Thursday, June 7, 2007

HARIAN METRO 7 JUN 2007

Mengamati sistem kekeluargaan kita
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

BAGAIMANA perasaan anda apabila membaca berita muka depan akhbar ini 31 Mei lalu? Bagi yang mempunyai ciri kemanusiaan dan belas kasihan, hati kita akan terhiris dan sedih, geram dan benci di atas tindakan si anak lelaki terbabit. Sampai hati si anak memperlakukan si ibu yang uzur dengan sebegitu tidak wajar.

Pendedahan itu membuka mata kita mengenai kecelaruan sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita. Apa sebenarnya sudah terjadi dalam hati dan minda masyarakat kita? Ke mana hilangnya belas ihsan, menghormati dan menyayangi orang tua dan ke mana perginya sensitiviti ingin keberkatan dalam hidup berdasarkan restu dan kasih orang tua? Pada masa yang sama, kita juga terfikir apakah ada peruntukan undang-undang untuk si ibu membawa kes ke mahkamah bagi menuntut layanan yang baik, nafkah mata wang dan perlindungan daripada si anak?

Sebenarnya, dari sudut perundangan syariah di Malaysia, tiada undang-undang spesifik memperincikan tanggungjawab anak menyara dan memberi kasih sayang kepada orang tua. Apa yang ada hanya peruntukan umum dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri yang memperuntukkan mengenai nafkah.

Peruntukan itu menyebut Mahkamah Syariah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungjawab mengenai nafkah orang tertentu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada orang itu jika dia tidak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya daripada mencari kehidupan disebabkan kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa kemampuan orang yang bertanggungjawab itu adalah munasabah.

Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh memerintahkan ayah memberi nafkah kepada anak, begitu juga boleh memerintahkan anak memberi nafkah kepada ibu bapa dalam apa-apa keadaan yang bersesuaian.

Namun, ia tidak merangkumi elemen lain seperti memberi kasih sayang, adab sopan, menghargai dan menghormati kedua-dua orang tua.

Jika kita meneliti suruhan Allah berkenaan hak ibu bapa terhadap anaknya, ia mencakupi ruang lingkup yang lebih luas, termasuk hak ibu bapa untuk dihormati, disayangi, dikasihani, ditanggung kebajikan mereka dan apa-apa yang selayaknya.

Ayat 23-24 surah al-Israa bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu janganlah menyembah kecuali Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika salah seorang atau kedua-duanya mencapai usia tua di bawah jagaanmu, maka jangan kamu sekali-kali mengatakan kepada mereka walaupun perkataan ‘ah’. Dan janganlah kamu mengherdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (lagi sopan). Dan rendahkanlah diri kamu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan sambil berdoa, Ya Tuhanku kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mencurahkan kasih sayang mendidik aku semasa kecil”

Ibnu Umar r.a. pernah melihat seorang lelaki mendukung ibunya ketika bertawaf mengelilingi Kaabah (dengan penuh kesukaran) lalu orang itu bertanya kepada Ibn Umar “Wahai Ibnu Umar! Apakah dengan cara begini aku dapat membalas jasa ibuku? Jawab Ibnu Umar, engkau tidak akan dapat membalas jasa ibumu sekalipun, ia hanya sedikit. Namun begitu engkau sudah membuat kebaikan kepadanya dan moga Allah memberimu ganjaran daripada yang sedikit dengan pahala yang banyak.”

Bagi seorang anak lelaki, dia tidak dapat meninggalkan tanggungjawab terhadap ibu bapanya walaupun selepas berkahwin. Tanggungjawab memberi nafkah kepada anak isteri adalah tersangat penting, tetapi menanggung ibu bapa yang uzur juga perlu diambil kira mengikut kadar kemampuannya.

Suami yang baik akan berusaha membina dan mengambil tindakan terbaik supaya hubungan antaranya dan isteri tidak terusik.

Bagi anak perempuan pula, dia tertakluk kepada ketaatan kepada suami selagi mana tidak menyalahi hukum syarak.

Sekiranya anak perempuan ingin memberi wang kepada ibu bapanya menggunakan wang suami, maka keizinan perlu diperoleh daripada suami. Tetapi sekiranya dia bekerja dan menggunakan wang sendiri, dia tidak perlu mendapat keizinan daripada suami.

Bagaimanapun, dari segi menjaga keamanan hidup bersuami isteri, setiap pasangan disarankan untuk berbincang dan bermusyawarah mengenai pembahagian kewangan keluarga supaya semua urusan berjalan lancar serta tidak dilakukan secara sembunyi.

Ingatlah ibu mengandungkan kita dalam rahimnya, melalui pelbagai kesulitan sewaktu hamil dan kesakitan yang amat sangat ketika melahirkan kita.

Ayah pula bekerja keras mencari rezeki menyara kehidupan berkeluarga yang diberkati Allah. Ibu kemudian menyusukan kita, memandikan dengan tangannya dan membuang segala kotoran dan najis daripada badan kita tanpa sedikit pun perasaan mual atau jijik.

Tetapi apabila ibu bapa berusia lanjut, badannya lemah dan memerlukan bantuan kita, tergamak pula kita memperlakukan mereka dengan perbuatan yang hina. Ada yang tidak menghiraukan kebajikan mereka, malah mencemuh dengan kata-kata kesat yang menghiris perasaan mereka.

Bagaimana kita melayan ibu bapa adalah contoh ikutan kepada anak. Jangan terkejut sekiranya kita membiarkan kehidupan ibu bapa dalam kesusahan, kita tidak melawat orang tua atas alasan sibuk bekerja, anak kita pula akan melakukan perkara yang sama kepada kita ketika tua.

Ingatlah, roda kehidupan ini sentiasa berpusing.

Penulis adalah pensyarah kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Wednesday, June 6, 2007

Peguam Syarie Menulis: Hak Mahkamah Syariah dipertahan

Penghakiman kes Lina Joy perlu dihormati, selesai kemelut berkaitan maruah Islam
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

PADA 30 Mei lalu, seluruh negara dan sebilangan negara asing menunggu serta mengupas dengan penuh minat penghakiman kes rayuan Lina Joy yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Kes itu adalah rayuan perayu untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Dalam kes itu, majoriti panel hakim, iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Datuk Alauddin Mohd Sherif menolak rayuan Lina Joy sementara Datuk Richard Malanjum membenarkannya. Pada masa yang sama, kita melihat sesetengah pihak, terutama media asing cuba memainkan polemik bahawa negara kita tidak mengamalkan kebebasan beragama dan keputusan itu seolah-olah menunjukkan permusuhan antara agama Islam dan Kristian.

Kita tidak harus melihat keputusan itu dari sudut sempit tetapi isu terpenting hasil penghakiman ialah kedudukan sistem perundangan sivil dan syariah di negara kita. Sebenarnya penghakiman itu hanya satu isu yang dipertimbangkan oleh mahkamah, iaitu sama ada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) betul mengikut undang-undang apabila menolak permohonan perayu untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya dengan memerlukan suatu sijil atau perintah murtad daripada Mahkamah Syariah terlebih dulu.

Tidak timbul langsung isu negara ini memusuhi agama Kristian dan menghalang orang Kristian mengamalkan agama mereka. Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tepat pada waktunya dengan menegaskan isu terbabit tidak patut disalahertikan. Sekiranya kerajaan memusuhi agama Kristian, sudah tentu tiada gereja dan paderi dihalang daripada mengendalikan upacara keagamaan mereka. Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah sivil tertinggi di Malaysia dan kita hendaklah menghormati keputusan diberikan sama ada memihak kepada kita atau sebaliknya.

Kes ini sebenarnya tidak bertujuan memutuskan sama ada perayu seorang Muslim ataupun Kristian. Ia hanya berkaitan dengan tindakan untuk memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalan, berasaskan dakwaan bahawa dia sudah memeluk Kristian dan dibaptiskan oleh sebuah gereja di Kuala Lumpur.

Ahmad Fairuz dalam penghakimannya mengatakan bahawa jika JPN menerima dan mengesahkan seseorang bukan lagi seorang Muslim hanya berdasarkan pengakuan dan pengisytiharan bahawa dia sudah murtad, JPN mengambil risiko apabila mengecap secara silap seseorang sebagai bukan Muslim, manakala menurut undang-undang Islam, orang itu masih lagi Islam.

Sekiranya hanya berdasarkan pengisytiharan dan pengakuan, ia juga akan memberi ruang dan menyenangkan orang yang lahir sebagai seorang Muslim tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam dengan mengisytiharkan mereka dan mengklasifikasikan diri sebagai bukan Muslim hanya semata-mata untuk mengelak daripada hukuman atas kesalahan mengikut syariah. Ini semua akan menyebabkan celaan kepada Islam dan masyarakat Islam.

Dengan sekadar pengakuan bahawa seseorang keluar agama bukanlah satu ketentuan muktamad bahawa dia tidak lagi menganut Islam. Dengan itu, dakwaan perayu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang yang menganuti agama Islam tidak dapat diterima. Cara seseorang keluar daripada sesuatu agama semestinya mengikut kaedah atau undang-undang yang ditetapkan oleh agama itu sendiri.

Kebebasan beragama mengikut Perkara 11 Perlembagaan memerlukan seseorang mematuhi amalan atau undang-undang Islam, terutama mengenai keluar daripada agama itu. Seseorang tidak boleh dengan sesuka hati keluar dan masuk Islam. Apabila seseorang menganuti sesuatu agama, akal budi sendiri memerlukan dia mematuhi amalan dan undang-undang agama itu. Untuk memudahkan pemahaman orang awam, kita perlu mengetahui bahawa negara kita mempunyai dua sistem undang-undang, iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa yang berbeza seperti digariskan Perlembagaan.

Melalui pindaan Perkara 121 (1A) yang menyatakan antara lain bahawa sebarang keputusan Mahkamah Syariah ke atas satu-satu perkara yang berada dalam bidang kuasanya tidak boleh diganggu gugat lagi oleh Mahkamah Sivil memberi petunjuk bahawa kedua-dua sistem ini harus dihormati dan dipelihara sebaiknya. Jika kita meneliti secara mendalam penghakiman majoriti kes itu, kita dapati bahawa penghakiman itu memberi pengiktirafan kepada mahkamah syariah dan undang-undang syariah di Malaysia.

Ia kejayaan kepada usaha memartabatkan perundangan syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini. Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi di negara ini dengan jelas mengesahkan pemakaian Perkara 121 (1A) dan mengiktiraf bahawa semua urusan keislaman, keluar masuk Islam adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan ia mesti dihormati sewajarnya. Keputusan ini sangat penting untuk menjadi panduan kepada hakim di mahkamah sivil bagaimana membuat keputusan jika isu yang sama berbangkit lagi.

Peranan dan fungsi kedua-dua mahkamah juga dapatlah difahami sebagai saling lengkap melengkapi dan tidak bersaing antara satu sama lain. Kedua-dua mahkamah ini mengadili secara muktamad dalam bidang masing-masing dan mahkamah yang satu lagi tidak boleh mencampuri urusan dan keputusan sesuatu mahkamah.

Dalam kes Lina Joy, Majlis Agama Islam sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia serta Ketua Pengarah Pendaftaran Negara sebagai responden kedua dan ketiga hanya ingin menegakkan kebenaran menurut undang-undang semata-mata. Ia terbukti selepas penghakiman diisytiharkan memihak kepada mereka, peguam utama perayu memohon supaya tiada perintah dibuat untuk kos. Apabila ditanya kepada responden, mereka tidak membantah permohonan itu.

Oleh hal yang demikian mahkamah tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos. Ia dapat mengelakkan Lina Joy daripada membayar ratusan ribu ringgit sebagai kos di Mahkamah Persekutuan dan mahkamah bawahan. Fakta ini langsung tidak disentuh oleh kebanyakan media, seolah-olah ia tidak memberi sebarang implikasi terhadap Lina Joy.

Tindakan pihak responden ini sebenarnya menunjukkan matlamat utama pihak responden adalah untuk menegakkan keadilan dengan cara baik dan bukan untuk mencari titik pertembungan. Oleh itu, sama-samalah kita merapatkan jurang dan carilah titik persamaan antara kita. Kita meminta semua pihak menerima penghakiman itu dengan hati terbuka dan jangan terjerumus dalam perpecahan.

Sesungguhnya penghakiman bersejarah itu meletakkan mahkamah sivil dan mahkamah syariah di landasan masing-masing dengan betul. Bertitik-tolak daripada landasan itulah kita akan bergerak maju ke arah keharmonian dan saling hormat menghormati dalam menuju wawasan negara untuk menjadi negara majmuk yang gemilang dan terbilang.

Penulis adalah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang komentar boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com