Wednesday, December 12, 2007

Kisah Umi ke Acheh Raya Korban 1427 Thn Lps

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah i keluaran Karangkraf bulan Mac 2007. Aku letakkan dalam blog ini sebagai kenangan ke atas Acheh yang pernah kulawati. Membawa seribu kenangan dan membuat aku berfikir, betapa cepatnya masa pergi meninggalkan kita semua, rupanya telah setahun berlalu.......



_____________________



MEMBAWA MISI KURBAN KE LHOKSEUMAWEH, ACHEH


PADA 1-4 JAN 2007 BERSAMAAN 11-15 ZULHIJJAH 1427H
Oleh : Nurhidayah Muhd Hashim







Pengalaman berhari raya Haji di Acheh merupakan pengalaman baru bagi saya. Pada hari kedua Aidil Adha 1427H bersamaan 1 Jan 2007, saya dan suami telah menyertai misi kurban dan menziarahi anak-anak yatim Tsunami di Acheh anjuran sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Ikatan Muslimin Malaysia atau ISMA. Program ini merupakan program tahunan ISMA selepas peristiwa Tsunami tahun 2004 yang lepas. Kali ini pihak ISMA berjaya mengumpulkan sumbangan kurban dan akikah dari rakyat Malaysia sebanyak 11 ekor lembu dan 9 ekor kambing untuk disumbangkan kepada rakyat muslim yang miskin di Lhokseumaweh, satu daripada daerah majoriti orang Islam di Acheh.

Rombongan kami terdiri daripada Ustaz Fairooz Hj Fathillah, Azmi Khatiman, Hamidi Mat Lazim, Ismail Sulaiman, Wan Mohd Raedi Wan Salleh, penulis dan juga suami, Hj Mohd Fairuz Abd Jalil. Rombongan diketuai oleh Ustaz Wan Hisham Wan Embong. Perjalanan dari KLIA mengambil masa 60 minit untuk sampai ke Medan. Kami bertolak jam 8 pagi dan sampai di Medan jam 9pg. Waktu di Sumatera adalah 1 jam lebih awal dari waktu Malaysia.

Namun begitu, untuk ke Lhokseumaweh, ia mengambil masa yang lama kerana tidak ada pengangkutan udara dari Medan ke sana. Perjalanan kami mengambil masa 7 jam menaiki sebuah van yang dapat memuatkan 8 orang bersama-sama 8 kotak hasil sumbangan orang ramai. Van tersebut dipanggil mobil L 300, sudah berumur lebih dari 5 tahun dan tidak mempunyai penyaman udara.


Sepanjang jalan, terdapat pelbagai pemandangan yang memberi banyak pengajaran kepada kami. Jalanraya dari Medan ke Lhokseumaweh masih dalam keadaan yang kurang memuaskan. Jalanrayanya agak kecil, tidak mempunyai garisan putih di tepi atau di tengah jalan sebagai pemisah di antara lorong dan juga tidak ada lampu di tepi jalan untuk menyuluhi pemandu di waktu malam. Tiada had laju diletakkan dan semua pemandu membawa mengikut kelajuan yang mereka inginkan. Hon sentiasa berbunyi di jalanraya dan menurut pemandu van tersebut, tanpa hon, mereka tidak dapat memandu dengan baik. Motosikal merupakan kenderaan utama di sana dan nampak begitu mengusai jalanraya.



Apa yang menarik, apabila kenderaan yang besar berada di tengah-tengah jalan, seolah-olah wujud satu peraturan jalanraya yang dipatuhi bersama iaitu semua motosikal akan ke tepi dan memberi laluan kepada kenderaan tersebut yang berada di tengah-tengah jalan tersebut.






Kami melalui daerah yang bernama Tamiang, yang telah ditimpa musibah banjir besar beberapa hari sebelum kami sampai. Banjir yang dipenuhi dengan air lumpur telah menghancurkan banyak rumah. Sepanjang jalan, kami melihat kenderaan UNICEF dan TNI (Tentera Nasional Indonesia) serta beberapa NGO berada di tepi jalan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.










Di beberapa tempat, tertera spanduk POSKO BENCANA ALAM yang bermaksud pos bantuan tempat mangsa-mangsa banjir dan bencana alam mendapat perlindungan. Mereka yang berada di tepi jalan termasuk kanak-kanak memegang bakul dan akan menjerit kepad setiap kenderaan untuk menghulurkan derma dengan cara melemparkannya ke dalam bakul tersebut.


Sesuatu yang cukup menarik pandangan kami sebaik memasuki satu daerah yang disebut Langkat di mana kita akan melihat banyak gereja di sepanjang jalanraya. Boleh dikatakan seolah-olahnya bagi setiap 1 km, kita akan berjumpa satu gereja.




Keadaannya sangat berbeza apabila kita memasuki kawasan Acheh, terdapat banyak masjid di sepanjang jalan raya, keadaannya seperti bagi setiap 1 km terdapat satu masjid. Kita akan berjumpa dengan masjid sama ada masjid besar ataupun masjid kecil dan ada yang sudah sempuna binaannya dan ada yang masih dalam binaan. Menurut penduduk di sana tatkala terdapat apa-apa musibah, penduduk akan berkumpul dan menunggu bantuan di masjid. Semoga Islam akan terus kuat di bumi Serambi Mekah ini.




Papan tanda di Acheh mengenai Undang-undang Syariah yang dilaksanakan di Nenggori Acheh


Rombongan kami sampai ke desa tersebut dalam jam 7.30 pm waktu Malaysia selepas bergerak hampir 340km dari Medan. Kami di bawa bermalam di pondok anak yatim Tsunami di Lhokseumaweh. Seluruh badan saya dan ahli rombongan yang lain berasa sakit-sakit dan lemah hasil perjalanan tersebut. Nampak benar kesenangan hidup di Malaysia telah memanjakan badan kami semua.


Sambutan

Di Lhokseumaweh, pihak ISMA dengan kerjasama sebuah badan Bukan Kerajaan di sana iaitu PKPU (Pos Keadilan Peduli Umat) sebenarnya telah membiayai dan menubuhkan dua buah rumah untuk anak yatim di sana. Hampir kesemua mereka adalah mangsa Tsunami sama ada kehilangan ibu atau ayah dalam bencana tersebut. Buat masa ini, sebuah pondok untuk penempatan kanak-kanak perempuan telah sedia ada dengan jumlah penghuninya seramai 29 orang di antara umur 7 hingga 16 tahun di bawah pengawasan 3 orang pengasuh yang dipanggil Ibu Guru Pembina. Sebuah pondok untuk kanak-kanak lelaki juga telah berjaya didirikan dengan kos hampir RM100, 000 dan akan mula beroperasi mulai akhir bulan Januari ini yang boleh memuatkan 30 orang pelajar. Pondok tersebut dipanggil Tsunami Orphans House Lhokseumaweh Acheh.


Kami disambut oleh Pak Hamdani, salah seorang pimpinan PKPU di daerah tersebut. Semasa kami tiba, anak-anak yatim ini sangat gembira dan terzahir keceriaan di wajah mereka. Pada malamnya, rombongan kami diraikan oleh anak-anak yatim tersebut dengan persembahan Tarian Renup Lampuan iaitu satu tarian traditional Acheh bagi menunjukkan penghormatan mereka kepada tetamu.




Anak-anak yatim sedang menari Tarian Renup Lampuan, tarian tradisional Acheh dalam meraikan rombongan Malaysia

Pada pagi hari kedua kami di sana, majlis penyembelihan kurban dimulakan selepas solat Subuh. Dalam jam 11 pagi, orang-orang kampung telah mula berkumpul di hadapan pondok dengan membawa kupon masing-masing. Dengan jumlah kurban yang ada, alhamdulillah hampir 2000 keluarga telah mendapat sedikit daging kurban untuk keperluan mereka. Saya berasa sangat terharu apabila diberitahu ramai di kalangan orang miskin yang hadir hanya dapat makan daging 2-3 kali sahaja setahun. Kesusahan hidup mereka nampak sangat terkesan kepada keseluruhan sistem ekonomi yang kurang memberangsangkan selepas peristiwa Tsunamai tersebut.

Majlis penyembelihan dan pengasingan daging kurban diadakan bersama orang kampung di sana






Penulis mewakili ISMA menyerahkan daging kurban kepada penduduk miskin Lhokseumaweh dengan dibantu anak-anak yatim pondok tersebut.




Pada sebelah petang hari yang sama, program diteruskan dengan penyerahan ke tangan daging-daging kurban kepada ibu-ibu tunggal yang miskin di kampung berhampiran. Pihak PKPU berjaya mendapatkan dua buah motosikal dan penulis dan suami serta dua ahli ISMA dan PKPU telah diamanahkan untuk menyempurnakannya.


Ahli rombongan yang turut sama, di tepi sekali adalah penulis, suami, Wan, Mail, Midi, Ustaz Fairooz dan Ustaz Wan


Kami menunggang motosikal tersebut menjelajah kampung dengan tujuan menyerahkan daging kurban kepada ibu-ibu tunggal berkenaan. Bentuk-bentuk rumah dan perkampungan mereka hampir sama dengan perkampungan orang Melayu di Malaysia. Namun begitu, bagi yang susah, kedaifan hidup mereka terzahir dengan rumah yang sangat uzur, sangat kecil dengan berbumbungkan rumbia dan berdindingkan buluh.


Tandas mereka hanya ditutupi daun-daun dan terletak di luar rumah. Mereka sangat terharu dengan pemberian kurban dari Malaysia dan mencium tangan saya sambil mengatakan, ’Terima kasih kepada Bapak-bapak dan ibu-ibu Malaysia kerana sudi berkurban di tempat kami.’ Melihat kepada kedaifan mereka, saya berasa objektif kurban untuk menggembirakan orang miskin benar-benar terzahir melalui program ini.


Anak Yatim Tsunami

Pada hari kedua dan ketiga di sana, saya mengambil peluang untuk mengenali dengan lebih rapat anak-anak yatim di sana sambil bertanyakan pelbagai soalan kepada mereka. Mereka bercerita berbagai kisah bermula dari sebelum Tsunami, semasa Tsunami, kehidupan mereka di pondok tersebut, pembelajaran dan cita-cita mereka.

Antara yang paling memberi kesan kepada saya adalah kisah sedih seorang daripada mereka yang bernama Aina, gadis kecil berumur 9 tahun. Airmukanya sedih dan tiada keceriaan. Apabila saya mendekati dan berbual secara peribadi dengannya, rupa-rupanya beliau mempunyai pengalaman yang sangat ’direct’ dengan bencana Tsunami dahulu.

Menurutnya, pada ketika itu beliau berada bersama-sama ibu dan adik kecilnya di rumah. Selepas mandi dan makan, beliau telah keluar dan bermain di halaman rumah jirannya bersama anak-anak yang lain. Pada ketika itu orang ramai mula menjerit kerana air telah mula melimpah dan jirannya telah menarik Aina bersama kanak-kanak yang lain untuk menyelamatkan diri ke tempat yang lebih tinggi.

Aina menceritakan, ’Saya berlari ke rumah dan memanggil ibu saya, tetapi ibu tidak mahu lari kerana menunggu abang saya dari laut. Ibu bilang, sekembali abang dari laut, ibu akan lari ke bukit bersama abang dan adik. Ibu menyuruh saya mengikut tetangga lari dahulu.’ Tetapi rupa-rupanya abangnya tidak kembali ke rumah kerana di tarik ke tempat selamat oleh orang ramai di laut dan Aina telah kehilangan ibu dan adik kecilnya dihanyutkan banjir Tsunami. Air mata berlinangan di mata bundarnya. Saya memeluknya erat sambil memberi pelbagai kata perangsang. Semoga Allah memberi kekuatan jiwa kepada anak-anak ini.

Pada petang hari ketiga, Ustaz Wan selaku ketua kumpulan telah membuat keputusan untuk membawa kesemua anak-anak yatim tersebut ke sebuah pantai di daerah tersebut yang dipanggil Pantai Biru Lhokseumaweh. Tergambar keceriaan di wajah anak-anak ini dan ia benar-benar menyejukkan hati kami semua. Menurut Pak Hamdani, sebilangan anak-anak yatim ini tidak mahu melihat pantai, apatah lagi untuk bermain air kesan trauma peristiwa Tsunami. Namun begitu, hasil kesabaran pengasuh memberi nasihat dan kasih sayang seumpama ibu dan bapa kepada anak-anak yatim tersebut, trauma dan pengalaman pahit tersebut berjaya diatasi dengan baik.




Keceriaan benar-benar terzahir di wajah anak-anak yatim Tsunami ini apabila dibawa bermandi-manda di Pantai Biru Lhokseumaweh

Bahkan apa yang paling menggembirakan adalah, anak-anak yatim tersebut diberi perlindungan dengan baik dan jadual mereka disusun agar mereka dapat mentelaah pelajaran dan juga mendalami agama serta hafalan al-Quran sepanjang berada di situ. Salah seorang dari mereka telah berjaya menjuarai pertandingan hafalan al-Quran dan mewakili daerah Lhokseumaweh. Pada malamnya, majlis perpisahan dan pemberian sumbangan, derma dan hadiah telah diadakan bersama-sama anak-anak tersebut. Perbincangan dan sedikit ceramah motivasi ke arah meningkatkan diri dan jati diri anak-anak tersebut turut diadakan.

Pada tahun hadapan, pihak ISMA berharap untuk menambahkan bilangan kurban yang boleh diusahakan di sana. Mana-mana pihak yang berminat untuk menyalurkan derma dan kurban boleh menghubungi Ustaz Wan Hisham di nombor telefon 019-3833407 atau melawat laman web ISMA di ismaweb.net. Alhamdulillah program misi kurban dan menziarahi anak yatim ini sangat berkesan dan bermanfaat dan menambahkan kesyukuran kita betapa bahagia dan mewahnya kehidupan kita di Malaysia.

Sayu hati kami melihat anak-anak ini menangis semasa mengiringi kami pulang dan meminta Ibu dan Bapak Malaysia mendoakan mereka dan datang menziarahi mereka lagi di masa-masa akan datang. Akhirnya pada jam 9 pagi, saya dan semua ahli rombongan yang lain telah meninggalkan bumi Lhokseumaweh, Acheh bersama seribu kenangan dan tiba di Malaysia pada jam 10 malam waktu Malaysia 4 Januari 2007.