Thursday, April 30, 2015

Kanak-kanak... Kisah Sedih Mereka

Bila dapat adik...Layanan Si Ibu...


Mengalir air mata saya membaca tulisan seorang ibu dalam fb yang dilike oleh kawan saya. Ia berkenaan seorang ibu yang telah tersilap memberi layanan berbeza kepada anaknya..
Saya copy disini dan dicite daripada blog mana..

Bagi yang mendapat anak.. dan lebih dari satu, berusahalah jangan beri layanan berbeza.. dan marilah kita berusaha untuk memberi masa dan fokus yang tidak nampak adil kepada semua anak-anak yang ada.. Insya Allah..

Bagi ibu bapa bekerja.. kita bekerja untuk memberi kehidupan lebih baik kepada anak-anak.. tetapi kita menghilangkan apa yang paling penting.. iaitu masa gembira dengan anak-anak..

Semoga kisah ini membuka mata kita semua..
-------------------
Jika penulis terbaca yang saya copy paste di sini, saya ucapkan terima kasih..

KISAH yang membuat saya menangis.....

Saya mempunyai 3 orang anak. Dua perempuan satu lelaki. Yang sulung, kakak, berusia tujuh tahun. Yang kedua abang, 4 tahun dan yang bongsu, adik perempuan berusia 1 tahun 6 bulan. Ketiga-tiga mereka ini boleh dikatakan anak yang soleh dan solehah. Cuma si kakak ni, sering membuatkan sayang pening kepala.

Tak dinafikan, kakak memang seorang budak yang pandai. Dia seorang yang fast learner. Seawal umur 5 tahun dia dah pandai mengeja dan membaca. Dan dia juga seorang yang petah berkata-kata. Apa yang membuatkan saya sering 'bergaduh' dengan dia adalah kerana dia sukar mendengar kata. Dia akan cuba mengambil perhatian saya walaupun berulang kali saya memberitahunya yang saya penat bekerja.

Ya. Saya dan suami semuanya bekerjaya. Jadi, anak-anak, kami akan hantar pada pengasuh bila kami beransur ke office masing-masing.

Pernah suatu hari, ketika saya dah pulang lewat petang, saya pergi mengambil mereka bertiga. Masa tu, suami outstation. Terpaksalah saya seorang berhempas pulas mengendalikan mereka.

Ketika si adik bongsu ni menangis meminta susu, si kakak sibuk ingin bercerita perihal dirinya ketika di sekolah. Dia ingin menunjukkan hasil lukisannya yang cikgu bagi markah A. Tapi, perhatian tu sekejap je saya berikan untukknya disebabkan saya tak boleh nak fokus, kerana si adik ni dah bising menangis kelaparan. Tak semena, dengan badan yang letih, otak yang dah penat.. Saya memarahi kakak

"Kakak tau tak.. Mama penat tau!! Dengan adik menangis, kakak sibuk nak bercerita!! Boleh tak kakak ke depan, main macam Abang ngah, tak kacau mama!!" Jerit saya

Dia diam lalu membawa diri ke hadapan. Mulai dari hari itu, saya perasan kakak dah kurang mengganggu saya ketika saya keletihan. Saya rasa mungkin dia faham keadaan saya yang memerlukan masa untuk berehat dengan aman.

Hinggalah pada suatu hari, pada malam hari minggu, saya menyemak beg sekolah kakak. Dalam pada membelek-belek buku latihannya.. Saya terjumpa sebuah buku kecil kulit tebal berwarna pink. Di muka depan buku tersebut dituliskan namanya, kelas dan bertajuk 'Diari Kecil Kakak'

Saya mula membuka lembaran-lembaran kecil buku comel itu. Jika dinisbahkan dengan umur kanak-kanak sebayanya, tulisan kakak amat cantik. Satu persatu perkataan ditulis rapi. Saya kagum. Alhamdulillah, anakku diberi kelebihan itu.

Di muka surat pertama, mata saya tertumpu pada isi kandungannya. Kakak tulis : Isnin 13 Jan 2014- saya berpusing. Saya selak mukasurat sebelah. Selasa 14 Jan 2014 - saya berpusing. Itu saja yang dia tulis. Saya tak faham. Apa yang cuba dia luah dan sampaikan. Sampailah pada 30 Januari, catatannya tetap sama : "saya berpusing". Saya pening.

Keesokkan pagi, setelah selesai sarapan sama-sama, saya luangkan masa bersama. Kali ini saya lebih fokus pada kakak. Kerana saya nak mengorek rahsia diarinya.

Ketika dia sedang leka menulis di dalam diarinya, saya menghampiri diri anak itu.

''Kakak tulis apa tu ?"tanya saya

"Kakak tulis diari mama" jawabnya sambil tersenyum memandang saya

"Apa yang kakak tulis, boleh mama tengok" umpanku memasang strategi

"Boleh. Mama tengoklah"

Tanpa rasa malu, dia menghulurkan diarinya kepada saya. Saya berpura-pura seolah-olah tidak mengetahui apa yang dia dah tulis

"Saya berpusing??" Soal saya lagak kebingungan.

"A ah. Kakak berpusing"

"Macam mana kakak berpusing??"

Dia lantas berdiri dan menunjukkan pada saya macam mana dia berpusing. Abang ngah yang melihat kakak berpusing turut berpusing. Mereka tertawa dan saya tergelak. Puas melihat mereka berpusing saya suruh mereka berhenti. Saya tarik kakak duduk di riba saya dan saya tanya..

" Boleh mama tahu, kenapa kakak berpusing?? "

Dia terdiam. Sesaat kemudian barulah dia bersuara.. Manja..

"Kakak berpusing sebab.. Kakak nak undurkan masa. Kalau boleh kakak nak jadi macam adik. Kakak tengok mama happy sangat bila adik lahir hari tu. Tapi kakak.. Kakak salu buat mama sedih dan tak happy bila bersama kakak. Kakak takut mama tak sayang kakak lagi.."


Belum habis dia menyambung ceritanya, saya dakap dia erat. Saya menangis. Menangis teresak-esak di kepalanya.

Bagaimana boleh saya lupa bahawa saya mempunyai tiga orang anak yang harus diberi perhatian, bukan dua mahupun seorang.

"Maafkan mama kakak. Maafkan mama. Mama bersalah pada kakak. Mama tak sepatutnya buat kakak macam ni. Kakak anak mama. Abang ngah pun anak mama. Adik pun anak mama. Mama sayang anak-anak mama..'' Tersedu-sedu saya dalam berkata. Biarkan. Biarkan saya tersedu. Apa yang saya mahu, saya mahu dia tahu yang saya sayang dia sepertimana saya sayangkan adik-adiknya. Maafkan mama sayang..

copyright : karyawanbisu.blogspot

Friday, April 24, 2015

Semangat Membaca






Tulisannya adalah di bawah sebelum diedit seperti di akhbar BH 22 April 2015..

SIKAP SUKA MEMBACA
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur datang lagi.  Majlis yang  akan berlangsung mulai  24 April hingga 3 Mei 2015 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur menawarkan pelbagai  jenis bahan bacaan kepada pengunjungnya. Program  tahunan ini dikatakan menerima pengunjung yang semakin bertambah tahun demi tahun. Pada tahun lepas sahaja, dilaporkan lebih 1.7 juta pengunjung telah membanjiri Pesta Buku dan kemungkinan bilangannya akan meningkat lebih tinggi pada tahun ini. 

Walaupun  dunia semakin berkembang melalui peralatan elektronik dan e-book yang mewarnai bentuk bahan bacaan dunia alaf baru, namun masih ramai yang cintakan bahan bacaan  bertulis yang boleh dipegang dan diselak helaiannya. Bilangan pengunjung yang begitu ramai boleh juga menjadi petunjuk bahawa semangat  cintakan buku dan  suka membaca buku  berkembang dengan baik dalam masyarakat kita.

Semangat cintakan buku dan suka membaca sangat penting jika kita ingin menjadi masyarakat yang mempunyai daya fikir yang tinggi. Dengan membaca, ilmu kita bertambah dan lebih banyak fakta-fakta baru kita ketahui. Banyak membaca buku agama akan memberikan kita lebih banyak pengetahuan tentang ajaran agama kita sendiri dan membantu kita memperbaiki mutu amal ibadah kita. Banyak membaca buku motivasi dan pengalaman orang-orang yang berjaya boleh  membuka minda dan menjadikan kita lebih bersemangat  dalam mengharungi cabaran hidup ini. 

Semakin banyak kita membaca, semakin kuat minda kita memproses dan  menjadikan kita semakin berilmu,  matang dan meningkat menjadi insan yang lebih baik. Ini menepati pernyataan al-Quran iaitu, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (al-Zumar :9) 

Semangat cintakan buku dan suka membaca sebenarnya  bermula semenjak seseorang itu masih kecil lagi. Ibu bapa sebenarnya adalah pihak pertama yang memperkenalkan nilai murni ini. Membacakan kepada anak-anak sebelum mereka tidur seperti buku cerita kanak-kanak, komik bergambar, kisah Nabi-nabi dan lain-lain bacaan adalah amalan yang mempercepatkan pembinaan sikap cintakan ilmu dan suka membaca. Apatah lagi, membaca  merupakan perkara besar yang disebut dalam al-Quran melalui wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi di Gua Hira’ iaitu “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan..” (al-Alaq:1) Justeru, nilai suka membaca dan cintakan bahan bacaan adalah sesuatu amalan yang disukai dalam agama kita.  Namun begitu, amalan membacakan buku kepada anak-anak sebelum tidur agak kurang dalam masyarakat kita, tetapi menjadi amalan biasa dalam masyarakat barat.

Statistik yang pernah dikeluarkan sebelum ini menyebut masyarakat kita masih belum mencapai tahap minat membaca yang diimpikan. Sebagai contohnya, banyak laporan mengatakan seorang rakyat Australia membaca sekitar 180 buah buku setahun sedangkan rakyat Malaysia dikatakan belum sampai 10 buah buku setahun. Semoga bilangan masyarakat kita yang suka membaca akan meningkat seiring dengan ramainya jumlah pengunjung pesta buku yang diadakan.

Dalam mempertingkatkan usaha membina semangat cintakan ilmu, wajar juga untuk kita lihat bagaimana masyarakat negara lain melakukannya. Ia boleh menjadi contoh untuk kita mengikutinya. Perpustakaan awam di Australia contohnya ditubuhkan di setiap seksyen  penempatan penduduk dan memudahkan semua proses akses kepada fasiliti yang ditawarkan..  Perpustakaan-perpustakaan awam daerah juga membenarkan setiap kanak-kanak meminjam 30 buah buku sekali gus dan boleh memulangkannya di mana-mana perpustakaan berdekatan. Mereka juga memudahkan kaedah tempahan buku untuk peminjaman secara email dan boleh memperbaharui tempoh pinjaman secara ‘online’. Bahkan setiap perpustakaan menjalankan bengkel percuma untuk ibu bapa mempelajari teknik-teknik membaca dengan anak-anak mereka sebelum tidur.

Sekolah-sekolah di Australia turut menyuburkan semangat cinta membaca buku dengan menjadikan sesi membaca buku atau novel bersama ibu bapa di rumah sebagai kerja rumah setiap hari. Setiap murid akan diberikan buku log untuk catatan apakah buku yang dibaca sebelum tidur dengan ibu bapa, sekitar 10 minit dan ibu bapa perlu menandatangani buku tersebut. Kejayaan menghabiskan buku bacaan paling banyak akan diraikan oleh pihak sekolah dalam sesi perhimpunan sekolah mereka dengan dipanggil ke hadapan  pentas dan dianugerahkan lencana “Pupil of the Week’ oleh guru besar. Usaha ini menyebabkan kanak-kanak teruja dan sesuatu yang biasa bagi seorang murid sekolah rendah di sana menghabiskan 30 buah buku cerita seminggu.

Seorang guru besar sekolah di Australia turut menceritakan bahawa, usaha menggalakkan kanak-kanak membaca novel atau buku cerita adalah bertujuan membantu mereka membina kreativiti dan penguasaan bahasa. Adalah kurang ditekankan hafalan seperti ‘prosa kata’ secara sendirian tetapi ia dipelajari melalui penceritaan dan pemakaiannya di dalam novel. Kerja sekolah bagi kanak-kanak sekolah rendah (7 hingga 12 tahun) adalah membaca buku cerita dan novel dan membuat ringkasan di dalam buku log. Mereka membina sikap cintakan buku dari kecil dan membuatkan ia menjadi sebahagian dari tabiaat harian. Justeru, adalah perkara biasa mereka membawa buku cerita bersama dan membacanya di dalam bas, keretapi dan di taman-taman.

Apabila semenjak kecil kanak-kanak suka membaca, ia akan menjadi satu tabiat yang akan mereka bawa hingga mereka dewasa dan membentuk keluarga. Apabila ibu bapa mempunyai sikap suka membaca, ia akan diturunkan pula kepada anak-anak mereka kelak  untuk turut sama cintakan membaca dan mencari ilmu..

Ini adalah satu usaha murni yang wajar diikuti oleh kita semua ke arah menggalakkan dan membina nilai murni cintakan buku dan suka membaca dalam kelompok masyarakat kita.

*Penulis adalah Prof Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam