Friday, December 7, 2007

Umi dalam Berita Harian 6 Dis

Di bawah ini jawapan yang aku tulis di bawah Slot Hak Muslim disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 6 Dis 07.


Hak Muslim:
Isteri takut diabai jika suami nikah baru
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim


Soalan

SAYA seorang suri rumah mempunyai lima anak. Saya selalu membaca mengenai suami berpoligami dan kasihan pada isteri yang dimadu. Saya berasakan mustahil perkara itu berlaku pada saya. Jika suami ingin berkahwin lain, saya akan minta cerai. Namun, baru-baru ini suami memberitahu hasrat untuk berpoligami. Mulanya saya memberontak dan menangis sambil meminta cerai. Kemudian, saya berfikir mengenai anak, lalu mengambil keputusan bersetuju suami berpoligami. Bagaimanapun, saya risau nafkah untuk saya dan anak akan terabai. Apakah hak saya dan bagaimana untuk memastikan hak saya dan anak terutama nafkah seperti sebelum suami berpoligami.

Isteri kuat semangat,
Shah Alam.


Jawapan

WANITA akan berasa sedih untuk berkongsi suami. Tetapi kesedihan itu tidak boleh hingga mengingkari atau mengutuk hukum yang sudah ditetapkan dalam al-Quran. Masalah yang sering berlaku dalam masyarakat adalah orang berpoligami gagal berlaku adil. Kegagalan pihak berpoligami menyebabkan orang memandang buruk kepada keharusan itu.

Puan menyebut bersetuju dengan hasrat suami untuk berpoligami. Mengikut undang-undang, ada prosedur tertentu yang perlu diikuti suami untuk berpoligami. Izin puan bukan penyebab mutlak dia dibenarkan poligami, kelayakannya akan dinilai oleh mahkamah sebelum kebenaran berpoligami diberikan.

Oleh sebab puan beralamat di Shah Alam, berkemungkinan pemastautin Selangor, jadi kita merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 03). Oleh itu, ada syarat yang perlu dipenuhi suami. Tujuan diwujudkan syarat adalah untuk menjamin hak isteri, sama ada isteri pertama atau yang bakal menjadi isteri. Begitu juga kebajikan anak jika ada, di samping tidak menolak keharusan poligami bagi lelaki dalam Islam.

Puan boleh merujuk Seksyen 23 EUKIS 03 yang memperuntukkan bahawa ketika masih wujud suatu perkahwinan, seorang suami tidak boleh membuat akad nikah dengan perempuan lain kecuali apabila mendapat kebenaran mahkamah terlebih dulu. Ini bermaksud suami perlu membuat permohonan ke Mahkamah Syariah terlebih dulu untuk mendapat kebenaran.

Sub-seksyen (4) menyatakan bagaimana kaedah permohonan poligami boleh dibuat. Suami perlu membuat permohonan kepada mahkamah mengikut cara ditetapkan, mesti disertakan ikrar yang menyatakan apa alasannya menunjukkan perkahwinan dicadangkan patut atau perlu, pendapatan beliau pada masa itu, butir komitmennya, kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan tanggungan, termasuk orang yang akan menjadi tanggungan berikutan perkahwinan yang dicadangkan dan sama ada izin atau pandangan puan sebagai isteri sudah diperoleh atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.

Mahkamah akan membuat pertimbangan terhadap permohonan suami seperti dinyatakan dalam sub-seksyen (5) iaitu, "Apabila menerima permohonan itu, mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan orang lain yang difikirkan mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan di dalam mahkamah tertutup, dan mahkamah boleh memberi kebenaran yang dimohon itu jika berpuas hati:
  • bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu, memandang kepada antara lain keadaan berikut iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak daripada segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri sedia ada;
  • bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung seperti dikehendaki hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan itu; l bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya mengikut hukum syarak; dan
  • bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan dharar syarie kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada."

Suami puan perlu menjawab semua yang dinyatakan di atas untuk meyakinkan mahkamah bahawa dia memang mampu dan layak berkahwin lain. Apabila mahkamah memanggil puan untuk hadir, puan perlu menghadirkan diri dan memberitahu mahkamah apa-apa yang puan rasa patut diberitahu seperti jumlah nafkah diberikan sekarang, bagaimana pembahagian masa dan layanan suami kepada puan dan anak, puan setuju atau tidak dengan cadangannya dan sebagainya.

Selepas mendengar semua keterangan, baru mahkamah akan mempertimbangkan sama ada memberi kebenaran atau tidak. Selain itu, hak puan termasuk nafkah dan harta yang puan peroleh dalam tempoh perkahwinan dengan suami akan menjadi lebih terjamin dengan peruntukan seksyen 23 (10) iaitu,

"Tiap-tiap mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan untuk mengkehendaki seseorang membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha sama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan."

Dengan maksud lain, hak puan dan hak anak daripada segi pemberian nafkah akan dijamin oleh mahkamah seperti yang puan terima sebelumnya iaitu sebelum mahkamah membenarkan suami berpoligami. Begitu juga harta sepencarian di mana puan dan suami beli semasa perkahwinan boleh dibahagikan sebelum kebenaran poligami diberikan.

Ada kes isteri bersedia memberi kebenaran suami berkahwin lagi tetapi suami tetap tidak mendapat kebenaran mahkamah. Ini kerana Mahkamah mungkin menilai bahawa suami tidak mampu daripada segi kewangan dan boleh menyebabkan timbul mudarat lebih besar pada keluarga yang asal sekiranya poligami diluluskan.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim.