Thursday, December 13, 2007

Umi Dalam Berita Harian 13 Dis 07 (Hak Muslim)

Hak Muslim:
Guna kaedah taklik, fasakh jika ditinggal suami
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Soalan

SAYA adalah mangsa poligami di mana suami berkahwin dengan wanita lain kira-kira empat tahun lalu di sempadan Thailand. Selepas berkahwin lain, beliau keluar daripada rumah tinggalkan saya dan anak tanpa sebarang nafkah. Saya benar-benar kecewa dengan nasib saya. Saya ingin bercerai tetapi apabila ke Mahkamah Syariah, saya diminta memberitahu alamat suami. Disebabkan tidak tahu alamat suami, mahkamah menangguhkan kes saya. Mahkamah sepatutnya perlu mengasihani orang seperti saya dan meneruskan kes walaupun suami tidak hadir kerana saya memang tidak tahu di mana suami berada, tetapi saya pasti dia berada dengan isteri barunya. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?

Isteri mangsa poligami
Selangor


Jawapan


Kami bersimpati terhadap masalah yang puan hadapi. Semoga puan tabah selalu. Suami puan sudah melakukan dosa dengan mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada puan dan anak. Beliau melaksanakan poligami tetapi dengan jelas gagal berlaku adil. Puan sebenarnya bukan mangsa poligami tetapi mangsa perlakuan suami yang tidak bertanggungjawab. Poligami tidak salah, yang salah adalah perlakuan orang yang mengamalkannya tanpa mengikut cara dikehendaki Islam. Orang sebegini sebenarnya memberi nama buruk kepada agama dan balasan azab di akhirat sudah pasti menantinya kerana tanggungjawab adalah perkara besar yang akan ditanya di akhirat kelak.

Tindakan suami meninggalkan puan lebih daripada empat tahun tanpa nafkah adalah tempoh masa yang lama. Puan sememangnya berhak untuk keluar daripada ikatan rumah tangga dengan menggunakan kaedah cerai taklik atas alasan suami gagal memberi nafkah dan meninggalkan isteri lebih daripada tempoh empat bulan.


Puan juga boleh menggunakan kaedah fasakh menggunakan alasan pengabaian nafkah dan juga ditinggalkan dalam tempoh yang lama. Dalam soalan puan, puan sudah membawa kes tuntutan cerai di mahkamah, kemungkinan menggunakan salah satu daripada kaedah di atas.

Jika membawa kes ke mahkamah, ia bermaksud kita ingin mencari keadilan menurut apa yang diputuskan wajar oleh Hakim Syarie yang mendengar kes kita. Memfailkan kes di mahkamah mesti mengikut cara ditetapkan undang-undang atau dipanggil tatacara kes di mahkamah. Semua tatacara ini diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal yang diwartakan dan mesti dipatuhi. Oleh itu, kurang tepat jika kita beranggapan hakim patut tahu dan menolong kita kerana hakim hanya berpandukan apa yang puan bawa di hadapannya.

Berdasarkan prinsip keadilan, pihak yang menuntut perlu membawa keterangan supaya jelas apa yang dituntutnya. Kerana itu, puan perlu menyediakan diri dengan maklumat lengkap seperti tarikh berkahwin, sejak bila tidak mendapat nafkah, tarikh suami meninggalkan puan, siapa yang mengetahui suami meninggalkan puan, siapa saksi yang boleh menyokong tuntutan puan dan sebagainya.


Apabila puan memfailkan tuntutan cerai atau dipanggil kes mal, puan mesti memulakan dengan saman dan penyata tuntutan. Puan perlu menyatakan dalam penyata tuntutan bahawa puan sudah berkahwin dengan suami, mempunyai berapa orang anak, suami meninggalkan lebih empat tahun tanpa nafkah mulai bila dan apa-apa perkara perlu dinyatakan secara bertulis. Saman dan penyata tuntutan itu pula mesti disampaikan kepada suami.

Oleh itu, sebahagian daripada tugasan puan adalah mengetahui alamat di mana suami tinggal untuk tujuan penyerahan saman serta penyata tuntutan tadi. Disebabkan itu, kami menasihatkan wanita supaya mengetahui alamat tempat kerja suami, alamat kampung suami atau alamat lain di mana suami boleh dihubungi.

Selepas suami menerimanya, dia diberi hak untuk menjawab atau membela tuntutan yang puan failkan terhadapnya. Tujuannya adalah memberi ruang kepada mahkamah untuk mendengar daripada kedua-dua belah pihak sebelum keputusan adil dapat diputuskan. Daripada segi undang-undang, saman perlu disampaikan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermaterai kepada suami puan sebagai defendan dalam kes ini.

Defendan hendaklah menandatangani saman itu sebagai akuan penerimaan. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampirannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman itu. Dalam kes ini, puan tidak tahu langsung di mana suami berada. Kemungkinan mahkamah menangguhkan kes kerana saman dan penyata tuntutan tidak dapat disampaikan kepada suami.

Puan sepatutnya memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti di mana saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat di alamat defendan yang terakhir yang diketahui atau apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh mahkamah. Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian dibuat melalui iklan dalam mana-mana akhbar tempatan seperti yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Walaupun secara realitinya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar tempatan itu, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian kediri yang disebutkan tadi. Apabila sempurna penyampaian ganti ini, mahkamah hendaklah menyifatkan saman itu disampaikan kepada defendan. Dengan itu, kes puan boleh diteruskan untuk perbicaraan dan tidak perlu ditangguhkan lagi.

Sebagai orang awam, puan sukar untuk memahami prosiding ini kerana ia bersifat teknikal. Justeru, puan wajar menggunakan khidmat peguam. Jika berkemampuan, puan boleh menggunakan khidmat peguam syarie biasa. Jika puan tidak bekerja atau bekerja tetapi mempunyai pendapatan sederhana, puan boleh ke pejabat Biro Bantuan Guaman (BBG) berdekatan untuk memohon bantuan khidmat daripada peguam BBG. Sekiranya puan memenuhi kelayakan ditetapkan, pihak BBG akan membantu untuk mendapatkan khidmat peguam bagi memudahkan kes.


Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com