Friday, February 23, 2007

Poligami tak jejas hak nafkah, harta 22 Feb 07

Hak Muslim: Bersama Mohamad Isa Abd Ralib
Mahkamah ada kuasa perintah bahagi sama rata aset sepencarian

SAYA adalah seorang surirumah yang mempunyai tiga orang anak. Masalah saya, baru-baru ini suami menyatakan hasratnya untuk berpoligami. Demi anak dan untuk mengelakkan perselisihan faham sehingga menyebabkan berlakunya perceraian, saya mengambil keputusan bersetuju suami berpoligami. Soalan saya, adakah saya dan anak akan mendapat hak kami berkaitan dengan nafkah seperti sebelum suami saya berpoligami
Azlina
Selangor

HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

Bagi seorang lelaki yang ingin berpoligami, mereka perlu melalui beberapa prosedur seperti ditetapkan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri. Syarat untuk berpoligami tidak sama antara satu negeri dengan negeri lain.Tujuan diwujudkan syarat ini adalah bagi menjamin hak isteri yang bakal dimadukan suaminya serta anak hasil perkahwinan mereka di samping tidak menolak keharusan poligami itu bagi lelaki di dalam Islam.
Di Selangor, peruntukan poligami dinyatakan dalam seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor, 2003 seperti berikut: “Tiada seorang pun lelaki, ketika wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dulu daripada mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.”Peruntukan ini membawa maksud, setiap lelaki yang ingin berpoligami mesti membuat permohonan dari Mahkamah Syariah serta hendaklah mendapat kebenaran daripada mahkamah.
Kaedah permohonan poligami dinyatakan di dalam seksyen kecil (4) seperti berikut: “Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu ikrar yang menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isterinya yang sedia ada sudah diperoleh atau tidak, terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.”
Mahkamah kemudian akan membuat pertimbangan terhadap permohonan berkenaan menerusi peruntukan dalam seksyen kecil (5) seperti berikut:
“Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan di dalam mahkamah tertutup dan mahkamah boleh memberi kebenaran yang dimohon itu jika berpuas hati:
(a) Bahawa perkahwinan dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain, hal keadaan berikut, iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan atau gila pada pihak isteri atau isteri sedia ada;
(b) Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, seperti dikehendaki Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya mengikut Hukum Syarak; dan
(d) Bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan dharar syarie kepada isteri atau isteri sedia ada.”Menerusi peruntukan di atas, setiap lelaki yang ingin berpoligami hendaklah, pada pertimbangan mahkamah memenuhi syarat dinyatakan di atas.
Oleh hal demikian, hak puan dan anak daripada segi pemberian nafkah akan dijamin oleh Mahkamah seperti yang diterima sebelumnya iaitu sebelum Mahkamah membenarkan suami berpoligami.
Selain itu, hak puan termasuk nafkah dan harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan dengan suami akan menjadi lebih terjamin dengan peruntukan seksyen 23 (1) Enakmen sama yang memperuntukan: “Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan:
(a) untuk mengkehendaki seseorang membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang sudah diperoleh oleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha sama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan.”
Dari segi undang-undang yang ada, sebenarnya hak isteri dan anak daripada keluarga sedia ada akan dipertimbangkan oleh mahkamah. Tetapi, puan harus ingat bahawa ada ketikanya, walaupun isteri sudah memberikan persetujuan, mahkamah tetap tidak membenarkan poligami kerana melihatkan suami tidak mampu dari segi kewangan dan boleh menyebabkan timbul kemudaratan lebih besar pada keluarga asal jika poligami diluluskan.
Saya berpendapat, poligami bukanlah satu jalan untuk mencari isteri kerana nafsu syahwat semata-mata, tetapi pihak suami perlu melihat perkahwinan itu sebagai amanah, tanggungjawab untuk berlaku adil dan kemampuan berlaku adil. Itulah yang harus difikirkan dan diutamakan suami kerana ia akan ditanya Allah di akhirat kelak.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralib. Sebarang persoalan syariah sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my
Telah disiarkan dalam Berita Harian 22 Feb 2007

Dua cara isteri didera tuntut cerai 21 Feb 07

Peguam Syarie Menulis:
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Wanita perlu segera buat pemeriksaan doktor, ambil gambar kesan deraan

HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

LIZA (bukan nama sebenar), seorang kerani sering kali dipukul suaminya apabila berlaku perselisihan faham. Suaminya akan bertindak di luar kawalan, menumbuk muka, menendang dan pernah meletakkan seterika panas ke tangannya ketika dia menggosok baju. Kadang-kadang apabila suaminya naik angin, anak akan menangis ketakutan melihat Liza dipukul.Selepas lima tahun diperlakukan demikian, barulah Liza bertindak membawa kesnya ke mahkamah syariah. Akhirnya Liza berjaya keluar daripada hubungan yang penuh darar itu selepas mahkamah meluluskan tuntutan fasakhnya.

Ada ramai wanita bernasib malang seperti dialami Liza. Kajian yang penulis jalankan ke atas 100 kes fasakh yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mulai 1996-2001 mendapati ada 23 kes (23 peratus) yang memohon fasakh atas alasan penderaan. Peratusan ini agak besar dan wajar diambil perhatian.Ada dua cara seorang isteri boleh membawa kesnya ke mahkamah untuk mendapatkan perceraian kerana didera iaitu secara fasakh atau taklik.

Untuk memahami kedudukan permohonan fasakh kerana didera, kita boleh merujuk satu kes yang diputuskan mahkamah rayuan syariah pada 1996 iaitu Abd Hanif lawan Rabiah.Dalam kes itu, isteri menuntut fasakh menggunakan dua alasan iaitu suami mengabaikan nafkah dan melakukan penderaan yang lazimnya menyakiti. Dalam keterangan, isteri berjaya membuktikan berlaku penderaan ke atas dirinya.Isteri membawa dua saksi perempuan yang menyaksikan suami memukulnya.

Hakim dalam keputusannya mengatakan seorang suami tidak harus memukul dan tidak memberi nafkah kepada isterinya, tetapi tidak meluluskan fasakh atas alasan kesaksian.Menurut hakim, untuk menguatkan dakwaannya, isteri dikehendaki membawa dua saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dengan dua saksi perempuan.Pihak isteri kemudian membuat rayuan ke mahkamah tinggi syariah dan dalam keputusannya, hakim memutuskan sebaliknya iaitu permohonan fasakh sudah disabitkan.

Selepas keputusan diperoleh, suami tidak berpuas hati dan membuat rayuan ke mahkamah rayuan syariah untuk menafikan keputusan hakim mahkamah tinggi.Pengerusi Jawatankuasa Rayuan kes itu ialah Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman yang kini Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Jawatankuasa Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi iaitu fasakh dituntut isteri diluluskan.

Ketika membacakan penghakiman itu, beliau menyebut:
“Yang Arif Hakim di mahkamah rendahsudah menekankan bahawa untuk mensabitkan berlakunya penganiayaan, berdasarkan ayat 282 surah al-Baqarah, ia hendaklah disokong dengan dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua perempuan. Menurut jawatankuasa rayuan, ayat itu berkisar kepada urusan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke satu masa tertentu di mana biasanya boleh didapati saksi dan ayat itu menerangkan mengenai perkara syahadah (kesaksian). Akan tetapi tidaklah munasabah memerlukan seorang isteri yang mendakwa dia dipukul suaminya mengadakan saksi seperti itu, kerana mustahil seorang suami apabila dia memukul isterinya akan memanggil dua orang saksi lelaki atau dua orang saksi perempuan dan seorang saksi lelaki untuk menyaksikan pukulan berkenaan. Dalam perkara seperti itu tidak perlu keterangan diberi sebagai syahadah dan memadai ia diberi sebagai bayyinah dan qarinah.”

Menerusi penghakiman di atas, jawatankuasa rayuan syariah membawa satu pembaharuan berkenaan urusan pembuktian kes, sekali gus membuka ruang lebih besar dalam menyelesaikan masalah pembuktian membabitkan penderaan terhadap isteri.Walaupun tanpa adanya sokongan saksi yang memberi kesaksian (syahadah), mahkamah tetap mempertimbangkan tuntutan isteri sekiranya berjaya membawa bukti seperti laporan polis dan laporan doktor yang mengesahkan dakwaannya sebagai keterangan yang kuat (bayyinah dan qarinah).

  • Berbalik kepada kes Liza, perkara yang perlu diambil perhatian:
    Seorang isteri yang didera tidak wajar berdiam diri. Apatah lagi menutup fakta seperti mengatakan terjatuh di bilik air dan sebagainya. Perkasakan diri daripada trauma dan berusaha mendapatkan bantuan sesiapa saja yang boleh dipercayai.
    Usaha menyelamatkan rumah tangga mesti dibuat. Jika penderaan berlaku apabila ada pergaduhan, maka cari punca masalah dan berusaha memperbaiki hubungan komunikasi pasangan.
  • Mendapat nasihat undang-undang daripada pihak yang mengetahui. Terdapat beberapa organisasi yang dapat membantu seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menerusi Biro Khidmat Guaman Syarie, Jemaah Islah Malaysia (JIM) di bawah Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (Paksi-JIM), AWAM, WOA dan sebagainya.
  • Bersegera membuat pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor, mengambil gambar lebam atau apa-apa tanda penderaan. Pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Semua ini adalah bahan bukti yang boleh membantu keterangan (sebagai bayyinah) di mahkamah syariah.
  • Laporan polis bahawa beliau didera akan diambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta Keganasan Rumah tangga dan Kanun Keseksaan. Pihak polis akan mengambil tindakan hanya selepas laporan dibuat.
  • Jika ingin membuat tuntutan fasakh atau taklik atas alasan penderaan, perlu disokong oleh saksi. Jika ada dua saksi lelaki maka ia adalah satu hujah yang sangat kuat.
    Berdasarkan penghakiman kes di atas, mahkamah akan menilai kesukaran mendapatkan saksi kerana penderaan selalunya berlaku di tempat tertutup, kamar tidur atau dalam rumah.
  • Arahan Amalan Bil 1 Tahun 2002 mengesahkan untuk menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau ada persamaan yang diputuskan mahkamah yang lebih tinggi hendaklah dihormati oleh mahkamah lebih rendah.
    Oleh itu, jika tidak ada saksi yang melihat penderaan itu, isteri mangsa deraan jangan berputus asa untuk mendapatkan keadilan di mahkamah syariah.

Kesimpulannya, isteri yang didera wajar mencari jalan menyelamatkan diri daripada terus didera. Jika penderaan sering berlaku selepas adanya pergaduhan, maka berusahalah meningkatkan seni komunikasi berkesan demi kesejahteraan rumah tangga.Isteri yang mendapat suami penyayang, jangan menyalahguna nikmat itu seperti bertindak liar atau tidak menghormati suami. Bersyukurlah pada Allah atas anugerah suami yang baik serta berusaha menjaga kebahagiaan rumah tangga.

Pada masa sama, suami perlu memperkasakan ilmu dan diri dengan ajaran Islam kerana melayan isteri dengan kasar, apatah lagi melakukan penderaan bukan ajaran Islam.Rasulullah adalah sebaik-baik suami yang melayan semua isterinya dengan lembut. Itulah ajaran Islam dan mesti dicontohi oleh semua suami.

Penulis adalah Exco Penyelidikan dan Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sekiranya anda mempunyai sebarang pendapat dan komentar, sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my

Telah disiarkan dalam Berita Harian 21 Feb 2007

Saturday, February 17, 2007

Aisyah Fairuz


saya nak tunjukkan gambar anak saya. Namanya Aisyah Fairuz. Aisyah sangat baik dan solehah. Dia suka belajar dan suka tolong orang tua. Aisyah bila besar nak jadi Doktor. Supaya bila umi dan abah tua, Aisyah boleh tolong kasi ubat. Nak tengok tak gambar anak umi?

Ini gambarnya tengah solat.

Friday, February 16, 2007

Letih sebab kerja tak siap-Artikel Ibuku Ibuku Jua

Minggu ini saya rasa sangat letih sebab banyak kena fikir dan banyak kena buat kerja. Asyik suruh pergi meeting tapi kerja tak sempat-sempat nak buat... Kadang rasa tension gak jadi lecturer ni. Amanah Tugasan Akademik (ATA) kelas belum serah pada Ketua ATA. Kena draf silibus baru, test budak2 belum buat lagi. Final exam nak vetting, project paper students, saya tak sempat lagi tengok proposalmereka.. Itu belum masuk lagi kerja Persatuan Peguam, report Biro Penerbitand an Penyelidikan tak buat lagi, kena present esok, meeting kol 3 pm Jumaat 16 hb Feb, Nasib baik Buletin PGSM dah selesai diposkan kepada semua ahli. Terima kasih pada Suzila dan Siti yang tolong settlekan..

Teringat pada Bengkel Rencan JIM hari tu, Kak Endok suruh buat Artikel hari Ibu, tiap kali tengok map yang diberi, rasa guilty pulak sebab tak sempat nak fikir pasal tu, nanti saya akan cuba jugak buatkan tapi tak tahu ler bila.. Harap2 Kak Endok tak terkejut bila bukak blog saya ni.. Nampak penuh dengan bermacam artikel, semuanya berat-berat.. tapi inilah diary simpanan data maya saya.. Akhir tahun semua tulisan dan artikel ini akan diterbitkan atas nama Persatuan Peguam Syarie Malaysia.. Saya sangat berharap saya akan dapat aktif dalam JIM suatu hari nanti sebagaimana saya aktif salam Persatuan Peguam. Amin..

nanti sambung..

Peguam Syarie Menulis 14 Feb 07

Dera isteri daripada perspektif syariah
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Empat mazhab tolak kejadian penderaan sebagai alasan tuntut cerai

KITA selalu mendengar atau membaca kisah sedih isteri menjadi mangsa penderaan suami. Ada kes isteri ditampar, ditumbuk, ditendang, diletak seterika panas di tangan, ditarik rambut dan tindakan tidak wajar lain.

HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

Soalan yang terlintas di hati kita, kenapa seseorang suami sanggup dan sampai hati mendera isterinya?Selisih faham, berbeza pendapat dan berbalah antara suami isteri adalah suatu yang lumrah dan tabii, kerana berkait dengan latar belakang berbeza di antara pasangan.

Setiap orang terbentuk hasil daripada latar belakang keluarga, ilmu pengetahuan dipelajari, kaedah dibesarkan, status dan tahap kehidupan masing-masing yang mempengaruhi cara pemikiran, pendekatan, penilaian terhadap sesuatu perkara.Sebab itu ada perkara dianggap penting oleh isteri tetapi tidak dianggap penting oleh suami dan begitulah sebaliknya.

Kadang-kadang perbezaan tidak diatasi dengan baik boleh berakhir dengan perbalahan sehingga membawa kepada pukul memukul dan sebagainya.Dalam menilai suatu perkahwinan, Islam menyarankan kita menerima pasangan seadanya dan selalu berusaha membaiki apa yang kurang. Perbezaan jangan sampai menjadi pergaduhan besar yang boleh membawa kepada perceraian.

Penderaan dalam bahasa Arab dipanggil darar. Al-Dusuqi, seorang ilmuwan silam daripada mazhab Maliki membincangkan isu penderaan dengan terperinci.Secara asasnya, penderaan suami ke atas isteri boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertama, penderaan secara fizikal, suami menyakitkan tubuh badan isteri dengan perbuatan kasar menggunakan tangan atau alat seperti memukul, menampar, menarik rambut, menendang sehingga luka, lebam-lebam, patah dan cedera.

Kedua, penderaan berbentuk mental dan emosi yang boleh berlaku apabila suami melayan isteri dengan buruk, memanggilnya dengan panggilan menghina, menjatuhkan maruahnya di hadapan orang seperti menyebut, "Wahai anak anjing, perempuan sial, wahai perempuan laknat, anak orang laknat atau ayat lain yang bermaksud menghina dan menjatuhkan maruah isteri atau keluarga isteri.Begitu juga apabila suami meninggalkan isteri, enggan melakukan persetubuhan tanpa sebab, enggan bercakap sehingga isteri menjadi tidak keruan dan tertekan, atau suami berpaling daripada isterinya di atas katil dengan tujuan mendera turut dianggap sebagai darar.

Ada ilmuwan yang membincangkan mengenai darar di bawah tajuk 'Pemisahan di antara suami isteri kerana berlaku pergaduhan'. Dalam bahasa arab disebut Tafriq Li al-Syiqaq.Penderaan ke atas isteri selalunya berlaku selepas wujud pergaduhan di antara mereka. Pendapat ini boleh dilihat antaranya dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh tulisan al-Zuhayli dan kitab al-Mar'ah Baina al-Fiqh wa al-Qanun oleh Sheikh Mustafa al-Siba'i.

Sekiranya seorang isteri didera, bolehkah beliau menuntut cerai di mahkamah? Kita cuba dalami apa pendapat ulama berkenaan isu ini. Ada dua pendapat di kalangan mereka. Mazhab Hanafi, Syafii, Hambali dan Zahiri menolak penganiayaan dan hubungan buruk suami sebagai asas untuk menuntut cerai.Mazhab Maliki pula mengambil sikap lebih terbuka dengan menerima penderaan sebagai alasan mendapatkan perceraian.

Al-Kasani daripada mazhab Hanafi menyatakan isteri didera berhak membuat aduan ke mahkamah tetapi hakim tidak berhak menceraikan mereka. Selepas menerima aduan isteri, hakim mesti melarang suami daripada meneruskan penganiayaan itu.Caranya dengan memanggil suami dan menegur, menghukum dan memerintahkan suami bergaul secara baik dengan isterinya. Isteri harus bersabar dan tidak boleh mendapat perceraian menggunakan alasan penderaan itu.

Al-Syirbini daripada mazhab Syafii pula mengaitkan tanggungjawab dan kuasa suami mendidik isteri nusyuz (derhaka) dengan cara memukulnya sebagai satu bentuk didikan.Berdasarkan ayat 4, surah al-Nisa yang memberikan tiga tahap didikan ke atas isteri nusyuz iaitu menasihati, memukul dan memisahkan tempat tidur.Oleh itu, beliau berpendapat apabila suami memukul isteri kerana enggan mendengar nasihat, tidak boleh dikatakan penderaan.Tetapi jika suami bersikap kejam, memukul tanpa sebab dan melayan isteri secara ganas, tindakan yang boleh dilakukan adalah melantik orang tengah (hakam) untuk berusaha menyelamatkan perkahwinan itu.

Al-Syirbini juga menyebut bahawa memisahkan pasangan terbabit tidak akan menyelesaikan masalah tetapi sekadar menjauhkan isteri daripada suami saja.Menyelamatkan isteri yang dianiaya perlu dilakukan dengan cara lebih efektif seperti suami dipanggil, ditegur, diberi nasihat, dihukum atau dipenjara sehingga dia bertaubat dan tidak mengulangi lagi penderaan ke atas isterinya.Mazhab Maliki membenarkan perkahwinan dipisahkan kerana berlaku darar ke atas isteri.

Al-Dusuqi menyatakan, walaupun isteri dibenarkan menuntut cerai kerana darar, tetapi mereka sangat ketat dalam urusan pembuktian.Syarat yang diperlukan ialah jika seseorang isteri membuat aduan ke mahkamah dan mendakwa didera, dia perlu disokong oleh dua saksi lelaki yang memenuhi syarat saksi.Jika yang menjadi saksi adalah perempuan, mahkamah tidak boleh meluluskan perceraian dituntut. Jika tidak ada saksi, maka jelas tuntutannya tidak akan dilayan.

Walaupun begitu, mazhab ini agak terbuka dalam menilai bilangan kekerapan penderaan dilakukan suami. Al-Dusuqi menyebut sekiranya sabit suami melakukan darar dengan niat menyakiti isterinya, maka tidak disyaratkan penganiayaan itu dilakukan berkali-kali.Perceraian boleh disabitkan walaupun darar yang dilakukan ke atas isteri hanya sekali. Itulah pendapat dominan di sisi mazhab Maliki.

Mazhab Maliki membenarkan perceraian kerana didera berdasarkan hadis yang bermaksud, “Jangan melakukan kemudaratan ke atas orang lain dan jangan membiarkan kemudaratan berlaku.” Oleh itu mahkamah tidak boleh membiarkan isteri yang didera tanpa diberi keadilan. Keadilan untuknya adalah menyelamatkannya daripada suami yang zalim.Kaedah fiqh 'Kemudaratan hendaklah dihilangkan' juga relevan iaitu sebarang perkara yang membawa bahaya dan kemudaratan hendaklah dihilangkan.

Justeru, jika satu perkahwinan mengandungi unsur darar maka ikatan itu boleh difasakhkan kerana darar yang berlaku ke atas isteri perlu dihilangkan dan mangsa dera hendaklah diselamatkan daripada menanggung kemudaratan.Bagaimana dengan peruntukan undang-undang dan amalan yang diterima pakai di Mahkamah Syariah negara kita? Apakah boleh seorang isteri yang didera mendapatkan cerai di mahkamah?Apa yang patut dilakukan oleh seseorang isteri yang didera sama ada penderaan emosi atau fizikal oleh suaminya? Perbincangan seterusnya akan disambung dalam siri akan datang.

INTI PATIHubungan suami, isteri
Persefahaman asas kebahagiaan rumah tangga. Tindakan mendera isteri perbuatan terlarang yang boleh menimbulkan pelbagai kesan buruk pada jangka panjang

Isteri mangsa penderaan memerlukan bantuan kaunseling dan khidmat orang tengah untuk menyelesaikan masalah

Mahkamah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah rumah tangga selepas tiada penyelesaian

Suami memukul isteri dengan tujuan nasihat tidak salah. Bagaimanapun tindakan itu jangan sampai mendera

Perbezaan latar belakang antara suami dan isteri sering menimbulkan masalah. Bagaimanapun setiap kekusutan masih ada jalan penyelesaian

Mazhab Hanafi, Shafii, Zahiri dan Hambali menolak alasan cerai semata-mata kerana penderaan

Mazhab Maliki lebih terbuka dengan menyatakan penderaan alasan untuk menuntut perceraian

Suami dan isteri perlu bersabar dalam menyelesaikan masalah rumah tangga. Elakkan perceraian kerana bukan penyelesai masalah

Perceraian menimbulkan pelbagai masalah lain yang menjejaskan keharmonian hidup individu itu sendiri
Berdasarkan ayat 4, surah al-Nisa yang memberikan tiga tahap didikan ke atas isteri nusyuz iaitu menasihati, memukul dan memisahkan tempat tidur

Penulis adalah Exco Penerbitan dan Penyelidikan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian pada 14 Feb 2007

Hak Muslim 15 Feb 07

Jatuh talak jika suami bersumpah isteri curang
Bersama Mohamad Isa Abd Ralib

?APAKAH cara boleh dilakukan isteri apabila suami yang juga bapa kepada tiga anak menuduh anak bongsunya yang baru berusia tiga bulan, bukan anaknya. Dia juga memberitahu saudara mara dan kawan-kawannya perkara itu kerana si suami sudah mempunyai kekasih lain dan ingin mengahwini kekasihnya itu. Mohon bantuan dan penjelasan tuan dan apakah langkah seterusnya perlu saya ambil.
Hasni, Kuala Lumpur

HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

Tuduhan suami terhadap isteri bahawa anak yang dilahirkan itu bukan darah dagingnya adalah satu tuduhan serius dan amat berat menurut Islam. Namun, sekiranya perkara itu berlaku, cara terbaik ialah cuba meyakinkan suami bahawa anak itu adalah anak kandungnya melalui ujian DNA.

Jika suami masih tetap dengan pendiriannya bahawa anak yang dilahirkan itu bukan darah dagingnya, maka cara terbaik ialah dengan menasihatkan suami bersumpah di Mahkamah Syariah.Li’an adalah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina tanpa saksi atau menafikan kandungan isterinya bukan daripada benihnya. Isterinya pula bersumpah menafikan tuduhan suaminya.

Li’an perlu dilakukan sekiranya suami yakin bahawa anak yang dilahirkan isterinya itu bukan darah dagingnya. Dengan itu suami perlu bersumpah di hadapan mahkamah dan jika ia berbohong maka Allah akan melaknatnya.Begitu juga pihak isteri, perlu bersumpah bahawa anak itu adalah anaknya bersama lelaki itu dan jika dia berbohong Allah akan melaknatnya.Kesan daripada li’an, hubungan mereka sebagai suami isteri akan berakhir dan mereka tidak boleh merujuk semula. Disebabkan ia termasuk dalam kategori bain kubra, ia adalah satu bentuk perceraian tidak boleh dirujuk sampai bila-bila.Selain itu, anak berkenaan tidak boleh dinasabkan kepada suami dan anak itu hendaklah dinasabkan kepada ibunya.

Suami tadi juga tidak diwajibkan membayar nafkah anak itu.Allah berfirman yang bermaksud: “Orang yang menuduh isterinya (dengan berzina) tetapi mereka tiada mempunyai saksi kecuali dirinya sendiri maka kesaksiannya ialah empat kali bersumpah dengan Allah bahawa ia seorang yang benar. Dan yang kelima bahawa laknat Allah atas dirinya jika ia dusta. Dan hukuman dapat tertolak dari isteri jika ia bersumpah empat kali dengan Allah bahawa suaminya itu dusta. Dan yang kelima bahawa kemurkaan Allah atas dirinya jika suaminya yang benar.” (Surah al-Nur, ayat 6 - 9)

Daripada sudut undang-undang, puan boleh merujuk Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan: “Jika pihak kepada sesuatu perkahwinan sudah mengangkat sumpah dengan cara li’an mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.”Suami membuat penafian nasab bukanlah satu alasan untuk berkahwin lain sebaliknya, suami boleh membuat permohonan poligami di Mahkamah Syariah dan mahkamah akan membenarkan permohonan setelah segala prosedur dipatuhi dan berpuashati dengan keterangan diberikan oleh pihak berkenaan.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia,
Mohamad Isa Abd Ralib. Sebarang persoalan syariah sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my
Telah disiarkan dalam Berita Harian pada 15 Feb 07

Monday, February 12, 2007

Peguam Syarie Menulis:Dalam BH pada 31 Jan 07

Sejarah membuktikan bahawa peradaban dan sains Islam mendahului zamannya. Pameran kegemilangan sains dalam tamadun Islam anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Institut Sejarah Sains Arab-Islam dan Johann Woofgang Goethe University, Jerman tentunya telah membuka mata para pengunjung pameran tersebut.

Pameran tersebut telah mempamerkan 148 bahan yang direka oleh ilmuan Islam di sepanjang zaman kegemilangan Islam silam. Pada ketika itu Eropah berada dalam dunia gelap atau dipanggil ’Dark Ages’. Ruangan ini tidak berhasrat untuk mengolah kembali bahan-bahan yang dipamerkan ataupun memperkenalkan saintis Islam yang mencipta bahan-bahan tersebut kerana adalah lebih baik pembaca pergi sendiri ke pameran tersebut bagi mendapatkan maklumat yang terperinci lagi.

Apa yang cuba diutarakan di sini ialah usaha kerajaan membawa rakyat mengimbau kembali kegemilangan sains Islam ini haruslah dipuji. Kementerian terlibat telah mengambil satu inisiatif mulia untuk menunjukkan fakta sebenar pencapaian sains, sekaligus menzahirkan pengiktirafan terhadap usaha-usaha saintis Islam sebelum ini. Namun begitu, kita tidak harus berbangga dengan sejarah silam sahaja. Sepanjang menyaksikan pameran tersebut, penulis berada dalam dua keadaan yang berbeza iaitu bangga dan gembira, dan masa yang sama berasa sedih dan pilu. Bangga melihat betapa tingginya pencapaian orang Islam terdahulu, dan sedih kerana memikirkan di mana kita, umat Islam pada hari ini? Kenapa umat Islam pada hari ini tidak maju sebagaimana saudara kita pada zaman dahulu? Apakah perbezaan antara kita dan mereka?

Perkara-perkara sebegini haruslah difikirkan bagi meneruskan kelangsungan kegemilangan Islam. Kita perlu menelusuri sejarah dan kehidupan masyarakat Islam pada zaman dahulu yang telah berjaya membawa kemajuan yang begitu gah dan digeruni lawan dan kawan. Sumber-sumber ilmu yang ditimba dari Al Quran dan Al Sunnah hendaklah tidak diketepikan bagi memacu kecemerlangan umat bukan sahaja di dalam bidang sains malah dalam apa bidang sekalipun.

Umat Islam dahulu amat berpegang dengan Al Quran dan Al Sunnah. Mereka tidak mempertikaikan walau sepotong ayat di dalam Al Quran ataupun mempermainkan sunnah Nabi. Mereka mengambil Islam secara keseluruhannya dan menyerahkan pengabdian diri kepada Pencipta secara total. Melalui kaedah ini mereka berjaya di dunia dan di akhirat.

Namun dalam kelompok umat Islam pada hari ini, ada yang berani mempersoalkan Al Quran dan Al Sunnah. Meletakkan perkara-perkara lain seperti hak persendirian dan kebebasan diri melebihi keagungan Al Quran dan Al Sunnah. Adakah kita akan cemerlang dengan cara ini? Di mana bukti umat Islam yang meninggalkan Al Quran dan Al Sunnah berjaya mencipta peradaban yang mantap dan dibanggakan menjangkau zamannya? Sedangkan kita telah mempunyai bukti bahawa umat yang berpegang dengan Al Quran dan Al Sunnah telah mengharumkan nama agama dan umatnya.

Tidak lama dahulu masyarakat agak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Meor Atiqurrahman yang lebih dikenali di kalangan ahli undang-undang sebagai Kes Serban. Dalam kes ini Hakim-hakim tersebut yang tidak terlatih dalam bidang fiqh Islami termasuk yang tidak beragama Islam telah memutuskan antara lain bahawa pemakaian serban bukanlah ’integral part’ bagi agama Islam.

Kemudian, terdapat pula pelbagai komentar dalam masyarakat kita yang mengatakan serban adalah amalan orang Arab, bahkan ada yang menyatakan pemakaian serban akan menyebabkan pemakainya menjadi jumud dan tidak cerdik. Ini kerana oksigen tidak dapat bergerak bebas dalam kepala pemakai serban. Bermacam-macam lagi andaian yang telah dibuat yang tidak didokong oleh kajian saintifik dan statistik yang membuktikan dakwaan tersebut. Benarkah memakai serban akan menyebabkan seseorang itu mundur?

Apabila mengunjungi pameran sains Islam yang dinyatakan diatas, berdasarkan lakaran gambar-gambar yang ada, kesemua saintis Islam yang tersohor itu memakai serban, malah serban yang dipakai oleh mereka itu lebih besar dari serban yang dipakai oleh rakyat Malaysia.

Timbul persoalan dalam diri penulis, adakah benar memakai serban akan menyebabkan seseorang itu mundur. Jika benar kenapakah pakar sains Islam terdahulu berjaya mendahului zamannya walaupun mereka memakai serban? Fikir-fikirkanlah persoalan ini.


Seperkara lagi ialah tentang kedudukan wanita pada zaman keagungan sains Islam. Adakah mereka ini ditindas semata-mata kerana tidak ditonjolkan tokoh ilmuan Islam dari kalangan wanita? Adakah ilmuan Islam ini meminggirkan hak wanita Islam? Dengan kecerdikan dan daya intelektual yang tinggi ini tentulah ilmuan Islam ini tidak akan menindas mana-mana golongan kerana telah terbukti keadilan Islam melampaui batasan gender dan bangsa. Persoalan sekarang di manakah wanita-wanita ini? Penulis berpendapat wanita-wanita ini menyokong ilmuan-ilmuan lelaki ini di dalam kajian mereka sama ada secara langsung ataupun tidak. Namun ini tidaklah bermakna wanita Islam tidak boleh ke hadapan menonjolkan kajian ilmiah mereka. Apa yang penting ialah batasan-batasan syarak itu dipatuhi. Janganlah kita mengambil pendekatan jika sesuatu permasalahan itu diselesaikan oleh ilmuan lelaki, maka orang lain mempertikaikannya serta melabelkannya bias dan berat sebelah.

Berbalik kepada pameran sains Islam ini, ia akan menjadi kenangan jika ianya sekadar menjadi bahan tontonan sahaja. Usaha MOSTI ini mestilah disusuli dengan kesedaran dan motivasi bagi menjana masyarakat Islam khususnya di Malaysia. Kita perlu kembali kepada Islam dan mencapai kejayaan yang sama dengan ilmuan Islam ini, bahkan lebih hebat daripada itu. Usaha ini perlu digalas bersama bukan sahaja dikalangan para ulama’ tetapi juga mestilah didokongi oleh kerajaan dan disokong oleh umat Islam sendiri.

Sistem pembelajaran di Malaysia dan kurikulum yang berkaitan juga mungkin perlu dikaji semula dan ditambah baik agar ianya dapat menyemai elemen-elemen kebesaran Ilahi di dalam pengajaran di samping memetik sumber-sumber daripada Al Quran dan Al Sunnah sebagai pedomannya. Begitu juga dengan fakta-fakta pelopor penemuan sains yang dikatakan bermula dari Barat perlu dibetulkan bahawa pelopor sebenar adalah orang Islam. Abu al-A’la al-Mawdudi (1987) pernah menyatakan bahawa dalam mendidik manusia, elemen-elemen kebesaran Ilahi perlu dimasukkan dalam kurikulum yang ada. Jika tidak dikaitkan dengan Allah dan nilai-nilai keagamaan, fenomena yang kompleks yang ada di alam raya dan makhluk-makhluknya sebagai bukti manifestasi kebesaran Allah, pelajar-pelajar tidak akan mampu melihat kehadiran Allah dan tidak akan berupaya untuk menyatukan (synthesize) ideologi-ideologi yang bertentangan dengan satu penyatuan sepadu.

Umpamanya di dalam pembelajaran sains biologi, teori-teori yang diajar perlu dikaitkan dengan kebesaran Allah dan sumbernya dari Al Quran. Dakwaan Darwinisme perlu dibetulkan. Pembentukan dan pembesaran janin yang telah diceritakan di dalam Al Quran hanya diketahui oleh saintis moden beribu tahun setelah Al Quran diturunkan. Inilah kebesaran Allah. Semoga dengan pendekatan baru itu, generasi baru akan berjaya melihat kebesaran Allah, kekayaan ilmu dalam al-Quran, ketinggian pencapaian orang Islam terdahulu dan tidak mustahil, mereka akan berazam dan berusaha untuk mencapai kejayaan seperti ilmuan silam yang ditunjukkan dalam pameran tersebut. Dengan cara ini pasti kita akan dapat melahirkan ilmuan yang hebat dan pada masa yang sama berpegang teguh kepada agamanya.


Artikel ini ditulis oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian paa 31 Jan 2007

Peguam Syarie Menulis: Dalam BH 17 Jan 07

Agama paling berkesan tangani kes akhlak
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

PERSOALAN sama ada undang-undang perlu mencampuri urusan moral masih lagi diperkatakan. Ada sebahagian yang berpendapat bahawa undang-undang moral tidak perlu dikanunkan kerana mengganggu hak asasi manusia. Sedangkan terpulang kepada individu sendiri untuk meletakkan piawaian moralnya sendiri.

Pandangan ini perlu diteliti dari lensa agama kerana setiap pandangan kita seharusnya berakar umbi daripada agama. Agama Islam tidak boleh dilihat dari kaca mata agama lain atau doktrin tertentu kerana Islam mempunyai jalan penyelesaian sendiri bagi setiap permasalahan. Budi pekerti, akhlak atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan masyarakat ikhlas dan amanah. Mengetepikan nilai moral dalam perundangan amat berbahaya kerana semua undang-undang pada hakikatnya digubal dan dikuatkuasakan bagi menegakkan sistem moral yang jitu.

Pembunuhan secara tidak sah, umpamanya adalah suatu perbuatan tidak bermoral, oleh itu ada undang-undang menangani kesalahan ini. Begitu juga kesalahan seperti mencuri, pada asalnya ia adalah suatu perbuatan keji tidak disenangi oleh masyarakat.Oleh itu masyarakat mencari jalan bagaimana mengekang perbuatan mencuri. Natijahnya ialah undang-undang menghukum pencuri diadakan supaya perbuatan keji itu dapat dibanteras.Sekiranya moral dimaksudkan itu hanya merujuk kepada kesalahan akhlak dan ibadat seperti dalam ajaran Islam, maka ia amatlah mendukacitakan kerana prejudis hikmah agama Islam itu sendiri serta agama lain.Sebenarnya, tiada agama berkompromi mengenai isu moral seperti ini.

Hal yang demikian dapat dilihat apabila sami Buddha di Thailand pernah berdemonstrasi membantah penjualan arak secara berleluasa dalam masyarakat mereka sehingga menyebabkan keruntuhan moral di kalangan generasi muda.Begitu juga paderi Kristian sering kali di dalam ucapan mereka menekankan pentingnya mempunyai jati diri dan moral yang tinggi. Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral bersandarkan kepada agama.Lupakah kita akan salah satu Rukun Negara kita iaitu Kesopanan dan Kesusilaan? Yang menyedihkan kita ialah prinsip Rukun Negara ini hanya diperdengarkan di sekolah. Ia amat jarang dicanangkan di tempat lain.

Inilah yang menyebabkan Rukun Negara dilupai.Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan juga sering diabaikan kerana ada pihak yang tidak mempercayai Tuhan. Jika undang-undang berasaskan moral hendak dihapuskan, maka Rukun Negara pun perlu dihapuskan. Rukun Negara amat penting bagi memelihara jati diri masyarakat yang terkenal dengan keramahan dan kesopanannya.Situasi ini wujud sejak sekian lama dan menjadi identiti. Kenapakah kita perlu menukar identiti dan jati diri kita? Apakah akan terjadi kepada sesebuah negara jika rukunnya tidak diendahkan lagi.

Maka akan runtuhlah negara itu walaupun sekuat mana rakyatnya berusaha untuk memajukan negara.Keruntuhan akhlak yang kita hadapi pada hari ini amat menyedihkan dan berleluasa. Alangkah baiknya jika prinsip Rukun Negara ini ditekankan dan usaha yang bersepadu dan berterusan dilakukan bagi memastikan ia ditegakkan. Keputusan perlulah dibuat oleh pihak berwajib bagi menangani permasalahan ini.Sepatutnya di dalam membuat sesuatu keputusan kita merujuk kembali kepada Islam. Seperti yang pernah diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah; Apakah akhlak Rasullulah, Aishah menjawab "Akhlak Rasulullah ialah al-Quran." Oleh itu apabila al-Quran melarang orang Islam meminum arak, adakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila tertera di dalam al-Quran larangan berzina, adakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan perzinaan dan pelacuran?

Rasulullah pernah bersabda: "Sesungguhnya Rasulullah itu diutus untuk menyempurnakan akhlak terpuji." Pada masa sekarang kita tidak dapat lari daripada mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri renggang daripada Islam. Kalau dulu apabila ayat al-Quran pengharaman arak diturunkan, maka sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang selepas 1,400 tahun berlalu penghayatan terhadap al-Quran amat rendah. Oleh itu hukuman berbentuk keduniaan ini perlu bagi berperanan sebagai penghalang kepada budaya meminum arak ini.

Dalam masyarakat moden kini akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan dan dokongan daripada undang-undang. Masyarakat sudah tidak lagi mempunyai keikhlasan yang penuh dalam membuat sesuatu tindakan. Hal yang demikian menjadikan kuasa undang-undang perlu bagi memberi amaran terhadap perlakuan yang melanggar undang-undang moral. Pada masa ini dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat amat menyedihkan, apa akan jadi jika semua perundangan ini dihapuskan. Maka ada lakonan di dalam perundangan ini.

Secara hipotetikal, apabila undang-undang ini dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita. Biarkan saja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan anak kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti pula? Kita tidak mempunyai jaminan jika undang-undang moral ini dihapuskan masyarakat Malaysia akan menjadi masyarakat yang lebih baik berbanding dengan masyarakat pada hari ini.Tidak dinafikan pendidikan adalah unsur penting untuk mengawal moral seseorang. Tetapi pendidikan saja tidak mencukupi kerana pendidikan bertindak sebagai amar maaruf manakala hukuman dalam bentuk perundangan "bertindak sebagai ‘nahi munkar’. Kedua-dua kaedah ini sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Jika kita meneliti kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian suatu hari nanti mungkin ada undang-undang yang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu sembahyang lima kali sehari atau tidak?

Andaian ini adalah andaian yang melampau dan tidak diasaskan kepada kaedah fikah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar terkenal dengan kebengisan pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan. Mungkin apabila paradigma masyarakat berganjak kepada suatu masyarakat yang mempunyai budi yang luhur dan akhlak yang terpuji, maka pada waktu itu barangkali pada ketika itu barulah kita tidak perlukan undang-undang moral ini. Bolehkah kita mempunyai masyarakat sebegini? Sama-samalah kita berganding bahu mencegah kesalahan yang diperundangkan itu supaya seluruh masyarakat tahu bahawa undang-undang itu sudah tidak relevan lagi kerana masyarakat terdidik dan tidak memerlukan perundangan moral ini.

Hanya ketika itulah masa yang sesuai untuk menghapuskan perundangan itu dan bukan sekarang.Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup merangkumi semua aspek kehidupan. Apa perkara pun yang kita lakukan hendaklah berlandaskan kepada ajaran agama. Jauhilah segala perbuatan tersasar daripada hukum agama atau yang berada di luar ruang lingkup ajaran Islam. Islam adalah sebuah agama yang indah, keindahannya akan lebih ketara sekiranya Islam itu diamalkan sepenuhnya.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian 17 Jan 07

Peguam Syarie Menulis: Dalam BH 10 JAN 2007

Tugas ibu bapa menyemai benih ketakwaan
Zainul Rijal Abu Bakar

PENGGAL persekolahan 2007 baru bermula minggu lalu. Ibu bapa bertungkus lumus menyediakan pelbagai keperluan bagi anak mereka menghadapi sesi persekolahan. Tidak kurang juga ibu bapa bergolok bergadai bagi memastikan anak mendapat pelajaran terbaik dan mengharapkan kejayaan dicapai oleh anak mereka selain mendapatkan sekolah sesuai, selesa dan baik untuk anak.

Tidak sedikit perbelanjaan dikeluarkan ibu bapa seperti membeli pakaian seragam baru, keperluan dan peralatan sekolah, buku, membayar yuran persekolahan dan peperiksaan. Jumlah dibelanja oleh ibu bapa bagi seorang anak menjangkau ratusan ringgit. Ada juga berbelanja lebih untuk anak. Persoalannya adakah perbelanjaan yang mungkin mencecah ribuan ringgit ini melepaskan tanggungjawab ibu bapa daripada mendidik anak mereka. Adakah perbelanjaan yang banyak ini berjaya menambat hati anak dan membentuk sahsiah Islam anak kita?Ibu bapa kini menyerahkan anak kepada sekolah bagi mencorakkan masa depan mereka. Penyerahan ini dilakukan kerana percaya kepada sistem pelajaran yang diamalkan di negara kita ini.
Memang sistem pelajaran di sekolah kita mantap dan berkualiti, namun sebenarnya adalah suatu kesilapan besar jika kita menyerahkan sepenuhnya anak kita kepada sekolah. Hakikatnya, institusi pelajaran pertama dan utama bukan di sekolah tetapi di rumah. Ibu bapa adalah guru pertama kepada anak mereka. Mereka juga contoh teladan yang sering diikuti anak.Ibu bapa mestilah mendidik anak dengan sewajarnya dan tidak mengharapkan sekolah saja mencurahkan ilmu kepada anak. Tanggungjawab dan peranan ibu bapa tidak terhenti tatkala anak mendaftarkan persekolahan mereka. Tanggungjawab dan peranan ini perlu terus digalas oleh ibu bapa sehingga mereka mempunyai tanggungjawab sendiri. Inilah hakikat yang perlu difahami oleh ibu bapa.
Ironinya, apabila pelajar berjaya di dalam peperiksaan awam, kita akan lihat sebahagian pelajar dan ibu bapa yang mendakwa kejayaan anak adalah hasil usaha gigih mereka tanpa memberikan sedikit penghargaan kepada guru. Tetapi apabila anak ini kecundang atau tidak cemerlang, yang menjadi mangsa adalah guru yang didakwa tidak pandai mengajar ataugagal menarik perhatian pelajar. Maka jadilah guru ini mangsa dalam semua keadaan.Juga ada ibu bapa yang menswastakan anak kepada pembantu rumah yang kebanyakannya adalah warga asing. Akibat kesibukan kerja dan mencari rezeki, ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada pembantu rumah warga asing ini bagi menjaga keperluan anak. Apa yang menyedihkan ialah pembantu rumah ini bukan hanya membantu hal ehwal rumah tangga tetapi mengambil alih tugas ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak serta pendidikan mereka.
Ibu bapa melepaskan tangan mereka dan beranggapan bahawa mereka menjalankan tanggungjawab mereka. Keadaan sama berlaku kepada anak yang dihantar di taman asuhan dan rumah orang perseorangan ketika ketiadaan ibu bapa mencari rezeki.Yang lebih menyedihkan pula, keluarga yang berpecah belah, bercerai berai dan tidak sehaluan. Dalam keadaan ini, anak selalunya menjadi mangsa perbalahan keluarga. Dalam kes perceraian, sama ada ibu atau bapa yang menang kes mereka di mahkamah, anak sebenarnya kalah di dalam kes itu. Anak akan kehilangan salah seorang daripada ibu bapa mereka.
Perkara ini amat jarang diberi pertimbangan oleh pasangan yang bercerai. Kerap kali mereka hanya akan menuntut hak mereka di mahkamah peradilan tanpa mengambil berat tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.Maka membesar anak malang ini dalam keadaan dendam membara, perbalahan yang tidak ada penyelesaiannya dan fitnah memfitnah antara satu sama lain. Bagaimanakah anak ini dapat membesar dan diberi didikan yang terbaik? Berbalik kepada peranan ibu bapa ini, sebenarnya ibu bapa masih perlu memantau perkembangan pelajaran anak walaupun mereka bersekolah.
Anak bukan hanya memerlukan perbelanjaan persekolahan dari ibu bapa, tetapi lebih penting ialah perhatian dan didikan daripada ibu bapa itu kerana ramai anak berkelakuan nakal bukan kerana mereka sebenarnya nakal tetapi semata-mata hanya kerana ingin menarik perhatian keluarga. Anak ini tidak tahu bagaimana hendak menarik perhatian dan kasih sayang ibu bapa, mereka beranggapan dengan melakukan sesuatu drastik ibu bapa akan lebih menumpukan perhatian kepada mereka.Tetapi mereka silap, apabila ia berlaku ibu bapa menjadi berang dan memaki hamun anak, memberi hukuman dan sebagainya. Anak ini menjadi merana dan marah terhadap ibu bapa mereka dan timbullah bibit kebencian dalam diri anak terhadap ibu bapa mereka.Seterusnya mereka akan mengalih perhatian kepada rakan sebaya dan pengaruh luaran.
Apabila ia berlaku, maka amat sukar untuk berpatah balik ke pangkal jalan terutama jika sudah terjebak ke lembah hina seperti pengaruh dadah dan pergaulan bebas tanpa batasan. Semoga Allah menjauhkan anak kita daripada terperangkap dengan gejala itu.Tanpa merendahkan institusi sekolah dan guru menggembleng segala usaha memastikan kejayaan pelajar, ibu bapa seharusnya lebih berperanan di dalam mencipta kejayaan anak mereka. Kejayaan yang perlu dibentuk oleh ibu bapa bukan saja kejayaan di dunia tetapi di akhirat. Menyemai benih keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah tanggungjawab amat besar. Ia mesti dilakukan daripada usia muda seawal usia tujuh tahun seperti saranan Rasulullah di dalam mengajar anak untuk mendirikan sembahyang adalah salah satu daripada Rukun Islam.
Keimanan dan ketakwaan mantap kepada Allah akan menjadi benteng yang kukuh bagi anak mempertahankan diri daripada pengaruh tidak baik. Ia berupaya menjadi pemangkin kepada kejayaan di dunia ini sesuai dengan kata kata pujangga Arab yang bermaksud ‘Bekerjalah untuk dunia kamu seolah-olah kami akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati pada keesokan harinya.’Manusia perlu berusaha keras untuk kejayaan di dunia dan menghimpun bekalan dunia ini seoalah-olah kita akan hidup di dunia ini selama-lamanya tanpa meninggalkan nilai akhirat. Manusia hendaklah beramal dengan tekun dan ikhlas seolah-olah nyawa kita akan dicabut pada esoknya.
Tentulah jika kita tahu kita akan mati pada keesokan hari, kita tidak akan henti-henti melakukan ibadat kepadaNya.Ibu bapa dan guru hendaklah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan kejayaan cemerlang anak. Ketiadaan salah satu elemen ini tentu akan mencacatkan nisbah kecemerlangan anak kita. Kedua pihak ini perlu berganding bahu memikul tanggungjawab masing-masing. Inilah neraca imbangan yang disyorkan bagi memastikan kejayaan cemerlang umat Islam di dunia dan di akhirat.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar

PGSM: Hak Musim Dalam Berita Harian 18 Jan 2007

Hak Muslim: Isteri boleh mohon perintah tegahan, fasakh

SAYA menghadapi masalah rumah tangga yang serius. Saya selalu bergaduh dengan suami kerana dia terlalu kasar dan tidak mahu bertolak ansur. Sepanjang lima tahun berkahwin, saya selalu dipukul dan dimaki hamun ketika bergaduh. Kami tidak mempunyai anak. Bagaimana dapat saya menasihat suami saya agar dia sedar kesalahannya. Buat masa ini saya tidak mahu berpisah.
Fina Banting, Selangor

JAWAPAN: PERSELISIHAN faham adalah lumrah dalam rumah tangga, namun jika perselisihan faham itu membawa kepada pergaduhan besar seperti maki hamun dan memukul tanpa sebab munasabah, maka ia bukan perkara biasa lagi. Antara tujuan perkahwinan adalah untuk berkasih sayang dan memenuhi naluri semula jadi manusia. Oleh itu, Islam menggariskan peranan, tanggungjawab dan hak suami isteri yangmesti dipikul secara bersama dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.

Sekiranya tujuan rumah tangga itu tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada pihak sama ada isteri atau suami, maka pihak terbabit boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan berdasarkan alasan dan cara dibenarkan oleh hukum syarak talaq adalah perkara halal paling dibenci Allah.Oleh kerana puan dan suami sering bergaduh, dimaki hamun dan dipukul tentulah sebarang usaha untuk menasihati suami secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga. Lebih baik minta bantuan pihak ketiga bagi membantu menyelesaikan masalah rumah tangga.P

uan boleh berjumpa dengan kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling atau sesiapa saja yang suami hormati. Bagaimanapun, puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya ia tidak akan diperbesar dan menimbulkan kekecohan. Perantara itu mestilah orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara ini kepada orang lain. Perantara ini juga perlu tahu peranan yang hendak dimainkan dan boleh memberikan nasihat kepada suami secara berkesan. Carilah perantara yang sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga.Puan juga perlu tahu punca suami menjadi panas baran.

Adakah ia berpunca daripada sifat semula jadi, tekanan kewangan, tekanan di tempat kerja atau masalah keluarga. Jika dapat mencari puncanya mungkin cara menangani masalah suami akan menjadi lebih mudah kerana puan hanya perlu memfokuskan usaha kesedaran kepada aspek itu . Umpamanya sekiranya ia berpunca daripada faktor tekanan kewangan yang menyebabkan suami menjadi selalu tidak tentu hala dan naik angin, puan mungkin boleh menolong membantu meringankan masalah kewangan suami. Jika ia sifat semula jadi, mungkin ia mengambil sedikit masa bagi suami berubah dan eloklah kedua-dua mendapatkan khidmat pakar kaunseling yang boleh membantu membuka minda suami.

Sekiranya faktor ketiadaan anak menjadi isu, puan dan suami boleh membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan rawatan. Ada banyak kaedah perubatan yang boleh diambil bagi membolehkan seseorang perempuan itu hamil, namun perlu berhati-hati agar kaedah dipilih tidak tergelincir daripada landasan syarak. Sekiranya masih gagal mendapat anak atas apa juga sebab, puan boleh mengambil anak angkat.

Sekiranya suami berkemampuan dan boleh berlaku adil dan demi untuk menyelamatkan rumah tangga, puan mungkin boleh menyarankan suami berkahwin lain dengan syarat tertentu seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam. Insya-Allah sikap suami akan berubah dan tiada lagi pergaduhan. Puan harus bersifat terbuka kerana tujuan utama adalah untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, namun ada beberapa syarat perlu dipenuhi suami bagi melayakkannya berpoligami.Selepas berusaha, berserah kepada Allah.

Berdoalah kepada-Nya bagi membuka hati suami dan menanam benih kesedaran di dalam jiwa suami untuk berubah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi oleh hamba-Nya saja.Puan juga perlu mengetahui hak undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan terpelihara. Sekiranya khuatir keselamatan akan terancam, puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk menghalang suami daripada mengganggu atau memukul.Bagi memudahkan mahkamah membuat pertimbangan untuk memberikan perintah tegahan itu, dokumen seperti laporan perubatan dan polis hendaklah dikemukakan kepada mahkamah.

Puan dinasihatkan mengumpul dokumen itu untuk memohon perintah tegahan di mahkamah. Puan juga berhak memohon di mahkamah syariah untuk perintah pembubaran perkahwinan secara fasakh atau takliq sekiranya terbukti suami puan memukul dan mencederakan puan.Puan perlu bijak membuat keputusan sama ada untuk terus hidup dengan suami atau mengakhiri perkahwinan. Sekiranya matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah, namun, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat. Insya-Allah hidup kita akan diberkati Allah.

Jawapan disediakan oleh:
Hj Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Ruangan PGSM Hak Muslim Januari 2007

Hak Muslim: Pelaksanaan penyampaian ganti elak tangguh kes
Disiarkan dalam Berita Harian pada 11 Jan 07

SAYA ditinggalkan suami lebih dari dua tahun dan memohon perceraian di mahkamah syariah. Malangnya saya tidak tahu di mana suami saya tinggal sekarang dan mahkamah tidak mahu menjalankan kes saya selagi suami tidak datang. Kes itu ditangguhkan beberapa kali. Saya menanggung kos yang banyak kerana selalu turun naik mahkamah tetapi mahkamah hanya menangguhkan kes saja. Mahkamah juga menasihatkan saya mengambil peguam. Apa yang perlu saya lakukan.

Gantung Tidak Bertali
Kampung Baru, Kuala Lumpur

JAWAPAN: PADA kebiasaannya mahkamah hanya mendengar kes apabila kedua belah pihak hadir bagi mendengar keterangan dari kedua belah pihak. Ini adalah cara bagaimana mahkamah ingin membuat keputusan adil. Prosiding di mahkamah syariah tertakluk kepada tatacara yang ditentukan. Tatacara ini berfungsi untuk memudahkan perjalanan prosiding mahkamah dan mencapai keadilan bagi kedua-dua pihak yang bertikai. Hakim adalah terikat dengan tatacara ditetapkan. Oleh itu, puan perlu mahir dengan tatacara yang ditetapkan bagi melicinkan perjalanan kes puan. Segala tatacara yang ditetapkan terdapat dalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Mahkamah terpaksa menangguhkan kes puan mungkin kerana saman dan penyata tuntutan puan tidak dapat disampaikan kepada suami puan. Pada asasnya setiap saman dan penyata tuntutan hendaklah diserahkan kepada defendan bagi memberi peluang kepada defendan (suami puan) menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan dari kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.

Prinsip umum ini dipakai kepada semua kes melainkan dalam kes tertentu yang boleh dibicarakan secara sebelah pihak atau ex parte.Saman boleh disampaikan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermeterai kepada defendan dan diperiksa olehnya. Defendan hendaklah menandatangani saman itu sebagai akuan penerimaan. Jika defendan enggan menerima saman itu ia boleh ditinggalkan berhampiran dengan defendan berkenaan dan perhatiannya diarahkan kepada saman itu. Saman perlu diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 hari dari tarikh pengeluarannya. Ia bermakna puan perlu menyerahkan atau menyebabkan diserah saman itu dalam tempoh yang dinyatakan di atas.

Sekiranya tempoh itu atau akan luput puan hendaklah dengan kadar segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh kesahan saman.Berbalik kepada masalah puan hendak menyampaikan saman terhadap defendan yang tidak diketahui di mana tempat tinggalnya sebagai mana kes puan alami. Dalam keadaan ini puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti. Puan perlu memfailkan notis permohonan dan disokong oleh afidavit bagi mendapatkan perintah penyampaian ganti itu.Jika mahkamah berpuas hati bahawa atas apa-apa alasan yang mencukupi saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri seperti yang dinyatakan di atas, mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat di alamat defendan yang terakhir yang diketahui atau apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian dibuat melalui iklan di dalam mana-mana akhbar tempatan seperti yang difikirkan patut oleh mahkamah.Bagi penyampaian ganti ini, walaupun secara realitinya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan di dalam akhbar tempatan itu, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian ke diri yang disebutkan di atas iaitu seolah-olah defendan menerima saman itu secara kediri. Apabila sempurna penyampaian ganti ini, mahkamah hendaklah menyifatkan saman itu disampaikan kepada defendan.Selepas menampal dan pengiklanan itu dibuat, puan hendaklah memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan bahawa penyampaian ganti sudah puan lakukan seperti diperintahkan oleh mahkamah. Sekiranya suami puan tinggal di luar Kuala Lumpur pula puan juga hendaklah memohon perintah penyampaian di luar bidang kuasa.

Sekiranya puan mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan itu, maka kes puan tidak perlu ditangguhkan lagi dan puan bolehlah memohon agar kes puan dibicarakan. Ketika tarikh perbicaraan itu puan hendaklah memberi keterangan bagi menyokong tuntutan puan, membawa dokumen sokongan ke atas tuntutan yang puan failkan serta saksi yang mengetahui hal keadaan puan bagi mensabitkan taklik berkenaan.Sekiranya perlu puan juga boleh bersumpah syarie (yamin al istizhar) bahawa segala keterangan yang puan berikan adalah benar. Dengan cara ini nilai keterangan puan akan menjadi lebih kuat. Yamin al istizhar ini adalah suatu sumpah yang mempunyai kesan undang-undangnya yang tersendiri di sisi hukum syarak. Ia dilakukan dengan dimulai dengan lafaz menggunakan nama Allah.

Oleh itu, saya menasihatkan puan supaya memohon perintah penyampaian ganti bagi mempercepatkan penyelesaian kes puan.

Jawapan ini disediakan oleh :
Hj Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Friday, February 9, 2007

Perkahwinan buka pintu rezeki, elak maksiat

Peguam Syarie Menulis:
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

RUANGAN sebelum ini menyentuh bagaimana Islam menilai perkahwinan bukan saja sebagai satu akad yang mengikat dua insan saling menyukai tetapi mempunyai hubungan rapat dengan unsur keagamaan.Atas dasar itu, Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredaan-Nya.

Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi keluarga adalah perkara mulia dipandang penting.Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.

Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga.Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur, ayat 32)

Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.Sabda Baginda SAW bermaksud: “Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Ahmad)

Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti, mempunyai jati diri Muslim sebenar.Apakah yang dikatakan perkahwinan itu?

Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'

Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:
# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan berlangsung.
# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu, Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari pertalian darah, susuan dan persemendaan.
# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan, barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan kepada Allah di dalam perkahwinan.
# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka. Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah. Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.
# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.
# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian, Rabu 8 November 2006

Thursday, February 8, 2007

Tindakan Artis Burukkan Khadijah

Peguam Syarie Menulis: Pendapat persenda agama gugat akidah
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

'
HREF="http://ad.my.doubleclick.net/jump/N1405.bharian.com.my/B2174556;abr=!ie4;abr=!ie5;sz=400x200;ord=[timestamp
]?">

MASYARAKAT sangat terkejut dengan tindakan seorang artis ketika menyebut umur Khadijah ketika Rasulullah mengahwininya dalam satu rancangan televisyen pada 30 Januari lalu.Rancangan itu disiarkan secara langsung dan seluruh rakyat yang menontonnya mendengar kata-kata yang diucapkan itu. Penonton dalam rancangan pula dikatakan bertepuk tangan seolah-olah tidak berasakan kenyataan itu adalah satu kesalahan.

Sebelum ini, kita pernah mendengar kenyataan yang seumpamanya daripada banyak pihak. Mungkin ada yang masih ingat seorang artis pernah menyatakan bahawa seorang pelakon berpegang tangan dan berpeluk ketika melakonkan watak dalam filem adalah wajar atau dibenarkan kerana dibandingkan dengan tugasan doktor yang memegang pesakit untuk tujuan berubat. Begitu juga dengan kenyataan bahawa amalan berpoligami dalam Islam adalah suatu amalan ortodoks yang ketinggalan zaman dan wajar ditolak.

Pepatah orang tua ada menyatakan, 'Terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak kata, buruk padahnya.'Sekiranya ada orang mengambil barang kita tanpa izin, mungkin kita akan memaafkannya apabila barang dipulangkan. Tetapi jika dia menyebut kata-kata yang pedas dan menghina sehingga menghiris hati kita, mungkin ia sukar untuk dimaafkan.

Kita semua sering melakukan kesilapan sama ada dalam sedar atau tidak. 'Semua anak Adam melakukan kesilapan, dosa dan yang paling baik adalah apabila melakukan dosa, mereka bertaubat dan memohon ampun. Demikianlah saranan Rasulullah kepada kita apabila melakukan sesuatu kesilapan.Hadis ini membuktikan kecantikan Islam yang memberi peluang kepada manusia untuk membaiki diri selepas melakukan kesalahan.

Namun begitu, kedudukan melakukan kesilapan berbeza mengikut keadaan pelaku ketika kesilapan dibuat. Seseorang yang minum arak dengan niat untuk minum dan sedar hukum perbuatan itu adalah dosa maka dia bertanggungjawab atas kesilapannya.Dosa melakukan kesalahan itu akan dibebankan ke atasnya. Berbeza dengan seorang yang jahil atau tersilap meminum arak kerana beranggapan ia adalah air biasa.

Dalam kes diatas, Pengarah Jakim menasihatkan pelakon itu menarik balik kata-katanya dan meminta maaf secara terbuka. Beliau mematuhinya. Sesuatu yang menarik apabila Pengarah Jakim membuat perbandingan iaitu 'Dia nak minta maaf pada siapa? Siti Khadijah dah wafat, Nabi Muhammad pun dah wafat...' Jadi permohonan maaf terbuka yang ditujukan kepada 'mana-mana pihak yang berasa tersinggung..' apakah sudah dianggap memadai? Hanya Allah yang mengetahui dan semoga ia dilakukan dengan penuh keinsafan dan taubat yang sebenar-benarnya.

Membuat kenyataan dan memberi pendapat adalah lumrah dan sebahagian daripada kehidupan. Namun apabila ia membabitkan isu sensitif dalam agama, ia tidak boleh dibuat melulu dan mengikut kata hati. Agama adalah pedoman untuk diamal dan dipegang kerana ia menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kesuciannya mesti dipelihara. Kenyataan yang salah dan bercanggah mungkin membabitkan penghinaan kepada dasar agama dan ia boleh menggugat akidah. Atas dasar itu, sebelum mengeluarkan sebarang pendapat atau kenyataan, kita perlu berfikir kesannya. Walaupun jika dilakukan dengan tujuan bergurau atau membuat kelakar.

Apabila seseorang mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan kepada agama dan intinya, maka apakah ia satu jenayah menurut undang-undang Syariah di negara ini? Merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, Bahagian III memperuntukkan pelbagai kesalahan yang berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya.

Seksyen 9 memperuntukkan satu kesalahan apabila seseorang menyebut atau melakukan perbuatan yang menunjukkan ia mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat al-Quran atau hadis.Ini bermaksud, jika ada orang yang menyebut apa-apa perkataan yang menghina al-Quran atau hadis, menyatakan al-Quran atau Sunnah sudah tidak relevan dengan zaman, mempersenda hukum yang ada atau mempermainkan isi kandungannya maka itu satu kesalahan. Sama juga jika seseorang membuat sesuatu perbuatan seperti membuang al-Quran kerana mempersendakan, itu juga adalah kesalahan di bawah Enakmen ini.

Begitu juga apabila seseorang menyebut atau membuat perbuatan sehingga membuatkan orang lain pula menghina al-Quran dan hadis, maka semua itu adalah kesalahan dan jika sabit, pesalah boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.Seksyen 10 pula memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang dengan perkataan dapat didengar atau dibaca atau dengan tulisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang boleh difahami menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, mempersendakan, mengajuk-mengajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam atau mempersendakan peruntukan undang-undang Syariah maka ia melakukan kesalahan dan jika sabit boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Namun begitu, pensabitannya hanya akan berlaku di mahkamah selepas adanya laporan dan pendakwaan dibuat terhadap pelaku. Ia melibatkan pula prosedur dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah.Berbalik kepada perbandingan melakonkan aksi berpegang tangan dan berpeluk ketika melakonkan watak dalam filem dibandingkan dengan tugasan doktor yang memegang pesakit untuk tujuan berubat. Apakah perbandingan itu wajar dan tepat?

Kaedah fekah menegaskan 'Darurat mengharuskan yang haram.' Kaedah ini dipakai apabila kita bertembung dengan keadaan darurat, maka hukum asal kepada sesuatu perkara boleh berubah. Seperti hukum haram memakan bangkai bertukar menjadi harus apabila darurat dan pelakunya tidak dikenakan dosa di sisi Allah.

Kelonggaran ini dibenarkan demi menjaga keselamatan salah satu daripada lima maslahah daruriyyat iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Seorang doktor memegang pesakit contohnya menyambut kelahiran anak adalah untuk menyelamatkan nyawa pesakit, ia sangat berbeza dengan seorang memeluk bukan mahram kerana melakonkan watak dalam filem.

Justeru, apabila memberi pendapat, elakkan sebarang kenyataan yang boleh memberi maksud menghina kepada agama dan isi kepada seluruh ajaran Islam. Apabila kita kurang jelas, bertanya kepada yang arif adalah satu tindakan yang mulia.Pada masa sama, kita wajar mengambil iktibar atas apa-apa kejadian yang berlaku dalam masyarakat. Semoga kita selamat daripada kemurkaan Allah dan tidak tersasar daripada landasan agama tanpa disedari.

Penulis ialah Exco Penerbitan dan Penyelidikan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian 7 Februari 07

Sunday, February 4, 2007

Artikel Peguam Syarie Menulis 31 Jan 2007

Memperbetul Persepsi Poligami

Oleh :
Nurhidayah Muhd Hashim

Kebelakangan ini masyarakat kita kembali hangat membicarakan isu poligami. Filem Indonesia ’Berbagi Suami’ dikatakan mampu menyedarkan keburukan amalan poligami. Menurut akhbar, cerita ini mengangkat tema poligami dan memfokuskan kepada masalah kehidupan rumahtangga tidak bahagia yang dilalui oleh orang yang bermadu. Di antara isteri-isteri yang dimadu dan tidak bahagia itu, ada yang terjebak kepada dengan cinta lesbian sesama jenis dan mereka akhirnya menjadi pasangan lesbian. Filem ini dikatakan tidak menjatuhkan hukum atau membuat kesimpulan tetapi memberi peluang kepada penonton membuat kesimpulan dan menilai berdasarkan keilmuan dan perspektif masing-masing.


Secara dasarnya, Islam mengharuskan poligami. Ia berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud :

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim, maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu suka dari kalangan perempuan-perempuan lain: dua, tiga atau empat. Kemudian kalau kamu bimbang tidak akan berlaku adil (diantara isteri-isteri kamu ) maka kahwinilah seorang sahaja.”
(An-Nisa’ 4 : 3.)

Allah menggunakan bilangan dua, tiga, empat dan satu merujuk kepada bilangan wanita sebagai isteri. Tanpa perlu berfikir dengan terperinci atau membaca yang tersirat, setiap yang membacanya akan faham maksud ayat ini bahawa seseorang lelaki dibolehkan berkahwin dua, tiga atau empat orang wanita yang berbeza pada satu masa. Namun begitu, Allah menyambung bahawa sekiranya seseorang lelaki itu berasa bimbang atau takut tidak dapat melayani kesemua isteri secara adil, maka ia seharusnya berkahwin dengan seorang sahaja.

Ia juga berdasarkan nasihat Rasulullah saw kepada sahabat yang baru memeluk Islam yang telah mempunyai ramai isteri semasa belum Islam. Bagi yang mempunyai isteri lebih daripada empat, Nabi saw telah menyuruh mereka membuat keputusan untuk memegang tidak lebih dari empat orang sahaja pada satu masa. Di antaranya seperti yang berlaku kepada Ghailan bin Salamah, Qais bin al-Harith, Naufal bin Muawiyyah dan lain-lain.

Menurut Hammudah dalam bukunya ‘Family Structure in Islam’, poligami ini lebih kepada ‘voluntary behavioral measure’ yang mana ia adalah berdasarkan kehendak seseorang yang layak sama ada dia ingin melaksanakan atau tidak melaksanakan kebenaran tersebut. Sesiapa yang merasakan dia layak dan ingin mengamalkannya, maka ia bukan satu kesalahan. Namun begitu, ia tidak pernah dikaitkan dengan sesuatu amalan yang digalakkan atau amalan yang dianjurkan seperti jika dilakukan ia boleh meningkatkan iman seseorang.



Dalil kedua yang berkait adalah ayat 129 surah al-Nisa’ yang bermaksud;

“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai.”

Mustafa al-Sibaie seorang ilmuan Islam menyatakan bahawa adil merujuk kepada kemampuan suami memberi layanan yang adil kepada isteri-isterinya. Suami tersebut tidak pilih kasih dari segi penyediaan tempat tinggal, pakaian, makanan, giliran bermalam dan seterusnya yang dipanggil urusan maddi (urusan zahir dan material). Namun begitu dalam urusan yang bersifat dalaman atau lebih personal seperti rasa kasih yang berbeza, senda gurau yang tidak sama dan sebagainya maka ianya tidak menjadi syarat di bawah pengertian adil tersebut. Ayat 3 dan 129 Surah an-Nisa hendaklah dibaca bersama agar kita dapat memahami maksudnya yang sebenar.

Oleh itu jika isteri pertama dibiarkan hidup susah, menyewa rumah kecil sedangkan anak ramai dan isteri kedua yang baru dikahwini disediakan kehidupan yang mewah, dibeli rumah besar dan diberi wang nafkah yang banyak, maka jelas ia berlawanan dengan konsep keadilan dalam ayat 3 tersebut. Manakala dalam hal dalaman, jika suami berasa sayang yang lebih kepada isteri kedua berbanding isteri lain, dia seharusnya tidak melampau menunjuk-nunjuk sehingga isteri lain merasa terkontang-kanting tidak keruan. Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam hubungannya dengan isteri-isteri Baginda walaupun kasihnya lebih tertumpah kepada Aisyah.


Apa yang disyariatkan oleh Allah yang bersifat Maha Mengetahui mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan poligami. Namun begitu, disebabkan kesilapan segelintir lelaki yang mengamalkan poligami secara tidak adil, maka masyarakat telah mempunyai perspeksi yang salah sehinggakan keharusan berpoligami dalam Islam itu pula yang turut dipersalahkan.

Perumpamaan mudah yang boleh digunakan adalah seperti pisau yang digunakan oleh seseorang untuk membunuh seseorang yang lain. Apabila pembunuh tersebut melakukan pembunuhan menggunakan pisau yang dimilikinya, maka seharusnya pelaku itu yang dianggap bersalah, bukannya pisau tersebut. Apabila pisau itu yang diperbahaskan dan menjadi bahan kutukan dan cemuhan, maka perkara ini adalah sesuatu yang sangat sukar untuk diterima oleh orang yang waras. Apatahlagi jika ada pihak pula yang mencadangkan supaya dibuat undang-undang agar tidak ada orang boleh menggunakan pisau dalam apa juga keadaan kerana kesilapan yang dilakukan oleh pembunuh tersebut, maka keadaan akan menjadi lebih tidak munasabah. Begitulah apa yang terjadi kepada peruntukan poligami.

Kita semua mengetahui bahawa salah satu sifat Allah swt adalah Maha Mengetahui. Maka sebagai Muslim, tauhid kita perlu jelas dalam hal ini. Sekiranya seseorang tidak boleh menerima hakikat suaminya berpoligami, ia berkait dengan kekuatan jiwa menerima ujian tersebut. Ini tentunya sangat berbeza dengan seseorang yang menyatakan bangkangannya mengenai keharusan berpoligami dalam Islam.


Dalam amalan poligami, ia melibatkan banyak pihak. Poligami tidak berlaku jika satu pihak tidak memberi persetujuan. Apabila lelaki dipersalahkan kerana menyiksa wanita yang telah menjadi isteri pertama, ia juga melibatkan wanita lain yang bersedia menjadi isteri-isteri kepada lelaki yang telah beristeri. Ia umpama bulatan roda yang berpusing tidak berkesudahan. Kaedah fiqh Islam lebih menekankan bahawa ‘menolak keburukan adalah lebih aula dan utama dari mengambil manfaat.’ Ini menunjukkan bahawa menolak dan mengelak keburukan yang bakal timbul adalah lebih aula dan utama dari mengambil manfaat yang mungkin ada dari sesuatu perkara.

Jika seorang lelaki sedar diri, sedar kadar kelemahan dan kekuatan dirinya, sudah boleh menilai jika berpoligami akan membawa kepada lebih banyak buruk dari baik untuk diri, isteri dan anak-anak yang sedia ada, maka wajarlah memilih monogami dan mengambil pendekatan seperti disarankankan al-Quran. Atas dasar itu kenapa kita melihat Islam memberi batasan pergaulan di antara bukan muhrim. Perempuan dan lelaki perlu menjaga maruah diri, bergaul secara terbatas dan jangan sampai hubungan intim melibatkan perasaan dengan bukan muhrim apatah lagi jika orang tersebut telah berpunya.

Kembali kepada filem ‘Berbagi Suami’ ini, walaupun mungkin ada kebaikan yang dapat diketengahkan melaluinya, tetapi jika ia telah dijangka berdasarkan pendedahan tersebut, boleh menyebabkan orang ramai membuat penilaian yang silap atau mengubah perspektif masyarakat sehingga secara tak langsung, orang ramai melihat ajaran agama suatu yang buruk dan silap, maka filem ini wajar ditolak. Apatah lagi jika ia boleh menghasilkan cadangan yang lebih buruk seperti membawa pilihan lesbian sebagai alternatif, ataupun menjadi perempuan simpanan atau membujang dan membenci lelaki seumur hidup, maka filem ini wajar ditapis dan diperbahaskan dengan waras menurut lensa agama serta tidak diketengahkan kepada masyarakat.

Penulis adalah Exco Persatuan Peguam Syarie . Artikel ini telah disiarkan dalam Slot Peguam Syarie Menulis, Berita Harian pada Hari Rabu, 31 Januari 2007

Temuramah Dengan Utusan




23 Januari 2007
4 Muharam 1428


Bicara Agama
Jangan tolak keharusan poligami

Polemik tentang poligami seolah-olah tidak ada penghujungnya. Di celah-celah kegembiraan lelaki berpoligami, golongan wanita atau isteri pertama dikatakan sering teraniaya dan `makan hati’.
Terbaru, filem Berbagi Suami arahan pengarah Indonesia, Nia Dinata turut membincangkan mauduk yang sama, secara yang agak luar biasa.
Bagi membicarakan isu ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, ASMARUDDIN JAMALUDDIN menemu bual Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, yang juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd. Hashim.



UTUSAN: Apakah kesan filem ini kepada masyarakat?

NURHIDAYAH: Berdasarkan ulasan dan laporan akhbar mengenai Berbagi Suami, kesan filem ini kepada masyarakat terbahagi kepada beberapa aspek.
Filem ini berkisar tentang masalah poligami melalui tiga cerita dari tiga watak yang berbeza - Salma, pakar sakit puan, Siti, gadis kampung yang datang ke Jakarta untuk mencapai cita-cita dan Ming, gadis Cina seorang pelayan di restoran itik panggang yang bermimpi mahu jadi pelakon.
Ia dikatakan mampu menyedarkan keburukan amalan poligami dalam masyarakat. Penceritaan memfokus kepada masalah kehidupan rumah tangga tidak bahagia yang dilalui oleh orang yang bermadu. Di antara isteri-isteri yang dimadu dan tidak merasa bahagia itu, ada pula yang terjebak kepada dengan cinta lesbian sesama jenis dan mereka akhirnya menjadi pasangan lesbian. Namun, cerita ini tidak menjatuhkan hukum atau membuat kesimpulan.




UTUSAN: Ada yang beranggapan ia persoalan biasa yang membicarakan isu sosial masyarakat dan tiada kaitan dengan akidah. Benarkah?
NURHIDAYAH: Pada dasarnya, memanglah ia sebuah filem untuk tujuan berhibur. Namun, ada kebimbangan filem ini membawa pengaruh negatif kepada umat Islam terutama apabila tiada hukum diberikan.
Apa yang perlu dijelaskan ialah Islam mengharuskan poligami berdasarkan firman Allah: Maka kahwinlah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudian kalau kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka kahwinilah seorang sahaja. (An-Nisa’: 3)
Seterusnya dalam surah yang sama ayat 129, Allah berfirman, Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai.
Kita bimbang, pengaruh filem ini membawa implikasi negatif kepada masyarakat terutama yang kurang faham tentang bab poligami. Mereka beranggapan disebabkan kekecewaan atau bantahan isteri kerana berkongsi suami menyakitkan mereka, lebih baik hubungan lesbian yang tidak ada perkongsian.
Yang kedua, kita bimbang ia menghalang wanita berkahwin atau mewujudkan kebencian kepada lelaki. Akhirnya mereka tidak nampak nilai perkahwinan kepada pembentukan keluarga umat Islam.
Semuanya gara-gara bimbang dimadukan atau terlibat dalam poligami sedangkan Islam mengharuskannya. Lebih teruk lagi, jika masyarakat beranggapan lebih baik menyimpan perempuan atau melanggan pelacur daripada membenarkan suami berpoligami.
Perlu ditegaskan bahawa ayat 3 surah An-Nisa’ itu hanyalah satu peruntukan Allah membenarkan amalan tersebut.
Menurut Hammudah dalam bukunya Family Structure in Islam, beliau melihat poligami ini lebih kepada voluntary behavioral measure. Maknanya, terpulang kepada lelaki melaksanakannya atau tidak.
Namun begitu, Allah menyambung bahawa sekiranya seseorang lelaki itu berasa bimbang atau takut tidak dapat melayani kesemua isteri-isterinya secara adil, maka ia seharusnya berkahwin dengan seorang perempuan sahaja.



UTUSAN: Kalau begitu, bagaimanakah keadilan yang perlu wujud dalam perkahwinan poligami? NURHIDAYAH: Mustafa al-Sibaie seorang ilmuan Islam dalam membincangkan pengertian adil dalam berpoligami menyatakan bahawa ia merujuk kepada kemampuan seseorang suami untuk memberi layanan yang sewajarnya secara adil kepada isteri-isterinya.
Suami tersebut juga tidak pilih kasih dalam penyediaan tempat tinggal, pakaian, makanan, giliran bermalam dan semua perkara yang berhubung dengan pergaulan suami isteri.
Namun begitu dalam urusan yang bersifat dalaman atau peribadi seperti rasa kasih, senda gurau yang tidak sama dan sebagainya tidak menjadi syarat di bawah pengertian adil tersebut.
Ayat 3 dan 129 surah an-Nisa’ hendaklah dibaca bersama agar kita dapat memahami maksudnya yang sebenar.
Ini bermaksud, adil yang disyaratkan di dalam ayat 3 itu adalah merujuk kepada tanggungjawab suami ke atas perkara-perkara luaran seperti menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, giliran bermalam dan seterusnya. Giliran bermalam bukan semata-mata merujuk kepada hubungan kelamin tetapi adalah berada bersama isteri yang berhak mengikut jadual susunan walaupun tidak melakukan hubungan kelamin.
Urusan-urusan ini lebih kepada perkara maddi (urusan zahir dan material). Jika isteri pertama dibiarkan hidup susah, menyewa rumah yang kecil sedangkan anak ramai dan isteri kedua yang baru dikahwini disediakan kehidupan yang mewah, dibeli rumah yang besar dan diberi wang nafkah yang banyak, maka ia berlawanan dengan konsep keadilan yang disebut dalam ayat 3 tersebut.
Dalam urusan batin, ia dianggap terkecuali. Mungkin suami berasa sayang yang lebih kepada isteri kedua berbanding isteri pertama yang sudah berumur. Namun si suami seharusnya tidak melampau dan menunjuk-nunjuk menyayangi salah satu daripada isteri-isteri yang ada.
Jangan sama sekali seorang suami menunjukkan sayang yang lebih sehingga isteri lain merasa terkontang-kanting tidak keruan. Perasaan isteri perlu dijaga. Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam hubungannya dengan isteri-isteri baginda walaupun kasihnya lebih tertumpah kepada Aisyah.
Perlu diingat, lelaki yang berpoligami sebenarnya mendedahkan diri kepada tanggungjawab yang lebih. Bermakna perkara itu akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.



UTUSAN:Jadi, yang salah bukanlah poligami tetapi pelaksanaannya?
NURHIDAYAH: Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Apa yang disyariatkan oleh Allah yang bersifat maha mengetahui mempunyai hikmahnya tersendiri. Begitu juga dengan amalan berpoligami.
Kesilapan pelaksanaan poligami oleh segelintir lelaki menyebabkan masyarakat mempersalahkan keharusan berpoligami.
Analoginya adalah seperti pisau yang diguna oleh seseorang untuk membunuh seseorang yang lain. Apabila individu membunuh menggunakan pisau yang dimilikinya, maka seharusnya pelaku itu yang dianggap bersalah, bukannya pisau tersebut. Apabila pisau itu yang diperbahaskan dan menjadi bahan kutukan dan cemuhan, maka perkara ini amat sukar diterima akal yang waras. Apatah lagi jika ada pihak mencadangkan tidak boleh menggunakan pisau dalam apa juga keadaan kerana kesilapan yang dilakukan oleh pembunuh tersebut. Begitulah apa yang terjadi kepada peruntukan poligami.


UTUSAN:Apakah ganjaran bagi wanita yang reda dimadukan?
NURHIDAYAH: Bagi yang reda pula, ganjaran pahala yang besar menunggu mereka. Namun, jika seorang wanita tidak boleh menerima hakikat suaminya berpoligami, ia berkait dengan kekuatan jiwa menerima sesuatu ujian ataupun nikmat Allah. Kata-kata yang keluar dari mulutnya, keyakinan dalam hati dan imannya perlu menjurus kepada perkara ini.
Adakalanya, sudahlah merampas suami, wanita tersebut juga menjadi penyebab kepada runtuhnya rumah tangga yang dibina sekian lama kerana isteri muda enggan dimadukan.



UTUSAN:Bagaimana pula dengan kedudukan wanita begini?
NURHIDAYAH: Kita perlu sentiasa meletakkan agama di depan. Melihat dengan lensa agama. Kaedah fikah menetapkan 'menolak keburukan adalah lebih utama dari mengambil manfaat'.
Dengan kata lain, wanita yang ingin berkongsi kasih perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan isteri pertama. Mereka perlu bertanya soalan seperti sukakah kita dimadukan dan bolehkah kita berkongsi kasih termasuk dengan anak-anak tiri?
Jangan kita bina kebahagiaan di atas runtuhan istana orang lain. Lelaki yang ingin berpoligami juga perlu melihat apakah dengan memilih wanita kedua akan membawa manfaat atau mudarat yang lebih besar kepada keluarga dan anak-anak yang sedia ada.
Memberi kata dua kepada suami pilih aku atau dia (isteri pertama) akan membawa kepada perceraian. Apabila ini berlaku, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Mereka akan terganggu emosi dan psikologi. Kita mahu rumah tangga menjadi ‘rumahku syurgaku’ bukannya ‘rumahku nerakaku’.

Blog Kawan-kawan

Blog kawan-kawan yang hadiri Bengkel Rencana JIM
www.kelasblogger.blogspot.com
www.wanitabertuah.blogspot.com
www.lotty-maknahidup.blogspot.com
www.cheffhanim.blogspot.com
www.niatku.blogspot.com
www.santunjiwa.blogspot.com
www.ibucerdik2007.blogspot.com
www.thechosenroad.blogspot.com
www.sakeena-nur.blogspot.com
www.mawardesa07.blogspot.com
www.klasik-jati.blogspot.com
www.geminigirl-greenblogger.blogspot.com