makcik tu. Apa nama Makcik tu ye? Dia sebenarnya orang Cina tapi sebab dia dah duduk situ berpuluh tahun, jadi kita panggil nama Melayu dah dan tak ingat dah yang dia tu Cina. Yang paling banyak beli colek adalah kakak saya Kak Ros.. Tiap-tiap malam beli sampai habis duit dua tiga ringgit balun colek buah jer.. hehe..

Ada sekali balik dari masjid, kena kejar dengan anjing.. isyy kenangan sensasi sungguh. Semua lari mencucup-cucup masuk dalam tempat telefon public, nasib baik masa tu telefon public ada pintu.. so kita orang semua masuk dalam tu, bertindih2 sampai ler ada orang tua yang datang halau anjing tu... semenjak hari tu, saya fobia dengan anjing sampai ler sekarang..


Bila saya dah darjah 5 dan 6, kalau saya pegi masjid, saya naik basikal sendiri. Tak jalan kaki dah.. Cerita sensasi saya juga adalah, saya belajar mengaji dengan seorang Makcik yang kami panggil Kak Wea. Dia sangat serius masa mengajar ngaji. Saya kena ketuk dengan kayu [kayu pentunjuk Quran yang panjang..] kat tangan sebab tak betul makhraj memang biasa dah.. Kena ketuk kat kepala pun ada. Tapi Mak saya kata, belajar ngaji dengan Kak Wea yang garang lagi cepat pandai dari belajar dengan Ustazah yang lembut-lembut. Memang Mak saya betul. Walaupun saya asyik kena ketuk jer, saya dapat ngaji dengan betul, bertajwid dan makhraj yang baik masa darjah 2 or 3. Saya sangat terhutang budi dengan Kak Wea kerana usahanya saya jadi macam sekarang ini. Terima kasih kerana mengajar saya ngaji..

Kak Wea dan suaminya Ayah Haji ada surau sebelah rumah mereka. Dari rumah saya dalam 300m. Kalau saya tak ke masjid, saya akan ke surau Kak Wea. Kalau pergi surau, ooo saya akan jadi sangat baik sebab Kak Wea akan ketuk sapa yang bising. Dan yang paling pasti mesti kena habis 21 rakaat. Panas jangan cakap ler, sapa dapat duduk kat kipas, bertuah sangat. Kadang-kadang macam nak terbang telekong .. semua orang berkipas-kipas dengan telekong... sebab berpeluh.. hehe...
______________

Masa naik sekolah menengah asrama agama di Kota Bharu, saya ikut jemaah di musalla sekolah. Masa tu sekolah asrama selalu takde air, jadi kena jaga wudhu', dari sebelum maghrib sampai ler selesai terawih. Masa sahur, saya bangun sangat awal, kawan saya selalu kejutkan saya mandi dan ambik wudhu' dalam jam 3 pagi dan terus tunggu sampai sahur dan solat subuh. Kalau tidak queue punya ramai, air takde..

Ada cerita jugak kat sekolah naim ni. Sebab nak jaga wudhu', air takde, saya ready lepas solat asar, ambik wudhu dan terus ke dewan makan, lepas makan, cepat2 ke musolla solat maghrib. Sebab saya awal, saya akan duduk saf depan, depan saya ada rak Quran, jadi masa nak sujud kena hati-hati takut terlanggar rak tu. Disebabkan sekolah tu sekolah asrama perempuan, jadi ada Ustaz datang jadi Imam. Ustaz ni pulak suka baca panjang-panjang yang menyebabkan saya terlelap masa solat. Saya ingat banyak kali saya tersedar dari lamunan sebab masa nak sujud atau bangun dari sujud, saya terlelap mata jadi toingg.. kepala saya akan terantuk di rak quran tu. Aduss...Bila terantuk terus saya segar..hehe..

-----------
Kat sekolah wilayah pula, saya ingat solat terawih dipimpin oleh kakak-kakak tingkatan enam. Masa tu tadarus berkumpulan wajib.. Ada sesuatu yang sangat saya suka masa saya di sekolah wilayah. Setiap petang dalam jam 5.30pm sebelum berbuka, radio sekolah akan dipasang dengan nasyid arab dan juga bacaan al-Quran. Saya memang sangat suka nasyid arab terutama melibatkan nasyid bersemangat. Antara yang sangat-sangat saya minat [walaupun sekarang saya dah lupa liriknya, dan tak tahu nak dapat kat mana kasetnya..] adalah nasyid Allahu Allah, Al-Sijnu, La lan astakiin...nasyid Ikhwan Muslimin ghuraba' dan banyak lagi. Setiap petang jam 5.30pm, saya tak buat apa-apa sebab khusuk mendengar alunan nasyid2 dan bacaan quran di radio sekolah yang dapat didengar di seluruh sekolah masa tu sehingggalah masuk waktu berbuka..

Ramadhan tales...saya membesar dengan pelbagai cerita pahit manis..
Semoga ada di antaranya Allah rezekikan saya bertemu lailatul Qadr. Saya sangat berharap. amin...

Friday, September 11, 2009

Ramadhan Kareem


11 Sep 2009

Semakin dekat Ramadhan akan meninggalkan kita. Pejam celik - pejam balik dan celik balik rupanya kita hanya ada lagi 10 hari terakhir bulan besar ini. Saya belum habis khatam Quran, rasa sangat sedih sedangkan ada kawan-kawan saya yang dah khatam 2 dan ada yang dah khatam 3 kali. Subhanallah.. Tahniah atas kejayaan tersebut..

Inilah gambar Quran yang saya baca sekarang ..



Sepanjang seminggu ini, selepas Abah datang, kami sekeluarga tidak pernah fail berbuka di luar rumah. Kami sekeluarga adalah di antara pelajar University yang berbuka di Dewan Student Union, iftar anjuran Islamic Society. Hari Sabtu dan Ahad di ILIM dan Malaysia Hall. Saya seronok dengan pengalaman ini dan saya rasa kita perlu bersama-sama hadir meraikan majlis sebegini. Yang ada semasa iftar (bagi yang Melayu Malaysia) di Uni selalunya adik-adik single kumpulan Umi Salwa, Adah, Pah, Baya dan lain-lain serta dua keluarga iaitu keluarga saya dan keluarga Shimah.

Pada saya, inilah pengalaman mahal yang tidak ada di negara kita dengan makanan mereka yang baru untuk kita. Saya berpendapat, inilah masanya untuk mengenali bangsa lain, makanan mereka, cara mereka bergaul dan juga bagaimana untuk 'masuk' dalam kelompok mereka. Antara kawan baru yang saya kenal melalui iftar ini adalah Syma dari Turki citizen Aussie, Noora dan Hanisah orang Somalia citizen sini juga, Mina dari Afghanistan, Aisyah from Singapore, Syreem from India dan dan beberapa dari Iran, Bangladesh dan lain-lain negara.

Oleh kerana makanan iftar sudah selesai, saya hanya perlu sediakan untuk sahur sahaja, itupun yang mudah dan senang dimakan oleh kami semua seperti nasi goreng, makan kek, roti dan minum air nescafe milo .. [Air Neslo adalah kegemaran saya...]


Jadual solat terawih kami bertukar-tukar sebenarnya. Ada kalanya saya solat di rumah, ada di rumah kawan yang menganjurkan solat terawih di rumah mereka, ada di University selepas iftar. Ada kala ke masjid sekitar.

Jadual saya selalunya:

Bangun jam 4 atau 4.30 pg- saya akan berusaha sedaya upaya untuk solat tahajjud sebelum bersahur. Lepas bersahur dan solat subuh, baca Quran dan kadang-kadang baca buku, ada juga tertidur lagi selepas mengaji. Jam 8.45 selepas selesai Aisyah ke sekolah, saya ke opis, membuat kerja PhD saya sehingga jam 3.20 pm dan kadang-kadang sehingga ke waktu berbuka. Banyak kerja saya perlu buat tapi entahler.. kadang-kadang semangat saya tinggi menggunung, kadang-kadang semangat tidak begitu tinggi..

Hari ini pula adalah hari khatam Quran untuk bacaan bersama-sama di tempat kami. Saya baca juz 1-5 sahaja untuk tujuan ini. Selebihnya saya baca untuk saya sendiri khatam nanti.

ooo lambatnya saya nak habiskan semua juzu' ni...
Ada tak sesiapa nak sedekahkan 10 juzu' terakhir untuk saya???

Thursday, September 10, 2009

Umi..

Ni satu lagi gambar yang saya suka. Satu gambar yang Tiqie ambik masa Umi tengah suap Aisyah, dan yang ini gambar Jep ambik masa kat rumah Gee Din lepas solat terawih dan tahlil kat sana.

Adik-adik ni memang mempunyai skill yang sangat bagus dan sudah tentulah kamera mereka juga sangat bagus.. Saya suka melihat hasil kerja orang dan bagi saya semua orang selalu mempunyai sesuatu yang menyebabkan saya teruja..
Contohnya gambar yang diambik..





Wednesday, September 9, 2009

090909

090909

Cantikkan nombor hari ni..
090909..
9 Sep 2009..

Ada rahsia ker di sebalik nombor? Wallahua'lam..
yang penting hari ni Ramadhan sudah hampir berlalu meninggalkan kita..
Berapa hari lagi tinggal bulan puasa..
semoga saya mendapat keberkatan di bulan ini, dalam meniti hari-hari terakhir Ramadhan Mubarak..

Tuesday, September 8, 2009

Umi Suap Aisyah

Aisyah My Beloved Princess....




Ni masa kat iftar Mesia Hall, Tiqie ambik gambar masa Umi suap Aisyah..
candid.. pandai ler Kak Tiqie ni..
Artikel..

Ni artikel yang bagus jugak sambungan pasal kedudukan undang-undang Syariah di negara kita.. sebelum ni ada NGO yang hantar memorandum meminta peruntukan menghukum orang islam sebab melakukan jenayah dalam pandangan islam ditiadakan. Maknanya amalan agama seharusnya jadi amalan peribadi. kalau sesiapa nak solat, itu dia punya suka. Sesiapa nak minum arak, itu pun dia punya suka.

Tadi, saya ke Cafe Kebab di Bundoora Square tadi nak beli kebab untuk Aisyah buka puasa, tetiba saya nampak dua orang lelaki Arab order nasi beriani kebab dan makan dengan selambanya depan kita orang. Aisyah tanya, 'Orang tu tak puasa ke Bah?' Dan my Husband cuma jawab..'Agaknya dia orang Arab yang tak islam kot. Sebab orang Arab ni ada yang islam dan ada yang tak islam. pastu yang Islam pun ada yang tak ikut agama, tak halal pun ada yang makan jer, macam masa Abah kat UK dulu, ada kawan-kawan Arab makan kat McD tak halal, pastu kata.. Baca bismillah makan je ler..'

Kita tak mahu Malaysia jadi bebas sebegitu.. Kita ingin islam terus terjaga. Undang-undang mengawal selia hidup kita.. Mudah2an masa depan lebih baik untuk islam di Malaysia.. amin
_________

Enakmen jenayah syariah hak mutlak umat Islam
Zainul Rijal Abu Bakar


BEBERAPA pertubuhan berasaskan gender baru-baru ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendesak kerajaan mengkaji semula Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dalam maksud memansuhkannya agar membolehkan semua rakyat dikawal melalui Kanun Keseksaan Undang-Undang Persekutuan.

Desakan sebegini bukanlah baru, malah sudah berulang kali diutarakan pihak tertentu. Walaupun diberi penerangan jelas berkaitan kedudukan undang-undang jenayah syariah ini dalam negara kita, mereka masih terus memperjuangkan matlamat mereka ini dan menolak sebarang penjelasan.

Sebenarnya, di negara ini undang-undang jenayah syariah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Malah pada zaman sebelum penjajah lagi ia wujud begitulah juga pada zaman penjajah sehingga ke hari ini.

Undang-Undang lama seperti Kanun Melaka dan Undang-Undang 99 Perak, malah tulisan di Batu Bersurat Terengganu adalah manifestasi aplikasi undang-undang jenayah syariah di bumi Nusantara. Tidak keterlaluan jika dikatakan Raja-Raja Melayu juga adalah ilmuan Islam dan berjuang mendalami agama serta mengaplikasinya.

Sebahagian daripada kesalahan jenayah syariah itu sebenarnya sudah wujud sebelum kemerdekaan lagi. Umpamanya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 memperuntukkan kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum. Malah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan adalah undang-undang utama dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka adalah terbatal jika bertentangan dengan Perlembagaan. Oleh yang demikian, sekiranya undang-undang jenayah syariah itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ia tidak terbatal kerana undang-undang itu sebelum Hari Merdeka lagi.

Mahkamah Persekutuan di dalam kes Sulaiman Takrib lwn Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan antara lainnya kesalahan jenayah syariah yang ada di dalam Enakmen Jenayah Syariah Terengganu dan Selangor adalah berperlembagaan dan sah di kaca mata perlembagaan itu sendiri. Mengapakah keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak diteliti dan hayati?

Penulis tidak nampak dari sudut manakah kesalahan jenayah syariah itu melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi jika dikaji dari sudut agama juga, sudah tentu kita akan mendapati ia amat bersesuaian dengan apa yang dianjurkan al-Quran dan Sunnah. Tambahan pula ulama sudah menjelaskan isu ini dengan terperinci.

Isu kerajaan tidak sepatutnya menjadi polis moral juga tidak boleh diterima kerana kerajaan bertanggungjawab mengawal tataatur masyarakat menjamin ahli masyarakat hidup dalam aman dan damai. Undang-undang kesalahan jenayah syariah yang hendak dimansuhkan itu sebenarnya terdiri daripada beberapa bahagian yang mengandungi kesalahan yang amat terhad iaitu kesalahan berhubungan dengan akidah (Bahagian II), Kesalahan berhubungan dengan kesucian Agama Islam dan Institusinya (Bahagian III), Kesalahan berhubungan dengan kesusilaan (Bahagian IV) dan Kesalahan Pelbagai (Bahagian V).

Meneliti senarai di atas, sudah pasti kita akan mendapati bahawa undang-undang itu amat perlu bagi menjaga maslahah umat Islam di negara kita. Tidak timbul isu bahawa kerajaan mengganggu kebebasan rakyat kerana kesalahan itu memang jelas bertentangan dengan kehendak Islam.

Undang-undang jenayah sivil pada awalnya adalah berteraskan kepada undang-undang moral. Umpamanya mencuri dilihat sebagai suatu perbuatan yang tidak bermoral kerana ia akan mengakibatkan kezaliman dan kegagalan menjamin hak rakyat menggunakan harta. Oleh hal yang demikian suatu undang-undang digubal bagi menangani gejala ini dan dijadikan suatu kesalahan. Sekiranya kita tidak mahu mencampuri urusan moral maka terpaksalah kita mengkaji semula banyak undang-undang kesalahan jenayah yang sedang berkuat kuasa dan sudah tentulah ia akan merobek keutuhan masyarakat kita.

Pendita Zaaba juga pernah menceritakan perihal orang Melayu iaitu "sejak orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini. Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, namun mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar, dan tidak ada apapun hujah ataupun pujukan daripada orang kafir yang boleh mengubah sikap mereka yang demikian itu."

Sebarang usaha memansuhkan enakmen jenayah syariah ini tidak dapat diterima oleh orang Islam. Ia bukan tiba-tiba muncul pada tarikh kemerdekaan negara. Susun atur yang ada beratus tahun sebelum merdeka telah menjana kedudukan agama Islam yang istimewa di negara kita termasuklah undang-undang jenayah syariah. Memansuhkan undang-undang jenayah syariah yang merentasi masa panjang ini akan hanya membawa implikasi serius dan menafikan hak orang Islam untuk mengamalkan agamanya sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penulis adalah Peguam bela dan Peguam cara, peguam Syarie.

Monday, September 7, 2009

Program..

Meeting VMPG dan Iftar VMPG 5 Sep

Pada 5 Sep, petangnya ada meeting VMPG antara AJK lama dan AJK baru- bincang-bincang dan berusaha mendapatkan apakah plan yang boleh kami buat sepanjang sesi ini. Dalam mesyuarat tersebut, akhirnya dibuat ler sedikit simbolik penyarahan amanah pimpinan antara Hanif Presiden sesi lama yang menyerahkan file VMPG kepada saya sebagai menyambung amanah Presiden baru sesi 09/10 ini.


Hanif dan saya.. Hanif ni anak murid saya tahun 98 di NCUK sebelum dia berangkat ke UK untuk degree dulu.. Lamanya berlalu, tetiba berjumpa di Melbourne dan dia sekarang senior saya buat PhD..


Lepas meeting, tunggu majlis khatam Quran dan seterusnya iftar...



Masa solat maghrib di ruang bawah Mesia Hall..
_____________________

6 Sep Iftar Madrasah Muhajirin dan Derma Rohingya


Aisyah dan kawan-kawan buat persembahan...

Kanak-kanak yang menjadi penonton dan pendengar syarahan saya... ramai lagi di belakangnya.. Mak Ayah duduk atas kerusi di sebelah kanan anak-anak ini..



Dalam program tersebut, saya diminta menyampaikan talk untuk inculcate nilai charity, caring and sharing kepada anak-anak... Jadi talk tu macam bersembang dengan budak-budak..masanya dalam 15 mt sahaja. Saya tanya soalan cam..'Who is fasting today? Ok.. wonderful.. ' Who comes here with your mummy and daddy? good.. Ok now let us see around us, there are many people who are not as fortunate as we are... Some of them do not have homes, no toys, no books, even some of them do not have parents, they are orphans.. 'Saya tunjukkan slide kanak-kanak Palestin, anak-anak minta sedekah, orphans dan lain-lain.. Semua anak-anak bulat mata tengok saya..

Last sekali saya tunjukkan gambar Anak-anak Yatim Rohingya.. saya tunjuk slide gambar sekolah dia orang, tidur atas lantai, makanan tak cukup dan lain-lain.. Akhirnya saya tanya, 'Do you think that we can help them?' Semua jawab..'Yes.." Saya tanya lagi, 'Do you think that we should help them?' Semua jawab 'Yes..'..



Kemuncaknya, saya kata..'Ok my beloved children, now you go to your parents and ask them nicely.. Mummy daddy can we help them? If you have some money then go to the box, put in the box and say, 'Oo Allah, i want to help them, please accept my donation.'



Alhamdulillah selepas talk, masing-masing berpusu-pusu mencari ibu bapa dan dapatkan duit untuk dimasukkan dalam tabung di depan dewan.. Akhirnya, dengan syukur pada ALlah, malam tersebut, kita berjaya mengutip AUD 821 bersamaan dengan RM2300 (lebih kurang) untuk derma anak-anak yatim Rohingya di Malaysia.

Macamna saya boleh dapatkan Sekolah Anak yatim Rohingya? Sebenarnya saya plan nak kasi derma nanti pada anak-anak Tsunami di Acheh, tetapi masa saya google internet mencari mengenai donation, saya termasuk web mengenai anak-anak Rohingya. Saya terus email kepada En Muhammad (email yang ada di website tersebut) dan akhirnya mereka bersetuju untuk menerima derma dari kami. Akhirnya saya secara bidan terjun, dilantik sebagai Volunteer Muslim Aid untuk tujuan ini. Subhanallah, Allah jua pengatur segala urusan.

Terima kasih kepada En Muhammad dari Muslim Aid Malaysia yang sudi bekerjasama dengan kami..


Inilah Sekolah yang Aisyah hadiri setiap Ahad.. Madrasah al-Muhajirin yang menumpang tempat di ILIM College, Dallas.

Kami balik lepas solat terawih, Abah pun tolong vacum dewan lepas terawih. Jam 10 mlm baru sampai rumah..

Saturday, September 5, 2009

Abah Balik..

Gembiranya Aisyah...

Dalam entry sebelum-belum ini hanya ada Aisyah dan Umi.. sebenarnya memang kami berdua kerana Abah balik ke Mesia. Hari ini, hari paling gembira pada Aisyah.. dia sangat teruja menunggu abah balik.

Siapkan hadiah dan kad untuk Abah sempena Father's Day yang disambut 6 Sept di Australia. Aisyah beli sendiri hadiah yang dijual di sekolahnya (AUD5) dan dia balut sendiri, ikat riben dan letak kad yang dituliskan untuk Abah..

Aisyah tengah sibuk balut hadiah untuk Abah..

Dan hari ini jam 8 pagi tadi Sabtu 5 Sep, Abah selamat sampai ke Melbourne Airport. Banyaknya barang yang dibawak.. sebahagian besar adalah makanan yang saya kirim.. hehe.. Alhamdulillah tak ada makanan yang kena buang oleh pihak Kastam..

Apa yang saya kirim?
Apa lagi.. barang yang memudahkan kerjaya saya sebagai Masterchef seperti: perencah adabi-nasi goreng kampung, nasi goreng belacan, mee goreng, cekodok, rempah adabi, sup bunjut, mee maggy asam laksa,[kat sini ada tapi tak sedap.. maggy jangan makan selalu, saya makan sebulan adalah sekali tapi ia penting untuk bekalan semasa sesak...hehe..]. Yang penting juga nasi himpit, ikan bilis yang lembut dah belah tu. Kat sini ikan bilis dia keras keding. Dan juga mencuci pinggan axion yang tak ada kat ostolia ni.



Aisyah dapat hadiah tak?
Dapat..
Mana pernah makcik comel tu tak dapat hadiah dari Abah..
Apa hadiahnya...

Taraaa.....
Sticker Barbie, CD Barbie, Jam Barbie...

Alhamdulillah...

____________

p/s Hari Sabtu tu saya ada mesyuarat Jawatankuasa baru VMPG di Mesia Hall jam 2 pm. Lepas mesyuarat join program Khatam Quran dan terus majlis berbuka anjuran VMPG, EHSAN, KUAM, Komuniti BUndoora dan KpVic. Makanan Restoran Lazzat yang buat, banyak makanan yang lebih sebab walaupun penuh Mesia Hall, tapi sebenarnya kurang dari sasaran. Kita budget nasi untuk 300 orang, tapi yang hadir rasanya dalam 120 -150 orang..Balik rumah jam 10 mlm

Aisyah

Akhirnya...

Sambungan cite semalam....

Saya balik dan terus masuk bilik, saya baring atas katil. Campur sejuk, jadi memang best ler dapat baring, ambik selimut terus cover diri saya.. Saya memang tak tau apa approach yang sesuai dalam keadaan ni. Aisyah memangler budak kecik tapi dia juga budak besar.. isyyy..

Akhirnya Aisyah pun baring sebelah saya. Dia tengok je saya...
Saya pun tanya soalan dengan baik, sambil baring dan dia toleh kat saya, saya tengok kat Aisyah..

'Aisyah puasa tak hari ni?'
'Puasa!'
'Betul-betul puasa atau puasa separuh hari?'
'Aisyah puasa Umi.. napa Umi tanya?'
'Aisyah tengok Umi yer.. Umi dapat tau Aisyah makan kat sekolah. Alhamdulillah ada yang bagitau, kalau tidak Umi tak tau yang anak Umi tak puasa betul-betul..'
Aisyah diam jer..
'Aisyah tengok Umi yer.. Aisyah rasa bagus tak kalau Aisyah puasa tapi makan, pastu tak bagitau pun tak puasa..tipu Umi tak baikkan?'

Diam jer..

'Esok Aisyah takyah bangun sahur ye. Kol 8 pagi Umi buat breakfast untuk Aisyah, pastu Aisyah bawak bekal untuk lunch. Bila masuk waktu lunch Aisyah makanlah.. Takyah puasa esok. Kalau ada yang tanya, Aisyah kata..'I'm no fasting'.

'Taknak..Aisyah nak puasa..' terus menangis.. meleleh-leleh air mata..

Kemudian dia pun berstory ler macam-macam..

'Aisyah terliur Shazia makan gula-gula, lepas tu dia kasi sebijik, Aisyah pun makan. Tapi Aisyah sambung puasa lepas tu. Pastu Cikgu bagi buah, cikgu suruh makan dalam kelas. Semua orang makan, Aisyah pun makan jugak. Tapi lepas tu Aisyah sambung puasa Umi..Bukan Aisyah je Umi, kawan-kawan yang lain pun sama, ada yang minum masa kat toilet tapi sambung puasa balik.. ' Sambil mengesat air mata yang meleleh..

Kesian anak saya.. suasana di sini mencabar jatidiri dia.. Dia belum cukup kuat untuk menahan diri..

'Kita tak boleh buat macam tu. Dulu Aisyah 6 tahun, 7 tahun..boleh lah Aisyah puasa separuh hari. Tapi sekarang you're turning 8. Aisyah dah besar. Tak boleh main-main puasa. Umi tak tengok Aisyah makan, tapi Allah tengok..'

'Aisyah kena ingat selalu..I am a Muslim. I want to do what Allah wants. Aisyah kan dah baca ayat Quran Allah said, sapa buat yang baik-baik, ikut suruhan Allah, nanti Allah nak kasi syurga. Kita kena sabar walaupun lapar, letih.. Nanti Allah puji Aisyah, 'Aisyah ni sabar.., puasa sampai habis, dia kuat semangat tak makan macam kawan-kawan dia makan..' Aisyah ingat yer. Kalau Aisyah lapar sangat sampai rasa nak pengsan, nak muntah, tak dapat tahan langsung, baru lah Aisyah bukak puasa tapi kena bagitau Umi lain kali..Jangan buat macam ni, Umi rasa sedih anak Umi puasa tak betul-betul walaupun dah turning 8. Aisyah paham tak Umi cakap?'

'Paham Umi. Nanti Aisyah nak jadi kuat. I will tell my teacher if she asks me to eat fruit, Aisyah nak cakap, 'I'm fasting. I can't eat now'. Aisyah tak nak makan atau minum kat toilet sebab Allah nampak apa Aisyah buat. Aisyah nak sahur esok Umi.. please...'

Aisyah cium tangan saya..'Umi, I'm sorry'..
Saya pun peluk Aisyah..
------------

Wallahua'lam..
Semoga benarlah Aisyah dalam usahanya. Semoga sedari kecil bersungguh berpegang pada tiang... Dan bawa ke besar, semoga makin teguh pegangannya itu.. amin

Friday, September 4, 2009

Nak Berstory..

Adoiii......

Semalam saya rasa sangat boring.. plus geram.. plus marah.. plus macam-macam..
Udahler saya baca buku Methodology tak habis-habis, kena tulis chapter tak betul-betul..Saya dapat tahu Aisyah makan buah kat sekolah masa fruit time dan tak bagitau bahawa dia dah tak puasa.. Napa pulak Aisyah ni?

Macamna saya nak buat yer.. katanya bukan sekali, maybe 3-4 hari.. isyy..
Saya pikir dengan begitu serius..
Susahnya suasana kat sini..
Cikgunya memang tak sokong budak puasa cos they said they're still small..
Pastu di sekolah ada fruit and recess time, cikgu bagi buah sorang satu kat semua kanak-kanak..then they have to finish the food/fruit in front of the teacher..
Pastu lak, kawan-kawannya yang tak muslim memang makan cam biasa depan dia.
Pastu pulak ada kawan-kawan muslim dari Bangladesh, Indon, Mesia tak puasa dan makan coklat, beli kat kantin depan dia..
Rupanya Aisyah pun makan sekali.. isyyy..

Saya tak tau nak buat macamna..
Nak marah?
Nak tengking?
Nak slow talk?
Diplomasi manjang ke nak kena tegaskan peraturan..
Nak buat macamna ni..
Saya sangat tak seronok dengar perkembangan camni- anak kita, anak kawan2.. yang penting anak orang islam..

Saya diam jer sepanjang jemput Aisyah balik dari sekolah..
Aisyah tanya,'Umi, why are you not happy Umi?'
'I have something in my mind'
'About what Umi?'
'About my family..'
'Umi, do you want to tell Aisyah now?'
'No.. not now..'
Pastu saya diam jer..

......
Bersambung..

Wednesday, September 2, 2009

Fair Fares

Fair Fares 2 Sep 09

Hari ni, jam 1pm, saya naik train ke Melbourne City untuk sama-sama involve dalam Public Rally demanding for fair fares for international students. Kalau usaha ini berjaya, maknanya kita akan dapat 50% discount dari jumlah tambang yang dibayar sekarang. VMPG jadi supporter for the move under Hanif's leadership. Jadi bila saya jadi Presiden, usaha ini diteruskan sebagai sebahagian dari usaha menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia terutama Postgraduate di Victoria.

Perhimpunan diadakan di Depan State Library, Swanston St. Saya sekarang dah pandai dah pasal jalan, naik train terus ke Melbourne Central. Pastu keluar ikut arrow ke Swanston St, keluar depan Nando, betul-betul berdepan dengan State Library.. Senang macam ni boleh ler saya ingat...

Kami berjumpa di sana.. Ada lebih 10 orang mewakili VMPG. Kemudian march to Parliment. Bagi pihak VMPG, saya bersetuju, bahkan meminta Hanif untuk berucap di tangga depan Parlimen bersama pimpinan international students yang lain.. Hanif lagi layak dan patut untuk bercakap di majlis tersebut kerana projek ini berada di bawah usahanya dulu secara direct semasa dia menjadi Presiden dan penghormatan tersebut wajar diberikan kepadanya. Tahniah pada Hanif atas ucapan yang sangat memberangsangkan.. Akhirnya lebih dari 15 ribu tandatangan pelajar yang dikumpulkan diserahkan kepada dua orang wakil Parlimen Victoria.
Saya balik jam 3.30pm..

Hari ini, satu pengalaman yang menarik...


Ustaz Zul dengan semangatnyer..


Semangat vmpg...

Wakil2 vmpg

wakil2 vmpg- gambar sama, apa bezanyer??? cuba teka?
betol, gambar atas, saya ada, gambar bawah saya takde... hehe..


Depan State Library...

Tuesday, September 1, 2009

Aisyah Darling

Baca Quran..1 Sep 09

Pagi tadi lepas sahur, lepas solat subuh.. Aisyah baca 1 muka surat Quran surah al-Baqarah..
Dengan separa ikhlas jugak tu..
Mana kita nak tau ikhlas ke tak?
Sebabnya dengan muka sepe'et, dia asyik mintak kurang saja..
'Umi, Aisyah baca dua ayat je ler ye Umi..'
'No..1 muka'
'Umi, Aisyah kanak-kanak lagi.. Aisyah baca 4 ayat je ler yer Umi..Aisyah nak tengok TV'.
''No way. 1 muka jugak..'

Jadi dengan muka seposen, Aisyah baca salah-salah.. mata tak tengok Quran, tengok mana-mana entah...saya pun tegur, ada tegur lembut, ada tegur kasar, ada saya marah..'Baca betul-betul ler Aisyah. Nak Umi marah ke?'
Dengan muka sepe'et tu, dia baca ler jugak..

Tetiba sampai ayat tengah mukasurat tu, ayat dia baca bunyi, 'Wallazina amanu wa amilus solihat, falahum fil jannah.........'

Saya pun cakap dengan Aisyah dengan lembut dan diplomasi..'Aisyah tau tak apa makna ayat yang Aisyah baca ni.. Allah kata, Orang yang ada iman, percaya Allah tu Tuhan kita, lepas tu suka buat amalan yang baik, suka sembahyang, suka baca quran, suka tolong orang susah, dengar cakap mak ayah.. orang-orang tu Allah akan bagi dia masuk syurga jannah.. lepastu Allah kata, semua orang yang masuk syurga tu.. duduk elok-elok dalam syurga, tak keluar-keluar dah.. kekal dalam syurga..Aisyah nak tak jadi orang yang Allah sebut tu?'

Terus mata dia bulat..'Nak Umi.. Aisyah nak masuk syurga jannah. Mulai hari ni Aisyah nak baca Quran tiap hari 1 mukasurat, Aisyah nak cepat pandai.. Aisyah nak baca quran fasih macam Umi, takde salah-salah.. Aisyah janji yer Umi..'

Alhamdulillah...Aisyah terus baca sampai habis..
Saya doakan yang terbaik untuk Aisyah, my beloved princess.. buah hati pengarang jantung.. semoga menjadi anak yang solehah sepanjang zaman.

Semoga Allah berkati kami sekeluarga..
dan anda juga, pembaca blog ini.

Federalism

Artikel

Artikel yang bagus untuk memahami tentang negara kita tercinta. Ada cerita penting dalam ni kenapa setiap negeri berbeza pentadbiran agama Islam. Artikel ni kawan saya tulis, jadi saya kena bagi sokongan.. . Berkebetulan ada yang tanya saya soalan2 pasal federal dan state sebelum ni, jadi baca ler artikel di bawah ini.. or pergilah ke Berita Harian 31 Ogos 09 ruangan agama setiap Isnin.

______________

Pusat Perlu Hormati Hak Negeri tadbir Islam
Oleh: Zainul Rijal Abu bakar

SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan konsep Persekutuan, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang utama, iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kedua-dua badan ini mempunyai fungsinya tersendiri. Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan konsep Negara Persekutuan atau Federal. Namun Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan Persekutuan negara lain dari sudut hubungan antara Persekutuan dan negeri itu sendiri.

Hubungan antara Persekutuan dan negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus di dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, manakala DUN pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Dalam hal yang demikian fungsi kedua-dua badan itu digariskan. Mereka seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun penulis tidak berhasrat untuk membincangkan isu Perlembagaan ini, cukup sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud di dalam Senarai Negeri ialah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan.

Dalam erti kata lain Islam terletak di dalam bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana Sultan adalah Ketua Agama bagi negerinya. Keharmonian ini ditambahkan lagi apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan mempertahankan Islam pada setiap masa.

Hal ini bukan hanya tradisi yang berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan malah, sejak kedatangan Islam ke Nusantara, undang-undang adat juga membuat penye-suaian di dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat.Sehingga adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan Raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan 'adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah, syarak mengata adat memakai, cermin yang tidak kabur, pelita yang tidak padam.'

Malah sejak sebelum penjajahan lagi, Islam memainkan peranan utama di dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam, terutama di dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik penjajah. Undang-Undang 99 Perak umpamanya mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan Sunnah ke dalam hutan, pemimpin yang tidak mempercayai al-Quran dan Sunnah juga tidak layak menerajui kepemimpinan negeri.

Raja mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam ketika penjajahan juga tidak disentuh.

Ibn Naqib al Misri di dalam bukunya Al umdat wa al salik menyatakan fungsi Raja ialah:
-Menjaga hal ehwal umat Islam;
-Memastikan kedaulatan agama Islam terpelihara;
-Memastikan umat Islam belajar hukum hakam agama;
-Mengembangkan syiar Islam melalui dakwah dan penaklukan;
-Mempertahankan negara Islam daripada pencerobohan kuasa kuffar;
-Memudahkan dan memberi khidmat kepada jemaah haji;
-Mengimami solat Jumaat secara sendiri atau wakil; dan
-Menjadi wali hakim.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak di dalam bidang kuasa negeri ini, sudah tentulah perkara yang sedikit ini menjadi autonomi kepada negeri di dalam menegakkan syiar Islam selain di Wilayah Persekutuan. Ini termasuk penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya deklarasi. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri. Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai jurisprudennya yang tersendiri yang kadangkala tidak difahami orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai Ketua Agama melainkan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan negeri mempunyai kuasa penuh di dalam hal ehwal Islam. Begitu juga sebaliknya kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Oleh yang demikian kedua-dua badan perundangan, eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang diperuntukkan itu. Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme ini. Kesannya kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan yang diberikan. Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara menjadi tergendala.

-Penulis ialah Peguam Syarie, Peguam Bela dan Peguam Cara