Wednesday, December 19, 2007

Cerai SMS

Pernah dengar orang bercinta guna SMS?
Itu dah tak pelik lagi..
Pernah dengar orang bergaduh secara SMS?
Itu pun dah common sangat..ramai orang guna bahasa kutuk mengutuk dan maki hamun dalam SMS tu..
Pernah dengar orang bernikah dengan SMS?
Tak pernah kannn..
Pernah dengar orang bercerai dengan cara tulis SMS jer?
Pernah.. banyak kali kan..

Jadi bacalah artikel dibawah ini, artikel ini Umi tulis dan telah disiarkan dalam Berita Harian pada 19 Disember 2007

________________







Peguam Syarie Menulis:



SMS talak sah jika suami ada niat bercerai
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

ISU bercerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sememangnya menjadi polemik dalam masyarakat. Ada yang berjuang mendesak supaya cerai secara SMS dianggap tidak sah kerana tindakan itu tidak bermaruah, memalukan serta mempersendakan keutuhan institusi keluarga yang menjadi inti pati kekuatan ummah. Apakah sebenarnya kedudukan cerai SMS?

Secara umumnya kuasa menjatuhkan talak berada di tangan suami. Apabila suami menjatuhkan talak, maka berlakulah perceraian sama ada lafaz talak menggunakan bahasa Arab atau bahasa lain, melalui tulisan atau bahasa isyarat boleh difahami. Talak dijatuhkan itu boleh dibahagi kepada dua iaitu talak dilafazkan secara jelas (talak al-soreh) dan talak yang berlaku secara sindiran (talak al-kinayah).

Talak soreh iaitu lafaz yang jelas maknanya merujuk kepada cerai dan ia memberi kesan walaupun suami menyebutnya tanpa niat atau pun secara main-main. Contohnya, seorang suami berkata kepada isterinya, "Abang ceraikan awak dengan talak satu" atau lain-lain.

Talak kinayah iaitu talak secara kiasan atau sindiran di mana ia boleh membawa banyak maksud sama ada cerai atau tidak, ia hanya menjadi sah apabila ada niat di pihak suami. Contohnya, suami berkata, "Awak baliklah ke rumah ayah awak", "Kita berdua sudah tiada hubungan lagi" dan lain-lain.

Di sinilah datangnya jawapan kepada kedudukan bercerai menggunakan kaedah tulisan SMS. Jumhur fuqaha berpandangan talak melalui tulisan dianggap sah jika ketika suami menulisnya ada disertai niat untuk bercerai. Menurut mazhab Syafie dan Maliki, talak melalui tulisan walaupun dalam bentuk jelas (soreh) dan dapat difahami maksudnya tetap tidak sah dan tidak mendatangkan kesan kecuali disertakan dengan niat. Contohnya, suami yang menulis catatan perbincangan dan menguji dakwat pen dengan menulis, "Aku ceraikan kamu" maka tidak jatuh talak melainkan memang suami berniat berbuat demikian.

Mereka juga berpendapat talak melalui tulisan dianggap sama dengan lafaz talak secara kinayah (simbolik) dan hanya menjadi sah apabila adanya niat. Selain itu, tulisan berkenaan juga hendaklah ditulis sendiri oleh suami kepada isterinya.

Dalam kes Azida Fazlina lawan Shamsudin Latif yang diputuskan pada 2003, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengesah dan mensabitkan perceraian pasangan suami isteri yang dilafazkan melalui SMS apabila suami menghantar kepada isteri SMS berbunyi, "Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga."

SMS itu dihantar pada jam 10.04 pagi dan isteri membacanya pada jam 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang. Isteri mengatakan bahawa dia yakin suaminya yang mengirim mesej itu dan apabila mahkamah mengajukan soalan kepada defendan, beliau memperakukan keterangan diberikan plaintif. Hakim Syarie ketika membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai itu sah dan sabit serta gugur talak tiga terhadap plaintif.

Untuk menjawab kekeliruan masyarakat berhubung hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-55 yang bersidang pada 27 Julai 2003 membuat penelitian mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian itu.

Fatwa yang diputuskan adalah,
  • Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faks, SMS, emel dan sebagainya adalah talak berbentuk kinayah dan sah jika disertai dengan niat.
  • Semua perceraian perlu dikemukakan ke mahkamah syariah untuk mensabitkan talak berkenaan.
  • Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang tidak menepati adab perceraian digariskan oleh syarak.
Apabila berlaku situasi sebegini, ke mana pasangan perlu pergi untuk menyelesaikan masalah itu? Isteri atau suami perlu membawa kes ke mahkamah syariah untuk mengesahkan kedudukan lafaz itu. Mereka tidak boleh mendiamkan diri atau memutuskan sendiri kes itu sama ada suami mengatakan ada niat atau tiada niat dan sebagainya. Hanya mahkamah syariah yang ada kuasa untuk mendengar dan memutuskan pertikaian sebegini sekali gus mensabitkan atau tidak mensabitkan perceraian antara pasangan terbabit.

Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Negeri Selangor 2003 (EUKIS 2003) memperuntukkan seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada talak dilafazkan, melaporkan kepada mahkamah.

Selepas itu, mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak yang dilafazkan itu sah mengikut hukum syarak. Jika mahkamah berpuas hati bahawa talak yang dilafazkan sah mengikut hukum syarak, maka mahkamah hendaklah membuat perintah membenarkan perceraian dengan talak, merekodkan perceraian itu dan menghantar salinan rekod kepada pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.

Kita semua perlu melihat bahawa semua urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu yang penting dalam Islam. Apabila seseorang berkahwin secara baik dan terhormat, membuat kenduri dengan begitu meriah, maka apabila perkahwinan tidak dapat diselamatkan, sewajarnya perceraian dilakukan dengan baik dan terhormat, bukan menggunakan SMS dan sebagainya.

Sungguh tidak beradab orang yang berkahwin dengan penuh kebesaran dan keriuhan tetapi mengakhiri perkahwinannya dengan menggunakan kaedah SMS.

Penulis adalah Exco PGSM