Friday, December 28, 2007

Umi dalam Utusan 28 Dis 07

Perbahasan kuasa syariah
Oleh NURHIDAYAH MUHD. HASHIM


Dalam beberapa hari lagi, kita akan meninggalkan tahun 2007 dan akan beranjak memasuki tahun baru 2008. Kita baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah 1428H dan akan meneroka ke tahun baru Hijrah, awal Muharam 1429H tidak berapa lama lagi.
Masa sangat pantas berlalu sama ada kita berjaya mengisinya dengan baik ataupun tidak, ia tetap meninggalkan kita.

Terdapat banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun 2007 yang memberi kesan kepada masyarakat. Dari aspek perundangan, tahun 2007 menyaksikan beberapa perkara melibatkan perbincangan hebat kedudukan bidang kuasa mahkamah sivil dan juga mahkamah syariah.
Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan perkara 121 (1A) begitu hangat diperbahaskan. Beberapa kes yang berlaku menyentuh isu ini sehingga membawa kepada perbincangan sama ada Malaysia adalah negara Islam atau tidak. Semua ini turut mewarnai tahun 2007.

Pada April 2007, kedudukan mahkamah syariah menjadi perhatian apabila Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman membuat teguran terbuka bahawa terdapat layanan dan kedudukan berbeza terhadap hakim mahkamah syariah berbanding dengan hakim mahkamah sivil.

Hakim mahkamah sivil diberi layanan dan keistimewaan yang sangat baik dari segi skim gaji, kelebihan dalam majlis keraian kerajaan dan sebagainya berbanding dengan hakim mahkamah syariah. Teguran tersebut sangat perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berwajib.
Bukan sahaja melibatkan imbuhan hakim serta layanan ke atas mereka, tetapi juga melibatkan keseluruhan penambahbaikan ke atas mahkamah syariah dan kemudahan yang disediakan.
Sepanjang tahun 2007 juga, isu melibatkan Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 menjadi tajuk penting dalam perbahasan semasa.

Peruntukan tersebut memperuntukkan bahawa di mana satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu telah memeluk Islam, pihak yang satu lagi yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan petisyen untuk perceraian dengan syarat bahawa petisyen tersebut tidak boleh difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pihak itu memeluk Islam.

Apabila membubarkan perkahwinan tersebut mahkamah boleh membuat perintah kepada isteri atau suami tersebut untuk kepentingan anak-anak kepada perkahwinan itu, jika ada, ataupun meletakkan syarat-syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah yang dimaksudkan di sini adalah mahkamah sivil.

Seksyen 51 ini hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam itu memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah. Manakala pihak yang memeluk Islam tidak langsung mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan tersebut.

Sekiranya pihak yang tidak memeluk Islam itu enggan memfailkan petisyen itu atas alasan-alasan tertentu maka tidak ada sebarang remedi dan jalan keluar bagi pihak yang memeluk Islam itu.

Kita sangat berharap pindaan terhadap seksyen tersebut dibuat dengan kadar segera demi keadilan kedua-dua pihak sama ada yang Islam atau yang tidak Islam. Ini menunjukkan Seksyen 51 ini seolah-olah menganggap memeluk Islam itu adalah suatu kesalahan dan kerana itu orang yang masuk Islam perlu dihukum dan hak mereka untuk mendapatkan perceraian ditarik daripada mereka.

Murtad

Pada 30 Mei 2007 yang lepas juga menyaksikan keputusan besar dalam kes permohonan memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalan. Permohonan sebegini mesti memerlukan suatu sijil atau perintah murtad daripada mahkamah syariah terlebih dahulu.
Penghakiman dalam kes rayuan Lina Joy yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya di mana majoriti panel hakim iaitu Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Datuk Alauddin Mohd. Sherif menolak rayuan Lina Joy sementara Datuk Richard Malanjum membenarkan rayuan beliau.

Penghakiman tersebut mengukuhkan penggunaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan antara lain bahawa apa-apa keputusan mahkamah syariah ke atas satu-satu perkara yang berada dalam bidang kuasanya tidak boleh diganggu gugat lagi oleh mahkamah sivil.

Penghakiman juga memutuskan bahawa urusan orang Islam yang ingin keluar dari Islam berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Dakwaan dan pengakuan seseorang bahawa dia bukan lagi seorang Islam tidak boleh dianggap satu ketentuan muktamad bahawa dia tidak lagi menganut agama Islam.

Dengan itu dakwaan seseorang jika dia tidak lagi berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah kerana mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang yang menganuti agama Islam tidak dapat diterima. Ini kerana cara seseorang keluar dari sesuatu agama semestinya mengikut kaedah atau undang-undang yang ditetapkan oleh agama itu sendiri.

Kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan memerlukan seseorang mematuhi amalan atau undang-undang agama Islam khususnya mengenai keluar dari agama itu. Seseorang tidak boleh dengan sesuka hati keluar dan masuk agama Islam.
Apabila seseorang menganuti sesuatu agama, akal budi (common sense) sendiri memerlukan dia mematuhi amalan dan undang-undang agama itu.

Kita wajar menoleh ke belakang melihat kesilapan yang telah berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun akan datang.

Berpindah ke tahun baru sebenarnya membawa tanggungjawab yang lebih besar. Kita semua ingin melihat negara berjaya mencapai status negara maju dengan nilai-nilai murni yang dipertahankan. Semoga tahun 2008 membuka lembaran lebih baik serta membawa kebaikan untuk kita semua.

* NURHIDAYAH MUHD. HASHIM ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).