Friday, December 21, 2007

Darfur dan Ayah Die

Berita Harian melaporkan mengenai Darfur dalam akhbar hari ini 21 Disember 2007/11 Zulhijjah 1428. Ayah Die berangkat ke Dahfur 12 Disember 2007, dia hantar mesej pada Umi pada 14 Disember.

Ayah Die tulis;

'Kak, Di dah sampai Sudan, baru lepas makan malam, inform ma dan ayah yer dan semua. Masa kat airport tadi orang dari Embassy dan orang Petronas yang sambut. Sekarang dok di hotel.. ok salam.'

Semalam Idi ada call Ayah, ucap Selamat HAri Raya Haji dan bagitau bahawa dia dah duduk di Kharthoum bersama 16 sukarelawan di bawah DPPM yang lain. Katanya dia dan anak Hj SImail bertugas mengawasi semua bantuan yang masuk dari Malaysia untuk pelarian di Dahfur yang dianjurkan oleh DPPM, terutama projek Dapur untuk Darfur TV3..


______________________


Darfur tetap sambut Aidiladha
Daripada Mohd Hamizar Hamid di Darfur, Sudan


Kehidupan daif pelarian di khemah Syakally Jadidi tidak halang tunai solat sunat KEADAAN serba kekurangan di kawasan khemah pelarian Syakally Jadidi di Nyala, dekat sini, akibat peperangan tidak menghalang penduduk Darfur yang berlindung di khemah itu menyambut Aidiladha, semalam.

Walaupun, hampir semua penghuni di khemah pelarian itu hidup dalam kedaifan termasuk tidak mempunyai kemudahan asas terutama air, mereka masih sempat menunaikan solat sunat Aidiladha berjemaah di masjid berhampiran.

Malah, kunjungan kami, rombongan Dewan Pemuda Masjid Malaysia (DPMM) ke kawasan perkhemahan itu bagi menyampaikan bantuan Tabung Dapur Untuk Dafur turut berpeluang menyaksikan kemeriahan penduduk tempatan menunaikan ibadat korban, hasil sumbangan beberapa pertubuhan kebajikan tempatan.

Pengerusi DPMM, Ismail Basri berkata, misi bantuan DPMM kali ini lebih berbentuk bantuan jangka panjang berbanding beberapa lawatan mereka sebelum ini. "Kita merancang untuk mengadakan semula klinik bergerak bagi membolehkan pelarian mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

"Kami juga bercadang untuk membantu membangunkan kawasan penempatan semula supaya ia boleh dijadikan kawasan penempatan tetap bagi pelarian," katanya di sini, semalam. Hadir sama dalam rombongan itu, Pengarah Eksekutif DPMM, Mohd Taqiuddin Abdullah; Setiausaha Kehormat DPMM, Sahlan Sarudi dan Ketua Unit Kebajikan Kesihatan DPMM, Dr Jamnul Azhar Mulkan.

Misi rombongan Tabung Dapur Untuk Darfur anjuran bersama DPMM dan TV3 turut disertai enam pelajar perubatan Malaysia yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir.

Bersempena dengan lawatan itu juga, DPMM turut menyumbangkan 10 ekor lembu termasuk lembu yang disumbangkan Timbalan Perdana Menteri selaku Penaung Tabung Dapur Untuk Darfur, Datuk Seri Najib Razak untuk disembelih penduduk Darfur yang berlindung di kawasan khemah pelarian Syakally Jadidi.

Seorang pelarian, Abu Bakar Abdul Rahman, 45, ketika ditemui berkata kehadiran DPMM dalam bentuk misi Tabung Dapur Untuk Darfur adalah bantuan yang amat dinantikan penduduk setempat lebih-lebih lagi pada Aidiladha. "Kami bersyukur dengan kehadiran masyarakat dunia yang memahami keadaan kami di sini yang amat memerlukan bantuan dan berharap sumbangan itu akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Majlis pelancaran tabung itu disempurnakan Najib, Julai lalu, dalam usaha mengumpul dana daripada rakyat Malaysia bagi membantu meringankan penderitaan penduduk Darfur. Konflik di Darfur, mengundang perhatian dan simpati masyarakat antarabangsa kerana berdasarkan perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih dua juta orang menjadi pelarian dan hampir 200,000 lagi terkorban dalam perbalahan puak bertelagah wilayah itu.


Semoga Allah melindungi adikku Idi aka Ayah Die aka Fitri bersama misinya ke Darfur.. Amin..