Tuesday, September 1, 2009

Federalism

Artikel

Artikel yang bagus untuk memahami tentang negara kita tercinta. Ada cerita penting dalam ni kenapa setiap negeri berbeza pentadbiran agama Islam. Artikel ni kawan saya tulis, jadi saya kena bagi sokongan.. . Berkebetulan ada yang tanya saya soalan2 pasal federal dan state sebelum ni, jadi baca ler artikel di bawah ini.. or pergilah ke Berita Harian 31 Ogos 09 ruangan agama setiap Isnin.

______________

Pusat Perlu Hormati Hak Negeri tadbir Islam
Oleh: Zainul Rijal Abu bakar

SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan konsep Persekutuan, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang utama, iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kedua-dua badan ini mempunyai fungsinya tersendiri. Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan konsep Negara Persekutuan atau Federal. Namun Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan Persekutuan negara lain dari sudut hubungan antara Persekutuan dan negeri itu sendiri.

Hubungan antara Persekutuan dan negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus di dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, manakala DUN pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Dalam hal yang demikian fungsi kedua-dua badan itu digariskan. Mereka seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun penulis tidak berhasrat untuk membincangkan isu Perlembagaan ini, cukup sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud di dalam Senarai Negeri ialah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan.

Dalam erti kata lain Islam terletak di dalam bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana Sultan adalah Ketua Agama bagi negerinya. Keharmonian ini ditambahkan lagi apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan mempertahankan Islam pada setiap masa.

Hal ini bukan hanya tradisi yang berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan malah, sejak kedatangan Islam ke Nusantara, undang-undang adat juga membuat penye-suaian di dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat.Sehingga adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan Raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan 'adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah, syarak mengata adat memakai, cermin yang tidak kabur, pelita yang tidak padam.'

Malah sejak sebelum penjajahan lagi, Islam memainkan peranan utama di dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam, terutama di dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik penjajah. Undang-Undang 99 Perak umpamanya mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan Sunnah ke dalam hutan, pemimpin yang tidak mempercayai al-Quran dan Sunnah juga tidak layak menerajui kepemimpinan negeri.

Raja mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam ketika penjajahan juga tidak disentuh.

Ibn Naqib al Misri di dalam bukunya Al umdat wa al salik menyatakan fungsi Raja ialah:
-Menjaga hal ehwal umat Islam;
-Memastikan kedaulatan agama Islam terpelihara;
-Memastikan umat Islam belajar hukum hakam agama;
-Mengembangkan syiar Islam melalui dakwah dan penaklukan;
-Mempertahankan negara Islam daripada pencerobohan kuasa kuffar;
-Memudahkan dan memberi khidmat kepada jemaah haji;
-Mengimami solat Jumaat secara sendiri atau wakil; dan
-Menjadi wali hakim.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak di dalam bidang kuasa negeri ini, sudah tentulah perkara yang sedikit ini menjadi autonomi kepada negeri di dalam menegakkan syiar Islam selain di Wilayah Persekutuan. Ini termasuk penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya deklarasi. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri. Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai jurisprudennya yang tersendiri yang kadangkala tidak difahami orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai Ketua Agama melainkan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan negeri mempunyai kuasa penuh di dalam hal ehwal Islam. Begitu juga sebaliknya kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Oleh yang demikian kedua-dua badan perundangan, eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang diperuntukkan itu. Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme ini. Kesannya kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan yang diberikan. Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara menjadi tergendala.

-Penulis ialah Peguam Syarie, Peguam Bela dan Peguam Cara