Friday, January 9, 2009

Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Walaupun saya dah ada di Melbourne ni, saya masih lagi pegang jawatan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sehingga penggal berakhir April 2009 ini. Jiwa saya masih bersama PGSM....


Sila baca kenyataan Media yang telah dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie (PGSM) berkenaan isu Palestin. Semoga kita sudi memberi sumbangan dalam apa daya yang termampu...
______________________________


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA
ISU KEKEJAMAN REJIM ZIONIS DI GAZA
TARIKH: 7 JANUARI 2009


Kekejaman dan keangkuhan Rejim Zionis telah berulang lagi. Masih belum luput dari ingatan kita peristiwa Shara dan Shatila, di Lubnan, Syria dan Palestine. Darah dan nyawa orang Islam seolah-olah tiada mempunyai nilai. Rejim Zionis tidak pernah letih menyiksa, mendera da membunuh orang Islam. Saudara seagama kita saban hari dizalimi dan dipenjarakan di penjara yang terbesar di dunia iaitu ‘Penjara Gaza’.

Namun di manakah umat Islam? Pertautan aqidah yang dibina oleh Rasullullah s.a.w. itu nampaknya tidak memberi kesan kepada kita. Kenapakah perkara sebegini berlaku sedangkan di zaman Rasullullah s.a.w. dan para sahabat walaupun seorang Islam dizalimi, satu bala tentera akan dikerah membela nasib umat Islam.

Ia berlaku kerana umat Islam telah menanggalkan pegangan aqidah mereka dan memakai pelbagai pakaian lain yang tidak selari dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Kepentingan diri pula mengatasi kepentingan umat dan kesatuan umat Islam tidak dapat direalisasikan.

Ayuh sahabat, bersama-samalah kita membantu saudara seagama kita di Gaza! Bantulah mereka mengikut kemampuan kita samada dari segi tenaga, wang ringgit ataupun meningkatkan kesedaran dan mendesak pihak berwajip melakukan tindakan sewajarnya. Memboikot barangan Israel dan Amerika juga akan meningkatkan tekanan kepada kedua-dua kerajaan tersebut apatah lagi dalam situasi kegawatan ekonomi sekarang.

Perbuatan terkutuk Rejim Zionis yang di dokongi oleh Amerika Syarikat ini melampaui batasan peri kemanusiaan. Malah sekiranya ia dilakukan terhadap binatangsekalipun umat Islam harus bangkit menentang kezaliman yang amat nyata ini.

PGSM merayu semua umat Islam membantu saudara kita di Gaza. PGSM juga merayu rakan-rakan beragama lain juga membantu masyarakat Gaza atas dasar kemanusiaan. Rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan agama mesti bersatu menentang kezaliman ini.

Sertailah program-program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bagi menunjukkan sokongan kita menentang kezaliman di Gaza. Hulurkanlah bantuan tenaga dan wang melalui dana-dana yang telah disediakan.

Akhirnya, berdoa dan bermunajatlah kepada Yang Maha Esa agar kezaliman di Gaza dihentikan dengan segera dan Islam dapat ditegakkan. Baitulmaqdis dapat dikembalikan kepada orang Islam. Jangan sekali kita memperkecilkan peranan doa kepada Allah Rabbul Jalil.

Wasalam.

Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia