Tuesday, October 27, 2009

Dera Bibik

Berita..

Saya baca berita majikan dera bibiknya sampai nyawa-nyawa ikan, kurung dalam tandas, tak bagi makan nasi, cukur rambut sampai botak.. hati saya rasa berdetup-detup.. Subhanallah nape lah sampai hati majikan buat macam tu.. sedihnya saya rasa...Ini bukan hamba. Orang tolong mudahkan urusan kita, kita dera dan buat tak selayaknya.. Ada lagi manusia begini!

Teringat sekali lagi pada Bibik Rinie saya dulu. Saya sayang pada dia. Saya rasa dia banyak bantu saya, memudahkan hidup saya, menyebabkan tension saya berkurangan. Urusan rumah setiap hari- basuh kain, jemur, lipat, gosok baju, sapu, buang sampah, basuh bilik air, mob, sapu sawang, tukar langsir, lap dapur, basuh pinggan, masak dan lain-lain boleh bawak tension pada saya bila bertembung dengan banyak kerja-kerja pejabat dan kelas. Bibik telah memudahkan banyak kerja saya. Saya tak pernah terlintas jalan-jalan untuk mengherdik dan mendera dia. Ada lah juga sesekali saya marah bila teruk sangat kerjanya.. Saya rasa sangat kesian dan sedih bagi pihak pembantu yang mati dan didera.. Mereka orang miskin, datang beribu batu meninggalkan suami dan anak-anak kerana ingin mencari duit dan mengirimnya kepada keluarga di indonesia. Bagaimana lah hati dan penerimaan keluarga mereka.. orang yang diharap mati kerana didera dan dipukul oleh majikan.. Subhanallah..

Bibik Rinie dulu seorang yang baik. Dia pakai tudung dalam rumah bila Bapak Ustaz ada. (dia panggil Abah Aisyah Bapak Ustaz..). Dia tidak akan naik ke tingkat atas bila Bapak ada di tingkat atas. Kami beri dia satu bilik di tingkat bawah. Ada katil, almari baju, almari barang, ada kipas dan bersambung dengan toilet. Toilet bawah dikunci dari depan dan hanya dapat access dari bilik dia saja supaya dia selesa. Dia selalu bangun tahajjud jam 4pg tetapi selepas solat subuh baru bermula tugasannya dan berakhir selepas kami makan malam. Dia boleh rehat dalam bilik dalam jam 10 malm kami tak kacau dah dia, dia nak tidur ke nak baca quran atau nak baca buku dll kecuali ada tetamu datang dan dia kena buat makanan dll.. dua bulan sekali kami kirimkan wang gajinya kepada suaminya di Indonesia. Itulah cara kami layan dia sebagai timbal balik sumbangannya membantu memudahkan urusan kami sekeluarga..

Bila baca maid kena dera dan sampai mati begini, saya rasa sangat sedih...
______________________________
Berita Harian 26 Okt 09

Pembantu rumah Indonesia didera meninggal dunia

KLANG: Pembantu rumah warga Indonesia yang ditemui separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka hampir seluruh badan, dipercayai didera oleh majikannya di dalam tandas sebuah rumah di Taman Sentosa di sini meninggal dunia hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mantik Hani, 36, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, sejak dimasukkan ke hospital itu Selasa lalu.

Pengarah HTAR, Dr Ghazali Hasni Md Hassan, berkata mangsa meninggal dunia selepas didapati tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan sepasukan doktor pakar.

"Mangsa sepatutnya menjalani pembedahan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan keadaannya tidak mengizinkan," katanya ketika ditemui pemberita di HTAR di sini.

Dua pegawai wanita yang mewakili pejabat Kedutaan Indonesia di Malaysia turut berada di HTAR untuk melawat mangsa tetapi membatalkan rancangan itu selepas dimaklumkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.

Pembantu rumah terbabit pada 20 Oktober lalu ditemui dalam keadaan "nyawa-nyawa ikan" dipercayai didera, dikurung dalam tandas, kepala dicukur hampir botak dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya.

Polis menyelamatkan pembantu rumah itu pada jam 7 petang hari sama selepas menerima laporan mengenai penderaan itu daripada seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek, dan terus menghantar wanita berkenaan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Susulan itu, polis menahan reman majikan pembantu rumah itu, yang bekerja sebagai peniaga pasar dan isterinya untuk membantu siasatan.

Lelaki itu menyerah diri kepada polis sehari selepas pembantu rumah itu ditemui dan direman sehingga 28 Oktober manakala isterinya direman sehingga esok.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata dua suspek itu disiasat kini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya masih mencari saksi untuk membantu siasatan termasuk ibu majikan dan bekas majikan pembantu rumah itu.