Wednesday, December 5, 2007

JKSM Bertukar Pemimpin

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebelum ni ditadbir oleh Datok Syeikh Ghazali Abd Rahman. Bahasa pendek di kalangan peguam-peguam dan ahli akademik, kita panggil dia Pak Syeh. Setelah 9 tahun memimpin JKSM, sekarang lantikan baru iaitu Datuk Ibrahim Lembut sebagai Ketua Pengarah JKSM. Tulisan ini disiarkan dalam Berita Harian hari ini iaitu 5hb Disember 2007. Artikel ini ditulis oleh Presiden PGSM dan diedit oleh aku sendiri. Artikel ini bagus untuk dibaca dan difahami perkembangan, kesungguhan dan pencapaian Pak Syeh dalam memperjuangkan Syariah di negara ini untuk renungan kita semua..



Peguam Syarie Menulis:
Pembaharuan dibawa Syeikh Ghazali berjaya licinkan perjalanan perbicaraan, elak kes tertangguh
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


PERKEMBANGAN kehakiman syariah di negara ini sudah melalui jalan yang panjang. Pada 3 Julai 1996, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan penyusunan memantapkan urusan kehakiman syariah seluruh negara dengan menubuhkan satu badan dipanggil Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Antara peranan JKSM adalah mencari dan mewujudkan satu pendekatan selaras dalam semua aspek demi menjamin penguatkuasaan hukum syariah di negara ini dimartabatkan serta dipertingkatkan termasuk prasarana, kelengkapan fizikal, logistik, prosedur dan mutu perkhidmatan pegawai syariah.

Sejak JKSM ditubuhkan, ia diketuai Datuk Syeikh Ghazali Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarah pertama. Bermula saat itu, JKSM mengorak langkah memajukan diri dan mencari jalan ke arah menjadi satu jabatan kerajaan yang berkesan serta boleh dibanggakan.

Namun, tanggal 30 November 2007 lalu, JKSM mendapat Ketua Pengarah baru iaitu Datuk Ibrahim Lembut berikutan tamat kontrak Syeikh Ghazali pada tarikh sama. Dari sudut perjawatan, jawatan itu merangkap jawatan Ketua Hakim Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Ini bermakna, pemegang jawatan berkenaan mengepalai bukan saja dari segi pentadbiran, tetapi juga mengetuai persidangan di Dewan Mahkamah Syariah.

Selama lebih sembilan tahun, Syeikh Ghazali membawa JKSM ke suatu persada amat membanggakan. Beliau berjaya mengubah persepsi masyarakat umum yang sering memperlekeh mahkamah syariah kepada suatu penghormatan amat tinggi.

Umpamanya, dengan pelancaran portal e-Syariah, JKSM acap kali menerima pengiktirafan dan anugerah daripada kerajaan. Kejayaan portal e-Syariah sejajar hasrat kerajaan dan JKSM melaksanakannya dengan cemerlang. Kecemerlangan sudah tidak lagi menjadi impian semata tetapi lebih kepada standard diunjurkan JKSM sendiri.

Begitu juga dalam urusan pentadbiran kehakiman syariah, JKSM banyak menggarap dan mengeluarkan Kaedah Amalan bagi melicinkan perjalanan perbicaraan di mahkamah syariah. Terbukti kelewatan kes di mahkamah syariah amat kecil berbanding di mahkamah sivil. Ini kejayaan besar mahkamah syariah.

Persepsi hakim syariah terhadap peguam syarie juga sudah banyak berubah berbanding 20 tahun lalu. Jika dulu peguam sering dianggap menyusahkan mahkamah membuat keputusan tetapi tanggapan itu tidak lagi wujud kini. Peguam syarie diterima sebagai pegawai mahkamah dan berfungsi membantu mahkamah mencari keputusan paling adil bagi sesuatu kes dibicarakan.

Malah, buat masa ini ramai peguam syarie dilantik menganggotai jawatankuasa ditubuhkan JKSM bagi memberi sumbangan kepeguaman. Selain itu, ramai kalangan peguam syarie muda dilantik ke jawatan kosong dalam JKSM.

Semua perkara positif ini berjaya dicapai JKSM ketika berada di bawah pimpinan Syeikh Ghazali. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syeikh Ghazali atas segala jasa, pengorbanan dan kerja keras beliau menaikkan martabat mahkamah syariah.

Kewibawaan beliau menerajui JKSM menjadi inspirasi kepada PGSM untuk sama-sama berjuang memartabatkan perundangan syariah. Walaupun tidak lagi menyandang jawatan Ketua Pengarah JKSM, penulis percaya Syeikh Ghazali akan terus menabur bakti kepada mahkamah syariah di Malaysia.

Pelantikan Datuk Ibrahim Lembut pula memang tidak mengejutkan banyak pihak walaupun semua Hakim Rayuan Syariah layak dilantik sebagai Ketua Pengarah. Ibrahim adalah calon paling kanan bagi mengisi jawatan itu. Apa yang ketara dan perlu ditunjukkan pada semua, pelantikan Ketua Hakim Syariah Malaysia bersifat telus dan tidak ada kontroversi. Ini menunjukkan adab hakim syariah amat luhur dan tinggi, tidak mengejar jawatan tetapi lebih mengutamakan amanah yang hendak dipikul.

Ibrahim juga seorang berpengalaman luas di bidang kehakiman syariah kerana pernah dilantik pelbagai jawatan termasuk hakim syariah dan Ketua Hakim Syariah Negeri Melaka. Beliau kerap membentangkan kertas kerja dan dilantik menjadi Ketua Jawatankuasa Kaedah oleh JKSM. PGSM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ibrahim atas pelantikan itu. PGSM akan terus bekerjasama dengan JKSM di bawah pimpinan baru bagi menyambung kesinambungan kecemerlangan JKSM dalam usaha memartabatkan perundangan syariah dan mahkamah syariah di negara ini.

Pada masa sama, PGSM berpendapat, sebagai satu langkah untuk melancarkan perjalanan di mahkamah syariah dan mengurangkan beban kerja terlalu berat, jawatan ketua pengarah dan ketua hakim syariah wajar dipisahkan kepada dua orang berbeza. Ketua pengarah memfokuskan semua urusan kerja pentadbiran, manakala ketua hakim syariah menumpukan kepada kehakiman syariah semata-mata.

Dengan cara itu, ketua hakim syariah tidak terdedah kepada persoalan pentadbiran ketika menjalankan tugasan dan membuat keputusan di mahkamah. Sebagai ketua pentadbiran pula, ketua pengarah tidak perlu mempengerusikan prosiding di mahkamah syariah serta boleh memfokuskan usaha meningkatkan pentadbiran dan kelicinan pengurusan mahkamah syariah. Namun, saranan ini perlu dikaji lebih teliti kerana membabitkan implikasi kewangan, perjawatan dan sebagainya.

Peguam syarie di PGSM mengucapkan selamat bersara kepada Syeikh Ghazali dan tahniah kepada Ibrahim. PGSM akan bersama dalam usaha murni ke arah meneruskan kecemerlangan Syeikh Ghazali dan mendoakan JKSM di bawah pimpinan Ibrahim akan ke depan dalam usaha dilakukan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).