Saturday, March 28, 2009

Anak Ayah 2

Kenangan Silam..

Bilik saya tidak lah besar sangat..hanya ada satu katil bujang, tempat baju, ada sejadah untuk solat muat dua orang berdiri dan di sebelah bantal saya ada radio dan satu barisan buku dan di hujung kaki saya ada tali Ayah saya gantung sebagai tempat saya jemur baju dan tuala. Bilik saya di tingkat 3 tersebut adalah tempat saya beristirehat-tempat saya tidur, tempat saya solat, tempat saya baca buku, tempat saya dengar radio.... it was everything for me..

Hari yang ditentukan di Ilahi...

Pada hari itu, hari hujan rintik-rintik dan petangnya black out. Elektrik mati. Masa tu Ayah ke masjid untuk solat Maghrib dan Ma masih dalam pantang selepas melahirkan adik saya Hafiz (sibongsu yang comel). Rumah saya tak ada telaga sebab ayah pakai pam yang tarik air dari dalam tanah ke dalam tangki. Jadi apabila tak ada elektrik, kami terpaksa berjimat air kerana menggunakan baki yang ada dalam tangki atau berhadapan dengan ketiadaan air secara total.

Masa tu, dalam jam 7.30 malam, saya ke rumah Mak Yah, jiran belakang rumah untuk tumpang ambik wudhu' menggunakan telaga kat rumah Mak Yah. Di rumah saya masa tu hanya ada adik-adik dan Ma sahaja. Kakak-kakak saya semua tak ada. Kak Nik kerja di USM. Kak Ros tak ada, Kak Za di KPP Shah Alam dan dia akan fly ke US dalam masa dua minggu lagi... Adik saya Uya rasa saya berada di asrama.. Yang tinggal adik-adik yang kecil-kecil...

Dalam gelap tersebut, tiba-tiba saya ternampak api yang besar dari luar rumah Mak Yah.

'Api apa tu? Sapa bakar sampah malam-malam ni..' saya tanya..
'Tak tahulah aku..Macam dekat jer..' itulah jawapan yang saya dapat..

Rupa-rupanya bukan orang bakar sampah..
Tapi rumah jiran kami seorang Doktor Gigi berbangsa China sedang terbakar..

Rumah Doktor gigi tersebut hanya selang 3 rumah dari rumah saya. Rupanya anaknya menggunakan lilin semasa black out dan jatuh atas tilam di tingkat atas tetapi semua orang tak perasan sehinggalah dinding tingkat atas terbakar.

Subhanallah..

'Ya Allah...
Apa jadi ni...
Ya Allah..
Ma, adik-adik saya...'
Saya terus lari lintang pukang dari rumah Mak Yah ke rumah saya tanpa sempat mengambil wudhu; berlari ke rumah mencari Ma dan adik-adik saya.

Saya berharap dan berdoa agar Bomba sempat sampai dan janganlah rumah kami, syurga kami terbakar nanti...
Apabila saya sampai ke rumah, saya berlari naik ke tingkat 2, dalam gelap saya menjerit memanggil nama dan berlari ke bilik Ma, tetapi semua orang dah tak ada. Masa tu api belum sampai ke rumah saya..Saya memanggil sekuat hati.."Ma.. Ma...Ree, Tie, Die.. mana semua ni..' sambil menangis..

Saya berlari ke bawah dan ada orang bagitau, Ma dan adik-adik ada orang dah selamatkan. Saya berlari ke tempat Ma.. Ma pegang saya dan kata, 'Adik, ambik sijil, nanti nak daftar UIA'.. Subhanallah... Saya akan daftar UIA lagi dua minggu.


Saya berlari semula ke rumah saya, masa tu Pakcik-pakcik jiran saya dah tolong angkat sebahagian barang yang ada.. Saya ditahan oleh jiran saya dari lari naik ke atas sebab takut api akan menyambar rumah saya bila-bila masa saja. Tapi saya dapat meloloskan diri dan lari ke tingkat 3, masuk bilik saya mengambil sijil-sijil yang telah tersusun dalam file. Saya grab clear folder. Dalam panik, saya sempat mengambil telekong solat dan saya terus turun ke bawah. Bukan dalam keadaan turun biasa, saya terjun sebenarnya...

Masa tu saya panik, tak sempat nak ambik apa-apa.. Tapi saya masih ingat sampai sekarang, masih jelas tergambar depan mata saya, rupa bentuk tingkat 3 dan tingkat 2 rumah saya.. Semasa saya terjun turun, api sudah membakar rumah jiran sebelah. Saya glanced through lihat bilik tidur Ayah dan Ma, dapur, ruang tamu, pinggan mangkuk Ma yang cantik-cantik dalam almari tepi pintu bilik Ayah..

Sambil berlari saya menangis, air mata berlinang .. saya berkata pada diri saya..
'Ayah Ma, tak sempat nak ambik barang.. '

Masa saya turun di bawah, ayah saya sedang dipegang oleh 3 Pakcik jiran-jiran saya sebab Ayah nak naik juga dalam rumah. Ayah saya baru sampai dari masjid, dia nak redah masuk ke dalam rumah tapi dihalang oleh jiran-jiran saya..
Saya terus lari kepada Ayah dan Ayah tanya, 'Ma mana?'

Saya berdoa sepenuh hati..'Ya Allah.. cepatlah Bomba datang, janganlah terbakar rumah kami..' Akhirnya Allah menguji kami.. rumah kami yang cantik, besar, syurga kami di dunia ini telah hilang sekelip mata.. Doa dan harapan saya tidak dikabulkan Allah ketika itu..
Bomba sampai agak lambat, dengan tekanan air yang agak rendah, elektrik tiada..Api hanya berjaya dipadamkan selepas rumah kami habis terbakar.


Bunyi kayu-kayu rumah terbakar begitu hebat sekali.. Saya dapat dengar dan lihat dengan jelas sejelasnya depan mata saya, bagaimana api dari rumah sebelah (Rumah Kak Sah), pergi ke rumah saya, mula-mula bumbung tingkat 3 terbakar dan jatuh ke lantai.. "Dum' berderap bunyi.. kemudian kayu-kayu dinding tingkat 3 terbakar dan jatuh ke tingkat 2.. "Dum' berderap sekali lagi sehingga habis semuanya jatuh ke tanah.. Kawasan persekitaran terang benderang dengan api yang begitu marak..Masa tu ada jiran saya yang azan sekuat hati.. Saya menangis teresak-esak melihat rumah saya yang sangat saya sayangi terbakar di depan mata..

Saya lihat Ayah menangis dan ditenangkan oleh Pakcik-pakcik jiran kami.

Ayah bercerita pada saya..

Masa tu Ayah saya sedang azan di masjid. Bilik bilal mengadap ke rumah kami. Semasa sedang baca 'Hayya Alassolah..' Ayah saya nampak api besar.. Hati Ayah berdebar- debar.. 'Api apa tu..?'

Bila ada orang bagitau ada rumah terbakar.. Ayah terus berlari kenjang setakat yang dia terdaya.. Dalam hati dia..'Ya Allah.. Rumah aku ker..'
Sampai di depan rumah, Ayah bagitau dia nak naik ke atas, tapi semua Pakcik-pakcik jiran menahan dan dengan kuat menjerit memberitahu..' Sin, Semua dah keluar. Kak Cek dan budak-budak ada kat rumah X...' ((Sin adalah nama panggilan my Ayah dan Kak Cek adalah nama panggilan My Ma kat kampung)

Tanpa sedar, Ayah bagitau saya air mata keluar berlinang dari mata Ayah..
Dia terkedu, terperanjat, tidak percaya, hilang kata-kata dan dia hampir terjelupuk ke tanah. Sehingga katanya ada seorang kawannya, Cikgu Hassan memeluk Ayah dan kata..'Sin, harta boleh kita cari balik, tapi anak-anak tak boleh cari..'
Lepas dari tu, Ayah kata barulah dia dapat bertenang dan dapat control dirinya..

Malam tersebut dan seminggu lamanya selepas itu, kami sekeluarga menumpang di rumah Imam masjid, dia menjemput kami dan mendesak kami sekeluarga tidur di rumah mereka...Kami semua ke sana kecuali Ayah.
Setiap malam, Ayah tak tidur dan dia tak dapat tidur, dia akan duduk dalam kereta depan rumah kami, melihat puin-puin halus kesan terbakar. Ayah benar-benar terkesan.. Segala jerih penatnya untuk Ma dan anak-anak hancur dalam sekelip mata.

Bagi saya, Ayah saya seolah-olah hilang separuh dari semangatnya..
Dan sebagai anak ayah, saya turut merasai seluruh kesan kesedihannya...
Apatah lagi Ma sedang dalam pantang... Alangkah hebatnya ujian ini..


Bersambung