Wednesday, March 14, 2007

Hak Muslim 8 Mac 07

Pernyataan hasrat rujuk guna SMS tidak sah
Bersama Mohamad Isa Abd Ralib


SAYA bercerai dengan isteri dan disahkan oleh mahkamah atas permohonan isteri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah sah rujuk seorang suami kepada isterinya yang dilakukan secara SMS kepada isteri. Saya menghantar mesej itu, saya memang mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Ayat saya adalah ‘saya rujuk semula dengan kamu’. Tetapi isteri membalas dengan ayat, ‘Saya tak nak walau apapun’. Jarak saya dan isteri ketika itu 180 km, dan kami tidak lagi tinggal bersama sejak SMS berkenaan dihantar kerana isteri enggan rujuk semula. Apakah rujuk saya itu dianggap sah?
SUAMI
Sepang

RUJUK adalah hak suami dalam perceraian talak rajie selagi isterinya masih dalam idah. Ia adalah suatu penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat oleh suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Dari sudut kesahannya, rujuk tidak memerlukan lafaz penerimaan daripada isteri. Bahkan ia sah walaupun tanpa pengetahuan dan persetujuan isteri, asalkan menepati syarat rujuk yang diperlukan.Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri itu masih suka kepada suaminya. Sebaliknya suami boleh merujuk isteri yang diceraikan walaupun isteri itu tidak lagi suka kepada suaminya. Menurut jumhur ulama, ada tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz). Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Rukun pertama, suami hendaklah seorang yang baligh. Tidak sah rujuk bagi suami yang belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk, suami hendaklah kekal dalam Islam. Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai idah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuknya tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk.

Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh idah. Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya idah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti ‘engkau’ atau ‘nama isteri itu’ atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah itu pula tidak boleh digantungkan (ditaklikkan) dengan sesuatu.Contohnya suami berkata: “Abang rujuk awak jika awak suka.” Atau: “Abang kembali kepada awak jika emak awak datang.” Rujuk yang digantungkan atau ditaklikkan dengan sesuatu syarat seperti contoh di atas adalah tidak sah.Jenis lafaz rujuk terbahagi kepada dua iaitu lafaz sareh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran/simbolik).

Contoh lafaz sareh seperti kata suami “Abang rujuk kembali kepada kamu”. Lafaz seperti ini adalah sah dan tidak memerlukan niat. Manakala lafaz kinayah menggunakan bahasa sindiran atau kiasan yang membawa maksud untuk rujuk seperti kata suami “Abang pegang awak”. “Awak masih isteri abang” jika menggunakan lafaz kinayah maka disyaratkan agar suami itu berniat untuk rujuk ketika malafazkan perkataan sindiran itu.Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukunnya adalah sah walaupun rujuk yang dibuat itu dalam keadaan bergurau. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuklah nikah, cerai dan rujuk.

Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah. Dari sudut peruntukan undang-undang, saudara boleh melihat Seksyen 52 (2) – (9) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Antara lain, Seksyen ini menyebut bahawa sekiranya isteri tamat idah, maka tidak boleh dirujuk. Sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, maka dia tidak boleh diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik satu jawatankuasa pendamai seperti diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.Ini bermaksud, sekiranya isteri tidak bersetuju dengan alasan yang diterima syarak seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya.

Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk. Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum itu sebagai ejek-ejekan dan permainan”. Dari segi hukum rujuk juga, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain.

Makruh rujuk pula jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya. Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri yang ingin dirujuknya itu.Merujuk kepada kes saudara, berdasarkan mazhab Syafei, kedudukan rujuk yang saudara buat melalui SMS adalah tidak sah walaupun mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Lafaz rujuk yang dibuat oleh saudara adalah berbentuk tulisan (kitabah) dan bukannya secara lisan melainkan saudara seorang bisu (tidak boleh berkata-kata). Untuk makluman saudara SMS dianggap sebagai tulisan (kitabah).

Namun begitu sekiranya saudara membaca balik SMS itu secara berlafaz sebaik saja saudara menghantar SMS itu, rujuk itu dianggap sah kerana saudara melafazkan rujuk. Saudara perlu melafazkan kembali lafaz rujuk berkenaan secara lisan terhadap isteri di dalam tempoh idah isteri saudara. Sekiranya tempoh idah habis, maka saudara dikehendaki menjalankan akad nikah baru dengan bekas isteri saudara. Jika dengan akad nikah yang baru, saudara perlu ingat, bilangan talak saudara dengan isteri tersebut berkurang kepada dua sekiranya sebelum ini bercerai dengan talak satu. Saudara juga perlu mengambil kira lafaz taklik yang dibaca ketika perkahwinan dahulu, kerana sesetengah negeri meletakkan taklik iaitu sekiranya suami merujuk tanpa persetujuan isteri maka boleh jatuh satu lagi talak.

Perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu yang penting dalam Islam. Apabila seorang berkahwin secara baik dan terhormat, maka apabila perkahwinan tidak dapat diselamatkan, sewajarnya perceraian juga dilakukan dengan baik dan terhormat, bukan menggunakan SMS dan sebagainya. Begitu juga apabila suami ingin merujuk isteri, wajarlah berdepan menzahirkan kesungguhan dan keikhlasan suami, kerana ia bukan perkara main-main. Untuk mengesahkan rujuk yang saudara buat, saya menasihatkan agar saudara dapat membuat permohonan pengesahan rujuk di hadapan Pendaftar, Nikah, Cerai dan Rujuk di Pejabat Agama di tempat saudara. Semoga perkahwinan saudara akan dapat diselamatkan dan beroleh keberkatan.

Jawapan disediakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralip. Sebarang persoalan berkaatan syariah sila kemukakan menerusi e-mel: admin@pgsm.org.my
(Telah disiarkan dalam BH 8 MAc 07)

Friday, March 2, 2007

Slot Peguam Syarie Menulis 28 Feb 2007

Perkahwinan bawa mudarat patut dielak
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Islam saran keutamaan nilai bakal pasangan dari segi pegangan agama, akhlak

ADA orang berkata perkahwinan itu satu perjudian. Ibarat orang berjudi, jika bernasib baik, dia akan menang dan membawa balik untung yang banyak. Jika tidak, bukan saja tidak dapat untung, modal pun habis.Begitulah juga dengan perkahwinan. Jika bernasib baik, perkahwinan akan bahagia dan berjaya. Jika tidak, terpaksalah menanggung kesusahan dan kepayahan daripada perkahwinan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Perempuan itu dikahwini kerana empat, kecantikan, keturunan, harta dan agamanya. Pilihlah yang beragama, nescaya selamatlah kamu.”Kebiasaannya, lelaki lebih melihat kepada rupa paras. Islam menyarankan carilah bakal isteri yang baik, berpegang teguh kepada agama, menjaga maruah diri dan baik akhlaknya. Maka, dengan izin Allah, akan selamatlah rumah tangga yang dibina.

Jika lelaki disarankan membuat pilihan begitu, maka apakah pula kedudukan bagi wanita? Sudah tentu lebih wajar untuk mengkaji siapakah calon suaminya, kerana seorang isteri akan tertakluk kepada suaminya.Imam Hassan pernah ditanya oleh seorang bapa, “Dengan siapakah perlu aku kahwinkan anak perempuanku? Beliau menjawab, “Kahwinkanlah dengan lelaki yang beragama dan bertakwa. Jika dia sayang pada anakmu, dia akan melayannya dengan baik. Jika tidak sayang, dia tidak akan melayannya dengan buruk.”

Justeru, apabila Islam menyarankan supaya menilai bakal pasangan sebelum berkahwin, ini bermaksud perkahwinan adalah suatu yang dirancang, bukan berdasarkan nasib semata-mata (perkahwinan bukanlah satu perjudian).Kebelakangan ini, heboh diperkatakan mengenai perkahwinan pasangan pembawa HIV. Adakah wajar seorang sihat berkahwin dengan pasangan yang sudah disahkan HIV Positif?Sekiranya mereka berkahwin, bagaimana kehidupan mereka selepas berkahwin? Apa akan berlaku kepada anak yang akan lahir?

Berdasarkan laporan Tabung Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Malaysia antara negara mempunyai bilangan pesakit HIV yang ramai dan bertambah setiap tahun.Bilangan kes jangkitan HIV berjaya dikesan dari tahun 1986 sehingga Jun 2006 adalah 73,427 dan 8334 daripada mereka sudah meninggal kerana AIDS dan secara purata 17 orang meninggal setiap hari kerana penyakit itu.Apabila jumlah terbabit ramai dan hidup bersama dalam masyarakat yang ada, maka bukan suatu yang pelik sekiranya wanita bertemu dan bercinta dengan lelaki pembawa HIV positif ataupun sebaliknya.

Secara dasarnya, pembawa HIV juga sama dengan manusia lain. Mereka berhak untuk hidup dan merasai kenikmatan serta kebahagiaan selama mana hayatnya masih ada. Mereka juga mempunyai naluri untuk mempunyai keluarga dan disayangi.Masyarakat harus faham bahawa penyakit ini boleh merebak melalui banyak cara seperti mengadakan hubungan kelamin dengan pembawa HIV, pertukaran jarum suntikan bagi penagih dadah dan pemindahan darah (walaupun ini kes terpencil).Wajarkah seorang yang sihat memilih dan dibenarkan berkahwin dengan seorang yang sudah diketahui HIV positif?

Isu ini membabitkan aspek kemanusiaan, keagamaan dan undang-undang.Dari aspek kemanusiaan, untuk melarangnya adalah rumit kerana membabitkan perasaan dan hati. Selalunya, seorang boleh berfikir secara tenang dan menilai baik buruk sesuatu jika bersangkutan dengan perkara lain, tetapi tidak dalam hal membabitkan hati dan perasaan.Seorang perempuan atau lelaki bercinta sama ada dengan pasangan HIV positif atau tidak sering dikuasai emosi dan perasaan. Apabila dilarang, ada yang patuh dan ada pula berusaha melawan bagi membuktikan keputusannya wajar atas dasar cinta.

Berdasarkan pandangan agama, ada beberapa perkara harus diberi perhatian kerana perkahwinan dalam Islam adalah suatu yang mulia. Ia tidak bergantung semata-mata kepada nasib, tetapi membabitkan perancangan, usaha dan doa.Seorang perempuan yang membuat keputusan hari ini akan memberi kesan kepada seluruh kehidupannya. Anak yang lahir akan turut menerima kesannya. Menangis hari ini adalah lebih baik daripada menangis sepanjang hayat.Justeru, membuat pemilihan yang saksama dengan waras dan tenang sangat penting kerana ia membabitkan generasi akan datang.

Islam menggariskan tatacara untuk mencari keputusan terbaik.Allah berfirman bermaksud: “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan..” (Surah al-Baqarah, ayat 195)Sekiranya diketahui bahaya yang akan datang, maka jangan sama-sekali terjun ke dalamnya kerana ia akan merosakkan diri kita. Kaedah fiqh turut menegaskan, ‘menolak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat.’Ini bermaksud, perkara yang mempunyai kebaikan dan kemudaratan, maka kemudaratan itu hendaklah ditolak.

Justeru, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan yang diketahui HIV positif akan mengundang banyak masalah.Oleh itu, menolak mudarat yang bakal berlaku adalah lebih utama daripada mengambil manfaat perkahwinan itu sendiri. Adalah dicadangkan pihak mufti bersidang dengan seberapa segera untuk mengeluarkan fatwa berkenaan isu ini dan diwartakan untuk perhatian serta ikutan semua umat Islam di Malaysia.

Dari segi undang-undang, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri hanya meletakkan syarat umum pasangan berkahwin. Tidak ada peruntukan khusus mengenai syarat pengantin sama ada sakit, muflis atau pengidap penyakit berisiko.Beberapa negeri mensyaratkan bakal pengantin melalui pemeriksaan darah dan menjalani sesi kaunseling sebelum berkahwin adalah suatu yang wajar.

Menangani isu keaiban pasangan, semua mazhab sependapat bahawa sekiranya seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki yang diketahui kecacatannya, maka haknya untuk fasakh dianggap terbatal.Begitu juga jika keaiban/kecacatan berlaku selepas perkahwinan dan isteri menyatakan keredaannya terhadap kecacatan itu, maka pada ketika itu haknya untuk menuntut fasakh menggunakan alasan keaiban juga dianggap terbatal. Bagaimana jika seorang isteri yang bersetuju berkahwin dengan pesakit sebegini dan tidak mampu menghadapi tekanan yang diakibatkan oleh perkahwinan itu. Apakah wajar dia menuntut fasakh menggunakan alasan ini?

Penulis adalah Exco Penyelidikan dan Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang pendapat dan komentar, sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my
Artikel ini telah disiarkan dalam BH pada 28 Feb 2007

Hak Muslim 1 Mac 2007

Hak Muslim: Langkah hadapi kerenah isteri nusyuz
Bersama Mohamad Isa Abd Ralib

Soalan:
SAYA baru mendirikan rumah tangga hampir setahun. Saya dan isteri bekerja serta tinggal di Johor Bahru. Beberapa bulan lalu saya ditukarkan ke Shah Alam dan kami tinggal berasingan. Isteri saya masih bertugas di Johor Bahru dan tinggal di rumah sewa bersama kawannya. Masalahnya, saya beberapa kali mengajaknya pindah dan berhenti kerja supaya dapat mengikut saya ke Shah Alam tetapi beliau enggan. Alasan yang diberi, sukar mencari kerja baru di Lembah Klang, ingin mempunyai pendapatan sendiri kerana ingin membantu keluarganya di kampung dan bosan duduk di rumah tanpa kerjaya. Untuk pengetahuan tuan, saya membeli rumah dan menyediakan segala keperluan selain gaji yang mencukupi untuk menanggung kami sekeluarga. Buat masa ini isteri saya sanggup berulang alik setiap minggu dari Johor Bahru ke Shah Alam. Isnin hingga Jumaat saya tinggal bersendirian dan makan minum terpaksa dimasak atau beli di warung. Adakah tindakan isteri enggan mengikuti saya ke Shah Alam dikira nusyuz? Jika isteri nusyuz, adakah wajib saya memberi beliau nafkah? Apa yang perlu saya lakukan?
SUAMI RESAH,
Shah Alam

Jawapan:
Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami menjalankan sepenuh tanggungjawab terhadap isteri.

Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami, manakala, hak suami pula adalah tanggungjawab isteri termasuk mematuhi suruhan suami selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Jika suruhan suami bertentangan dengan ajaran Islam, ia bukan saja tidak wajib dipatuhi malah, suami perlu diperbetulkan dengan cara bijaksana.Tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada hadis Sunan Abu Daud yang bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” Rasulullah SAW membuat perumpamaan sebegitu untuk menunjukkan betapa pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak keluar daripada landasan syarak.

Bagi menentukan sama ada isteri saudara nusyuz dan saudara wajib atau tidak memberi nafkah, kita perlu meneliti kepada peruntukan undang-undang sedia ada.Menurut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:

“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain:
· Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;
· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.”

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya sekiranya beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan salah satu atau kesemuanya perkara (a), (b) dan (c).

Namun demikian, mengikut peruntukan di atas, seorang isteri tidaklah dikatakan nusyuz melainkan perbuatan itu tertakluk kepada Hukum Syarak dan disahkan oleh mahkamah terlebih dulu.

Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: “Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.” Oleh itu, mengikut peruntukan ini walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya tetapi kemudian dia bertaubat, maka isteri tidak dianggap nusyuz. Dalam keadaan ini, suami wajib memberi nafkah kepada isteri.

Kes saudara menunjukkan isteri enggan berpindah mengikut saudara ke Shah Alam. Namun begitu, beliau mempunyai alasan untuk mengambil keputusan enggan berpindah.Sebagai suami isteri yang berhasrat untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga, saudara wajar berbincang secara tulus, telus dan berhikmah dengan isteri. Saudara wajar berbincang dan mungkin saudara boleh memberikan cadangan yang baik seperti menolongnya mencari kerja terlebih dulu dan kemudian baru berpindah ke Lembah Klang.

Namun demikian sekiranya isteri saudara masih lagi enggan tanpa alasan yang kuat, saya berpendapat saudara wajar merujuk kepada pendekatan Quran dalam menangani isteri nusyuz.Firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai akan berlaku nusyuz (derhaka), hendaklah kamu menasihati mereka dan sekiranya mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga, pukul mereka, kemudian jika mereka kembali mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.”

Ayat di atas menggariskan langkah yang perlu diambil suami dalam menghadapi kerenah isteri yang nusyuz iaitu menasihati, memulaukan (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri) dan memukul dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan.

Pertama, jika sudah diadakan perbincangan tetapi isteri tetap berdegil, cuba nasihatkan bersandarkan kepada ayat al-Quran dan sunnah bagi melembutkan serta mendekatkan isteri kepada nilai agama.

Jika isteri saudara masih lagi berdegil, tunjukkan rasa tidak reda dengan tidur berasingan bilik atau membelakangi isteri ketika tidur. Mudah-mudahan dia sedar atas kesilapannya.

Kaedah terakhir iaitu memukul dengan pukulan tidak melukakan atau mencederakan isterinya, tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan.

Apapun, saya sangat mengharapkan saudara berbincang dengan baik, gariskan kebaikan dan keburukan tinggal berjauhan, apa kemungkinan berlaku jika berhenti kerja dan cari alternatif yang baik.Semoga kerjasama kedua pihak dapat memastikan perkahwinan berkekalan dan beroleh bahagia.

Artikel ini telah disiarkan dalam BH pada 1 Mac 2007

CINTA HIV

Ruangan MINDA-HARIAN METRO 1 Mac 2007

Menolak mudarat perlu diutamakan
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

ADA orang menyebut cinta itu buta. Orang bercinta selalunya sanggup berbuat apa sahaja untuk membuktikan betapa dalamnya cinta mereka. Kerap kali pula tindakan mereka tidak dapat difahami orang lain.
Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan pengorbanan seorang gadis yang bercinta dengan lelaki yang disahkan pembawa kuman HIV seperti didedahkan dalam Harian Metro baru-baru ini.
Persoalan yang ingin kita lihat apakah pendapat Islam dalam perkara ini? Wajarkah seseorang yang sudah disahkan HIV positif berkahwin dengan penghidap penyakit yang sama? Wajarkah orang yang sihat berkahwin dengan pasangan disahkan HIV positif? Sekiranya mereka berkahwin, bagaimana kehidupan mereka selepas berkahwin? Apa akan berlaku kepada anak yang bakal lahir?
Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya pernah berpesan: “Perempuan itu dikahwini kerana empat: Kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya. Pilihlah yang beragama nescaya selamatlah kamu.”Bagaimanapun, lelaki dalam mencari pasangan biasanya akan melihat rupa paras dan sesekali faktor lain.Islam menyarankan agar memilih bakal isteri yang baik, berpegang teguh kepada ajaran agama, menjaga maruah diri dan baik akhlaknya. Maka dengan izin Allah S.W.T, akan selamatlah rumah tangga yang dibina.
Jika lelaki disarankan membuat pilihan seperti itu, apakah pula kedudukan bagi seorang wanita? Sudah tentu lebih wajar untuk menilai dan mengkaji siapakah calon suaminya, kerana seorang isteri akan lebih tertakluk kepada suaminya.
Imam Hassan pernah ditanya seorang bapa: “Dengan siapakah perlu aku kahwinkan anak perempuanku? Beliau menjawab; ‘Kahwinkanlah dengan lelaki yang beragama dan bertakwa. Jika dia sayang pada anakmu, dia akan melayannya dengan baik. Jika tidak sayang, dia tidak akan melayannya dengan buruk.'
Justeru, apabila Islam menyarankan supaya menilai bakal pasangan sebelum berkahwin, ia menunjukkan perkahwinan dalam Islam sesuatu yang dirancang. Ia bukan berdasarkan nasib semata-mata dan membuat keputusan mengikut nafsu dan emosi. Perkahwinan dalam Islam bukan satu perjudian, ia tidak mengikut nasib semata-mata tetapi dirancang dan disusuli usaha dan doa kepada Allah.
Menurut UNICEF, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai bilangan pesakit HIV yang ramai dan bertambah setiap tahun. Bilangan kes jangkitan HIV yang dikesan daripada tahun 1986 sehingga Jun 2006 adalah 73,427.Daripada jumlah itu, 8,334 meninggal kerana AIDS dan secara purata 17 orang meninggal setiap hari kerana penyakit ini. (lihat http://www.unicef.org/malaysia/hiv_aids_4166.html)
Ia menjadi satu isu besar membabitkan semua agama dan bangsa. Apabila jumlah terbabit ramai dan hidup bersama dalam masyarakat, bukan suatu yang pelik sekiranya seorang wanita bertemu dan bercinta dengan seorang lelaki pembawa HIV positif atau sebaliknya. Secara dasarnya, pembawa HIV juga sama dengan manusia lain. Mereka berhak hidup dan merasai kenikmatan dan kebahagiaan sepanjang hayat. Mereka juga mempunyai naluri untuk mempunyai keluarga dan disayangi.
Pada masa sama, masyarakat harus faham bahawa penyakit itu boleh merebak melalui pelbagai cara seperti melalui hubungan kelamin bersama pembawa HIV, pertukaran jarum suntikan bagi penagih dadah dan daripada cara yang tidak disangka seperti pemindahan darah bagi pesakit di hospital (walaupun ini kes terpencil). Wajarkah seorang yang sihat memilih dan dibenarkan berkahwin dengan seorang yang diketahui HIV positif?
Isu itu sebenarnya membabitkan banyak aspek.Ia aspek kemanusiaan, keagamaan dan undang-undang.
Dari segi kemanusiaan, untuk melarangnya adalah suatu yang rumit kerana hubungan itu membabitkan perasaan dan hati.Selalunya, seseorang boleh berfikir secara tenang dan menilai baik buruk jika bersangkutan dengan perkara lain tetapi tidak dalam hal hati dan perasaan. Seorang yang bercinta sama ada dengan pasangan HIV positif atau sesiapa sekalipun banyak dikuasai emosi dan perasaan.Apabila mendapat larangan, ada yang patuh dan ada yang berusaha untuk melawan bagi membuktikan keputusannya adalah wajar atas dasar cinta.
Dari segi pandangan agama, terdapat beberapa perkara yang harus diperhatikan. Perkahwinan dalam Islam suatu yang mulia. Ia tidak bergantung semata-mata kepada nasib tetapi perancangan, usaha dan doa.Seorang perempuan yang membuat keputusan hari ini untuk menerima dan berkahwin dengan seseorang lelaki akan memberi kesan kepada seluruh kehidupannya.Anak yang lahir akan turut menerima kesannya. Mereka perlu membuat pemilihan yang bijaksana secara waras dan tenang.
Dalam membuat keputusan, Islam menggariskan tatacara agar mendapat keputusan terbaik. Firman Allah bermaksud “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan...” (al-Baqarah: 195). Sekiranya diketahui bahaya akan menjelma, jangan sama sekali terjun ke dalamnya. Ia akan merosakkan diri.
Kaedah fiqah turut menegaskan, “Menolak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat.” Ini bermaksud, sekiranya sesuatu perkara yang mempunyai kebaikan dan juga kemudaratan, maka kemudaratan itu hendaklah ditolak.Mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan diketahui HIV positif, akan mengundang banyak masalah dan mudarat.
Oleh itu, menolak mudarat yang bakal berlaku adalah lebih utama daripada mengambil manfaat perkahwinan itu sendiri. Adalah dicadangkan pihak mufti bersidang dengan segera untuk mengeluarkan fatwa berkenaan isu itu dan diwartakan untuk perhatian dan ikutan semua umat Islam di Malaysia. Dari segi undang-undang, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri hanya meletakkan syarat umum pasangan berkahwin seperti umur pengantin, pemastautin dan pertunangan.
Tidak ada peruntukan khusus mengenai syarat pengantin sama ada seorang yang sakit, muflis dan penghidap penyakit berisiko.Beberapa negeri yang mensyaratkan bakal pengantin melalui pemeriksaan darah dan menjalani sesi kaunseling sebelum berkahwin adalah wajar dan sangat baik demi kesejahteraan pasangan.
Dalam kitab, pasangan yang mempunyai keaiban seperti alat kelamin tidak berfungsi dan sebagainya, semua mazhab sependapat jika seorang perempuan membuat keputusan bersetuju berkahwin dengan lelaki yang diketahui mempunyai keaiban, haknya untuk fasakh dianggap terbatal selepas perkahwinan. Begitu juga jika keaiban berlaku selepas perkahwinan tetapi isteri menyatakan keredaannya terhadap kecacatan itu, justeru, ketika itu haknya menuntut fasakh menggunakan alasan keaiban juga dianggap terbatal.
Persoalan yang berbangkit daripada kes sebegini adalah bagaimana jika isteri yang bersetuju berkahwin dengan seorang yang berpenyakit, tetapi selepas itu tidak mampu menghadapi tekanan yang diakibatkan daripada perkahwinan itu.Apakah wajar dia kemudian memohon untuk bercerai kerana suaminya menghidap AIDS? Alangkah peritnya kehidupan yang akan dihadapinya nanti.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).