Thursday, March 27, 2008

Seminar Remaja dan Seks

Pelajar Islamic Banking di bawah ISBA (Islamic Banking Association) telah menjalankan satu program 'Seminar dan Forum Akademik' pada hari Rabu 26 Mac. Di bawah arahan Arzlan sebagai Presiden ISBA dan Fazihan sebagai Pengarah Program, Aku Penasihat Program ini...Perjalanan program ini sangat berjaya dalam nilaianku.. Bersungguh-sungguh aku lihat kerja-kerja yang mereka buat..Alhamdulillah..

Paginya, jam 9-1pm, Dr Hishamuddin dari UTM membentangkan tajuk "Islam dan al-Quran' dan beliau menyambung sesi kedua "Cinta Realiti'.. Majlis dibuat di Dewan Muktamar 1, Pusat Islam CITU.. Kehadiran dalam 150-200 pelajar..

Malamnya ada forum, tajuknya agak menggemparkan dan ramai yang tertanya2 apasal bertajuk camtu.. hehe.. biarler.. bagi ump siket..

Tajuknya "Remaja: Apa yang anda patut tahu mengenai Seks"
Ahli panelnya ada tiga orang-
1- Dr Harlina dari UKM
2-En Khairuddin Kaunselor UiTM
3-Myself

Forum dibuat di Dataran CITU, majlis ini mula agak lambat siket, sepatutnya 8.45 tapi jadi 9.20pm.. Kehadiran dalam 200-250 orang.. Bagiku majlis ini berjaya mencapai objektif, walaupun ada ler kurang sana sini, ia boleh diperbaiki lagi di masa-masa akan datang..
Tahniah kepada semua AJK yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini dan para siswa siswi yang telah bersama-sama memeriahkan majlis ini..
-----------------------

Pada masa yang sama, aku sangat sibuk dengan kelas dan ujian. Lepas tu ada dua abstract paperku diterima untuk dibentangkan dalam ASLI (Asean Law Conference di National University Singapore) pada 23 Mei nanti.. Aku tengah all out siapkan dan kena hantar ke Jabatan Pembangunan Staff untuk dapatkan sponsor fee dan tambang..Tajuk paper tersebut adalah:

1- Sexual harassment in Malaysia: an urgent need for a codified law -Myself with Rozita from law School.
2- Failure to Provide Maintenance: Is there justice for women in Malaysia Syariah Court? -aku sorang

Due hantar semuanya adalah 31 Mac ini.
_____________

Masa yang sama, aku perlu siapkan semua dokumen untuk penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie Selangor pada 7 April ini. Aku perlu siapkan semua dan submit ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum 1 April 2008.. Alhamdulillah dah berjaya disiapkan petang tadi..

________
Sekarang, aku boleh fokuskan untuk borang biasiswa PhD pula.. 31 hb Mac ini due untuk diserahkan kepada pihak UiTM an MOHE..

______

Begitulah hidup ini.. sibuk dan sentiasa sibuk..

Ayah


Alhamdulillah my beloved ayah sudah semakin sihat dan sudah dapat pergi ke masjid pada hari aku balik semula ke Shah Alam iaitu hari Isnin 24hb Mac 2008. Syukur pada Allah..

(Gambar ini ayah depan Doktor di KBMC)____________

Kisah bermula pada hari Jumaat 21 Mac, aku sampai di airport KB pada jam 9.30 malam. My eldest, Kak Nik dan keluarga pun balik sekali.
Pak Su dan Pak Ngah jemput kami semua di airport. Sampai saja di rumah, Ma sambut kami dan katanya ayah dah tidur dalam bilik. Selepas peluk dan cium tangan Ma, Aku masuk ke bilik ayah dan tepuk ayah pelan-pelan.. 'Ayah..kita semua dan balik..' ayah bangun sekejap, selepas bersalam dan cium tangan ayah, ayah nak tidur semula..

Malam tu juga aku keluarkan air penawar yang aku bawak balik dari sini, ada Ustazah , bekas anak murid Ustaz Harun Din Darus Syifa' yang bacakan ayat.. Dan aku juga terus buka kitab dan baca ayat asas 10 yang aku pelajari di Darus Syifa'.. Aku ambik air tersebut dan lap seluruh badan ayah, sapu kat muka, kat kepala, bahu, badan, tangan, lalu ke atas kain pelikat yang ayah pakai turun ke kaki.. Aku berikan sedikit untuk ayah minum.. Malam tu, campur sembang-sembang, aku tidur jam 3 pagi.. Letihnya..


Esok pagi, ayah tidur balik selepas solat subuh.. Dalam jam 9 pagi, aku bawak ayah ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) untuk buat medical check up, Kak Nik pun ikut sekali. Kita risau - takut penyakit berbahaya yang menyerang.. Aku masuk jumpa Doktor, bagitau apa yang berlaku dan mintak thorough check up dibuat ke atas ayahku. Dr telah ambik darah untuk dihantar ke makmal, buat ECG cek dada, tekanan darah dan sebagainya.


Dalam 3 jam berada di KBMC, kami dapat keputusan hasil check up yang dibuat. Alhamdulillah semua penyakit berat adalah negative..

Darah tinggi- negative
Denggi-negative
Kepialu-negative
Batuk kering-negative
Jantung-ok
Tekanan darah-ok
Paru-paru dan lain-ok


Alhamdulillah..
Ini sebenarnya kelegaan besar yang memberi kekuatan kepada ayah sebenarnya. Secara psycology, ayah akan kuat sebab dia sendiri tahu bahawa dia hanya demam biasa sahaja, Insya Allah..


Balik dari hospital, aku bacakan ayat asas 10 lagi dan berikan ayah minum serta mandikan ayah dengan air yasin.. Mudah-mudahan gabungan dua perubatan ini akan lebih membantu ayah dan Allah akan sihatkan ayah dengan lebih cepat.Insya Allah..

Sepanjang dua hari aku di rumah, aku pastikan sekejap-sekejap aku akan sapukan air yasin pada ayah, beri ayah minum dan bacaan ayat-ayat syifa' serta gosok-gosok badan ayah.. Aku buat jugak untuk Ma.. Dengan doa semoga Allah memberi kesembuhan dan menyihatkan kedua ibu bapaku.. memanjangkan usia mereka dengan penuh bahagia dalam rahmat dan belas ihsan-Nya.


Esoknya adikku Idi balik ke rumah, dia balik dari Sudan untuk 10 hari dan minggu depan akan kembali ke Sudan.. Kali ini bukan lagi di bawah NGO Dewan Pemuda Masjid dalam Program Derma Dapur untuk Dahfour tetapi dia telah berpindah untuk bekerja sebagai Relief Officer di bawah MERCY, masih di Dahfour lagi..Dengan adanya my brother, menguatkan lagi semangat ayah untuk sihat.. My brother pun sambung baca ayat Syifa' dan asas 10 pada ayah.. Dia pun belajar di Darus Syifa' tahun sebelumnya..

Hari Ahad, my husband dan Aisyah balik ke KB. Tok Ayah dan Tok Ma juga agak riang melayan Aisyah sembang.. Semoga ia memberi semangat lagi kuat untuk Ma dan Ayahku sihat dan bertenaga.. Amin

Hari Isnin, kami semua terpaksa balik semula ke Shah Alam... Pagi Isnin, ayah dah ke masjid solat Subuh dengan Ma.. Alhamdulillah semoga ayah dan Ma akan sentiasa sihat..

Mula-mula Kak Nik balik ke Shah Alam dulu, lepas tu kita orang satu family balik ke Shah Alam, tapi lepas kita orang balik, kakakku yang di Skudai pula balik ke KB.. My sister dari Skudai ni akan siapkan keperluan ayah dan ma yang lain-lain... Jadi bersambung-sambung bersilih ganti.. Lepas ni yang lain pulak balik...Dalam kesibukan yang mendesak, aku akan cuba arrange jadualku, mudah-mudahan lagi dua minggu aku akan balik lagi ke kampong. Insya Allah..

_____________

Ooooo IELTS.. aku cuma dapat Band 6.5.. .Sedih ler jugak sebab kena ambik sekali lagi.. Melbourne U memang tak nak compromi, mesti Band 7. Tapi untuk submit ke MOHE (Kementerian Pengajian Tinggi) lepas ler sebab MOHE/KPT cuma syaratkan Band 6 untuk dapat biasiswa tapi untuk dapatkan place di sana, aku perlu exam sekali lagi... alahai.. kena lagi RM550..

Itu ler yang berlaku beberapa hari lepas...

Friday, March 21, 2008

Perjalanan Hidup


Malam ni,aku akan balik ke Kota Bharu, Flight Air Asia jam 8. 20 malam.. Sebab my beloved Ayah kena demam panas.. kesian ayah.. Semoga Allah menyembuhkan ayahku sayang..Aku akan balik malam ni, Abah dan Aisyah akan balik malam esok sebab esok pagi abah ada kelas tajwid di DarusSyifa'.. tak boleh tak hadir..it's compulsory..

Semoga Allah emmudahkan seluruh perjalanan hidup kami...

Thursday, March 20, 2008

Bapa Wajib beri nafkah

Artikel Peguam Syarie Menulis telah disiarkan dalam Berita Harian pada 19 Mac..Tulisan Isa dan aku editornya
_______________

Bapa wajib beri nafkah walaupun sudah bercerai
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


APABILA sesuatu kes perceraian selesai dibicarakan di Mahkamah Syariah, ia selalunya membawa kepada tuntutan seterusnya iaitu nafkah untuk anak sama ada masih bayi atau sudah bersekolah oleh bekas isteri dan ini merupakan satu fenomena biasa. Apatah lagi dalam banyak kes, selalunya anak akan tinggal bersama ibu atau keluarga sebelah ibu sedangkan nafkah yang diperlukan datangnya daripada sebelah bapa. Bukan sedikit bapa yang lari dan cuai dalam menjaga kebajikan anak dengan baik selepas berlaku perceraian.

Dalam Islam adalah menjadi kewajipan bapa untuk menyediakan nafkah bagi anaknya sebagaimana wajib ke atasnya menyediakan nafkah terhadap isterinya. Fuqaha bersepakat jika bapa masih hidup dan ada kemudahan kewangan serta berkemampuan berusaha dan bekerja, maka wajib atasnya membiayai nafkah anak tanpa berkongsi dengan sesiapa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Manakala dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aishah katanya: "Hindun Binti Utbah berkata: Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberikan aku harta yang mencukupi untuk aku dan anak aku melainkan harta yang aku ambil tanpa pengetahuannya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Ambillah (harta Abu Sufyan) apa yang mencukupi untuk kamu dan anak-anak kamu dengan baik."

Berdasarkan hadis itu jelas nafkah anak tetap menjadi kewajipan bagi seorang bapa walau dalam apa juga keadaan sekali pun. Dan jika bapa tidak memberi nafkah, maka ibu boleh mengambil harta bapa sekadar yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan anak itu.


Dalam kitab Fiqh al-Manhaj, terjemahan kitab feqah Mazhab Syafie, bab nafkah, ada menyatakan kewajipan memberi nafkah terhadap anak adalah berdasarkan kepada syarat nafkah usul (ayah, datuk) kepada furuk' (anak, cucu). Usul dimaksudkan dengan bapa dan datuk (usul keturunan) yang wajib memberi nafkah kepada anaknya dan cucunya hingga ke bawah (furu' keturunan).

Oleh itu, bapa adalah orang yang bertanggungjawab membiayai nafkah seseorang anak sama ada anak itu lelaki atau perempuan. Jika anak itu tidak mempunyai bapa, maka datuk iaitu ayah kepada bapa wajib mengambil tanggungjawab berkenaan. Begitulah seterusnya berdasarkan hubungan usul yang terdekat dengan furu'.

Selanjutnya, firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya." (Surah At-Talaq, ayat 6) Ayat itu menjelaskan mengenai kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama untuk dilaksanakan oleh bapa. Ibu tidak dibebankan dengan tanggung jawab itu tetapi apa yang diberikan jika ada dianggap pemberian sumbangan bagi membantu suami.

Justeru, apabila seorang bapa mempunyai harta kekayaan, wajib ke atasnya membiayai nafkah anaknya dengan hartanya. Jika ia tidak mempunyai harta tapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha mencari kerja yang membolehkannya membiayai nafkah anaknya. Dengan itu bapa yang menganggur dan mengharapkan ibu membayar keperluan anak adalah lelaki yang tidak amanah dan berdosa mengabaikan tanggung jawabnya.

Bahkan, dalam kitab Fiqh al-Manhaj menjelaskan kewajipan memberi nafkah seorang bapa terhadap anaknya dan begitulah sebaliknya tidak akan terjejas sekali pun mereka adalah berlainan agama.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah Seksyen 74 secara khusus memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes itu berdasarkan peruntukan berikut:
· Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya:
· Jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
· Jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
· Dalam mana menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri
· Apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain;
· Apabila memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk berpoligami di bawah seksyen 23.

Oleh demikian, seorang bapa beragama Islam tetap wajib memberikan nafkah terhadap anaknya walaupun si anak bukan beragama Islam dan dalam keadaan tertentu seperti bapa sudah uzur, anak yang beragama Islam wajib pula memberikan nafkah terhadap bapanya walaupun tidak beragama Islam.

Dalil harus memberikan nafkah kepada usul walaupun bukan Islam (musyrik) ialah berdasarkan hadis diriwayatkan Asma' Binti Abu Bakar katanya: "Ibuku datang menemuiku dan dia masih lagi tidak memeluk Islam (musyrik). Ketika itu perjanjian damai di antara orang Islam dan kafir Quraisy telah termeterai (masa di antara perjanjian Hudaibiah dan Pembukaan Makkah). Aku meminta fatwa daripada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ibuku datang sedangkan dia membenci Islam. Adakah aku perlu menghubungkan silaturahim dengannya. Rasulullah SAW bersabda: Lakukanlah."

Kesimpulannya, walau apa juga keadaan sekalipun, seorang bapa tetap berkewajipan menunaikan tanggungjawab terhadap anaknya. Ia adalah satu kewajipan yang dibebankan kepada bapa dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain untuk menanggung nafkah anak melainkan bapa tidak ada atau tidak mampu barulah kewajipan itu berpindah kepada datuk dan saudara lelaki sebelah bapa.

Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com/.

Pesanan Untuk Suami

Hak Muslim disiarkan dalam Berita Harian pada 20 Mac 08:




Bakal suami perlu persediaan minda, fizikal

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Soalan
SAYA seorang lelaki yang tidak konsisten mengerjakan sembahyang. Kadang-kadang saya terlalu sibuk dengan kerja atau tersangat letih, saya akan tinggalkan solat begitu saja. Kadang-kadang saya berasa bersalah, tetapi ia selalu terjadi. Saya ada juga keluar berhibur di Hard Rock Cafe dengan tunang dan kawan-kawan. Dalam masa lima bulan lagi, saya akan berkahwin, tetapi beberapa minggu ini saya selalu terfikir mengenai perkahwinan saya nanti. Saya khuatir tidak dapat memimpin keluarga dengan baik selepas perkahwinan. Persoalan yang selalu bermain di fikiran ialah bagaimana keperibadian suami yang patut ditonjolkan kepada isteri. Tambahan pula pengetahuan agama saya agak kurang. Harap tuan dapat memberi nasihat.

Bakal Suami,
Kuala Lumpur.


Jawapan


Terlebih dulu saya ucapkan tahniah kerana saudara sendiri yang ingin berubah dan memikirkan tentang kekhuatiran yang bakal terjadi. Sebagai Muslim, hakikat yang tidak mampu kita tolak adalah kita mesti menyerah diri kepada Allah dan berusaha sedaya upaya mengikut perintah-Nya.



Namun begitu, ada juga di kalangan orang Islam yang suka mengabaikan perintah Allah, meninggalkan solat sesuka hati, tidak memegang amanah, suka minum arak, berzina dan sebagainya. Pada masa sama, tidak ramai orang yang hatinya bercahaya dan berasa bersalah apabila mengabaikan perintah-Nya. Semoga kita semua dibimbing dan diberi petunjuk oleh Allah.


Saudara akan berkahwin tidak lama lagi. Oleh sebab saudara tidak menyebut mengenai bakal isteri, kami andaikan saudara mungkin akan berkahwin dengan wanita yang saudara sukai atas dasar suka sama suka.


Jika ianya benar, bakal isteri saudara sudah tentu telah mengenali kehidupan saudara sebelum ini dan dia mungkin sudah menerima keadaan saudara seperti sekarang ini. Justeru, apabila saudara ingin berubah, maka dia juga perlu saudara bawa bersama dalam perubahan itu.


Bahtera perkahwinan selalu diuji dengan ujian yang pelbagai. Ada yang ketika bercinta seumpama pasangan kekasih hebat, serasi dalam semua perkara tetapi apabila berkahwin, lain pula yang berlaku. Kerana itu orang tua-tua berpesan, warna diri kita atau siapa sebenarnya kita akan terzahir hanya selepas perkahwinan.


Adalah penting bagi saudara mempunyai iman dan ketundukan yang kuat kepada Ilahi bagi memimpin keluarga kelak. Sebagai suami, saudara menjadi ketua keluarga dan diamanahkan Allah untuk memimpin isteri serta mencorakkan perjalanan keluarga. Peranan itu amat besar dan memerlukan persediaan minda, fizikal di samping kewangan yang baik untuk menjayakan urusan nafkah kepada ahli keluarga.


Saudara harus tingkatkan ilmu agama supaya dapat menghayati prinsip agama, solat jangan sama sekali diabaikan kerana ia perisai iman kita. Pelajari halal haram serta peka terhadap keperluan mempunyai ilmu agama.


Imam Syafei pernah menyebut, "Seorang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan mampu memberi sesuatu." Ini bermaksud, jika saudara tidak ada ilmu agama, tidak kuat menjaga halal haram, tidak patuh urusan solat dan rukun Islam, bagaimana saudara dapat memberi tunjuk ajar kepada orang lain sama ada isteri, anak dan keluarga. Sama seperti orang yang tidak tahu membaca al-Quran, bagaimana dia mampu mengajarkan anaknya membaca al-Quran? Untuk mampu memberi sesuatu, kita mesti mempunyainya terlebih dulu.


Kami sarankan saudara berusaha menyusun jadual harian supaya ada masa diperuntukkan untuk mempelajari agama. Selalulah ke masjid, solat jemaah dan mempelajari ilmu agama di sana, bertanya kepada yang fasih serta membaca buku agama yang bertepatan. Saudara juga mungkin boleh menambah ilmu secara formal seperti menghadiri kelas setiap hujung minggu untuk mendapat Sijil Agama sama ada Syariah dan Usuluddin daripada mana-mana pusat pengajian ilmu diadakan di sekitar saudara seperti di Universiti Malaya dan sebagainya.


Saudara harus memiliki hati lembut dan peka akan perasaan isteri. Berusaha meringankan beban isteri dan pandai memujuk tatkala beliau berduka. Saudara juga perlu menjaga keharmonian rumah tangga dan menjaga rahsia suami isteri. Rahsia tidak seharusnya disebarkan kepada pihak ketiga sama ada di kalangan rakan taulan ataupun saudara mara terdekat. Jika kedua belah pihak pandai menjaga rahsia rumah tangga, maka akan muncullah perasaan saling percaya mempercayai antara suami dan isteri.


Saudara wajar menjelaskan kepada bakal isteri mengenai hasrat membina rumah tangga yang baik supaya dia juga turut terbabit ke arah kebaikan dan tidak terkejut selepas berkahwin nanti. Katakanlah dia juga tidak begitu kukuh amalan solatnya, memakai pakaian tidak menutup aurat, sukakan tempat hiburan dan sebagainya, mungkin dia menolak jika selepas berkahwin saudara mendesaknya untuk berubah secara mendadak.


Dalam membina rumah tangga bahagia, rahmat Allah adalah prasyaratnya. Maka, saudara mesti membimbing isteri bersama-sama kerana Allah menyayangi pasangan yang saling bantu-membantu untuk meningkatkan hubungan dengan Allah serta patuh kepada ajaran Rasul-Nya.


Selain itu, saudara juga hendaklah memuliakan keluarga kedua-dua belah pihak. Layan keduanya dengan adil dan terhormat. Jika saudara melawat ibu bapa sendiri, maka saudara juga mesti melawat ibu bapa sebelah isteri. Jika saudara memberi wang setiap bulan kepada ibu bapa sendiri, maka berilah juga kepada ibu bapa mentua. Islam mengajar kita untuk menjaga kebajikan dan meraikan semua pihak kerana ia akan mengeratkan tali persaudaraan. Dengan memuliakan keluarga isteri akan terciptalah ikatan atau jalinan kemesraan yang kukuh.


Jika berlaku perselisihan dan masalah selepas berkahwin, saudara mesti meletakkan perkataan talak jauh-jauh. Jangan begitu mudah mengucapkan lafaz cerai kerana ia akan memberi kesan kepada hubungan suami isteri walaupun ia dilakukan dalam keadaan marah ataupun bergurau.
Dalam membuat keputusan, saudara amalkan kaedah berbincang atau 'bermusyawarah' dengan isteri. Ini sangat penting supaya perkembangan urusan keluarga diketahui bersama termasuklah urusan kewangan, pembelian harta, pembayaran bil, pemberian wang kepada ibu bapa, tatacara mendidik anak dan jadual keluarga.


Dengan selalu berbincang, isteri akan berasa dirinya serta pendapatnya dihargai. Berilah pertimbangan sewajarnya terhadap setiap cadangan diberikan oleh isteri anda dan jangan bersifat mementingkan diri sendiri. Semoga anda berjaya menjadi suami yang baik dan mendapat rumah tangga yang diberkati.



Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com

PGSM's Press Statement-Kabinet baru

Persatuan Peguam Syarie telah mengeluarkan Press Statement berkenaan Kabinet Baru khususnya mengenai perlantikan Datuk Zahid Hamidi dan Dr Masyitah.. Disertakan di abwah untuk rujukan..
_______________________________

Sekretariat PGSM
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan
Jalan Damansara, 50675 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2274 1499. Fax : 03-2274 1499 Web-site : www.pgsm.org.my

Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Syariah Lawyers Association of Malaysia)




===============================================================

KENYATAAN MEDIA (PRESS RELEASE) SEMPENA PEMBENTUKAN KABINET MALAYSIA 2008


PGSM merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Y.A.B Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sempena pembentukan kabinet Malaysia yang baru.

PGSM juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri yang dilantik. Semoga mereka dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan jaya dan efisien, untuk faedah seluruh masyarakat Malaysia umumnya, dan maslahah umat Islam khususnya.

Sebagai sebuah persatuan yang menaungi semua Peguam Syarie di Malaysia, kami mengharapkan barisan Menteri kabinet yang baru, terutama Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang berkaitan dengan portfolio kehakiman dan perundangan, dapat memainkan peranan yang aktif, inovatif dan agresif dalam usaha menambahbaikkan sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, terutama sistem perundangan dan kehakiman yang berteraskan Syariah.

Datuk Dr Zahid Hamidi adalah lulusan sekolah agama dan seorang yang tegas dalam pendiriannya. Kami yakin beliau boleh mempertahankan kedudukan Islam dalam Kabinet, serta memberi penjelasan sebenar tentang Islam. Dengan pengalaman Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebagai pensyarah, dan pernah memikul portfolio ini sebelumnya sebegai Setiausaha Parlimen, kami juga percaya beliau dapat memainkan peranan dalam menyuburkan syiar Islam di Malaysia secara lebih menyeluruh.

Pihak PGSM bersedia berkerjasama dengan Datuk Dr Zahid dan Dr Mashitah dalam memartabatkan Islam di negara ini.


Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah :-

Mendaulatkan Islam melalui undang-undang dan pelaksanaannya. Islam adalah sebagai agama rasmi negara menurut Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dilihat sebagai tafsiran bersifat ’ceremonial’ sahaja, tetapi perlu diaplikasinya dalam aspek yang lebih menyeluruh. Antaranya :-

(1.1) Peranan penting Islam dalam negara perlu dipertegaskan dan menolak tafsiran Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

(1.2) Mendakwa mana-mana pihak yang mempersendakan Islam, menurut peruntukan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

(1.3) Mempertahan dan memperkasakan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

(1.4) Menggubal dan mewartakan undang-undang menghalang kegiatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam, di Sabah, Sarawak, Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

(1.5) Meningkatkan tahap keberkesanan dan profesionalisme agensi-agensi Islam kerajaan dalam mendaulatkan Islam di Malaysia.

(1.6) Menggubal Akta Makanan dan Pemprosesan Halal bagi memperketatkan syarat dan penguatkuasaan perihal makanan halal.

(1.7) Menyamatarafkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil dari segi perjawatan, penggajian dan kedudukan.

Melipatgandakan usaha untuk menyeragamkan sistem kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia, yang berkaitan institusi kekeluargaan, mal dan jenayah Islam. Semasa kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II tahun 1993, pelbagai pro dan kontra diutarakan oleh ahli-ahli politik, akademik, pengamal undang-undang dan sebagainya. Pada 14 Oktober 1994, Syed Hamid Albar (ketika itu Menteri Undang-undang) semasa membentangkan suatu kertas kerja ada memberi kenyataan yang disiarkan dalam NST pada keesokan harinya (15 Otkober 1994) menyatakan bahawa ’kerajaan pusat akan mengambil langkah untuk memperkenalkan satu undang-undang dengan meneliti kepelbagaian undang-undang Islam yang dipakai di negeri-negeri dan undang-undang Islam tidak sepatutunya dilihat sebagai urusan negeri kerana itu boleh menimbulkan perbezaan undang-undang antara negeri. Untuk itu kerajaan pusat akan menghubungi kerajaan negeri dan pakar dalam bidang Syariah sebelum memperkenalkan satu undang-undang baru.”

Selepas lebih 13 tahun, isu tersebut senyap dan sunyi. Adalah wajar isu ini ditimbulkan semula supaya satu usaha diperingkat nasional boleh dibuat bagi memperkenalkan undang-undang Islam yang seragam antara negeri-negeri.

Memperluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah, antaranya ;

(2.1) Mencadangkan pindaan kepada Senarai 2 Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan bagi meluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

(2.2) Akta Mahkamah Syariah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (disemak 1988) perlu disemak semula dan dipinda. Perlu dimasukkan satu peruntukan bahawa ’orang bukan Islam yang terlibat sama sebagai pasangan dalam kes-kes jenayah Syariah boleh dikenakan hukuman seperti pesalah orang Islam. Pelaksanaan undang-undang Islam di dalam masyarakat bukan Islam, Islam menetapkan bahawa ia hendaklah dilaksanakan semua bidang undang-undang Islam termasuk jenayah, sivil dan keluarga. Cuma undang-undang keluarga diberi pilihan sama ada mereka ingin mengikut undang-undang Islam atau undang-undang keluarga mereka. Firman Allah s.w.t ”dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka...” – al-Maidah ayat 49.

(2.3) Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (disemak 1988) perlu disemak semula dan dipinda. Seksyen 2 memperuntukkan ”Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang dalam sebuah negeri dan diberi kuasa ke atas orang-orang yang menganut agama Islam mengenai mana-mana perkara yang disenaraikan dalam senarai 2, senarai negeri jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan terhadap ajaran-ajaran Islam oleh orang-orang yang menganut agama itu seperti yang diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang negeri ; dengan syarat bidangkuasa itu tidak boleh dijalankan mengenai mana-mana kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara untuk masa lebih 3 tahun atau dengan denda melebihi 5 ribu ringgit atau sebat lebih daripada 6 pukulan atau dengan gabungan mana-mana hukuman itu”. Bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan had hukuman kepada pesalah jenayah Syariah perlu ditambah daripada 3 ; 5 ; 6, kepada 6 ; 10 ; 12, iaitu 6 tahun penjara atau denda melebihi 10 ribu ringgit atau sebat tidak lebih 12 pukulan.

Merealisasikan penggubalan Akta Profesion Peguam Syarie bagi mengawalselia semua Peguam Syarie yang beramal di Mahkamah Syariah seluruh negara, sepertimana Akta Profesion Peguam (LPA) yang menaungi dan mengawal selia Peguambela dan Peguamcara seluruh negara.

Mencari titik pertemuan dan kaedah terbaik untuk menyelesaikan konflik perundangan dan pertindihan bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Kami pengamal undang-undang Syariah di Malaysia amat mengharapkan barisan kabinet yang baru ini dapat mengadakan pembaharuan positif ke arah menambahbaik sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, terutama sistem perundangan dan kehakiman Syariah.

Sekian, untuk siaran.

Yang benar,




MUSA BIN AWANG
Setiausaha Agong
Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
019-3870105

Wednesday, March 19, 2008

Pilihanraya dan Kabinet Baru

Pilihanraya dan Kabinet Baru

Hari ini Pak Lah isytihar Kabinet Baru yang dibentuk selepas pilihanraya 8 Mac baru-baru ini. Sebagai kaki tangan kerajaan, aku tidak dibenarkan terlibat dalam politik, memberi pandangan mengenai politik juga adalah suatu yang mesti dikaji dengan sebaiknya.. Perkara ini jarang dapat difahami oleh orang-orang yang bukan kakitangan kerajaan..

Tapi dalam kapasiti ahli akademik, sekiranya sebarang pendapat mengenai politik ingin diketengahkan, ia mempunyai tata caranya yang tersendiri..
Yang mana sehingga ke hari ini, aku tidak ada kebijaksanaan tersebut..
Walau apapun, undi adalah rahsia...

Pendapat 2 sen aku adalah, pilihanraya baru-baru ini adalah kejutan besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Dan perubahan besar ini aku lihat mempunyai banyak kesan dengan mudahnya access kepada information terutama melalui kuasa internet. Beribu-ribu blog dan web yang boleh dilayari untuk membaca dan mengetahui satu-satu perkara.. Ini sebenarnya padaku mempengaruhi pemikiran manusia dan memberi efek kepada pilihanraya baru-baru ini..

Itu ler pendapat 2 sen aku..
_________________

Kabinet Baru

Hari ini kejutan datang lagi bila Pak Lah isytihar barisan Kabinet baru.. Aku rasa terkejut apabila mendengar Zaid Ibrahim dilantik jadi Menteri di JPM yang menjaga urusan undang-undang. Semasa membaca pemikirannya dalam bukunya mengenai I am a Muslim terbitan MPH, nyata pandangannya liberal. Lebih kurang dengan Dina Zaman dalam bukunya.. Semasa Akta Undg2 Keluarga ditangguhkan pada tahun 2005, SIS dan ramai yang mengatakan Akta tersebut tidak adil terhadap wanita, Zaid berada di kumpulan mana???

Kita akan lihat bagaimana selepas ini, apakah pendekatannya terhadap perundangan Syariah dan tarafnya di sisi perundangan sivil, Apa katanya mengenai Art 121 (1A), mengenai Seksyen 51 Law Reform, menengenai Seksyen 46 Enakmen Keluarga..Bagaimana nanti kedududan Akta 303 yang menjadi isu dahulu.. Aku menanti perkara ini dibangkitkan selepas ni.. Tapi dahulu walaupun Nazri yang pegang, Akta dibawa ke Parlimen oleh Datok Abdullah Mat Zain, sekarang dia tidak dilantik.. siapa yang akan mengambil peranan tersebut? Dan apa terjadi pula kepada isu yang diwar-warkan oleh Paklah mengenai pendekatan Islam Hadhari selepas Abdullah Mat Zain tiada dalam Kabinet?

Kita sama-sama tunggu..

Tuesday, March 18, 2008

Berita Gembira

17 hb Mac 2008

Tadi, Emy PA Bos cal aku, dia kata Bos panggil.. Lepas kelas, aku terus tunggu depan bilik Bos tunggu dia habis mesyuarat..

Lepas tu aku masuk dengan Mat Noor, kami berdua termasuk dalam yang dapat biasiswa..Kami bincang mengenai Noor nak start cuti bila, nak buat macamna ada dua research yang dia pegang. How to sttel dll. Bos pun mintak Noor dtart cuti awal. Kemudian Bos bagi balik borang referee yang diisikan untukku. Aku letak dua nama sebagai referee dalam borang application Melb U ie , Bos and Dr Azam. Lepas tu Bos tanya pasal Islamic Lifelong Learing paper.. lepas berbincang dan ambil kata putus, settle pasal present paper di UK Jun ini..

Kemudian, Bos akhirnya kata, Aku patut pergi ke Melbourne bulan July pulak sebab di sepanjang bulan July penuh program untuk pelajar PhD, talk how to write your thesis.. how to find and collect data.. How to get started.. etc etc.. Bos kata rugi sangat kalau tak sempat attend sebab itu sangat helpful.. Prof Saeed pun suruh attend courses tu semua..

Ayoooo awal lagi sebulan.. July pulak.. adoiii.. kecutnye perut aku..

Aku bagi hadiah buku Fasakh sebagai token appreciation untuk Bos, sebab Bos support penulisan aku dan sudi buat prakata dalam buku tu.. Dan dia seronok dapat hadiah tersebut..

Dr Azam pun aku hadiahkan satu, penghargaan untuknya kerana sepanjang aku buat Masters dulu, dia yang selalu bagi aku pinjam buku, nota seminar undang-undang yang telah dia hadiri dari tahun 1980an semasa dia di UM dan macam-macam bahan dari library peribadinya untuk aku.. Aku sangat terhutang budi kepada semua yang telah berbudi terhadapku..

Sebenarnya semua yang ada nama dalam buku fasakh tersebut, memberi bahan, temubual dan membantuku semasa menyiapkan kajian fasakh dulu serta semasa dikeluarkan jadi buku, semuanya aku hadiahkan satu naskhah penghargaan untuk mereka sebagai tanda aku menghargai sumbangan mereka. Dan mereka mengucapkan terima kasih atas pemberian buku tersebut.

Lepas tu, Bos kata, 'Ni ada surat dari Pendaftar untuk You ni..'
Aku terkejut, 'surat apa ni.'
Bos kata, bukak lah itu surat cinta dari Pendaftar...
ohoooo apa tu.. takutnya..

Surat apa yer....

Rupa-rupanya ia adalah surat cinta yang penuh dengan bahasa jiwang dan penuh dengan ayat-ayat yang menyebabkan aku senyum saja.. Apa tu???


Aku panjatkan syukur yang tidak terhingga pada Allah dan ucapan terima kasih pada Bos kerana selalu menyokong usahaku.. Bos siap kata, 'wah.. you dapat joy berganda-ganda ni.. double joy.. ' Aku ketawa dan ucapkan terima kasih banyak-banyak pada Bos..

Rupanya surat tersebut memaklumkan aku dapat anjakan gaji backdated tahun 2007, kerana lulus PTK 5 yang aku duduki tahun 2007. Aku dapat cemerlang- Aras 4 untuk carry mark dan peperiksaan.. Belum pasti lagi berapa ramai yang dapat anjakan gaji..Maybe dalam perhimpunan bulanan minggu depan baru kami dapat tahu..

Aku terus inform Abah.. dan Abah kata, 'Alhamdulillah syukur pada Allah.. Tahniah ye Mi..'
ALhamdulillah syukur sungguh pada-Mu wahai Allah atas pemberian nikmat yang Engkau kurniakan..

Semoga kami selalu menjadi orang yang bersyukur atas rezeki yang dikurniakan..amin

Hidup Yang Meriah

Pagi Sabtu 15 Mac, Kak Faridah Ketua Muslimat Surau telefon bagitau penceramah yang sepatutnya bagi talk untuk kaum wanita hari ni tak dapat datang last minute. Dia mintak aku datang segera untuk mengisi masa yang ada...

Apabila aku sampai, semua orang nampak macam gembira jer, dan Kak Leha buat pengumuman betapa gembira dan bersyukurnya aku datang.. Awatnya jadi macam aku ni orang besar pulak.. depa mesti kena lead majlis sendiri, lepas ni aku takde, macamna tu...

Aku pun terus bersalam dan maju ke depan, menjadi MC untuk membuat perbincangan terbuka dengan hampir 30 orang Muslimat mengenai Maulidur Rasul yang akan diadakan Sabtu 22 hb ni.. Majlis Maulidurasul untuk wanita..Dan penceramahnya adalah Datin Hajah Aminah, isteri Datuk Yahya ex-Mufti WP dahulu..

Aku ucapkan time kasih pada semua ibu-ibu yang sudi datang, dan aku mintak maaf kerana agenda bertukar dari majlis ilmu ke majlis perbicangan dan mesyuarat terbuka..Sepatutnya majlis perbincangan nak buat selepas kuliah tapi di luar dugaan- semua bertukar..

Aku mulakan mukaddimah dengan mengatakan majlis Maulidur Rasul yang kita nak buat ni baru first time, kita yang anjurkan, selalunya muslimin yang buat. Jadi kita perlu buat betul-betul, kita perlukan agak ramai volunteer pada hari tersebut..

Pertama, Kita perlu cari penyambut tetamu untuk 4 pintu masuk ke Surau kita ni, agak-agak dalam 8 orang.. Sapa yang rasa dia nak jadi penyambut tetamu, raikan tetamu yang datang, terutama yang tak pernah datang surau kita, ucapkan terima kasih sudi datang dan persilakan mereka masuk.. Ada ibu-ibu yang volunteer?
10 orang angkat tangan.. bagusnya... Aku kata , Kak Leha catat yer nama-nama sahabat kita ni..

Kedua, kita perlukan penjaga makanan untuk dibahagikan kepada tetamu, rasanya 6 orang cukup kot.. Masing-masing beri pandangan, memberi idea A, ide B dll.. lepas tu 6 orang kasi nama...

Ketiga, sapa yang boleh jadi orang last untuk pastikan semua bersih macam biasa sebelum jemaah datang untuk solat Zuhur... deng deng deng.. 10 orang bagi nama... baik betul ibu-ibu ni..

Keempat, kita ada seminggu lagi, macamna promosi kita yer? Ada cadangan tak? Masing-masing angkat tangan bagi cadangan.. deng deng deng.. ada 10 orang volunteer nak pergi rumah ke rumah mengikut pecahan.. Kumpulan A-Kristal, B-Platinum C-Platinum dekat surau, D-Platinum Homes, E- Apartment Danau Mas... alhamdulillah..
Ada yang cadang, why not kita call salam masjid kat radio IKIM dan radio selangor?
Aku jawab, bagus jugak... apa kata Kak Leha yang call. kita minta sorang jer ler yang cal yer.. yang lain jangan call semua sekali, terkejut DJ tu....

Kelima, kita budget dalam Rm1200 untuk makanan nasi ayam, kueh, air, bayaran penceramah, potostat flyers, dan lain-lain.. Apa kata kita bagi bunga telor terutama pada kanak-kanak? Mesti dia orang seronok..Apa pandangan ibu-ibu semua?
Yang ini aku tabik spring ler dengan ibu-ibu setempat.. Mai angkat tangan nak sponsor 50 bunga telor, Ibu angkat tangan nak sponsor 50 lagi. Lepas tu ada lagi 4 orang nak sponsor lagi 100 bunga telor.. bagusnye depa ni..

Lepas tu Mira angkat tangan, (Mira ni muda lagi orangnya..dia adalah tuan punya satu saloon kecantikan kat sini. lepas dia jumpa aku, selalu sms dan tanya dia boleh datang tak ke surau.. aku terus membina hubungan yang baik dengan dia dan mengalu-alukan kehadirannya..Bila aku bagi talk, aku selalu sebut, Mira kat belakang ada soalan ker?? Dan semua orang sekrang dah kenal Mira ni..Alhamdulillah dia dah jadi sebahagian ahli program surau kami..Mira nak sponsor muffin dan coklat untuk kanak-kanak.. Lepas tu Mai pulak angkat tangan nak sponsor plastik door gift dalam 200. Lepas tu ada yang angkat tangan nak sponsor potostat semua kertas selawat untuk 200 orang.. Aku rasa sangat seronok dan lega...Baik-baik mereka ni.. udahler kaya, baik pulak..

Jam 11 pagi, aku tutup majlis perbincangan dengan memuji semua ibu-ibu yang hadir, dan semua yang telah sudi memberi sumbangan duit, makanan, bunga telor dan sebagainya, mudah-mudahan Allah akan beri pahala yang banyak dan menggantikan dengan rezeki yang lebih banyak lagi.. amin.. Dan bila bersurai, masing-masing datang ke depan bersalam dan peluk aku, ada yang cium ..kelakar betul.. Semua kaum ibu di sini treat aku sangat baik, sehingga aku rasa sangat terhormat..


Jadi, kami akan ada majlis
22 hb Mac ini
Jam 10 pagi-12.30 tgh
Surau SPAM
Penceramah Datin Hj Aminah
Tajuk Mencintai Rasul sebagai teladan
Moderator Aku ler...

Lepas ceramah, pergi tahlil ramai-ramai ke rumah Kak Normah, sedapnya dia jamu nasi dan rojak.. Lepas tu balik rumah, jam 6.45 ptg ke UiTM ada kelas untuk pelajar2 DLSA...
Jam 10 mlm balik rumah...

Berlalulah hari Sabtuku...

Aisyah tidur di rumah Amirah di Bukit Jelutung.. esok baru Umi dan Abah pergi jemput Aisyah untuk balik Bangi pulak, visit Atok dan Nenek..

Saturday, March 15, 2008

Sanggar Buku UiTM 2008

Hari Khamis 13 Mac 2008 adalah hari besar bagi penulis-penulis di bawah Pusat Penerbitan UiTM (UPENA). Pada petangnya adalah hari meraikan penulis, memberi hadiah penghargaan kepada penulis yang berjaya dan meraikan kejayaan UPENA sebagai penerbit buku terbaik di antara IPT di Malaysia.

Majlis tersebut dipanggil MAJLIS SANGGAR BUKU 2008, UPENA.

Kehadiran berdasarkan kad jemputan yang diberikan oleh UPENA dan aku termasuk dalam orang yang mendapat jemputan tersebut.Memang hasratku untuk hadir meraikan majlis tersebut. Persetujuan untuk hadir pun telah aku sampaikan kepada pihak UPENA.

Tapi dengan penuh rasa sedih dan terkilan, aku telah gagal menghadirkan diri pada hari tersebut...

Pada petangnya, aku demam dan badan sangat sejuk, ditambah pula dengan aku tertinggal kot hitamku dan juga kain alas bahu yang ingin kujadikan sebagai alas di atas tudungku.. Majlis bermula jam 2.30pm..Sehingga jam 2.45pm, aku masih cuba untuk mencari parking, berlegar-legar di sekitar Dewan Seri Budiman, depan Arkib, hadapan Bangunan Hot Cat, pegi cari di sekitar Budi Siswa.. semua parkingnya penuh.. Tiga kali aku pusing ke semua tempat tersebut dengan hasrat untuk mencari parking yang agak dekat dengan tempat majlis diadakan iaitu di Dewan Seri Budiman (DSB).. Tapi tak ada...

Untuk parking jauh di hadapan Bangunan CITU atau di Bangunan Seroja, memang ada parking yang kosong tapi ia terlalu jauh dengan DSB untukku dalam keadaan badan yang demam-demam dan batuk-batuk.. Akhirnya aku terpaksa mengalah selepas jam menunjukkan 3.20 petang. Aku terus balik rumah, ambil panadol dua bijik dan terus tidur mencari sisa-sia tenaga yang ada...

Rupanya dalam majlis tersebut, namaku dilaungkan...

Aku dinobatkan sebagai PEMENANG AUGERAH PENULIS HARAPAN untuk tahun 2008..
ohhhh.. sedihnya aku tak ada dalam majlis tersebut... Ustaz Ramawan, Timbalan Pengarah CITU telah mengambil trofi dan sijil penghargaan bagi pihak seorang insan bernama Nurhidayah Muhd Hashim...

Aku luahkan kesedihan dan terkilanku pada Abah.. dan dia adalah seorang kaunselor yang sangat baik...'Tak per Umi kan demam.. bukannya sengaja tak pergi.. Nanti tulis buku lagi, bila majlis sanggar tahun depan..masa tu umi pergi ye...' ooo thank you Bah..


Semoga usahaku menulis buku, artikel, jurnal dan sebagainya sebagai tempat aku berkongsi ilmu yang Allah kurniakan akan mendapat pahala di sisi Allah yang Maha Hebat Kiraannya...Semoga aku ikhlas dalam setiap amal yang aku lakukan..amin..

Nak Daftar Nikah?

Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian pada Khamis 13 Mac, Siti yang jawab..Yang ini aku tak edit kerana siti lambat siapkan, sebab lambat, maka perlu terus dikirimkan ke editor Berita Harian..
____________


Hak Muslim:
Suami mahu tahu prosedur sahkan nikah sindiket

Soalan
SAYA tertarik dengan isu kepentingan pengesahan nikah yang dipaparkan dua minggu lalu. Di sini saya ada soalan lanjut berkaitan pengesahan nikah di mana, adakah pernikahan sindiket juga perlu disahkan? Jika pernikahan sindiket atau tanpa kebenaran pihak agama di Malaysia yang dilakukan di luar negara perlu disahkan, apakah prosedur yang perlu diikuti untuk mengesahkannya? Bilakah sijil kelahiran anak hasil pernikahan itu boleh didaftarkan?
Suami Insaf,
Kuala Lumpur


Jawapan

Terima kasih atas tindak balas saudara untuk bertanya lebih lanjut berkaitan isu pengesahan nikah. Untuk maklumat, sama ada pernikahan itu dilakukan dalam mahupun di luar negara, jika tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah tempat bermastautin, pernikahan yang dilangsungkan perlu disahkan dan didaftarkan di Malaysia. Begitu juga nikah sindiket yang dilakukan di Malaysia, perlu disahkan dan didaftarkan.

Prosedur bagi permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan tanpa kebenaran Pendaftar Nikah adalah berbeza antara negeri bergantung kepada enakmen pentadbiran dan undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing.

Bagi saudara yang tinggal di Kuala Lumpur, permohonan untuk mengesahkan pernikahan perlu dimulakan dengan Notis Permohonan dan Afidavit yang menyokong permohonan itu. Bersama permohonan itu perlu dilampirkan salinan kad pengenalan kedua-dua pihak yang bernikah, salinan sijil nikah di mana tempat pernikahan dijalankan serta salinan surat pengesahan daripada Pendaftar Nikah negeri yang mengeluarkan sijil nikah itu untuk mengesahkan mengikut rekod mereka.

Jika tiada sebarang catatan bagi sijil nikah itu, pihak Pendaftar Nikah negeri akan mengeluarkan laporan menyatakan bahawa pernikahan itu tiada dalam rekod pendaftaran pernikahan dan sijil nikah itu adalah palsu.

Contohnya, pasangan yang bernikah di Perak dan mendapat sijil nikah kononnya dimeterai Pendaftar Nikah di Perak tetapi apabila diajukan berkaitan status sijil nikah mereka, didapati sijil nikah itu palsu dan pernikahan mereka tidak pernah didaftarkan di negeri berkenaan. Jika pernikahan dijalankan di luar negara seperti di Thailand, surat pengesahan daripada Konsulat Malaysia di wilayah Thailand hendaklah diperoleh terlebih dulu dan dilampirkan bersama dalam permohonan.

Kebiasaannya, Konsulat Malaysia di wilayah di mana sijil nikah Thailand dikeluarkan mensyaratkan setiap pasangan hendaklah menyerahkan kepada pihak Konsulat Malaysia salinan dokumen yang diakui sah oleh peguam bela dan peguam cara di Malaysia seperti salinan kad pengenalan pihak yang bernikah, sijil nikah wilayah Thailand, salinan pasport perjalanan jika ada serta menyertakan sejumlah bayaran pemprosesan bagi mendapatkan surat pengesahan sijil nikah daripada Majlis Agama Islam wilayah berkenaan.

Apabila semua dokumen lengkap, pihak yang memohon digalakkan menyertakan senarai butir peribadi saksi yang perlu disapina ke mahkamah untuk perbicaraan kes pengesahan nikah.
Saksi hendaklah terdiri daripada mereka yang turut serta pada majlis akad nikah pasangan atau mereka yang yakin dan percaya pernikahan sudah dilangsungkan antara pasangan itu. Gambar pernikahan dan pasport yang menunjukkan mereka pergi ke luar negara untuk melangsungkan pernikahan juga boleh disertakan dalam permohonan.

Permohonan itu hendaklah didaftarkan di Mahkamah Syariah iaitu tempat salah satu pihak bermastautin. Dalam tempoh 21 hari daripada tarikh pendaftaran kes, pihak-pihak akan diberikan tarikh sebutan kes kali pertama ataupun terus kepada perbicaraan, bergantung kesesuaian masa dan juga dokumen yang difailkan.

Ketika perbicaraan, pihak-pihak dan saksi akan disoal perkara berkaitan rukun nikah serta lain-lain pengesahan dokumen yang dilampirkan. Oleh itu, salinan asal semua dokumen berkaitan hendaklah dibawa ketika ke mahkamah. Jika mahkamah berpuas hati dengan segala keterangan lisan dan keterangan dokumen selaras hukum syarak yang mengesahkan pernikahan itu, mahkamah boleh memutuskan pernikahan adalah sah menurut hukum syarak dan hendaklah didaftarkan di Bahagian Pendaftaran Nikah Cerai Rujuk tempat pihak bermastautin.

Jika sebaliknya, mahkamah akan memutuskan pernikahan itu sama ada fasik atau tidak sah dan pihak-pihak boleh diperintahkan supaya menfarakkan atau memutuskan pernikahan itu. Mereka perlu bernikah semula menurut hukum syarak dan mematuhi rukun nikah ditetapkan. Bagi pernikahan disahkan mahkamah, selepas mendapat perintah perlu merujuk ke Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah di pejabat agama kerana pihak Penguatkuasaan Syariah akan menyoal siasat mereka sekali lagi dan memanjangkan kes ke bahagian Pendakwaan Syariah.

Mereka akan didakwa di bawah kesalahan nikah tanpa kebenaran pihak berkuasa. Ini perlu dilakukan demi memastikan kes jenayah syariah atas kesalahan pernikahan tanpa kebenaran pasangan didengar cepat di Mahkamah Syariah. Apabila kes jenayah syariah selesai diputuskan iaitu sama ada pasangan dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, barulah pernikahan boleh didaftarkan dengan menyerahkan salinan resit bayaran denda ke Bahagian Pendaftaran Nikah, Majlis Agama Islam tempat pasangan bermastautin.

Selepas denda dijelaskan barulah sijil nikah Malaysia dikeluarkan dan pasangan boleh mendaftarkan sijil kelahiran anak hasil daripada pernikahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara. Isu mengatakan setiap pasangan dan saksi yakin pernikahan itu adalah sah dan memadai sijil nikah tempat di mana pernikahan itu dijalankan dimajukan ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mempercepatkan proses sijil kelahiran anak adalah tidak wajar disalah tafsirkan kerana hanya Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa menentukan sah pernikahan dan taraf anak.

Segala tatacara perlu diikuti semua pasangan demi menjamin kredibiliti Undang-undang Syariah Malaysia serta memartabatkan sistem perundangan syariah sedia ada supaya dihormati semua pihak. Jika setiap pihak memfailkan permohonan dengan segera dan disertakan segala dokumen yang perlu, ia tidak akan melambatkan proses mahkamah. Sesungguhnya meletakkan sesuatu isu itu pada tempat sewajarnya untuk didengar dan diputuskan.

Jawapan disediakan Exco Koordinasi dan Modul Dakwah Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Siti Razasah Abd Razak.
Cetak artikel Hantar

Thursday, March 13, 2008

Suami Ada Hubungan Luar

Soal jawab Hak Muslim telah disiarkan dalam Berita Harian 6 Feb 08

Suami ada Hubungan Luar

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Soalan

Saya ingin bertanya pihak tuan mengenai masalah yang dialami oleh adik perempuan saya. Beliau telah berkahwin selama 5 tahun bersama seorang anggota beruniform. Semenjak tahun lepas, beliau selalu mengadu kepada saya bahawa suaminya mempunyai hubungan luar dan mereka selalu bergaduh. Katanya apabila dia bertanyakan apa-apa soalan mengenai perempuan tersebut, suaminya akan memarahinya, memanggilnya dengan panggilan kasar seperti perempuan tak sedar diri, perempuan pelacur dan sebagainya. Ada juga mereka bergaduh sehingga pukul memukul. Minggu lepas saya telah membawa adik saya ke klinik kerana adik saya telah dipukul dengan teruk dan ditampar di pipi sehingga lebam. Saya sangat kasihankan adik saya tetapi tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Apatah lagi adik saya sangat risau jika ibu bapa mengetahui rumah tangganya bermasalah kerana mereka berkahwin dulu atas dasar suka sama suka. Apakah yang boleh saya lakukan?

Kak Long
Selangor


Jawapan

Puan telah menunjukkan sikap prihatin yang sangat baik terhadap adik yang bermasalah tersebut. Adik puan juga wajar bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai tempat untuk mengadu seperti puan.


Adik puan berdepan dengan pelbagai masalah yang bermula dengan isu hubungan luar dengan perempuan lain. Permasalahan dan pergaduhan serta pukul memukul tersebut adalah rentetan yang berlaku sebagai kesinambungan perselisihan atas isu tersebut.


Perkahwinan memang selalu diselang seli dengan perselisihan tetapi apabila melibatkan pergaduhan besar seperti maki hamun, menggunakan perkataan menghina yang tidak sepatutnya, apatah lagi pukul memukul, maka ia bukan perkara biasa lagi.


Suami adik tersebut telah melakukan tindakan yang tidak wajar dan berlawanan dengan prinsip peranan, tanggungjawab dan penunaian hak di antara suami isteri. Saya menasihatkan agar puan selaku kakak memberi bantuan moral di samping sokongan lain sebagai orang terdekat supaya adik puan mampu untuk berusaha menyelesaikan masalahnya dengan baik.


Sekiranya puan berpendapat bahawa adik ipar puan boleh dibawa berbincang, kami sarankan puan mengambil peranan tersebut. Kemungkinan ada perubahan yang boleh berlaku, Nasihati dengan baik, ingatkan dia dosa yang dilakukan dan kedudukan adik puan sebagai isterinya yang sah. Puan boleh mengingatkannya bahawa perkahwinan adalah hubungan kasih sayang atau mawaddah dan rahmah.

Sekiranya tujuan perkahwinan sudah tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada pihak sama ada isteri atau suami, maka pada ketika itu, kemungkinan perceraian adalah jalan terakhir yang wajar disarankan.


Oleh kerana adik puan dan suaminya selalu bergaduh, pukul memukul apabila isu hubungan luar ditimbulkan, bahkan membawa kepada maki hamun dengan perkataan tidak bai, sudah tentu sebarang usaha untuk menasihati suaminya jika dilakukan oleh adik puan secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga. Sekiranya puan sebagai kakak tidak mampu menasihati suami tersebut, puan boleh mencadangkan kepada adik tadi supaya berusaha meminta bantuan dari pihak ketiga seperti kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling di tempatnya bekerja atau sesiapa saja yang suami hormati.

Ibu bapa puan sewajarnya mengetahui masalah ini kerana mungkin mereka boleh menolong mengatasinya dengan lebih baik. Bagaimanapun, adik puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya ia tidak akan diperbesar dan menimbulkan kekecohan. Perantara itu mestilah orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara ini kepada orang lain. Perantara ini juga perlu tahu peranan yang hendak dimainkan dan boleh memberikan nasihat kepada suami secara berkesan.

Carilah perantara yang sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga. Apa yang penting adik puan sendiri tidak boleh duduk menangisi apa yang berlaku tanpa sebarang usaha untuk membaikinya kerana Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha membaikinya.Sekiranya segala daya usaha telah dijalankan, tetapi keadaan masih tidak berubah atau menjadi lebih negatif dan membawa mudarat yang lebih besar, maka kami cadangkan agar adik puan memikirkan kebajikan dirinya dan anak-anak jika terus bertahan dalam rumah tangga sebegini.


Adik puan wajar mendapatkan nasihat undang-undang dari mana-mana orang yang berkeahlian seperti Peguam Syarie berdekatan dan sebagainya. Apabila beliau selalu dipukul, ditampar dan dihina dengan panggilan tidak munasabah seperti dinyatakan, maka ia adalah alasan yang diterima Syara’ untuk perkahwinan tersebut dipisahkan. Puan boleh merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 di mana alasan-alasan tersebut diterima sebagai dasar untuk memohon fasakh.


Sekiranya adik puan masih ingin bertahan dalam rumah tangga tersebut, maka mungkin ada beberapa cadangan lain yang boleh difikirkan olehnya. Contohnya jika suami layak dan berkemampuan serta boleh berlaku adil, mungkin adik puan mungkin boleh menyarankan suaminya berkahwin lain dengan syarat tertentu seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam.

Selepas berusaha, berserah dan berdoalah kepada Allah. Ajaklah adik puan untuk selalu mendekatkan diri dengan Allah dan berdoalah kepada-Nya bagi membuka hati suami dan menanam benih kesedaran di dalam jiwa suami untuk berubah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi olehnya saja.

Kami menasihati adik puan dan mana-mana perempuan lain supaya mengambil tahu dan mempunyai ilmu tentang hak masing-masing di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan terpelihara. Sekiranya keadaan men jadi lebih berbahaya dan adik puan berasa khuatir keselamatannya akan terancam, beliau boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapat perintah tegahan bagi menghalang suami daripada mengganggu, memukul atau mencederakannya.


Kami juga menasihati beliau supaya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan dan laporan perubatan apabila keadaan memerlukan. Ia mungkin berguna sebagai bahan bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah di kemudian hari.


Kesimpulannya, sekiranya matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah, namun, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat. Semoga masalah beliau dapat diatasi dengan baik.

Jawapan disediakan oleh Nurhidayah Muhd Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Tuesday, March 11, 2008

Pilihan Raya ke 12

Ngundi.. Ngundi ...Jangan Tak Ngundi....

Hari Sabtu 8 Mac adalah hari besar dalam sejarah negaraku Malaysia.

Pada hari ini, pilihan raya umum ke 12 diadakan di seluruh negara. Selama 13 hari tempoh berkempen, macam-macam manifesto yang diketengahkan oleh semua parti yang bertanding. Di negeriku Kelantan, pihak BN melancarkan Manifesto khusus untuk membangun Kelantan sekiranya pilihan raya ini berpihak kepada BN. Antara manifesto adalah membuat lebuh raya ke Kelantan, menubuhkan universiti, lapangan terbang yang lebih besar, memansuhkan cukai pintu dan sebagainya.

Kata Ma (my mother), kempen memang betul-betul diadakan dan dia berpendapat bahawa pilihanraya ini menampakkan pertembungan yang sangat kuat antara PAS dan UMNO. Aku dan Abah tidak mengundi di Kelantan tetapi di Seksyen 17 Shah Alam , kawasan rumah lama kami sebelum berpindah ke perumahan sekarang.

Di Shah Alam juga, bendera masing-masing digantungkan diseluruh tempat, dijalan raya, di tiang lampu, di tepi lampu isyarat, di pokok dan sebaginya.. Aku ada beritahu Abah bahawa, apabila bendera yang besar-besar berbeza warna dan rupa bila ditiup angin, nampak sangat cantik dan berseri.. (Sebab petang hujan, aku banyak kali bertembung dengan angin kuat yang meniup semua bendera-bendera tersebut...jadi macam scenary yang sangat cantik..hehe..).

Aku mengikuti perkembangan kempen melalui internet, melawat pelbagai laman web dan membaca pelbagai pendapat dan cerita. Tidak terkecuali membawa analisa-analisa yang dibuat oleh moderator blog dan web2 yang dilawati.

Pada masa yang sama, aku juga sibuk dengan IELTS yang perlu ditamatkan dengan kadar segera. Pada hari Khamis 6hb Mac, aku ke SS 15 Subang Jaya untuk ujian lisan IELTS. Macam-macam soalan ditanya bermula dengan 'tell me about yourself' sampailah kepada 'explain about your place of job' dan 'what is your opinion on the unpaid service..' dan banyak lagi..Aku jawab ajer ler takat dapat, campur dengan gabra jadiler macam cakap german.. hehe..

Ujian bertulis akan diadakan dua hari kemudian iaitu pada hari besar pilihan raya. Dua hari ini aku banyak concentrate untuk membuat latihan dalam buku workshop yang diberikan, tetapi tak banyakpun dapat buat... sibuk dengan macam-macam benda..

Pada jam 6pm hari Jumaat 6hb Mac, Bos panggil aku ke biliknya.... ini mesti nak bagitau cerita Prof Saeed ni... Betul rupanya, tapi ada beberapa perkara lain yang Bos maklumkan:

1- Dia bertanyakan mengenai paper Pengajian Islam yang nak dibentang di Lancester UK pada Jun 08 nanti. Aku dah bincang minggu lepas, cadanganku letak nama Bos sebagai pembentang pertama dan aku orang kedua, kertas kerja mengenai research yang telah aku buat mengenai Islamic Lifelong Learning Education (ILLP) pada tahun sebelumnya.. Bos bersetuju dan hari Isnin ini 10hb Mac, aku akan serahkan abstract kertas kerja tersebut. Kami plan untuk mewar-warkan istilah Islamic Lifelong Learning Programme (ILLP) dan mencadangkan agar ia menjadi agenda negara dan juga agenda OIC.. Atas persetujuan dan membawa weithage lebih besar dari segi mewar-warkan slogan ILLP, Bos yang akan ke sana untuk membentang paper tersebut. Aku takde bangkangan sebab bulan enam aku akan sangat sibuk dengan persiapan cuti belajar.. insya Allah

2- Bos maklumkan bahawa perbincangan dgn Prof Saeed berjalan lancar dan dia dah bincang mengenai my position. Katanya secara dasar, proposalku diterima tetapi ada sedikit perkara baru iaitu Prof Saeed nak aku ke Melbourne bulan 8 ini, dan Bos menegaskan bulan 8 ini kena pergi, tak boleh bulan Okt atau Nov seperti yang aku cadangkan sebelum ini..

Cepatnye.. aku rasa tak nak pegi awal sangat, aku nak gi November atau Disember..

Entah kenapa, dalam hatiku tiap kali ingat nak ke Autralia, aku akan rasa sangat sedih untuk tinggalkan PGSM, yang lain tidak begitu terkesan di hatiku, nak tinggalkan tugasan aku di UiTM, tinggalkan post aku dalam NGO, tinggalkan post aku sebagai Penasihat Muslimat Surau, tinggalkan beberapa kelas pengajian yang aku sampaikan setiap bulan.. Semuanya tidak meninggalkan kesan di hatiku... tapi bila ingatkan PGSM, aku akan rasa sayu.. sangat sangat sayu..

PGSM banyak membina peribadi aku, menjadikan aku sangat perihatin dengan perkembangan Syariah di Malaysia, memberikan aku ruang untuk membina keupayaan diri dan mewakili PGSM sehingga membawaku sebagai member Board MQA Pembentukan Syllabus Undang-undang.. Aku sangat terhutang budi kepada PGSM.. dan kepada Presiden terutamanya.. Dan semua itu sudah pasti terpaksa aku tinggalkan untuk 3 atau 4 tahun... mungkin masa aku balik nanti suasana sudah berubah dan mungkin generasi baru yang akan menerajui PSM aku tidak kenali lagi.. sedihnyer..

3- Bos kata aku kena siapkan OBE, ILLP, mana-mana research dgn UiTM/FRSG yang belum selesai supaya nanti aku tinggalkan UiTM tanpa hutang..
Insya Allah Bos..

--------------------

Pada 8hb Mac, selepas solat subuh aku mula bersiap untuk ke IDP di SS 18, jam 8 pagi aku perlu ada di hadapan Bangunan Taylor's Business College. Orang tengah bersiap nak keluar mengundi, aku pulak sibuk nak pergi periksa.. hehe..Sampai sana jam 8.00 pagi.

Jam 9 pagi, exam dimulakan dengan Listening, kemudian diikuti dengan Comprehension. Akhirnya tulis essay dua.. semuanya 2.45 jam..

Soalannya susah ler.. AKu rasa tak kuat nak dapat Band 7.. takutnya..
Tawakkal pada Allah semoga Allah membantuku..

Habis exam, aku balik ke rumah jam 1.30 pm, lepas solat Zuhur dan makan, dalam jam 3 petang, aku ke tempat mengundi dan semuanya selesai 30 minit selepasnya..

Malamnya, aku berada di hadapan notebook sepanjang malam, membaca macam-macam laman web untuk mengetahui keputusan pilihan raya..web malaysiakini tak boleh masuk sebab jam.. aku ke kelatedaily, umno net, pemuda umno, pemuda pas, kuda kepang, jasin.net, raja putra, pru 12 dan macam-macam blog dan net yang semuanya menyentuh mengenai pilihan raya ini, disamping menonton channel AWANI Astro 501. Keputusan channel ni lebih cepat dari TV 1 dan TV 3..

Akhirnya keputusan pilihan raya diumumkan.. Ramai sangat yang terkejut dengan perubahan mendadak dan tidak terjangka ini...
Hanya Allah yang membuat keputusan..

Wamakaru wama karallah..
Wallahu khairul maakirin..
Manusia merancang, Allah juga merancang..
dan perancangan Allah adalah yang sebaik-baiknya...

Aku ingin memberi sedikit pendapat ilmiahku yang berharga 2 sen ni mengenai pilihan raya ini dalam entry yang akan datang..insya Allah


Friday, March 7, 2008

Blog Baru Jual Buku Fasakh


Buku Fasakh tulisanku boleh dibeli melalui blog http://jualbukuonline.blogspot.com/


Mana-mana pihak yang berminat sila lawati blog tersebut..
Ribuan terima kasih kepada yang telah membelinya..

Tuesday, March 4, 2008

Hari Isnin Yang Sangat Sibuk

Hari ini isnin 3 hb Feb 2008 adalah hari sangat sibuk, sekarang jam1 pagi, baru aku rasa selesa dan dapat relax sekejap..

Bermula jam 8.30 pagi, ada taklimat untuk calon biasiswa PhD di Dewan Mesyuarat Jabatan Pembangunan Biasiswa UiTM. Macam-macam taklimat bermula dari ucapan tahniah, teguran, nasihat dan amaran, borang-borang yang perlu diisi kepada mendapatkan bantuan agen-agen di Malaysia. Taklimat ini sangat bermanfaat kepada kami. Tahun 2008 menyaksikan bilangan calon teramai dihantar ke luar negara, hampir 100 orang dan majoritinya akan ke Australia, New Zealand, Jepun, USA, UK, German dan Sweden. Aku sungguh bersyukur atas izin Allah kerana termasuk dalam mereka yang mendapat rezeki ini.

Tamat jam 1.30, aku lari ke SS 15 di Subang Jaya untuk workshop English IELTS. Parking sangat susah tapi alhamdulillah ada orang keluarkan kereta maka aku dapat parking berdekatan dengan IDP Education. Agak susah jugak englishnya, aku hanya dapat 7/10 sahaja hari ini, Esok aku akan cuba lagi untuk mendapat 8/10 melepasi kehendak Uni Melb. Insya Allah tapi tak leh janji.. try ajer ler..

Dalam perjalanan dari kereta ke IDP, aku menegur seorang perempuan bertanya ke mana arah kiblat kerana aku akan tumpang sembahyang dalam Office IDP yang mana semuanya Cina. Tapi ALlah memudahkan urusanku, rupanya dia adalah pensyarah Taylor's Collage dan membawa aku ke surau perempuan yang dikhususkan untuk pelajar Taylor's. Syukur aku dapat menunaikan dengan baik dan suraunya pun sangat canggih dan bersih. Terima kasih yer Sis.. (lupa nak tanya namanya..)

Jam 5.00 pm, workshop break sekejap, aku lari semula ke surau tersebut untuk solat Asar. Selepasnya masuk ke workshop semula sehingga jam 6.05 petang. Kemudian aku berlari semula ke Shah Alam kerana program malam ini belum bermula dan masih panjang lagi.. Dalam workshop sangat letih kerana macam-macam kena buat. (berlari bagiku adalah dengan menggunakan MyVi hitam kesayanganku.. hehe..)

Aku balik ke Shah Alam dan sampai di Petronas Seksyen 20, aku tunggu abah untuk ke Bangi. Keretaku ditinggalkan di depan Petronas. Kami ke Bangi pulak atas beberapa urusan dan sampai di sana jam 7.40pm. Selepas jam 11 malam, kami berdua balik ke Shah Alam dan aku mengambil keretaku di Petronas tepat jam 11.20 malm...

Hari ini tamat di sini dan esok pagi jam 8-12 aku ada kelas dan 2-6 ada workshop IELTS....

Letih sangat tapi yeaa... aku seronok dengan kehidupanku walaupun sangat letih.. Tapi kesihan sangat pada Aisyah hari ini kerana tidak sempat bermanja dan berstory dengan Umi... esok kita sembang yer Aisyah...

Doaku ...semoga ALlah memberkati dan memberi simpati-Nya kepada seluruh urusan di sepanjang perjalanan hidupku... di dunia dan di akhirat..amin