Tuesday, January 27, 2015

Menepati Janji

Janji dan Menjaga janji
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim

Kita kerap berjanji. Ada yang berjanji dengan anak-anak seperti mengatakan jika sianak berlaku baik, maka dia akan mendapat hadiah. Tetapi apabila dia berbuat baik, tidak ada hadiah yang diterima. Ada yang berjanji dengan kawan untuk bertemu di satu tempat tetapi apabila tiba masanya, orang yang berjanji tidak kunjung tiba. Ada yang meminjam duit dan berjanji membayarnya dalam masa tertentu, tetapi apabila sampai masa dipersetujui, hutang tidak dibayar, bahkan orang yang berjanji membayarnya mungkin lari dan mengelakkan dari bertemu dengan orang yang membantunya.
 
Sama ada  sedar atau tidak, kita kerap mengambil mudah ketika berjanji. Berapa banyak kita berjanji tetapi kita gagal menepatinya. Sedangkan, Rasulullah SAW sangat mengambil berat tentang janji dan manasihatkan kita supaya menjaga janji yang kita buat.
 
Orang Melayu lama sendiri dalam gurindamnya sering menyebut, ‘kerbau dipegang pada tali hidungnya, manusia dipegang pada janjinya’ menunjukkan betapa pentingnya menunaikan janji yang kita buat. Orang yang kerap melanggar janji sebenarnya menzahirkan hakikat diri yang dia adalah seorang tidak boleh dipercayai.
 
Allah menegaskan tentang kepentingan perkara ini dalam surah al-Nahl yang bermaksud, “ Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah itu sesudah meneguhkannya….” Begitu juga dalam ayat yang lain (al-Isra:34), Allah SWT memperingatkan bahawa, “ Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya.”
 
Allah SWT memperingatkan kita  supaya menjaga, memelihara dan menunaikan janji yang dibuat. Ia mencakupi janji yang dibuat dengan sesama manusia termasuklah janji untuk perdamaian, janji menyempurnakan amanah, janji membayar hutang, menjaga kontrak dan sebagainya. Ia juga termasuk menepati janji yang dibuat dengan Allah SWT. Apabila seseorang berjanji dengan Allah untuk meninggalkan kejahatan, menunaikan kebaikan, memberi sedekah, atau melaksanakan sesuatu amal ibadah, maka janji tersebut adalah janji yang besar kedudukannya dan semuanya  akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak.
 
Apabila seseorang berkahwin, pada hakikatnya sisuami telah berjanji atas nama Allah yang menghalalkan isteri untuknya untuk menjaga isterinya, menunaikan haknya, memberi nafkah dan perlindungan serta memberi pendidikan agama yang wajib diberikan kepada isterinya. Melalui akad nikah, suami sebenarnya berjanji untuk menjaga isteri dan anak-anak yang lahir dari perkahwinan tersebut sebaik mungkin. Isteri akan beroleh kasih sayang, perlindungan dan berasa selamat melalui perkahwinan tersebut. Inilah konsep perkahwinan yang sebenar yang kerap dipandang mudah.  
 
Pentingnya menjaga janji diketengahkan oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadith. Menjaga dan menepati janji adalah sebahagian dari iman. Barangsiapa yang tidak menjaga janji yang dibuat seolah-olah tidak ada agama baginya. Justeru, orang yang suka berjanji dan mungkir janji adalah satu dari tanda kemunafikan dan rosaknya hati. Rasulullah SAW menyebut, “Tanda-tanda munafik ada tiga; apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji dia mengingkari, dan apabila dipercaya dia berkhianat.” (Muslim)
Seorang yang hati dan imannya rosak akan melakukan apa yang bertentangan dengan nilai yang mulia. Apabila bercakap, percakapannya diselangi dengan pembohongan dan pendustaan. Apabila berjanji melakukan sesuatu, diingkari tanpa rasa bersalah. Begitu juga apabila diberi kepercayaan menjalankan atau menjaga sesuatu amanah, dikhianati amanah tersebut.
 
Berbalik kepada seseorang yang berjanji untuk membayar hutang apabila sampai masa yang dijanjikan, Nabi SAW pernah bersabda, “Barangsiapa yang mengambil harta seseorang dalam keadaan ingin menunaikannya (membayarnya),  niscaya Allah akan (memudahkan untuk) menunaikannya. Dan barangsiapa mengambilnya dalam keadaan ingin merusakkannya, nescaya Allah akan melenyapkannya.” (Riwarat Ahmad) Justeru, orang yang tepat membayar hutang seperti dijanjikan merupakan orang yang akan mendapat bantuan Allah dan akan dimudahkan rezeki dan laluan hidupnya. Sedangkan seseorang yang suka berhutang tetapi lari dari membayar hutang apabila sampai masa yang  dijanjikan, atau dengan sedar tidak berniat untuk membayarnya, maka baginya satu janji Allah bahawa Allah tidak akan memberkati hidupnya.
 
Bagi ibu bapa, jangan kita kerap berjanji dengan anak-anak sekiranya tidak berniat untuk menunaikannya. Jika ibu bapa melakukannya, sebenarnya sama ada disedari atau tidak, kita sedang mengajar  nilai buruk  dan menanamkan dalam  diri mereka perangai yang terhina. Ini ditegur oleh Nabi dalam hadith diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amir. Dia berkata: “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Datang  kemari, ibu  akan beri kamu sesuatu!’ Rasulullah SAW mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku menjawab: ‘Kurma.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Ketahuilah, seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu satu kedustaan.” (Riwayat Abu Dawud)
 
Menjaga dan menunaikan janji adalah perkara besar dalam Islam. Masyarakat Islam akan menjadi aman jika setiap kita menjaga nilai mulia ini. Setiap orang akan boleh dipercayai dan masyarakat akan aman dengan orang-orang yang amanah. Betapa pentingnya perkara ini sehingga Nabi memberi motivasi yang hebat untuk kita menjaga janji. Rasulullah SAW bersabda, “Jagalah enam perkara nescaya aku jamin bagimu syurga; jujurlah bila berbicara, tepatilah jika berjanji, tunaikanlah apabila kamu diberi amanah, jagalah kemaluan, tundukkanlah pandangan dan tahanlah tangan-tanganmu (dari melakukan sesuatu yang dilarang).” (Riwayat  Ahmad)
 
-----------------  
 
Disiarkan dalam Berita Harian  22 Januari 2015

Sunday, January 18, 2015

Join Misi Bantuan Banjir



Pada 17 Jan, kami sekeluarga mengikut misi bantuan Banjir di jerantut. 

ALhamdulillah... satu pengalaman yang sangat berharga untuk my Darling Aisyah..

She is big now..:-) and tall too...:-)



Friday, January 16, 2015

Membantu Mangsa Banjir

 Kenangan ditinggalkan.. hidup diteruskan..


 Kisah kenangan Melbourne saya tinggalkan dulu.. Hidup diteruskan untuk mencari pahala untuk kehidupan selepas mati.

Baru-baru imi banjir besar melanda negara. Kesian sungguh kita melihat kesan yang dihadapi oleh mangsa banjir. Semoga ALlah kurniakan bantuanNya dan memberi kesabaran yang kuat kepada semua mangsa..

Artikel di bawah saya tulis dan disiarkan dalam Berita Harian Khamis 8 Januari lepas.
Esok 17 Jan 2014, saya dan keluarga akan mengikut misi ke Jerantut membantu  membersihkan sekolah di sana. Hari ini saya berjaya mendapat sponsor dari kawan2 kakak ipar saya solehah untuk membeli satu water jet petrol berharga RM2500 untuk ke sana. Syukur Alhamdulillah rakan2 saya yang baik... Dalam 1 jam sahaja RM2500 dikumpulkan.. Semoga kami berjaya memberi sedikit bantuan kepada mangsa banjir..

-------------------------
Libatkan Keluarga Membantu Mangsa Banjir
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim

Negara kita menutup tirai tahun 2014 dengan pelbagai kisah sedih  dan ujian yang hebat melanda penduduk negara kita. Ini termasuklah banjir besar yang melanda beberapa buah negeri beberapa hari lepas.
 
Ujian besar ini  menyebabkan kerugian yang tidak mampu digambarkan. Dilaporkan ribuan rumah rosak, dihanyutkan dalam banjir besar ini. Ada rumah yang hanya tinggal tangga sahaja, dan tidak sedikit yang terus lenyap meninggalkan tapak sebagai sejarah. Ini tidak termasuk jumlah kenderaan yang rosak dan hilang dalam kejadian tersebut.

Kejadian banjir besar ini adalah satu tanda kebesaran pencipta yang berkuasa mutlak terhadap segala yang ada di alam ini. Ia membuka mata hati kita merenung penciptaan alam dan tunduk mengaku bahawa manusia tidak mampu melawan apa-apa bencana alam yang ditakdirkan berlaku ke atas kita. Namun kita tidak pula diminta hanya duduk berserah tetapi perlu berusaha mencari jalan terbaik menangani bencana alam yang menimpa.
 
Kejadian ini juga hakikatnya membuka mata kita semua  untuk melihat hikmahnya dari sudut yang berbeza. Apabila melihat ramai insan terlibat sebagai mangsa, ramai yang kehilangan tempat tinggal dan harta, tinggal sehelai sepinggang, ia memberi ruang untuk kita membantu dan memberi bantuan semampu yang terdaya.

Memberi kepada orang yang memerlukan adalah satu ajaran mulia dalam agama kita. Apatah lagi apabila kita mendapat tahu ada insan yang berada dalam situasi yang memerlukan bantuan, maka ketika itu adalah menjadi kewajipan kita untuk sama-sama membantu atas dasar simpati.

Membantu mangsa banjir ini juga boleh menjadi sebahagian dari cara merapatkan hubungan keluarga. Libatkan anak-anak dalam pengumpulan dana, mengumpul pakaian, makanan dan membungkusnya untuk mangsa banjir boleh menimbulkan sikap perihatin di hati mereka.
 
Media banyak melaporkan pelbagai pihak, termasuklah individu, badan-badan NGO, masjid dan surau yang perihatin telah menjalankan kutipan derma, mencari dana membeli pelbagai keperluan untuk membantu mangsa banjir.  Beberapa NGO seperti IKRAM, ABIM, masjid-masjid dan surau serta orang ramai menjalankan gerakan besar-besaran mendapatkan dana dan menghantar ke kawasan-kawasan yang terlibat. Ribuan ringgit yang dikutip menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jiwa murni mengasihani sesama insan. Ia adalah sikap yang terpuji dan patut diteruskan sepanjang masa.

Masa yang sama, kita seharusnya perlu memberi kata-kata semangat kepada mangsa banjir yang ditemui. Pujuk mereka dengan kata-kata positif supaya mereka lebih tabah menghadapi ujian, sabar atas kehilangan yang berlaku. Melalui kata-kata berhikmah dan positif, ia juga sebenarnya merupakan satu sedekah yang kita berikan.
 
Dalam menghadapi ujian getir termasuklah kehilangan harta, insan tersayang, kesakitan, bencana dan sebagainya, yakinlah Allah sedang menguji dan melihat respon hamba-hambaNya yang diuji. Segala ujian hebat ini memang akan menggoncang hati dan menimbulkan ketakutan dan rasa sedih yang mendalam.

Sesungguhnya ujian yang datang, walau bagaimana berat pun ia adalah ketentuan Allah untuk melihat bagaimana reaksi hamba-hambaNya, sama ada menjadi lebih dekat kepada Nya atau menjadi lebih jauh daripadaNya. Keimanan, keyakinan, tawakal dan kesabaran yang kuat sangat diperlukan dalam menghadapi ujian getir ini.

Orang yang menjadi jauh dari Allah akan menyalahkan Allah kerana mengujinya, memarahi takdir yang menimpa dan mengandai-andaikan pelbagai sangkaan buruk kepada Allah penciptanya. Sedangkan orang yang menjadi lebih dekat dengan Allah akan melihat musibah berlaku sebagai satu bukti kekuasaaan Allah sebagai pencipta yang telah memilihnya untuk diuji. Ia mungkin menjadi kifarat segala dosa-dosa dan kesalahannya dan akan menyebabkan dia mendapat ganjaran besar dan syurga Allah di akhirat kelak.
 
Oleh karena itu, dalam apa keadaan sekalipun, mangsa banjir sama ada kita atau orang lain hendaklah  senantiasa berbaik sangka kepada Allah. Dan haruslah yakin bahawa semuanya adalah ujian untuk menguji keimanan yang mereka miliki. Inilah yang dimaksudkan dalam firman  Allah yang bermaksud, “Apakah kalian mengira bahwa kalian akan masuk ke dalam syurga, sedangkan belum datang kepada kalian (ujian) sebagaimana yang berlaku kepada orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat.” (Al Baqarah : 214)


Justeru, kesabaran yang tinggi  dan bersangka baik kepada Allahlah yang menjadi nadi dalam kehidupan kita sebagai Muslim.
 

Wednesday, January 14, 2015

Kenangan Menyentuh Hati

Hari ini saya baru habis mesyuarat.. Tetapi entah ler.,.. ingatan saya banyak kali ke Melbourne..
Saya membuka video anak kesayangan saya Aisyah bercakap semasa di Melbourne.. Ketika itu beliau masih kanak-kanak, belum baligh.. Dalam video ini dia tak pakai tudung,, baru balik dari sekolah...
Saya ingin upload untuk mudahkan saya menontonnya di sini.. Tetapi sekarang anak saya sudah baligh dan saya tidak akan memasukkan gambar2nya sesuka hati saya seperti mana ketika dia belum baligh..:-(

Ini adalah sambungan kisah kenangan yang indah ini..



Kenangan yang indah yang kita lalui  adalah satu kekuatan..dan perkara besar untuk disyukuri..

Merindui Melbourne

Saya masih merindui Melbourne..:-(

Saya sekarang membawa kereta Camry yang saya pakai di Melbourne. Kereta yang saya beli dengan harga murah, hanya AUD10,000 kerana ia terlibat dalam hujan air batu di Perth pada tahun 2009 dahulu. Ia dijual murah kerana kereta itu telah di write off oleh kerajaan. Kereta Camry yang saya beli ketika itu baru digunakan sebanyak 28000 kilometer oleh Kementerian Defence Perth dan ia baru dikeluarkan pada March 2008. Saya sangat bersyukur dengan nikmat ini. ALhamdulillah.

Oleh kerana ia telah diwrite off, maka saya hanya boleh hidupkan ia di Perth juga. Dengan peuh tawakal, dan dengan bantuan kawan saya iaitu Dr Wan Satirah yang menghubungi rakannya Shah di Perth, maka kereta tersebut di export dengan bayaran AUD500 from Melbourne to Perth. Saya menulis surat bahawa kereta tersebut saya jual kepada Shah dan beliau membuat permohonan menghidupkannya di Perth.

Selepas beberapa bulan, saya dan suami fly ke Perth (ketika itu dari KL), untuk berjumpa dengan Shah dan mengambil kereta tersebut untuk di bawa ke Melbourne. Shah perlu menulis surat bahawa kereta tersebut telah djual kepada saya dan saya akan mendaftarkan di bawah Victoria Law pula (VicRoad).

Betapa panjangnya perjalanan kereta Camy tersebut. ia sepanjang perjalanan laluan berliku PhD saya di Australia..subhanallah..

Selepas pendaftaran , maka dengan keizinanNya, Camry tersebut berbakti kepada saya sekeluarga dengan penuh taat. Sehinggalah saya ingin kembali for good pada Disember 2012. Camry tersebut masih setia berbakti kepada rakan-rakan saya sehingga ia di export ke Malaysia pada hujung bulan Januari 2013.

Bermula episod Camry tersebut berbakti kepada kami di sini. Pendaftaran di JPJ, Kastam dan lain-lain bermula...

Membawa Camry yangs aya sayangi ini akan membawa ingatan saya ke Melbourne.. kadang-kadang saya terbayatng-bayang saya drive kereta ini dari rumah di Dumbarton Street menghala ke Preston Market untuk membeli sayur dan ikan serta halal meat. Tidak sedikit, saya terasa seolah-olah saya sedang membawa kereta dari rumah ke Melbourne University, melalui Broadway, Preston Market dan terus ke CBD..

Saya merinduimu Melbourne..
Dan saya mengangkat tangan mensyukuri nikmat ALlah yang banyak ini.. Alhamdulillah...

Nasyid Best

Nasyid hebat..

Saya menonton majlis Nasyid IKIM di TV al-Hijrah pada 10 Januari 2015 yang lepas.
Saya sangat suka nasyid ini.
Mengimpau perasaan saya yang sayu..

Semoga saya menjadi umat Nabi yang baik..
ameen..