Friday, November 28, 2008

Sampai ke Melbourne



Akhirnya...

Akhirnya, pada 28 hb Nov jam 8 pagi, kami sampai ke Melbourne Airport... selepas berada dalam flight MAS selama 7 jam. Alhamdulillah selamat semuanya dan perjalanan berlalu dengan baik. Syukur kepada Allah yang memudahkan semua urusan.


Mak bagi ikan bilis masak tempe di airport.. ini kira cam tawakkal ler kata Mak. Ada rezeki tak kena buang. Ma bubuh roti dalam beg Aisyah, banyak betoi. Alhamdulillah takde satu pun barang kena buang. Syukur pada Allah..

Abah tengah beratur nak kena cek sebab bawa bahan-bahan kena declare ie makanan dan ubat-ubatan.. termasuklah bahan berbahaya.. iaitu ikan bilis masak tempe.. hehehe..

Sampai di airport, kami disambut oleh wakil Universiti dan terus di bawa ke Malaysian Hall.

Ni shuttle University yang ambik kita orang.. semua beg berat 75kg.. nasib baik tak kena caj extra..
Jam 10.30 pagi, Fadzlina dah datang ke bilik dengan Aliya sicomel umur 4 tahun dan kami semua telah pergi ke rumahnya. Kesian Ina, susah payah dia datang, tetiba ketenya rosak, akhirnya ketenya ditinggalkan di Msian Hall dan kami semua naik bas ke rumahnya. Best jugak, sampai2 terus naik bas.

Ni tengah tunggu bus dari Malaysian Hall ke rumah Ina. Aisyah pakai baju panas yang dihadiahkan oleh sarah & family. Suhu 14 degree.. saya rasa sejuk ler...
Sampai rumahnya, kami berkenalan dengan suaminya Ibrahim. Anak-anak mereka Aliya dan Uwais comel-comel sungguh. Kat sana jumpa Hada dan Nani, semuanya lecturer UiTM. Alhamdulillah seronohnya bersembang. Last sekali kami balik ke Msian hall naik Bas jugak. Alhamdulillah Abah memang cepat ingat jalan, saya rasa kelabu jer, semua nya macam sama, rumah dan jalan serta bangunannya..

Saya ucapkan jutaan terima kasih pada Ina sebab susah payah nak bantu saya. Dahler tu, masa nak balik dari rumahnya jam 4 ptg, dia bekalkan nasi putih, kambing masa lemak lagi untuk kami makan malam. Pastu bagi ubat batuk untuk aisyah. TQ ye Na dan Ibrahim...

Abah kata, semuanya sebijik dengan UK. Dari susunan rumah, jalan-jalan, bau pun macam UK. Dia memang relex jer sebab Abah dulu belajar di New Castle Upon Tyne, UK. Dia dok sana 5 tahun, jadi dtg sini macam kembalikan nostalgianya masa belajar.

Suhu dia 14-15 C dan sangat berangin.. Sedapnya bau udara dan cuaca kat sini. Tapi lama2 lepas tu, saya dgn Aisyah dah sejuk sangat dah.. menggigil hehehe.. Guana ler saya nak tahan musim sejuk yer... Tapi insya Allah boleh kot..amin..

______________________
Sebelum Bertolak
Sehari dua sebelum bertolak (jadual bertolak adalah jam 9.25 malam- 27hb Nov-Khamis) sepanjang hari tersebut saya masih sangat kalut menyiapkan urusan2 lagi..
Saya pun tak tahuler.. rasa macam betul ker saya nak gi ostolia ni..



Pagi Rabu 26 Nov 08, saya masih menyiapkan markah DLSA, buat excell markah, kena submit hari ni jugak. Pastu pergi ke kedai potostat untuk mengambil borang dan ikatan otoriti untuk permohonan DM54. Dalam sibuk-sibuk tu, saya dengan Abah sempat jugak ke Sunway Pyramid, nak beli kasut.. hehehe nak jalan jauh ni, kena pakai selipar barukan.. Pastu Abah tanya, 'Umi nak notebook 10 inci yang kecik tak? Kita beli yang tu, senang nak bawak ..' 'Bagus jugak yer..' JAdi sekarang saya pakai notebook baru ni, 10 inci Eee PC ASUS.

Petangnya saya berkejar ke opis Law School untuk serahkan markah DLSA Undang2 Keluarga. Pastu jam 5.30 pm saya ke opis CITU untuk submit borang permohonan DM 54. Tebal dan sangat berat..Mudaha-mudahan saya dapat DM 54. Amin..

Pastu saya ke bilik Boss, maklumkan saya akan berangkat esok, mohon doa dan keberkatan semoga saya berjaya mencapai hajat dan memenuhi onjektif dan hasrat CITU yang diletakkan di bahu saya. Boss telah mengucapkan tahniah dan mengirimkan salam kepada kawan2nya di Melbourne. Insya Allah saya akan sampaikan bila bertemu nanti.


Malamnya barulah saya dan Abah mulakan operasi mengemas barang, di samping memasukkan mana2 barang yang ingin diberikan kepada mereka yang saya niatkan. Baju2 saya, Abah dan Aisyah hampir 10 plastik besar saya sedekahkan. Pastu TV besar berapa inci yer, rasanya 30 inci saya hadiahkan pada Ma dan Ayah. My sisters yang baru kahwin, Aa dapat peti sejuk dan meja makan. Na dapat katil, almari dan mesin basuh. Pastu TV 24 inci bawak ke bangi. Yang lain tu saya tinggal mintak dijaga..

Ooo rumah saya sapa duduk yer? ALhamdulillah lepas berdiskusi, akhirnya my beloved friend Kak Zah dengan 3 anaknya akan duduk di situ di samping memanfaatkan apa2 yang ada, Kak Zah juga akan menjaga rumah saya daripada tidak dihuni.
Kak Zah, jangan lupa bagi ikan makan yer...


Malamnya kami berdua tidur kol 4 pagi.. Letihnya...

Hari Khamis 27 Nov, kerja tak habis lagi.. Paginya saya masih berkemas lagi. Jam 12 thg, saya ke Maybank buat Bank deraf, pastu pergi pulak ke UPENA uruskan beberapa perkara tertunggak. Letihnyer.. Pastu balik rumah, solat dan makan..

Akhinya, jam 6pm kami semua bertolak ke KLIA. Nik dan Ree bawak beg-beg kami.
Ayah tak dapat datang, jadi on the way to airport saya telefon ayah, mohon restu dan doa agar didoakan oleh Ayah tentang perjuangan kami nanti. Kata Ayah,' 'Ayah dengan Ma tak pernah tak doakan anak-anak.. Tiap kali sembahyang, doa setiap kali supaya anak-anak selamat dunia akhirat.. ' Terima kasih ye Ma dan Ayah..

Di airport, ramai yang datang.. Terima kasih kerana sudi menghantar kami..
Mak dan Abah, Mak Long, Pak Long, PakSu MAzlan, Pakcik Dolah, Makcik Derma, anak-anak mereka, Faizah dan Hisyah serta anak-anak mereka
My beloved Mother..
My siblings.. Nik, Abg Die, Ree, Heikal, Muez, Na, Piji, dan seluruh anak-anak mereka..

Terkejut gak tengok Dr Azam, Peah, anak2, Faezi dan WakJen pun datang....
Marlina pun datang.. terharunya saya...


AKhirnya jam 8.30 pm kami masuk ke dalam, saya solat jama' takhir maghrib dan Isyak atas carpet di bilik menunggu sebelum boarding sebab tak sempat tadi..


Tapi rasa sangat sedih sebab Sara, Shasha, dan keluarga tak sempat datang awal, mereka adalah my neigbour yang sangat rapat. Kesian sungguh mereka datang jam 8.30pm tapi kami semua tak sempat jumpa.. Aisyah asyik sebut nama kawan baiknya Sarah saja.. ALhamdulillah mereka dapat bercakap dalam telefon sekejap sblm fly..


Kepada semua yang sudi datang, kami sekeluarga mengucapan ribuan terima kasih..


Saya doakan semoga Allah memudahkan semua urusan saya.. berkat doa dari orang-orang yang sayangkan saya dan keluarga saya.. semoga Allah memberi bantuan dalam setiap kesulitan yang kami hadapi di rantau orang.. amin ya Rabbal a'lamin...



Selepas iini, bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar....

Wednesday, November 26, 2008

Aturcara terakhir yang menyayukan hati

Sibuknya...
saya menyiapkan tugasan2 tertunggak
- ke bank tutup Bank Affin,
- ke JPbSM submit semua borang2 dari KPT,
-ke UPENA selesaikan duit buku dan pulangkan buku yang berbaki
-ke opis untuk kemaskan bilik di UiTM untuk staff lain masuk nanti
-balik ke Kampong 1 hari - Jumaat petang naik fireflyz, jumpa Nenek (Wea, Mak Saudara dan keluarga terdekat sebelum berangkat...Sabtu malam balik Shah Alam semula.

Dalam sibuk itu, saya pergi juga kelas terakhir Ustaz Harun Din di Darus Syifa' pada 24 November 2008. Kelas ini adalah kelas ke 39 saya dan pelajar2 lain berada di bawah ajaran beliau dan menerima ilmu perubatan Islam dari Ustaz Harun.

Masa mengajar, Ustaz memberi tazkiran dan menyebut 'Saudara-saudara telah belajar ilmu hikmah dari saya, orang yang dekat dengan Allah adalah orang yang beramal dengan ilmunya. Saudara akan lihat Allah bantu saudara bila saudara beramal dan membantu masyarakat menggunakan kaedah ini..Saudara adalah kumpulan yang paling lama berada bersama saya.. Saya sangat bahagia mencurahkan ilmu saya kepada saudara..'

Saya rasa sangat sedih..
terharu..
dalam hati saya menangis...
Malam ini adalah malam akhir saya di Darus Syifa'...
Malam akhiar saya menjadi makmum dan bersama-sama mendengar zikir dari Ustaz..
Malam ini hari terakhir saya mendengar curahan ilmunya seperti air mengalir lembut..
Apakah selepas ini saya dapat hadir lagi ke sini?

'Wahai Allah, terima kasih kerana memberikan saya peluang mempelajari ilmu ini dari ilmuan soleh yang sangat saya kagumi ini.. Terima kasih kerana memberi peluang saya tamat sebelum saya berangkat ke Australia.. Berkatilah ilmu yang Engkau berikan ini..amin..'

Selepas kuliah, saya berjumpa Ustazah Siti memberitahu beliau, saya akan ke Australia selepas ini dan sangat berharap untuk berjumpa dengan Ustaz. Dan dia menemani saya menunggu Ustaz keluar dari bilik belakang (tempat Ustaz minum).. Alhamdulillah...

Akhirnya saya dan Abah berpeluang... bercakap dengan Ustaz dan memohon doa agar beliau doakan kesejahteraan kami sekeluarga dan saya mengucapkan jutaan terima kasih atas ilmu yang diberikan. Saya juga memeri hadiah kepada Ustaz buku saya bertajuk 'FASAKH', dan Ustaz ketawa bila saya katakan, 'Ustaz, semasa saya tulis buku ni, salah satu buku rujukan saya adalah Kitab Arab tulisan Ustaz bertajuk 'Al-Firqah Baina az-Zaujauin...' Dan dia jawab..'Ooo ye ker.. terima kasihlah.. Bila nak pergi? Kawasan mana tu? Ok saya doakan selamat semua. Suami ikut? Bagus.. Alhamdulillah..'

Dan saya dan Abah rasa seronok kerana hajat kami dimudahkan Allah..
Opppsss... kisah saya ke DS minggu lepas, saya dapat nombor 4, Abah no 3 dan My Mother no 6.. Kami rasa sangat seronok kerana hajat kami dimudahkan Allah.. Alhamdulillah...
_________________

Mesyuarat EXCO PGSM

Perkara kedua yang menyayukan saya adalah mesyuarat EXCO PGSM terakhir yang saya hadiri pada Selasa 25 Nov jam 5ptg di Sekretariat PGSM, KL..

Saya rasa sayu...
Rasa sedih..
Saya macam .... entahler...

Saya rasa sayu..
Lepas ni saya tak der dah dalam PGSM..
Lepas ni saya tak dapat dengar lagi perbincangan terperinci perkembangan perundangan Syariah dalam mesyuarat..
Lepas ni saya tak dapat dengar lagi taklimat Presiden setiap kali sebelum mesyuarat bermula..
Lepas ni saya mungkin semakin jauh dari PGSM...

Semasa masuk agenda Hal-hal lain,saya kata,
'Saya ucapkan terima kasih kepada semua, dan juga mohon maaf di atas di atas semua salah silap yang mungkin ada menyebabkan Exco lain kecil hati sepanjang penglibatan saya dalam PGSM. Saya harap dapat jumpa lagi walaupun selepas ini kepimpinan berubah....

Semoga PGSM terus gagah..
gemilang..
terbilang..
demi memertabatkan perundangan Syaraiah..
demi meletakkan hak kepada yang berhak..
Semoga sumbangan kecil saya semasa menjadi Exco diterima ALlah yang Maha Suci..amin

Thursday, November 20, 2008

Perjalanan

Saya sangat sibuk beberapa hari ini, berkejar-kejar ke Putrajaya berjumpa Pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Bahagian Biasiswa, ke sana ke sini, siapkan markah, siapkan tugasan2 yang perlu dibereskan sebelum berangkat.. Birthday Aisyah kena raikan, saudara mara, orang surau, muslimat surau, kawan-kawan pejabat dan lain-lain juga perlu diraikan.......

Saya akan ceritakan banyak perkara selepas ni... -Pengalaman saya ke Putrajaya 14 Nov juga kelabu asap.. hehe.. Namun begitu alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

-Saya ke Darus Syifa' pagi Selasa 18 Nov baru ni bersama My Mother dan Abah. Jam 5.30 pagi kami sudah ada di sana.. itu satu pengalaman yang terindah dalam hidup saya...

-Majlis Birthday Aisyah 16 Nov (Ahad).. banyak betul gambar Aisyah dan hadiah yang sicomel Umi terima. -My Brother idi akan ke Sudan 20 Nov..

-Tiket telah dibook oleh pihak UiTM tapi belum dibayar lagi kerana meunggu visa dikeluarkan, mudah2an dalam sehari dua ini visa keluar..insy Allah... Saya berharap dan berdoa agar Allah mudahkan segala perjalanan hidup saya.. amin...

Sepatutnya tugas menguploadkan bahan-bahan berkaitan PGSM adalah berada di bawah tugasan saya, tapi Alhamdulillah my good friend telah sudi membuatkan untuk saya...Terima kasih saya ucapkan..

Insya Allah apabila semua kembali tenang, saya akan ambil balik tugasan tersebut sebelum berakhirnya penggal khidmat saya iaitu April 2009...

Majlis Fatwa haramkan Perempuan Menyerupai Lelaki...

Menyerupai lain jantina memang dilarang oleh Rasulullah tapi umat Islam hari ini semakin diasak dengan pelbagai isu-isu yang memeningkan kepala. Sebenarnya isu ini tidak perlukan fatwa, memang dilarang Allah tapi umat Islam buat lantak lalu saja sehingga perlukan fatwa untuk menanganinya.. Untuk tahu lebih terperinci, bacalah artikel di bawah, tulisan Presiden PGSM..

___________

Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian pada 19th Nov 2008.



Usah Pertikai Fatwa : Peguam Syarie Menulis 19 November 2008 Nov 19th, 2008

Mempertikai fatwa usaha jatuh kredibiliti Islam
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

SEJAK kebelakangan ini pelbagai pihak dengan lantang mempertikaikan fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Fatwa Negeri-Negeri. Malah, hasrat Majlis Fatwa itu untuk membuat fatwa tertentu juga sering dicemuh dan diperlekehkan.

Ia terbukti apabila Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan baru-baru ini yang mengharamkan pengkid iaitu wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian. Begitu juga halnya apabila pengumuman dibuat bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa mengenai hukum senaman yoga.

Pelbagai pihak termasuk institusi, orang perseorangan sama ada Islam atau bukan Islam memperkatakan mengenai tindakan Majlis Fatwa ini. Tindakan ini sebenarnya adalah kesinambungan usaha menjatuhkan kredibiliti Majlis Fatwa dan institusi Islam yang lain.
Ia berikutan Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini dalam kes Sulaiman Takrib lawan kerajaan Terengganu dan Kahar Ahmad melawan kerajaan Selangor dan dua lagi.

Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, adalah mahkamah tertinggi dalam negara ini menjelaskan kedudukan fatwa di negara ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi selepas itu.
Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu agama Islam apatah lagi badan itu ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf undang-undang.

Institusi Fatwa bukan ditubuhkan selepas merdeka tetapi sudah lama wujud walaupun sebelum zaman penjajahan lagi dan selama ini fatwa berjaya memberi panduan kepada orang Islam mengamalkan agama mereka.

Orang bukan Islam tiada hak mempersoalkan perkara ini. Apatah lagi Islam adalah agama Persekutuan dan diberikan kedudukan istimewa dalam perlembagaan.

Hal ini dapat kita lihat apabila orang bukan Islam pun begitu keras membantah fatwa ini walhal fatwa itu tidak akan mengikat mereka. Apakah motif sebenar mereka melakukan sebegini?
Begitu juga halnya dengan orang Islam.

Tingkatkan pengetahuan ilmu agama sebelum membuat sesuatu kenyataan. Janganlah mendahului ulama dalam urusan agama. Orang yang tidak berkelayakan dalam bidang agama tidak harus mempertikaikan fatwa yang sah dibuat mengikut lunas agama dan undang-undang negara.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) begitu kesal apabila dikatakan Majlis Fatwa perlu menumpukan perhatian kepada perkara lain yang lebih mustahak berbanding hukum senaman yoga yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Mungkin sebagai pengikut yoga mereka mengatakan ia hanyalah suatu senaman dan tidak lebih daripada itu. Tetapi tahukah kita apakah makna mantera yang dibacakan itu. Adakah suatu jaminan mantera itu tidak menyekutukan Allah?

Ada pula yang mengatakan mereka tidak membaca mantera tetapi hanya melakukan senaman. Dalam keadaan ini pun kita perlu sedar adakah perbuatan kita itu suatu manifestasi kepada penafian ketauhidan kepada Allah? Inilah yang dikaji oleh Jawatankuasa Fatwa dan biarkanlah fatwa itu dibuat mengikut keilmuan ulama.

Apakah perkara lain yang lebih mustahak lagi berbanding perkara yang menyentuh akidah orang Islam. Sekiranya senaman yoga itu adalah haram di sisi Islam kerana mensyirikkan Allah, maka betapa baik pun amalan seseorang itu, ia sudah pasti tidak diterima Allah. Hal yang sedemikian memberi implikasi amat besar kepada orang Islam.

Bagi fatwa berhubung dengan pengkid pula, adalah jelas setiap kebebasan itu ada batasannya. Hujah yang menyatakan pengkid ini berhak dan bebas memilih jalan hidup mereka sebenarnya tidak bertepatan dengan hukum syarak.

Undang-undang Islam membataskan pergaulan lelaki dan wanita, cara pemakaian dan perwatakan. Tidak harus timbul isu naluri, syahwat dan sebagainya mengatasi hukum syarak. Lunas agama ini ditentukan dan adalah menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Fatwa memperbetulkan keadaan mengikut kuasa yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.
Dalam membuat sesuatu fatwa, Jawatankuasa Fatwa membuat kajian terperinci terlebih dulu.

Suatu kertas cadangan dibuat dan dikaji oleh tokoh agama dan golongan profesional sering kali dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa.
Pada masa sama, persoalan yang ditimbulkan itu seolah-olah menggambarkan Majlis Fatwa hanya membuat ketetapan mengenai hal remeh-temeh. Buatlah kajian terlebih dulu sebelum membuat sesuatu kenyataan.

Sebenarnya Majlis Fatwa sudah membuat pelbagai ketetapan merangkumi aspek perubatan, sosial, kesihatan, ekonomi dan pentadbiran. Ia jelas menunjukkan Majlis Fatwa menjalankan amanahnya dengan baik dan membincangkan permasalahan dihadapi orang Islam.

Dalam banyak keadaan juga pakar dipanggil untuk membantu Majlis Fatwa memberikan fatwa yang tepat. Selama ini Majlis Fatwa berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam di negara ini. Memang tidak dinafikan, wujud perubahan fatwa dalam beberapa perkara yang diputuskan tetapi ia bukan menunjukkan kejelekan anggota Majlis Fatwa berkenaan.

Ia lebih manifestasi bahawa syariat Islam itu sesuai sepanjang zaman dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa tanpa menggadaikan perkara asas yang disepakati.

Walaupun Majlis Fatwa berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam, ada juga golongan yang masih tidak sedar kejayaan ini dan mentertawakan sesuatu fatwa. Mereka mengambil contoh fatwa pengharaman rokok dikeluarkan beberapa tahun lalu tetapi masih ramai yang merokok.

Dalam hal yang demikian adakah Majlis Fatwa patut berhenti membuat fatwa? Kita ambil perbandingan jika seorang doktor membedah seorang pesakit dan pesakit itu mati, adakah doktor perlu berhenti membedah pesakit?

Begitu juga kisahnya apabila Ahli Parlimen membuat undang-undang dan undang-undang itu gagal dipatuhi oleh rakyat. Adakah Ahli Parlimen perlu berhenti membuat undang-undang? Tentulah jawapannya tidak, begitu juga dengan fatwa. Mufti tidak perlu berhenti mengeluarkan fatwa.

Sebenarnya fatwa saja tidak menjamin kesejahteraan umat. Seluruh jentera pentadbiran kerajaan perlu memadu usaha memastikan sesuatu fatwa itu diikuti sama ada melalui pendidikan, pelaksanaan dan penguatkuasaan.

Oleh yang demikian PGSM meminta semua orang sama ada Islam atau bukan Islam agar menghormati Majlis Fatwa yang mempunyai kuasa membuat fatwa. Mufti juga mempunyai tanggungjawab untuk menasihati sultan dalam perkara mengenai agama Islam.
Mempertikaikan mufti samalah ertinya mempertikaikan sultan yang berkenan melantik mereka.

Jagalah sensitiviti umat Islam, hormatilah orang Islam yang menjadi sendi kepada kekuatan negara. Memperlekehkan institusi agama Islam yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu sudah tentu memberi impak kepada Raja-Raja Melayu juga.

Institusi Fatwa adalah sebuah institusi yang bebas daripada pengaruh politik dan bertanggungjawab terus kepada Raja-Raja Melayu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org

Wednesday, November 12, 2008

Bangkit dan Terus Bangkit

My friend kirimkan email mengandungi bait-bait indah seperti di bawah..
Saya abadikan dalam blog ini sebagai penyuntik semangat agar dalam apa keadaan sekalipun, semoga saya akan terus bangkit, bangun berjalan dan seterusnya berlari menyusuri perjuangan ini...

Thank you very much..

_______________

MELAWAN DUNIA

kita adalah hati yang tertindas
kitalah langkah yang berhenti berjalan
kitalah mimpi yang tak terwujudkan
senandungkan nada-nada yang indah

kita memahami yang sesungguhnya
dan tak harus menjelaskan semua
tanpa pedulikan kata mereka
kita berjalan melawan dunia

hanya bisa bicara
mereka tak beri jawaban

tak perlu dengar kata mereka
teruslah berjalan
tak perlu dengar kata mereka
teruslah berjalan

kita adalah hati yang tertindas
kitalah langkah yang berhenti berjalan
kitalah mimpi yang tak terwujudkan
senandungkan nada-nada yang indah

tak perlu dengar kata mereka
teruslah berjalan
tak perlu dengar kata mereka
teruslah berjalan.

IMAM DESA

Sunday, November 9, 2008

Laluan..

Dengan izin Allah, saya telah selesai melalui kerumitan awal dalam perjalanan pencarian ilmu ini. Doa saya semoga Allah memudahkan semua urusan saya, dulu, kini dan akan datang. amin..

1- Saya telah selesai membuat semua berkaitan dengan KPT, termasuklah mendapat financial guarantee dan buat medical check up untuk KPT/UiTM

2- Saya telah selesaikan document untuk dapat Cert untuk proses VISA. Saya telah selesai isi online application dengan bantuan Eliza.

3- Saya, Abah dan Aisyah telah selesai membuat medical check up untuk Visa.. (pecah record hari ini dalam sejarah apabila saya kena buat 2 kali chest X-Ray dalam masa 3 hari. Satu kali di Pusat Kesihatan UiTM pada 5/11 dan sekali lagi di panel VISA pada 8/11.. Saya tawakkal saja, mudah2an tidak ada mudharat...)

4-Saya telah mendapat rekod sekolah Aisyah untuk dihantar dalam permohonan sekolah di sana.

5- Sekarang saya tengah marking paper sebanyak 100 answer scripts..(ini betul2 membuatkan saya tension... adoiii tulisan budak2 ni punyalah kecik, susahnya nak baca esei ni...)

Saya sebenarnya sangat letih dan agak tertekan..Banyak sangat nak buat dalam masa yang agak terbatas.. Justeru, blog ini akan bercuti sehigga saya agak reda nanti ... Semoga Allah permudahkan semua urusan saya....amin

Thursday, November 6, 2008

My Article _6 Nov 08 Berita Harian

Slot Hak Muslim minggu ni sepatutnya dijawab oleh Musa, Setiausaha PGSM tapi dia tak sempat, saya cover ler..
Perkataan kediri dalam peruntukan undang-undang bermaksud .. serah kepada diri defendan tersebut.. Dalam artikel ni, saya hantar kepada Berita harian, saya tulis kediri, tapi editornya telah tukar kepada perkataan kendiri.. (yang mempunyai maksud yang nyata berbeza..). Di sini, saya kembali kepada perkataan asal iaitu kediri.

_______

Hak Muslim: Padah suami main cinta pembantu rumah Indonesia

Soalan
SAYA seorang kerani dan berkahwin atas dasar suka sama suka lebih enam tahun lalu. Saya mempunyai dua anak berumur empat dan dua tahun. Masalah bermula selepas kami mengambil pembantu rumah dari Indonesia akhir 2007. Rupa-rupanya suami dan pembantu rumah sudah bercinta di luar pengetahuan saya. Pada awal tahun ini, saya ditinggalkan suami kerana ingin berkahwin dengan bekas pembantu rumah kami. Saya berpendapat suami kena sihir oleh wanita itu. Oleh kerana suami sudah meninggalkan saya hampir 10 bulan tanpa nafkah, saya tidak dapat bersabar dan berhasrat untuk memohon cerai. Malangnya, saya tidak tahu di mana suami tinggal sekarang. Ketika ke Mahkamah Syariah, pegawai mahkamah memberitahu bahawa saya perlu mengetahui alamat suami sedangkan saya tidak mungkin dapat menyediakan alamat itu kerana saya tidak tahu di mana suami berada. Menurut pegawai berkenaan, kes saya akan menjadi lebih lama untuk diselesaikan kerana saya perlu menyampaikan saman kepada suami. Pegawai terbabit juga menca-dangkan saya menggunakan khidmat peguam. Apakah sebenarnya yang harus saya lakukan.

Insan ditinggalkan,
Klang, Selangor

Jawapan

Semoga puan bersabar atas ujian yang berlaku ke atas puan serta anak. Namun begitu, kami berpendapat puan sudah beroleh kekuatan untuk menegakkan hak puan dengan berusaha mendapatkan keadilan di mahkamah.

Perkara pertama mengenai firasat puan bahawa suami mungkin disihirkan, kami berpendapat puan wajar berusaha mendapatkan bantuan mereka yang arif dengan perubatan Islam.
Adalah tidak wajar kita menuduh seseorang di sihir tetapi jika wujud tanda tidak normal seperti tanda sihir, maka puan tidak boleh pula berdiam diri.

Puan perlu mendapatkan pertolongan dengan cara yang tidak melanggar hukum syarak. Jangan sama sekali berusaha mendapatkan bantuan secara ilmu hitam yang berlawanan dengan syarak. Di samping itu, puan juga perlu banyakkan solat hajat memohon bantuan serta kekuatan Allah untuk menghadapi ujian ini.

Perkara kedua adalah berkenaan nasihat pegawai di mahkamah bahawa puan perlu mengetahui alamat suami, adalah benar. Pada asasnya apabila puan memulakan tindakan mal seperti memohon fasakh, taklik atau perceraian biasa, ia akan bermula dengan saman dan penyata tuntutan.

Puan perlu menyediakan dokumen itu dan ia perlu diserahkan kepada suami atau dipanggil defendan dalam kes ini. Ia bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Perkara itu ditetapkan dalam peruntukan Enakmen Tatacara Mal Negeri.

Prosedur itu ditetapkan untuk memberi ruang kepada puan memberitahu mahkamah keterangan daripada pihak puan dan memberi peluang pihak defendan memberi balasan dan jawapan. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.

Cara penyampaian saman pula secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermeterai kepada defendan dan diperiksa olehnya. Saman itu perlu diserahkan kepada beliau. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan. Saman itu perlu diserahkan kepada defendan dalam 12 bulan daripada tarikh ia dikeluarkan. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu dalam tempoh berkenaan.

Jika tempoh itu sudah atau akan luput, puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh sah saman itu. Bagaimana saman boleh diserahkan kepada suami jika puan tidak memberitahu mahkamah alamat suami yang tepat. Ini akan menjadi masalah kerana sudah tentu saman dan penyata tuntutan itu akan gagal diserahkan. Inilah yang akan berlaku nanti dalam kes puan.

Sebenarnya puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti. Jika mahkamah berpuas hati atas alasan yang mencukupi, saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri seperti dinyatakan di atas, mahkamah boleh memerintahkan saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat defendan yang terakhir atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah. Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan jika difikirkan patut.

Penyampaian ganti bermakna, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, tetapi kesan tindakan itu di sisi undang-undang seolah-oleh defendan sudah menerima saman itu secara kediri. Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah perlu menyifatkan saman itu sudah disampaikan kepada defendan.

Selepas penampalan dan pengiklanan dibuat, puan perlu memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan penyampaian ganti sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah. Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, puan boleh memohon kes dibicarakan nanti.

Perkara ketiga adalah mengenai tindakan atau kaedah perceraian mana yang boleh digunakan dalam tuntutan atas alasan ditinggalkan tanpa nafkah? Puan boleh menggunakan kaedah taklik atau fasakh atas alasan yang sama. Puan mesti mendapatkan bahan bukti dan keterangan untuk menyokong dakwaan serta tuntutan puan. Puan perlu membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui hal keadaan puan bagi mensabitkan tuntutan.

Perkara keempat adalah mengenai nasihat pegawai supaya puan menggunakan khidmat peguam syarie juga adalah benar. Ini bagi memudahkan puan kerana sebagai orang awam, sudah tentu puan sukar untuk memahami dan menyediakan semua dokumen dikehendaki oleh undang-undang. Dengan adanya peguam syarie, ia akan memudahkan urusan dengan mahkamah. Jika puan kurang berkemampuan untuk menggunakan khidmat peguam syarie berbayar, boleh mendapatkan nasihat dari Biro Bantuan Guaman (BBG) berdekatan.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sila layari http://peguamsyarie.org

Tuesday, November 4, 2008

Akhirnya....

Selepas ding dong ding dong... akhirnya dengan 'approval' my Boss, saya akan ke La Trobe Uni, Melbourne, mendaftar di bawah Fakulti Law and Management pada 1 Disember 08. Kami sekeluarga akan berangkat pada 27 November 2008..

Amin...

Akan bersambung...

Monday, November 3, 2008

Aisyah Khatam Muqaddam

Cite ni sepatutnya kena tulis dan siarkan minggu lepas tapi Umi terlupa lak...
____________

Gembiranya...

Aisyah sangat teruja selepas Ustaz Firdaus (guru ngaji Quran) membenarkan dia naik Quran besar dan diisytiharkan khatam Muqaddam Juzu' 30 pada 24 Oktober 2008 iaitu hari Jumaat.

Hari Khamis petang lepas ngaji, Aisyah bagitau Umi dan mintak Umi buat makan-makan petang Jumaat untuk kawan-kawan baiknya iaitu jiran tetangga kami. Nama-nama mereka adalah Haris, Haziq dan Baby, Sarah dan adik beradiknya iaitu Shasha, Amar dan Azim, Maisarah, Eisya dan Amir, dan Ezlin satu sahaja serta Razin. Semua ni kawan-kawan rapat Aisyah..

Macamna nak buat yer..?
Umi kena pergi KL ada open house Raya PGSM petang tu di Sekretariat KL..

Tapi demi seorang anak yang sangat disayangi, dengan niat Umi perlu tunjukkan pada Aisyah bahawa naik Quran itu adalah sangat berharga pada Umi, maka Umi tak boleh buat dak dan anggap biasa. Nanti aisyah sedih pulak...

Jadi, kerja PGSM kena buat jugak, sibuk sungguh hari tu, paginya ada mesyuarat exam di UiTM, habis meeting jam 1 pm terus balik rumah, solat zuhur dan bertolak ke Sekretariat PGSM di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, KL.

Hari raya PGSM dihadiri oleh ramai orang. Nak tahu apa perkembangan dan siapa yang hadir, boleh baca di http://peguamsyarie.org
Hasliza dan Jamie reporter Berita Harian siap interview K/P JKSM, Datu' Ibrahim Lembut dan Presiden PGSM lagi pasal Biro Sokongan Keluarga...(Nak tahu pasal BSK kena baca di web PGSM ler)

Lepas selesai lebih kurang dalam jam 5.20ptg, Umi terus balik, tak sempat sangat nak tolong kemas-kemas, sebab Umi perlu balik cepat dan pergi Kedai untuk beli jajan. Lepas tu kena bungkus jajan dalam plastik cantik-cantik..


Lepas balik rumah, solat Asar dan print pulak surat cantik-cantik dari Aisyah untuk kawan-kawannya..

Aisyah tulis macam ni lah...

Kepada Kawan-kawan Aisyah,

Jajan ni sempena Aisyah khatam Quran Juzu’ 30 pada 24 Okt 08


Malam tu, Umi teman Aisyah pergi ke semua rumah kawan-kawannya untuk serahkan jajan tersebut...

Alhamdulillah... Semoga Darling Umi, Aisyah yang baik akan dapat baca Quran dengan fasih yer... amin

Nikah Imam Tak Der Tauliah??

Ini penting untuk semua...
Dijawab oleh kawan saya Siti, telah di upload dalam web PGSM di http://pegaumsyarie.org

_________________

Hak Muslim: Hukum status anak pasangan dinikah imam tamat tauliah



SAYA dan suami tidak mengetahui imam yang menikahkan kami sudah tamat tauliahnya sedangkan bapa saya mewakilkan wali kepada imam berkenaan. Selepas pernikahan, saya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Apabila suami hendak membuat pendaftaran anak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan sijil nikah kami adalah palsu. Kami dinasihatkan untuk mengesahkan pernikahan. Ketika kes pengesahan nikah, mahkamah memutuskan pernikahan itu adalah fasid tetapi mahkamah tidak memutuskan sama ada anak kami adalah anak sah taraf atau tidak. Apakah taraf anak kami sebenarnya? Bagaimanakah kami hendak mengesahkan taraf anak kami? Apakah hak anak kami terhadap kami sebagai ibu bapanya kerana kami tidak bersalah dan tidak tahu tauliah imam itu sudah tamat.

Shikin,
Shah Alam

Jawapan
Kami bersimpati dengan permasalahan puan dan moga puan serta suami tabah menghadapi ujian Allah. Isu yang diutarakan adalah berkaitan nasab anak. Nasab anak perlu diketahui kerana kesannya dari segi undang-undang berkaitan nafkah, penjagaan, memanfaatkan harta benda, harta pusaka dan juga perwalian semasa pernikahan anak itu nanti.

Dalam kes pengesahan nikah, sememangnya mahkamah hanya mensabitkan berkaitan kesahan pernikahan saja tanpa mensabitkan status anak hasil pernikahan itu.

Pihak yang perlu membuat permohonan pengesahan nasab anak adalah suami puan kerana nasab anak disabitkan kepada bapa. Beliau boleh memohon untuk pengesahan nasab anak di Mahkamah Tinggi Syariah melalui notis permohonan dan afidavit.

Mahkamah pula, melalui kaedah digariskan hukum syarak akan mengambil keterangan pihak yang mengetahui mengenai pernikahan serta kelahiran anak dan setelah berpuas hati, mahkamah akan memutuskan sama ada anak berkenaan sah taraf atau tidak hasil daripada pernikahan itu.
Jawapan permasalahan puan ini akan merujuk Konsep Nasab Dalam Undang-undang Islam dan Implikasi Perundangannya oleh Md Som Sujimon dalam Manual Undang-undang Keluarga Islam, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di mana penulis menyatakan majoriti pengkaji Undang-Undang Keluarga Islam menggariskan beberapa cara untuk mensabitkan nasab.

Antaranya, menggunakan doktrin daripada hadis berbunyi anak itu milik kepada pemilik katil, penyaksian itu secara pengakuan lisan pihak dan dua orang saksi yang menyaksikan anak yang lahir itu.

Sementara persoalan berkaitan tuntutan pengakuan nasab atau secara qiyafah iaitu berdasarkan ilmu firasat salasilah untuk mensabitkan nasab seperti pada zaman moden ini menggunakan kaedah ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Berdasarkan permasalahan puan, hanya beberapa garis panduan saja diterangkan sebagai mensabitkan nasab, namun ia bukanlah bertujuan mensabitkan nasab anak puan dalam tulisan ini kerana semuanya bergantung kepada keterangan puan, suami dan saksi semasa di mahkamah kelak.
Merujuk teks hadis anak itu milik kepada pemilik katil, secara literal ia menetapkan anak yang dihasilkan di tilam yang dipunyai oleh pemiliknya dianggap sebagai anak yang sah taraf. Ulama sependapat menyatakan pemilik katil atau 'al firasy' merujuk kepada nikah sahih dan juga nikah fasid.

Nikah fasid ialah nikah yang salah satu daripada syarat atau rukun nikah tidak dapat dipenuhi. Segelintir ulama mazhab Hanafi berpendapat anak hasil daripada nikah fasid dianggap sah taraf secara automatik walaupun ayah kepada anak itu tidak membuat tuntutan nasab.

Mereka berpendapat anak hasil nikah fasid tidak dianggap sah kecuali jika persetubuhan berlaku dan hasil pernikahan, wanita itu mengandungkan anak. Namun, terdapat beberapa kriteria yang mesti dipenuhi untuk menggunakan doktrin ini iaitu suami mestilah seorang yang baligh dan berkemampuan melakukan hubungan seks sehingga menjadikan isterinya mengandung dan selepas pernikahan, mereka mestilah tinggal bersama yang memungkinkan berlakunya persetubuhan menyebabkan wanita itu mengandung.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Euukins) ada memperuntukkan berkaitan sah taraf yang menyamai mazhab Syafie dan selaras dengan doktrin ini di mana Seksyen 111 memperuntukkan jika seseorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Persoalan wati' syubhah, istilhaq iaitu tuntutan pengakuan juga sebagai cara mensabitkan nasab di mana hubungan kelamin yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang tidak menyedari hubungan kelamin dilakukan itu tidak sah atau haram.

Mazhab Syafie, Hanafi dan kebanyakan ulama Hambali berpendapat bahawa anak hasil perhubungan itu dianggap sah taraf kerana ketika persetubuhan berlaku mereka beranggapan sah. Seksyen 114 Euukins pula memperuntukkan berkaitan persetubuhan syubhah iaitu jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang, sudah digariskan cara untuk mensabitkan taraf seseorang anak.

Oleh itu, puan dan suami perlu membuat permohonan untuk mengesahkan nasab anak itu berdasarkan garis panduan yang dinyatakan.

Apabila mahkamah sudah mensabitkan berkaitan nasab anak, barulah puan boleh membawa perintah mahkamah ke JPN untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak.

Dapatkan khidmat peguam syarie berkaitan kes pensabitan nasab anak untuk membantu puan dan suami mengemukakan keterangan, bukti dan hujah yang menyokong kesahtarafan anak dari segi hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.

Sunday, November 2, 2008

Nak Jadi Lawyer tak?

Ni ada cite joke, sorang hamba Allah antar kat saya, saya bubuh ler dalam ni...
____________

A very successful lawyer parked his brand new Porsche Carrera GT in front of the office, ready to show it off to his colleagues.

As he was getting out, a truck came along too close to the car and completely tore off the driver's door.

Fortunately, a policeman was close enough to see the accident and pulled up behind the Porsche; it was completely ruined and would never be the same no matter how hard the body shop might try to make it new again.

His lights flashing, but before the policeman had a chance to ask any questions, the lawyer started screaming hysterically about how his Porsche, which he had just picked up the day before ,was now completely ruined and would never be same no matter how hard the body shop tries to make it new again.

After the lawyer finally calmed down from his rant, the officer shook his head in disgust and disbelief. 'I can't believe how materialistic you lawyers are,' he said.
'You're so focused on your possessions that you neglect the most important things in life'

'How can you say such a thing?' asked the lawyer.

The officer replied, 'Don't you even realize that your left arm is missing? It got ripped off when the truck hit you!'

'OH, MY GOD!' screamed the lawyer.

'MY ROLEX!!!'
______________

Moral of the story..

Kalo nak kaya jadiler loyer, sebab buat S&P saja dapat 1% each.. Pastu ambik kes, caj giler2 kat client.. dasyat.. dasyat....

Tapi kalo nak jadi tak berapa kaya.. jadiler lecturer cam saya...hehe..

Pertandingan Nasyid Aulad

Pertandingan Nasyid 2 Nov 08..

Alhamdulillah berjaya berlangsung dengan baik, semua orang rasa gembira dan seronok melihat kanak-kanak mengalunkan lagu2 nasyid.. ANtara yang best adalah lagu DIPondok Kecil, Mari Belajar, Sepohon Kayu dan Selawat Rasulullah..

Hj Isa, Kak Ram, Kak Fuziah, Yus, Su, Hj Morhalim, Zuraidi, Mad, wakil KRJ dan semua yang lain bersemangat waja dan seronok melihat kejayaan majlis tersebut. Penuh ruang di Kompleks dengan ibu bapa dan anak-anak. Sepuluh kumpulan bertanding.

Alhamdulillah .. Semoga kanak-kanak Muslim di Malaysia akan membesar dalam iman dan takwa.. amin

Saturday, November 1, 2008

Perjalananku..

31 Oktober 2008-- Jumaat---

Hari ini Jumaat 31 Oktober 2008, hari berkat Penghulu hari dalam seminggu. Saya ke pejabat seperti biasa, menghadiri mesyuarat cara pemarkahan untuk kursus Hubungan Etnik. Lepas tu ada makan mee jawa, sebelum tu nasi kerabu.. sedap betul..

Lepas tu saya balik ke rumah waktu tengahari, untuk sembahyang Zuhur dan menyiapkan beberapa perkara yang diperlukan. Saya plan dalam jam 3pm, saya akan masuk opis semula.

Kerja saya sekarang ni adalah mengisi borang DM 54, nak submit sebelum mula bercuti. Sudah hampir 10 hari ni saya bertungkus lumus, berpeluh-peluh sampai rasa nak muntah mengisi Borang DM54. Banyak sudah yang telah saya isi tapi masih banyak lompongnya.

Borang DM 54 adalah untuk kenaikan pangkat ke Profesor Madya, dengan tangga gaji yang sangat memberangsangkan..Jika duit menjadi taruhan, maka saya pasti keikhlasan akan sedikit terhakis...


Dalam kerjaya saya, saya sentiasa mengingatkan diri saya tentang kaedah fiqh 'Al-Umuru Bi-maqasidiha' iaitu 'Amalan dibalas mengikut apa yang diniatkan.' Dalam hati saya, saya niatkan bahawa saya bekerja adalah semata-mata kerana Allah, menjalankan tugas sebagai Khalifah di muka bumi, 'mencari' rezeki untuk saya dan orang-orang tersayang dengan izin suami saya. Saya ingin sentiasa ada duit untuk saya beri pada ibu bapa, adik beradik dan orang yang memerlukan. Saya juga ingin mencurahkan ilmu setakat yang Allah berikan kepada saya, membantu mendidik masyarakat kepada ilmu yang bermanfaat. Semoga semuanya ada nilaian keikhlasan di sisi Allah.


Apa sahaja yang hadir dengan jawatan itu, adalah rezeki yang dicurahkan Allah., Tetapi sebagai manusia biasa, kita akan membuat nilaian apakah berbaloi kerahan tenga dengan upah yang diperolehi... Namun begitu, sudah tentu kita tidak mahu semua usaha , masa dan tenaga hilang di sisi Allah kerana niat yang salah untuk duit semata-mata.


Selepas 3 tahun berada di DM52, sekarang adalah masa untuk saya lebih ke hadapan. Saya akan bersama-sama kawan-kawan yang lain untuk memohon DM 54 selepas ini, Kak Zuina, Dr Mad dan Ustaz Nawi. Saya akan submit borang pada hari Selasa minggu depan.

Borang kosongnya sahaja berjumlah hampir 50 m/s. Belum lagi salinan-salinan autoriti yang wajib disertakan. Setakat ini sudah menjadi 3 file tebal yang saya pun tak tahu macamna nak serahkan nanti. Hampir 1000 m/s kot..Kita perlu letak salinan semua surat perlantikan kerja, tugasan rasmi dan tidak rasmi dan macam-macam lagi..

Mudah-mudahan dengan izin Allah, saya akan mendapat DM 54 nanti. Insya Allah..

___________

Dua hari lepas, saya menziarah kawan lama saya. Saya dapat tahu dia sakit, agak tenat sakitnya dan dia menghadapi masalah kewangan yang teruk. 2 tahun lepas, dia pinjam duit saya RM3000, belum dibayarnya lagi sedangkan dia janji nak bayar dalam masa 1 tahun. Masa saya datang menziarahinya, Dia kata 'Hidayah, saya tak tahu macamna saya nak bayar hutang awak. Saya sakit, anak saya pun sakit. Saya dengar awak nak ke Australia. Berapa tahun tu? Saya takut saya mati, tak sempat bayar hutang Hidayah.' Matanya berair menangis. Dia lebih tua dari saya, suaminya dah mati, dia ada anak tapi semuanya susah belaka..

Saya pun tak tahu nak kata apa.. Melihat keadaannya saya rasa belas sangat..Akhirnya saya kata, 'Macam nilah, saya ni pergi rasanya dalam 4 tahun. Saya doakan awak sihat. Saya ingat macam nilah, yang saya pinjamkan tu duit saya, bukan duit suami, jadi saya sedekah sajalah.. Awak tak payahlah bayar.. Saya minta awak doakan saya jer..berjaya di dunia, berjaya belajar nanti dan berjaya diakhirat.. InsyaAllah...'

Dan dia menangis terisak-isak...Saya tak nangis, tapi sebak siket lah..

Mudahan-mudahan Allah memberinya kesihatan yang baik.. amin..
Dan memberkati doanya untuk saya.. amin..

_______________

Semasa saya di rumah juga dalam jam 2 pm, saya menerima panggilan telefon..

Ohhh is it..
Ya Allah...
Thank you..
I will check my email soon..
After I receive the email, I will call you back..
Thank you again Miss..


Apa tu????

Saya telah menerima tawaran ke sebuah Uni di Ostolia, mendaftar 25 Nov ini... Alhamdulillah..

Puji syukur hanya untuk Allah, Tuhan seru sekelian alam..