Monday, March 30, 2009

Anak Ayah 3

Kisah Silam

Selepas beberapa minggu, saya lihat Ayah sudah bersemangat kembali dan mula menerima hakikat dan sudah boleh ketawa bila bercerita. Tetapi saya dapat rasa hati Ayah sangat sedih dan ralat sebab tak dapat menyelamatkan barang-barang berharga..

Tapi apa kita buleh buat, semuanya ditentu Ilahi..

Tidak ada 'Kalaulah saya tak pergi ambik wudhu'..' kalaulah ayah solat kat rumah...' 'Kalaulah hari tu tak black out...' 'Kalaulah kita tahu ada kebakaran, boleh kita angkat barang dulu...' 'Kalaulah ini...' dan 'Kalaulah itu....' . Tidak ada lagi 'Kalaulah'. Fullstop!. Tidak ada yang boleh mengubah peristiwa yang telah berlaku..

Selepas seminggu, Ayah sewakan sebuah rumah bersebelahan dengan rumah kami. Rumah tersebut sangat kecil dan ada satu bilik sahaja. Ayah dan Ma tak mahu balik kampung kerana terlalu ramai saudara mara dan sahabat handai Ma dan Ayah yang nak berziarah selepas mengetahui kebakaran besar yang menghanguskan rumah kami.. Kata Ayah, kalau balik kampung, nanti orang yang datang menziarah rasa terkilan kerana tak dapat jumpa Ma dan Ayah..

Semuanya berubah sekelip mata!

Masa itu ramai orang memberi bermacam-macam derma kepada kami sekeluarga.. Ada yang bagi duit, ada yang bagi baju, ada yang bagi makanan, bermacam-macam.. Apatah lagi apabila semua orang tahu saya akan ke UIA dan semua barang persediaan saya sudah hangus terbakar.. Kerana simpati, ramai yang memberi saya baju-baju..

Saya tak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku. Dulu, saya selalu susun, lipat baju-baju kami sekeluarga yang tak dipakai dan sedekah kepada orang miskin. Kadang-kadang tiga bulan sekali Ma akan sedekahkan baju kepada orang dan sekarang kami pula berada di pihak yang menerima.. Saya masa tu tak boleh terima langsung..

"Ayah.. tak boleh lah nak pakai baju orang kasi.. Tak boleh..Tak gamak nak pakai..' Saya menolak semua baju yang diberikan untuk saya. Saya rasa kerana saya selalu memberi, tidak boleh jadi penerima. Saya rasa saya terlalu miskin ketika itu, sehingga terpaksa memakai baju orang..

Secara ikhlas, saya terpaksa mengaku, masa itu saya belum matang, hati saya belum kuat, penerimaan saya juga belum mantap.. kerana saya beranggapan saya bukan miskin, saya bukan orang susah, saya memberi bukan menerima..

Tapi selepas dipujuk, saya hanya mengambil cadar, kain batik, selimut untuk saya bawa ke UIA. Saya tak boleh pakai baju orang.. Hati saya tak boleh terima..Wallahua'lam.

Akhirnya Kak Za balik dari KPP dengan barang-barangnya dan saya memang menunggu barang-barang dari kakak saya.. Ketika itu, semua barang-barangnya yang tidak akan dibawa ke US seperti baju kurung dll, saya bawa ke UIA. saya akan pakai baju kakak-kakak saya sahaja, bukan baju orang lain..

Itulah yang berlaku.


Ayah pula setiap hari mula bekerja bersama-sama beberapa orang kawan-kawannya, membersihkan tapak rumah, membuang semua puin-puin peninggalan ujian hebat itu. Bahkan Ayah saya bekerja seolah-olah 24 jam sehari, kerana malam-malam pun beliau masih mengangkat dan membuang kayu-kayu yang terbakar. Saya selalu tengok kadang-kadang jam 11 malam, Ayah saya masih bekerja..

Selepas 2 bulan kalau tak silap saya, Ayah mula membina rumah baru di atas tapak rumah yang sama. kawan baik Ayah yang kaya-kaya ada yang memberi hadiah kayu-kayu, dan ada yang memberi batu-bata merah.. Ayah mula membeli simen dan semua kelengkapan membina rumah. Masa tu yang buat rumah adalah kawan Ayah, Ayah tak pandai buat rumah, dia pandai buat perabot...

Tidak lama selepas itu, rumah kami naik kembali. Tetapi sudah tentu tidak seperti yang asal. Tidak secantik yang asal tetapi bagi Ayah, dia mesti buat cepat kerana Ayah tidak mahu Ma dan anak-anaknya duduk di rumah lain..
Dengan izin Allah rumah kami siap akhirnya...
Masa tu saya sudah berada di UIA..
Kak Za dah fly ke US...

Sebenarnya kebakaran inilah yang mengubah saya dan memberi kesan sehingga sekarang...

Saya mula berubah dan menilai hidup ini dari perspektif berbeza selepas kebakaran ini. Saya mula belajar menilai erti hidup dan kedudukan kaya miskin selepas kebakaran ini. Saya mula berubah menyayangi adik-adik saya dengan lebih baik sedangkan sebelum ini saya sangat garang dengan mereka- Saya mula menilai bahawa saya adalah anak yang mesti memberi dan membantu dalam apa daya yang ada...

Dari situ, saya mula mengorak langkah...
Mencari diri saya sendiri..
Berfikir untuk keluarga..
Saya mesti mencapai cita-cita saya....
Saya mesti kuat...
Kerana saya adalah Anak Ayah!