Sunday, October 31, 2010

Business Card

Aisyah..

Saya sebenarnya sekarang tengah baca dan buat nota serta kena analisa kes Mahkamah Sivil Malaysia mengenai child maintenance. Kena baca berpuluh-puluh, lepas tu kena banding dengan kes diputuskan di mahkamah Syariah. Hari ni siap satu kes. Letih nak baca, tulis, banding dll tapi kajian ini mesti kena buat, diteruskan juga sampai ke akhirnya.. insya ALlah..

Sementara ada masa lapang, saya nak tulis dalam blog, melepaskan letih dengan menulis.. satu hobi yang saya sangat suka.

Kisah 1- Aisyah..

Hari tu Aisyah nak cari duit, nak kerja dengan Umi..
Inilah rupa business card Aisyah..
Kalau ada apa2 nak suruh dia buat kerja, boleh call bila-bila masa jer- 24 jam sehari. hehe...





Saya ketawa bila Aisyah kata,
'Umi, you can call me to do whatever things at any time..
If you ask me to preheat food in the microwave, or take some water.. it is free..
but if the work is heavy like lipat kain, wash dishes, itu Umi bayarla gaji yer..'

Ok Aisyah.. no worries...

_________

Kisah 2

Pada hari Rabu lepas, 27 Oktober- tiga ibu-ibu melepaskan tension dengan berjalan di bandaraya Melbourne. kami naik bas, naik tram dan naik train dari La Trobe Uni ke Museum melbourne untuk melihat sejarah alam berkenaan kapal Titanic. Bayaran sebagai pelajar adalah AUD 18 seorang. Siapakah orang bertiga itu? ia adalah saya sendiri, Fadzlina dan juga Niza...

Titanic.. siapa yang tidak tahu mengenai kisah kapal hebat ini. Hampir semua orang tahu saya rasa. Membaca satu demi satu setiap tulisan, melihat replica kapal, melihat sendiri barangan peninggalan yang dikeluarkan dari kapal berumur hampir 100 tahun memberi ilmu baru pada saya. Betapa sejarah itu mahal harganya..

Saya mencari nama saya dalam senarai orang mati dan orang yang berjaya diselamatkan..
Yeaaa saya berteriak gembira sebab saya selamat..

Apa yang saya cerita ni? Sudah tentu saya tiada dalam kapal tersebut. Tapi semasa dalam pameran tersebut, saya berada di dalamnya, saya antara orang-orangnya.. Kerana semasa masuk, setiap orang diberi Bording Pass dan saya mendapat pass bernama mrs Stephen Hold, 2nd Class Travelling from Southampton to California. Apabila melihat segala yang ditunjuk dalam pameran tersebut, saya cuba mellihat Mrs Stephen dalam 2nd Class, apa barangan dibawa dan akhirnya sebelum keluar, dipaparkan semua senarai penumpang dalam Titanic tersebut. Semua orang mencari nama masing-masing.. Saya pun mencari nama Mrs Stephen.. Selamat rupanya, tapi ditulis suaminya meninggal. kesian sangat..


Bording Pass Saya..








Kami berada di dalam pameran dari jam 11 pagi dan keluar jam 1 pm. Pergi makan di restoran EsTelle dan balik ke Reservoir, sampai tepat jam 3.35pm untuk mengambil Aisyah dari sekolah.

Seronoknya..
Sejarah adalah ilmu tentang hari lepas, hari ini dan hari esok!



Saya dan Niza depan Kapa Titanic...




Dengan Ina depan Museum...

Thursday, October 28, 2010

My Birthday

28-10-1969 ---- 28-10-2010


Hari ni birthday saya. Terima kasih pada semua yang sudi mengirim doa dan ucapan terutama dalam facebook saya. [Saya dulu tutup facebook, lepas tu baru activate balik..] saya happy baca semua tulisan2 dari anda semua- dari rakan, kawan, teman sepejabat, rakan belajar, anak murid, saudara mara dan lain-lain..

Terima kasih diucapkan.

Saya tulis dalam facebook saya:
'Asm, Today i am a birthday 'girl' (even tho not a girl anymore. hehe..).
Thank you to all my dear friends, sisters, brothers, colleagues and students for the wish and doa. May Allah bless you always. Even though you do not give me present for my birthday, (hehe... ) but it is the thought can counts...I feel so blessed to receive your wish and doa.. '



Dalam meniti 41 tahun kehidupan. Saya menadah tangan memohon Allah ampunkan saya yang sering melakukan kesalahan, kesilapan dan mengulangi silap yang sama. Semoga kealpaan saya yang dhaif ini dimaafkan Allah yang Maha Kaya. Semua nikmat yang diberi adalah sesuatu yang sangat berharga dan saya selalu mengingatkan diri agar selalu bersyukur dan berterima kasih.

Meniti hidup ini, doa saya semoga Allah permudahkan segala laluannya, melonggarkan kesulitan, melebarkan penyelesaian, menguatkan tapak, mengkental padukan jati diri dan memberi saya kejayaan di dunia dan di akhirat. amin..

HAPPY BIRTHDAY TO YOU..
HAPPY BIRTHDAY TO YOU...
HAPPY BIRTHDAY TO YOU Umi ..
HAPPY BIRTHDAY TO YOU..
(ini Aisyah yang nyanyikan tadi.. hehe..tq ye Aisyah...)
-------------

Abah kirim email jer ... hehe..



From: Mohd Fairuz
To: puan hidayah
Sent: Thu, October 28, 2010 2:40:13 PM
Subject: SELAMAT ULANG TAHUN

Happy birthday Umi yang ke 41. Dah bertambah umur dan bertambah tua. Semoga umur yang dulu dan akan datang dirahmati Allah. Semoga umi mencapai cita cita yang diingini, mendapat Phd dan mendapat Proffesor pulak. Dan sentiasa gembira disamping suami yang hensem dan anak yang bijak tu.

Bye
_________
Hehe... thank you Bah..

Perasaan Sayaa

Kenangan Persinggahan..

Saya baru mendapat email dari roomate saya semasa saya di La Trobe Uni. Dia tanya khabar saya dan tanya soalan, apakah saya happy berada di melb Uni. Fonn, rakan sepejabat saya dari Thailand. Di akhir emailnya, dia menulis betapa dia miss saya dari bilik dan juga semua kenangan perbincangan, sembang dan chatting kami berdua..

Email Fonn menyebabkan saya rasa terharu, sedih dan teringat semua kenangan selama 1 tahun setengah berada di La Trobe Uni. Saya juga sangat miss Fonn, bilik saya, meja dan kerusi serta komuter tempat saya duduk hampir setiap hari, dari pagi ke malam. Kadang-kadang saya ke pejabat sehingga jam 9 mlm, kadang-kadang setiap Sabtu Ahad saya ke pejabat. Dari parking lot, saya akan melalui jambatan kecil yang di situ penuh dengan itik, burung kakak tua putih atau dipanggil kakatoo dan kawsan itu setiap petang sebelum maghrib akan sangat bising dengann bunyi burung-burung ini..

Saya rasa kehilangan Fonn kawan tempat saya meluah perasaaan, mengadu, mendengar dan berkongsi kesusahan yang kami alami dalam menjalankan kajian PhD ini. Saya tetiba rasa rindu sangat pada Fonn dan laluan kenangan saya sebelum ini..

Semoga kami berjaya dalam pencarian ilmu ini..

Tuesday, October 26, 2010

Aisyah Recites Mutaffifin

Aisyah..

hari Ahad 25 Okt lepas, Aisyah baca surah al-muataffifin yang Aisyah dah hafal depan semua kawan-kawan lepas solat Zuhur kat sekolah agama SUnday class di ILIM.

Then Teacher Jun kasi hadiah kat Aisyah.
Masa Aisyah baca, Umi duduk sebelah Aisyah, bagi semangat sebab Aisyah kept saying that dia nervous. Masa Aisyah baca tu jugak, Umi tengok Quran dalam PDA, surah Mutaffifin, sebagai back up kalau Aisyah terlupa..

Umi kasi handphone Nokia kat Alifah suruh ambik gambar Aisyah baca..
Tapi Alifah ambik terbalik pulak..


Akhirnya...

Inilah dipersembahkan Aisyah dengan hafalannya Surah al-Mutaffifin..
Semoga Aisyah dapat hafal banyak lagi ayat2 Allah.. amin..

Tahniah ya Aisyah..
I am very very very proud of you, my beautiful darling solehah princess Aisyah..
May Allah bless you always.


video

Monday, October 25, 2010

69

Nombor 69..

Nombor 69 ni mahal pada saya ni... Sebabnya banyak benda saya terlibat dengan nombor 69.

Yang pertama, saya lahir tahun 69. Tak lama lagi saya akan bertambah umur lagi satu angka.. aduss.. cepat betul masa berlalu, rupanya saya dah bertambah umur. Dulu, saya selalu beranggapan orang berumur 40 tu dah macam orang tua-tua.. hehe.. maklumlah dah 40. Tapi bila saya sampai umur 40, saya tak perasan pun saya dah berumur.. alahai...

Beberapa hari lagi saya akan menyambut hari lahir saya..
Saya selalu lupa berapa tahun umur saya.. hehe...
Saya selalu tanya suami saya soalan yang sama, 'Abah, tahun ni Umi umur berapa sebenarnya yer? 41 ke 42 yer..?'
Dan Abah akan jawab, 'Laa.. tahun ni Umi baru 41 ler.. Abah 42.. apa laa... hehe..'

2010 - 1969 = 41..
Maknanya saya akan masuk 41 tahun. Ohhh cepatnya masa berlalu..
Semoga Allah berkati perjalanan hidup saya. amin ya rabbal a'lamin..

Kedua, nombor talipon saya pun akhirnya 69 jugak. Saya pakai line 3 kat Melbourne, Nombornya 04-XXXX6369. Belakang dia 69..

Ketiga, saya juga pakai telefon Celcom nombornya adalah 013-XXX6369. Belakangnya nombor 69. Sama cam kat Melbourne..

Masa saya belajar DLSA dulu, Ustaz yang ajar pasal Pentadbiran Undang-undang Jenayah dulu tanya apa nombor talipon saya sebab senang nak contact mewakili kawan-kawan sekelas. Saya pun bagi ler nombor saya.. 013-XXX6369. Pastu dia tanya lebih kurang yang saya ingat, 'Nombor belakang 69 ye? Saya jawab..'Ya Ustaz, sebab saya lahir tahun 69. hehe..'

Keempat, sekarang saya di Melbourne, rumah saya sewa pun nombor dia 69...

Maka saya rasa 69 ni memang clicks with me kot..

Itu jer..
Sekadar meluah perasaan saya terhadap nombor 69.. hehe..

Friday, October 22, 2010

Ibu Tiri

Artikel..

Sekadar Pendapat saya mengenai undang-undang keluarga di Australia dan juga di negara saya, Malaysia..

__________________

Ibu Tiri dipanggil Mama?

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Pada 28 Mac 2010 lepas, keputusan satu kes Mahkamah Keluarga di Adelaide mengenai pertikaian panggilan dalam rumah tangga menjadi tajuk utama akhbar. Seorang ibu telah membawa kes ke mahkamah menghalang anak perempuannya berumur enam tahun daripada memanggil isteri baru bekas suaminya iaitu ibu tiri anak tersebut sebagai ’Mum’ atau ’Mummy’ atau ’my other Mummy’ (ibu saya satu lagi).


Kes ini menarik kerana ia dikaitkan dengan harga diri seorang ibu dan perasaan takut dan risau kehilangan kasih sayang dari anak terhadap diri ibu tersebut. Wanita tersebut dalam hujahnya mengatakan bahawa apabila bekas suami menyuruh dan membenarkan anak mereka memanggil ibu tiri sebagai ’Mum’, ’Mummy’ atau ’Mummy D’ (D adalah huruf pertama ibu tiri dalam kes tersebut), ia bermaksud suaminya secara langsung dengan niat telah merendahkan harga dirinya sebagai ibu kandung, menafikan peranannya sebagai ibu dan memberi kesan kepada kedudukannya sebagai ibu kandung. Ia juga bermaksud bekas suaminya berusaha menggantikan tempat beliau di hati anak dengan ibu tirinya melalui panggilan tersebut. Ia sudah tentu boleh menghakis kasih sayang anak tersebut dan beralih kepada ibu tiri.


Masyarakat barat umumnya memanggil semua orang dengan nama pertama sahaja kecuali ibu, ayah dan orang-orang terdekat. Jadi dalam kes tersebut, wanita tersebut berhujah bahawa ibu tiri seharusnya dipanggil dengan nama pertama dan tidak wajar dipanggil dengan gelaran ibu atau apa-apa semaksud dengannya. Mahkamah Keluarga Adelaide ini sebenarnya telah memutuskan satu precedent kepada ribuan keluarga yang terlibat dalam ‘pergaduhan’ panggilan nama ini.

Apa yang menarik, Mahkamah tidak membuat keputusan memihak kepada ibu tetapi menolak dari membuat sebarang arahan. Bermakna mahkamah membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang arahan tentang panggilan dalam rumah tangga.


Dalam penghakimannya, hakim prihatin bahawa sekiranya beliau membuat arahan tersebut, arahan itu akan membawa kepada tuntutan lain iaitu kemungkinan mahkamah perlu pula membuat keputusan sama ada ayah tersebut telah melanggar arahan apabila menggalakkan anak memanggil ’Mummy D’. Hakim turut menyebut harapannya adalah apabila anak itu besar, di akan dengan secara rela hatinya sendiri akan mula memanggil ibu tirinya dengan nama pertama.


Bagaimana jika perkara sebegini berlaku di negara kita? Dalam masyarakat kita, ibu tiri selalunya dipanggil ibu, mak, umi, mama atau mak muda atau makcik. Perkara ini kerap berlaku dalam keluarga berpoligami atau pasangan berkahwin lain selepas bercerai, namun ia jarang digembar-gembur dalam masyarakat kita. Mungkin kerana masyarakat kita menganggap ia perkara kecil dan tidak wajar orang lain tahu. Apa yang penting, Islam menyuruh kita menghormati orang tua, mereka yang lebih mulia dan berusia dengan memberi panggilan hormat yang bersesuaian dengan mereka. Ini adalah sebahagian dari adab dan akhlak mulia dianjurkan agama.


Menarik juga untuk kita perhatikan apabila kes melibatkan keluarga, perebutan anak dan sebagainya, mahkamah hanya melaporkan dengan nama pertama atau nama keluarga sahaja dengan nombor kes yang diberikan pendaftar mahkamah. Contohnya Whisler v Whisler (2010 42 Fam LR 633), atau Smith v Smith , Allen v Green, tanpa merekodkan nama penuh pasangan. Ia sangat penting untuk menjaga nama baik pasangan terutama anak-anak yang terlibat dalam kes yang dilaporkan. Nama anak-anak dalam setiap laporan kes juga hanya menggunakan huruf pertama sahaja seperti ’Pasangan mempunyai anak iaitu L (enam tahun) dan juga M (dua tahun)’. Walaupun kes tersebut dilaporkan dalam mana-mana bahan bercetak atau secara maya dalam arkib mahkamah, atau dirujuk dalam artikel ilmiah perundangan, nama mereka yang bertelingkah tidak diketahui secara nyata. Yang penting adalah prinsip dan penghakiman yang ingin dirujuk.


Saya berpendapat Mahkamah Syariah dan juga Sivil yang membicarakan kes-kes melibatkan pertelingkahan keluarga wajar menggunakan pendekatan sebegini. Apabila sesuatu kes dibicarakan dalam mahkamah terbuka dan dilaporkan dalam Malayan law Journal (MLJ), Jurnal Hukum, CLJ dan sebagainya, ia adalah dianggap harta umum. Sekiranya dengan menggunakan nama pertama sahaja, pembaca tidak mengetahui siapa yang terlibat dan nama baik mereka yang menjadi plantif dan defendan serta anak-anak dalam pertelingkahan tersebut akan terpelihara dan terjaga.

Wednesday, October 20, 2010

Nak Duit

Aisyah..

'Umi, what can I do to get money?' my darling Aisyah tanya dua hari lepas.

'Why? Why do you need money? You can ask from Umi if you need to buy or pay anything..' saya jawab.

'No. I want to do something that I can gain some money .. like doing some work and get some pay for the work..' jawab Aisyah.

'Ummppphhh.. apa yer...' saya berfikir-fikir..
'You are still small Aisyah, apa Aisyah boleh buat?'


"Aisyah can sweep the floor, wash dishes, fold the clothes.. banyak lagi la Umi.'

'Ummpphh.. nanti Umi fikir jap yer..'

'Umi, can you ask Aisyah to do something? nanti boleh tak Umi kasi Aisyah gaji?'

'hehehe... nak gaji apa lak anak Umi ni?' [Ini saya kata dalam hati ler, depan Aisyah saya tak kata..

Kebetulan saya baru basuh kain dua bakul. Saya pun kata,
' Aisyah lipat all of the clothes, siap nanti Umi kasi satu dollar.'

Tak puas hati ler pulak..'Ala Umi.. gaji one dollar is too low. two dollar la Umi..boleh le Umi..'

'Ooo... hehe.. ok le gaji Aisyah dua dolllar.'

Akhirnya Aisyah lipat baju sungguh-sungguh. Habis dilipatnya.

Jadi saya pun kasi la dua dollar.

'Yeaa.. happynya Aisyah ada gaji..'

Happy melompat-lompat dia..
Cepat-cepat dia bubuh dalam purse dia. Sekarang dia dah ada 12 dollar. Total 14 sekarang.

_____

Macamna Aisyah ada banyak duit tu ya??

Kisahnya minggu lepas, Aisyah dapat result Naplan Test macam Penilaian Darjah 3 kat Malaysia. dia dapat Band 6, above the rate biasa untuk 4 subject. Saya pun kasi hadiah $10. Esoknya dia buat test Math, dapat 30/30. Melompat2 gembira, so saya kasi hadiah $5 untuk beli makan tengahari kat sekolah dan lebihnya dia boleh simpan. Jadi lunch $3, lebih ada lagi $2. Itu yang dia dah ada dlam purse $12. Plus gaji lipat kain, jadi lah $14.

Malam tadi senyap-senyap dia tulis something atas kertas. potong dan kasi saya. Terkejut saya,
'Apa ni Aisyah?'

Rupanya dia buat business card dia.. hehe..
Nanti saya upload lepas ni..

_____________

Kemudian saya pun cerita ke Abah kata Aisyah cari duit.

Abah ada di Malaysia sekarang.
Abah ym dengan Aisyah malamnya..

abah fairuz: oooooo aisyah. lama abah tak ber ym dengan aisyah
aisyah: boleh tak abah balik sebelum aisyah punya birthday
aisyah: macam....november the 8, 7, 10, 9
abah fairuz: I plan to come on 10th Novemeber but the price mahal. But i'll try but not sure.
aisyah: i want you to come on november the 10th
abah fairuz: umi cakap aisyah nak gain some money. what for?
aisyah: if there's an emergency and umi need money i ccan give it to her or you
abah fairuz: oooo camtu ye. aisyah nak tolong umi dan abah. but aisyah must simpan it and dont spend especially at garage sales
Itu cerita my darling aisyah...
Cari duit nak tolong Umi dan Abah.. hehe...
Darling anak, my girl.
semoga jadi anak solehah.. amin...

Monday, October 18, 2010

Akad Nikah

Akad Nikah Yang Sukar..

Sorry yek tuan punya..

Saya tak kenal orang ni, tapi kawan saya masukkan dalam facebook dia, so saya ke youtube, ada kisah ni... saya tengok youtube ni, ketawa ada, kesian pun ada pada Pengantik lelaki ni. Tak tahu sama ada dia gabra bersangatan atau pun dia memang tak tahu. Wallahua'lam..

Patutnya dia jadi jawab akad nikah, 'Aku terima nikahnya..'
Tup-tup dia jadi saksi lak kata..'Sah..' hehe..

Kita tengok yer..


Tapai Ubi Kayu

Sedap...

Tapai adalah makanan asasi orang kampung. Orang bandar tak tahu tapai-tapai ni. hehe..
Disebabkan saya ni orang kampung, maka saya adalah peminat tapai. Semenjak saya bermusafir di Melbourne, saya tak pernah jumpa tapai, walaupun pernah jumpa ubi kayu kat Pasar Preston. Tapi saya tak beli ubi kayu mentah sebab saya tak reti buat tapai.

Selepas beberapa purnama, akhirnya dengan tidak disangka-sangka, saya ternampak tapai.

'Ohhh tapai ke tu??' kata saya ler..

'Eiii.. tapai ubi kayu ler..' kata saya jugak.

'Pandainya buat.. Jual ke ni??' kata saya jugak ler..

'berapa dollar ni tapai ni?' tanya seorang saya ler pada kakak yang jual..

'AUD 5 satu bekas Buk.' Jawab penjual. Penjualnya orang Indonesia rupanya.

Saya pun ambik ler satu bekas berharga AUD 5.00.

Sedapnya...

Banyak mana agaknya AUD 5 tu yer..

Taraaaa....

ini bekasnya..


Dalam tu ada 5 ketul camtu.. harganya AUD 5. Kalau tukar ke duit Malaysia,
maknanya banyak tu harga dia RM 15.00. Kalau tukar ke duit Indonesia, mungkin ribuan rupiah..

Mahalkan?
Sebab saya nak jugak, saya beli.

Moral of the story:

1- Kalau nak makan jugak apa-apa makanan yang kita tak reti buat, kita beli jer..
Dah itu lumrah alam. Ayah saya dulu kata...'Kalau semua orang pandai, tak de ler sapa nak beli. Jadi disebabkan ada orang tak pandai buat (cam saya ler..) tapi dia ada duit, jadi duit orang tak pandai buat tu adalah rezeki untuk orang pandai buat..' Cantik aturan Allah..

2- Kalau tahu buat, tak payah ler beli. buat sendiri lagi banyak dapat.

3-Kalau beli apa-apa, jangan convert harga. kalau asyik convert harga, tak terbeli ler jawabnya.. [betui tak?]

4- Bersyukurlah dengan negara Malaysia, sebab makanan senang dapat, banyak dan murah pulak tu..

5- Makanlah tapai sekali-sekala. Jangan banyak kali, sebab kalau banyak kali nak beli, banyak ler habis duit.. hehe..

Saturday, October 16, 2010

Sangat Sejuk..

Jumaat 15 Okt 2010

Semalam saya ke Melbourne Uni, sepatutnya ada dua meeting dengan dua Supervisors baru saya, dan satu meeting dengan pakar Child Support di Law School Melb Uni iaitu Prof Belinda Felhberg. Namun saya sampai ke sana, saya menerima call dari PA Prof Tim maklumkan semua Prof-prof semua ada urgent dan terpaksa membatalkan meeting hari ni.

Aduss... sudahla malam tadi saya tidur lambat menyiapkan dan print dokumen yang saya perlu serahkan hari ini, ditambah dengan cuaca di Melbourne hari tu sangat tidak menceriakan.. Tapi, takpa.. nak kata apa.. ..

Saya jawab pad PA Tim iaitu Tesse bila dia kata, 'We're very sorry to cancel the meeting quite late where you're already at the Uni..'
Saya kata..'No worries Tesse, it's ok.. after all, I have to expect for the unexpected..' hehe...'

Jadi saya menukar plan ke Law Library Melb Uni. Saya berada dalam tu 4 jam.
Jam 11 pagi saya terima email dari Supervisor Prof Abdullah Saeed, dia tulis,

Dear Nurhidayah
Tim had to cancel the meeting. I will send my comments by email. You are progressing well.
Best wishes
Abdullah


Saya dah serahkan proposal, bab satu, bab dua dan bab tiga tesis saya minggu lepas. Mendapat remark 'You're progressing well' adalah suatu yang menceriakan saya.. .. Semoga Allah memudahkan laluan PhD saya ini.. amin..
takpa ler di luar hujan, di dalam hati saya gembira..

Semalam, sangat sejuk.. urggg menggigil saya..
Berangin..
Dari pagi jam 7pg, hujan renyai-renyai, angin kuat..

Payung tak dapat tahan kekuatan angin, habis terbongkang payung saya..
tergulung ke atas.. isyy..

Dari library Law di melb Uni, saya abadikan gambar ini..


Wednesday, October 13, 2010

Penguat Jiwa..

Doa..

Saya sangat suka dengan satu doa yang selalu saya baca.
Saya baca dengan penuh penghayatan..
Setiap perkataan dan ayatnya..
Erti dan maksudnya.


Doa ini adalah dari Asas 10 Kedua yang ustaz Harun Din ajar.
Saya dah hafal yang asas 10 pertama, yang asas 10 kedua masih merangkak. Saya tengah menghafal asas 10 kedua lagi sebenarnya..
Memang susah ler nak hafal..

Dulu yang Asas 10 pertama senang nak hafal sebab nak kena tasmi', kena test bacaaan depan Ustaz Darus Syifa', nak lulus test kena hafal jadi mental prepared, baca sekejap boleh hafal. Asas 10 kedua ni takda sapa nak test jadi itu yang slow melow tu.. tapi saya akan terus mencuba. Saya baca sambil tengok buku dan sambil hafal juga.


Doa tersebut adalah doa Syifa' 7:

Doanya ..

Ilahi, Ilmuka Kaafin an suaali
Akfini bihaqqil fatihati suala
Wa karamuka Kaafin as maqali
Akrimni bihaqqil fatihati maqala...
Wa hassil ma fi dhamiri..
Wahuwa syifa'ul li hazal maridh..
....

Maksudnya yang sangat saya hayati adalah,

Wahai Tuhan
Ilmu-Mu cukup luas memenuhi permintaanku
Sempurnakanlah wahai Allah hajatku dengan hak al-fatihah
Kemuliaan-Mu cukup untuk memenuhi percakapanku
Muliakanlah aku dengan hak al-fatihah
Wahai Allah, kurniakanlah apa yang tersirat dalam hatiku..
Sampakanlah hajat hatiku ya Allah..
Penuhikanlah doaku ya Allah..

Engkaulah Penawar atas egala masalah dan penyakit..
.... dan seterusnya....






Wanita dan Hak Mereka..



Artikel..

Sekadar pendapat saya mengenai seorang kejadian Allah bernama WANITA dan juga hak mereka dalam hidup ni...


Disiarkan dalam Berita harian 12 Okt 2010

__________

Hak wanita dalam perundangan Islam

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Isu hak asasi sering menjadi tumpuan. Masyarakat kini sering berbincang tentang hak asasi manusia, hak asasi kanak-kanak dan tidak terkecuali hak asasi kaum wanita. Apabila isu hak wanita diutarakan, terdapat suara mengatakan wanita dalam Islam tidak terbela hak mereka kerana Islam melihat wanita sebagai kelas kedua dalam masyarakat. Amalan dalam masyarakat di mana kelaki sangat mendominasi kehidupan wanita dijadikan asas menunjukkan bahawa Islam menindas wanita. Atas premis tersebutlah maka golongan yang mendakwa mereka mengangkat taraf kaum wanita tumbuh dalam masyarakat.

Dalam perundangan Islam, wanita mempunyai hak dalam kehidupan seperti hak manusia yang lain. Antara lain seperti hak untuk hidup, hak untuk mendapat pendidikan, hak untuk dilayan secara adil dan bermaruah, hak memilih pasangan, hak untuk menyimpan harta, hak untuk bekerja, hak untuk bersuara dan sebagainya.

Merujuk kepada sistem perundangan keluarga Islam, antara hak wanita yang digariskan adalah hak memilih suami, menuntut ganti rugi sekiranya berlaku putus tunang tanpa alasan munasabah, hak untuk berkahwin, dilindungi dan dijagai dengan baik oleh suami, hak mendapat nafkah, hak untuk menuntut perceraian sama ada menggunakan fasakh atau taklik sekiranya dizalimi, ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya. Begitu juga wanita tidak dinafikan untuk menuntut harta sepencarian jika berlaku perceraian, menuntut hak jagaan atau hak lawatan anak, menuntut muta’ah dan sebagainya.


Sebagai contoh merujuk kepada Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003, seksyen 15 memperuntukkan sekiranya bakal pasangan memutus pertunangan, wanita berhak menuntut ganti rugi persediaan yang telah dikeluarkan untuk perkahwinan. Seksyen 23 pula mengenai poligami di mana isteri sedia ada perlu dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan permohonan suami berpoligami supaya Mahkamah menilai kemampuan suami sebelum membuat keputusan. Terdapat pula seksyen memperuntukkan hak isteri untuk keluar dari hubungan pernikahan apabila keadaan memerlukan seperti seksyen 49 untuk isteri menebus talak atau khuluq, seksyen 50 mengenai perceraian secara takliq. Manakala alasan-alasan isteri untuk menuntut fasakh diperuntukkan dalam seksyen 53 seperti suami menghilangkan diri, suami memukul, suami berpoligami secara tidak adil dan sebagainya. Apabila berlaku perceraian, hak wanita tetap dipertahankan untuk mendapat mutaah seperti diperuntukkan dalam seksyen 58, hak mendapatkan nafkah dan juga nafkah tertunggak yang telah diabaikan suami dalam beberapa seksyen iaitu seksyen 60 sehingga seksyen 71. Wanita juga berhak membuat tuntutan hadanah atau jagaan ke atas anak-anak selepas bercerai diperuntukkan dalam seksyen 82 sehingga 88. Seksyen 122 pula memperuntukkan wanita berhak menuntut harta sepencarian sepanjang perkahwinan berlangsung.

Namun begitu, tidak dinafikan walau pun peruntukan disediakan tetapi banyak berlaku keadaan wanita diabai seperti digantung tidak bertali, tidak diberi nafkah, anak dilarikan daripada mereka dan sebagainya. Peruntukan yang ada sememangnya sudah baik dan memberi jalan untuk kaum wanita mendapatkan hak mereka, tetapi ia hanya akan menjadi peruntukan undang-undang jika tidak digunakan.

Dalam mana-mana masyarakat manusia, terdapat ahli masyarakat yang patuh kepada peraturan, mengikut dengan baik apa yang ditentukan oleh agama dan undang-undang manakala ada pula yang sering melakukan perkara sebaliknya. Pada masa sama, terdapat ahli masyarakat yang bersemangat tinggi mencari keadilan menegakkan hak mereka dan ada pula yang pasif sehingga tidak membuat apa-apa tindakan.

Sebagai contoh, seorang suami wajib memberi nafkah dan melindungi isteri kerana itu adalah hak isteri. Ramai yang patuh kerana ia termaktub dalam agama dan undang-undang. Namun terdapat segelintir yang suka mendera isteri, meninggalkan isteri tanpa perceraian, selalu memukul isteri walaupun atas perselisihan yang kecil.

Walaupun wujud peruntukan yang memberi peluang bahawa isteri boleh menunutut fasakh sekiranya didera, tetapi ramai isteri berdiam diri sahaja sehingga bertahun-tahun didera. Terdapat kes mahkamah di mana isteri membiarkan dirinya dipukul sehingga lebam, ditendang, ditampar selama 17 tahun perkahwinan sebelum mengambil tindakan menuntut fasakh. Begitu juga terdapat kes mahkamah menunjukkan isteri tidak mengambil sebarang tindakan walaupun selepas 10 tahun ditinggalkan suami tanpa nafkah walaupun peruntukan undang-undang memberi mereka hak menuntut keadilan selepas empat bulan ditinggalkan.

Masyarakat kita perlu diberi pendidikan supaya lebih berpengetahuan tentang hak dan tanggungjawab mereka. Wanita perlu diberi ilmu agar mereka tahu hak mereka kerana undang-undang bertujuan membantu untuk memperkasakan mereka. Begitu juga kaum lelaki perlu diberi kesedaran bahawa menjaga amanah, takutkan balasan Allah atas pengabaian tanggungjawab adalah perkara besar yang akan disoal di padang mahsyar nanti.


Monday, October 11, 2010

Cerita Saya..

Supervisor Baru..

Akhirnya impian saya menjadi kenyataan. Saya memang sangat teringin dan berharap untuk berada di bawah Prof Saeed dan Prof Tim dan berada di Melbourne Universiti. Selepas melaalui jalan penuh liku, ranjau dan duri, berbelit-belit sehingga saya sendiri tidak nampak ke mana hala tujunya, saya akhirnya menjejakkan kaki ke Melbourne Uni- sebagai pelajar dengan pembahagian 60% di bawah Asia Institute dan 40% di bawah Fakulti Undang-undang.

Tadi kali kedua saya jumpa Prof Tim. Khamis lepas adalah kali kedua saya berjumpa Prof Saeed. Kedua-duanya treat saya sangat baik, seperti kawan dan saya terasa dihargai. Masa jumpa dengan Prof Tim, dua menyuruh saya memanggil nama pertama sahaja iaitu Tim , tapi saya sendiri yang meminta supaya saya dibenarkan memanggilnya dengan nama yang saya suka. Saya kata 'I know it's a norm to call SV with the first name but is that ok for you if I call you Prof Tim? I do not feel comfortable to call somebody with such great knowledge with his first name only..' Dan Tim ketawa.. akhirnya dia kata..'It's up to you, I give you option. call me whatever name you like..' hehe..

Tadi PA Tim call saya kata Tim nak jumpa, dia tak berapa clear susunan 3 chapter yang saya dah submit. Lepas Zuhur saya pun ke pejabat Tim di law School. Bila dia tengok je saya, dia terus kata..'Apa khabar?' Saya jawab..'Baik. terima kasih..' Tim pandai cakap Indonesia..kawin dengan orang Indonesia.

Bila saya masuk biliknya, dia sembang2 pasal 3 chapter yang saya hantar. Dan kemudian, dia menunjukkan buku baru yang dia tulis bersama Kristin Skeiner mengenai Undang2 Islam di Malaysia dan Brunei. Dia print table of content dan tunjuk supaya saya tengok.. Saya beri pendapat saya.. bla bla..

Tanpa saya jangka, Tim kata, 'I want you to do me a favour. Boleh nggak? This book will be published soon. The publisher has appointed two persons to read and make a short report, around 2-3 pages whether it is suitable to be published or not. I urged them to allow me to choose one proofreader and they choose one. I want you to read and make a comment. Boleh nggak?'

Humpp... upss..... Selepas bersembang banyak juga.. Akhirnya saya kata, 'I feel honoured to proofread your book. But I don not know whether it can reach the expectation you want. I have proofread a few books before, I will try..'

Kemudian saya bertanyakan pendapat beliau untuk paper yang akan saya bentang di CILS Conference, Melb Uni pada 23 Nov nanti. Dia setuju dengan isi yang saya nak bentang.

Jumaat ini saya akan berjumpa dengan dua-dua Supervisor di pejabat Tim, untuk memutuskan proposal saya- apa perlu dibaiki, bila saya kena bentang proposal dengan khalayak ramai, then bila confirmation saya selesai, saya perlu apply ethics approval atau tidak..

Saya bersyukur apda Allah kerana memberikan saya peluang yang besar ini.
Semoga saya berjaya dalam PhD ini.

It is a long journey..
Indeed.. a very long journey
Full with happiness and sadness
I always take whatever ALlah gives me with a positive mind
and will try to perform the best possible.
I give my effort with full heart..
wholeheartedly.

May Allah bless my jihad ilmu ini.
amin..

Saturday, October 9, 2010

Artikel Hubungan Suami isteri




Berita Harian 9 Okt 2010-Sabtu

Setelah mengalami ubah suai menjadi 560 words daripada 650 words, BH siarkan artikel saya hari ini dengan tajuk yang catchy ie ' Drama Beri gambaran Silap Mengenai Suami isteri'.
Semoga mesej saya sampai dengan baik bahawa suami dan isteri adalah lengkap melengkapi, jangan didera dan jangan dihina. Mana-mana silap perbetulkanlah dengan baik...






Drama beri gambaran silap mengenai hubungan suami isteri
Oleh Prof Madya Nurhidayah Muhd Hashim

2010/10/09

KISAH suami isteri bergaduh sehingga berlaku kecederaan yang mana dalam banyak kes, mangsa selalunya adalah isteri sama ada ditampar, ditendang, dipukul dengan alat keras seperti tali pinggang, kayu, tongkat atau apa saja masih menghantui hidup berkeluarga hari ini.

Akibatnya, selain kecederaan fizikal, mangsa turut mengalami tekanan psikologi atau trauma hingga menimbulkan perasaan takut.

Kes penderaan yang berlaku menyokong perbincangan ilmuwan mengenai institusi rumah tangga yang longgar dan bilangan perceraian yang semakin meningkat tahun demi tahun.

Rumah tangga adalah tonggak pembinaan masyarakat, sekali gus memberi kesan kepada keseimbangan sosial negara. Tindakan perlu diambil untuk membuka minda lelaki dan perempuan, suami serta isteri supaya institusi rumah tangga dapat dipertahankan dan perkara negatif diatasi.

Penceramah kursus praperkahwinan wajar memberi penekanan mengenai kedudukan nikah, hak, tanggungjawab dan hubungannya dengan keredaan Allah serta balasan azab apabila tanggungjawab diabaikan.

Suami yang cuai sehingga isteri dan anak terabai melakukan dosa dan kecuaian itu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah. Suami yang mendera isteri, melakukan dosa.

Rasulullah SAW pernah menegur lelaki yang kasar dan melakukan kekasaran kepada isterinya dalam sabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang lembut dalam melayani isteri mereka dan aku adalah sebaik-baik di antara kamu.”
Drama di televisyen kerap kali menggambarkan watak yang silap sehingga menjadi tanggapan umum masyarakat. Contohnya, suami yang kuat berpegang kepada ajaran agama, suka ke masjid digambarkan sebagai seorang yang keras dan bersifat diktator.

Ketegasan suami sehingga tidak memberi ruang kepada isteri dan anak untuk berbincang serta cenderung menghukum daripada memberi nasihat. Isteri yang baik pula digambarkan terlalu menurut, tidak bersuara, takut hingga mendiamkan diri apabila didera suami. Kononnya, itulah tindakan yang sebaiknya.

Salah faham sebegini perlu diperbetulkan untuk memperbaiki institusi rumah tangga kerana suami dan isteri adalah saling lengkap melengkapi.

Firman Allah yang bermaksud: “Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila kedua-duanya ingin menghentikan penyusuan (sebelum dua tahun) dengan kerelaan kedua-duanya selepas berunding, maka tidak ada salahnya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Ilmuwan yang mengupas ayat ini berpendapat jika dalam urusan menghentikan penyusuan juga perlu berbincang, apa lagi dalam hal atau urusan lain yang lebih besar membabitkan keperluan keluarga.

Keputusan hasil perbincangan antara suami isteri mampu menghasilkan keputusan terbaik serta memelihara hubungan ahli keluarga kerana semua pendapat diambil kira sebelum sebarang tindakan diambil.

Oleh itu, usaha memberi pendidikan kepada lelaki dan perempuan yang bakal berkahwin serta pasangan suami isteri mengenai tanggungjawab atau hak perlu dilipat gandakan. Perkahwinan dan institusi keluarga perlu dilihat sebagai amanah untuk dijaga sebaiknya.

Sementara wanita yang teraniaya, hendaklah diberi bantuan serta sokongan supaya tidak terus menderita kerana mereka berhak mendapat kehidupan yang baik.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, sedang melanjutkan pelajaran di Australia


Friday, October 8, 2010

Yakin Diri..

Diri Kita..

Apakah kadang-kadang kita rasa tak yakin diri?
Rasa takut nak buat apa-apa sebab rasa kurang yakin pada kemampuan diri..
Mari kita sama-sama beri tazkirah pada diri masing-masing..
Siapa dan di mana kita?
Apakah rasa yakin diri kita rendah atau tinggi?

Kita baca tazkirah di bawa, semoga rasa yakin diri kita kuat, tinggi dan selalu bertambah di samping selalu bertawakal pada ALlah..

__________________

4 petanda Anda tidak yakin pada diri sendiri
adalah:
1. Anda takut mencuba.
Mencuba adalah melakukan sesuatu buat pertama kali. Anda takut mencuba sebab Anda ragu. Bila Anda sudah tidak mahu melakukan apa-apa untuk mencuba serta memilih untuk kekal sebegitu, keyakinan diri Anda langsung tidak ada. Keyakinan diri tetap tidak akan ada selagi hal ini belum diubah.
2. Anda sangsi pada kebolehan diri Anda.
Anda sangsi pada kebolehan diri sebab Anda taksub pada kebolehan orang lain. Anda nampak orang lain lebih berkaliber daripada diri Anda sehingga Anda sendiri mempersoalkan di mana kebolehan Anda. Anda merasa tidak yakin kerana kebolehan orang lain yang Anda nampak tu jauh lebih tinggi, terasa bagai mustahil untuk Anda menyamai kebolehannya. Maka, Anda tak nampak di mana kekuatan Anda.
3. Anda terlalu banyak minta pendapat orang lain, kurang mendengar suara hati sendiri.
Apabila terlalu banyak meminta pandangan orang lain, Anda akan jadi ‘konpius’ kerana menerima berpuluh pendapat berlainan hingga menyebabkan Anda tidak yakin pada diri sendiri. Meminta pendapat itu boleh, tapi biarlah untuk Anda mencari idea baru sebagai pelengkap kepada idea yang Anda telah fikirkan.
Perangai meminta pendapat jika dilakukan berlebihan akan membuat Anda hilang keyakinan sebab Anda menyerahkan nasib hidup Anda untuk ditentukan oleh orang lain melalui pendapat-pendapat mereka. Anda bagaikan tidak tahu ke mana arah yang mahu dituju.
Kekadang ada orang suka memperbodohkan Anda dengan memberi pendapat palsu. Hati-hati dengan orang sebegini.
Dengarlah suara hati Anda. Roh Anda tahu apa yang terbaik untuk diri Anda di iringi panduan ilham dari Tuhan.

4. Anda banyak mengutuk diri sendiri.
Anda manyumpah-nyumpah diri sendiri sebab melakukan kesilapan. Anda sukar menerima kesilapan. Anda merasa malu, kecewa, hampa. Perasaan ini terperap dalam di minda Anda berbulan-bulan lamanya.
Itu hanyalah 4 petanda dominan.
Jika salah satu daripadanya ada pada Anda, berwaspada kerana ia akan menghancurkan motivasi Anda sekelip mata. Anda akan susah membina rasa yakin diri.

Thursday, October 7, 2010

Teka..

Cuba teka..

kat mana ni saya berada agaknya??

Ya betul.. Saya berada di tengah-tengah bandar Adelaide..
depan tu State Library.. Cantik sungguh pemandangannya..


Gambar ni Wan yang snap ni.
Aisyah belakang tengah menggeliat tu..
--------------------

Cuba teka, ni kat mana pulak?

Ya betui.. ni kat Lake Mountain. Kami kesana bulan 6 lagi. masa tu Sepupu Abah datang ke Melbourne iaitu kak hanim, Kak Hanum dan Kak Ti. Sambil bawa mereka main salji, kami pun sekali ler main jugak...Dekat jer dengan rumah, dalam 1 jaam 30 minit drive, sedangkan Mt lain-lain cam Mt Buller, Mt Bow Bow drive dalam 3-4 jam nak sampai.



Masa balik dari main salji kat Lake Mountain, berhenti solat kat Park.

Aisyah... power!

Kami satu keluarga..

__________

bawah ni gambar kat mana ya?
cuba teka..

Ye betui..
Ini gambar beraya di Kg Vic. Bersama orang besar KgVic ni.. Bilal Ghoni dan wifenya Hamizah. Dua orang ni jiran kami di Seksyen 7 Shah ALam

Monday, October 4, 2010

Tazkirah

Email tazkirah..

Saya terima email ini, ia sangat menusuk hati saya, mungkin ada juga yang berminat membacanya..
Marilah sama-sama menghayati dan kita sama-sama menilai diri kita..

Apakah ada ujian menimpa, dan apakah kita pernah merasakan ujian itu terlalu berat yang tidak tertanggung bahu kita..
Apakah kita rasa seolah-olah dunia sudah berakhir dan hidup kita sudah tamat..

Saya baru mendapat berita yang sedih dan menyedihkan..
Ada kawan yang disahkan Cancer tahap 3..
Ada kawan yang suaminya disahkan Luekimia..
Ada kawan yang belajar di UK dipanggil balik kerana masalah confirmation..
Ada kawan yang terpaksa balik dari New Zealand kerana Supervisor missing in action, tiada pengganti..
Ada kawan yang bercerai kerana orang ketiga..
Ada kawan yang kematian suami semasa belajar di luar negara..


Jika kita rasa masalah dan ujian kita besar,
ada lagi orang yang lebih besar dari kita..
Namun begitu,

Jangan putus asa..
Kerana ..
Kita adalah insan bertuah..
Allah memberi peluang untuk kita kembali kepadaNya..
Mengadu dan berharap bantuanNya..

Ada orang yang semuanya mudah
Perjalanan hidupnya tidak ada cabaran
Itu rezeki mereka
Mungkin dia seronok kerana hidupnya berjalan lancar

Tapi kadang-kadang ada satu lagi tazkirah yang perlu kita ingat
Apa yang dipanggil istidraj. Satu pemberian yang Allah kasi tetapi bukan dengan kasih sayangnya
seumpama Qarun, Allah berikan harta melimpah ruah tetapi jauh dari Allah
seumpama Firaun, Allah berikan kuasa memerintah dunia tapi tidak mendapat kasih Ilahi

Istidraj itu sangat kita takuti
Semoga kita semua berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah..
amin ...


_______________

KENAPA AKU DIUJI?
=================
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
*Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
=============================================
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
*Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
=========================
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
*Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST?
==========
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman."
*Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
==================================
1) "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
*Surah Al-Imran ayat 200

2) "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
*Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?
==================================
"Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka..."
*Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
==========================
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
*Surah At-Taubah ayat 129

Sunday, October 3, 2010

Daylight Saving Melbourne

Dah panas..

Alhamdulillah, hari ni day light saving bermula. Jam dibawa ke depan satu jam menjadikan beza dengan Malaysia 3 jam (sebelum ni 2 jam), so kalau nak buat call ke Malaysia jam 9 malam lepas Ayah ma balik masjid, maknanya call jam 12 malam ler waktu Melbourne.

Hari ni cuaca panas, 12-23 degree.
Saya suka sebab hari ni first time saya tak payah pakai baju sejuk di rumah. Jika tidak, saya pakai baju sejuk pagi sampai ke malam..

Waktu solat pun dah berubah, macam waktu solat di malaysia.
Subuh 5.10
Zuhur 1.12
Asar 4.40
Maghrib 7.20
Isyak 8.40

Selama 5 hari saya tak berapa sihat sangat. batuk-batuk, sakit tekak, kahak banyak sangat, demam dan pusing-pusing. Sampai perlu ke klinik ambik antibiotik - habis AUD20 untuk beli ubat sahaja. Mudah2an esok saya sihat dan terus puasa sampai habis Syawal. insya Allah..

Friday, October 1, 2010

Akhirnya Kereta


Akhirnya..

'Yeeea.... akhirnya kita ada kereta sendiri.. Bestnya...'
Aisyah gembira riang..

Kami akhirnya ada kereta..
Alhamdulillah..

Awal kami sampai di sini, kami tak da kereta..
Ada kala pinjam kereta Ina, kadang-kadang pinjam kereta Kak Hada..
Lepas Niza balik collect data, Niza bagi pakai kereta dia, kereta hijau Ford Festiva.. kami guna kereta Niza dalam jangkamasa yang lama. Januari 2009 sehingga Ogos 2010. Terima kasih pada Niza atas keretanya tersebut.

Selepas Niza tamat dalam data collection dia, akhirnya kereta hijau Ford Festiva yang lama kami pakai kembali kepada tuannya yang asal. Pada 2 Ogos 2010.
Sedih jugak.. kereta hijau yang banyak kenangan dan jasa..
Terima kasih banyak-banyak pada Niza dan suaminya Rezal..

Kemudian, kami pinjam kereta Aida pulak selama dua bulan..
Esok kami nak pulangkan kereta Aida.. terima kasih ya sudi pinjamkan kereta.

Akirnya tadi, kami dapat kereta kami sendiri..
Murah jer..
Alhamdulillah...

Rezeki Aisyah..
Alhamdulillah..


Abah tengah pasang platenya XZI 108

Aisyah happynyer... hehe..

Layanlah Isteri Dengan Baik..

Sekadar Pendapat Saya..

Saya dah hantar ke berita harian tapi tengoklah keluar ke tidak. Inilah pendapat saya terhadap kehidupan berumah tangga...

Layanan Baik Untuk Isteri dan Institusi Rumahtangga

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Kisah penderaan rumah tangga sehingga berlaku kecedaraan kepada salah satu akibat pertelingkahan kerap kita baca di dada-dada akhbar. Dalam banyak kes, yang menjadi mangsa selalunya adalah isteri sama ada ditampar, ditendang, dipukul dengan alat keras seperti tali pinggang, kayu, tongkat dan apa sahaja yang senang dicapai tangan semasa pergaduhan berlaku. Akibat dari itu, isteri mungkin mengalami kecedaraan, lebam pipi, luka, patah anggota dan mungkin terpaksa dibawa ke hospital. Kesakitan dan layanan ini juga membawa kepada tekanan psikologi, trauma dan ketakutan yang dialami oleh mangsa dera tersebut.


Dalam keadaan para ilmuan berbincang mengenai institusi rumah tangga yang semakin longgar, bilangan perceraian yang semakin meningkat tahun demi tahun, kes-kes sebegini menjadi bukti menyokong perkembangan menyedihkan ini.

Rumah tangga adalah tunggak kepada pembinaan masyarakat dan sekali gus memberi kesan kepada keseimbangan sosial negara. Tindakan perlu diambil untuk membuka minda kaum lelaki dan perempuan, suami dan isteri agar institusi rumah tangga dapat dipertahankan dan perkara negatif dapat diatasi dengan baik.

Perkahwinan sebagai satu ikatan murni, digambarkan sebagai ’membina masjid’ hendaklah dilihat sebagai satu yang murni dan mulia, dari awal sehingga akhirnya. Ia bukan semata-mata menjadi jalan menghalalkan hubungan seks antara leelaki perempuan tetapi melibatkan banyak hak dan tanggungjawab yang mesti dibereskan. Para penceramah terutama ceramah kursus pra-perkahwinan wajar memberi penekanan tentang kedudukan nikah, hak dan tanggungjawab dan hubungannya dengan keredaan Allah serta balasan azab apabila hak dan tanggungjawab diabaikan.

Suami bertanggungjawab menjaga kebajikan isteri dan anak, memberi nafkah, menyediakan kehidupan, tempat tinggal, makanan dan pendidikan yang baik bersesuaian dengan kemampuan suami. Suami yang mencuaikan sehingga isteri dan anak-anak terabai adalah melakukan dosa dan kecuaian itu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak. Suami yang mendera isteri adalah melakukan dosa. Rasulullah pernah menegur lelaki yang kasar dan melakukan kekasaran kepada isterinya dengan hadis baginda yang bermaksud, ’Sebaik-baik kamu adalah yang lembut dalam melayani isteri mereka dan aku adalah sebaik-baik di antara kamu’.

Pendedahan tentang hak dan tanggungjawab jika dibincangkan sebelah pihak tidak dapat menyelesaikan kekalutan sosial dan institusi keluarga. Pendidikan perlu diseimbangkan agar suami dan isteri mendapat pengajaran dan berusaha menjadi pasangan yang baik. Justeru, apabila dibincangkan tanggungjawab isteri terhadap suami seperti isteri perlu mentatai suami, jangan derhaka dan nusyuz, jangan melawan kehendak suami, perlu meminta izin suami dan lain-lain, maka perbincangan juga perlu menyentuh tanggungjawab suami terhadap isteri seperti suami wajib menjaga, melayani dengan baik, mendidik isteri dan anak, berbincang dan bekerjasama dalam menjayakan urusan rumah tangga sehingga rumah tangga dibina menjadi taman bahagia untuk kedua-dua lelaki dan perempuan.

Drama di television juga kerap kali menggambarkan watak yang silap sehingga menjadi tanggapan umum masyarakat. Contohnya suami yang kuat berpegang kepada ajaran agama, suka ke masjid digambarkan sebagai seorang yang keras, bersifat diktator, terlalu tegas sehingga tidak memberi ruang kepada isteri dan anak-anak untuk berbincang. Suami sebegini ditunjukkan mengamalkan sikap yang keterlaluan tegas, tidak boleh dibawa berbincang, kerap mengabaikan nafkah keluarga, lebih cenderung menghukum dari memberi nasihat. Manakala isteri yang baik pula digambarkan terlalu menurut sahaja, tidak bersuara, takut yang bersangatan sehingga sekiranya didera oleh suami, maka didiamkan sahaja atas anggapan itulah tindakan yang sebaiknya.

Kesilapan pemahaman sebegini perlu dibetulkan untuk membaiki insitusi rumah tangga masyarakat kita. Suami dan isteri adalah saling lengkap melengkapi. Suami yang mendera, memukul, menendang dan tidak melayan isteri dengan baik adalah melakukan dosa, berlawanan dengan gambaran suami yang baik seperti yang Rasulullah nasihatkan dalam hadith baginda.

Di dalam surah al-Baqarah, ayat 233, Allah berfirman yang bermaksud, ’Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.’

Ilmuan yang mengupas ayat ini turut membawa satu pandangan penting iaitu, sekiranya dalam urusan memberhentikan susuan kepada anak dilakukan secara musyawarah (persetujuan dan perbincangan) antara suami dan isteri, maka apatah lagi urusan-urusan lain yang besar melibatkan keluarga seperti kewangan, pendidikan dan lain-lain, wajarlah suami yang baik melibatkan pandangan isteri, bertanya dan mendengar pendapat isteri. Kerana keputusan hasil musyawarah antara suami isteri akan menghasilkan sesuatu yang baik dan memberi kesan positif kepada insitusi rumah tangga itu sendiri.

Kita perlu memberi pendidikan kepada lelaki dan perempauan sama ada yang bakal berkahwin atau sudah berkahwin untuk melihat hubungan suami isteri sebagai hubungan mulia, menjaga kesinambungan tamadun bangsa dan menjadi nadi penggerak kejayaan sesebuah negara. Pada masa masa, usaha memertabatkan kedudukan wanita selaras dengan ajaran Islam perlu dianjurkan. Wanita yang teraniya perlu diberi bantuan dan sokongan agar mereka tahu hak dan tanggungjawab yang sepatutnya.

Sekian...