Wednesday, September 30, 2009

Belajar Abroad

Artikel..

Hari ini 30 Sep, artikel yang saya tulis bertajuk Sara Hidup, pertembungan nilai cabaran di luar negara disiarkan dalam Berita Harian di ruangan Rencana.
_______________

Sara hidup, pertembungan nilai cabaran belajar di luar negara
Oleh: Nur Hidayah Muhd Hashim

SETIAP tahun ratusan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara, sama ada atas tanggungan sendiri atau di bawah tajaan biasiswa kerajaan, agensi atau syarikat korporat. Perbelanjaan bagi menampung setiap pelajar bukanlah suatu yang murah.

Beribu-ribu ringgit diperuntukkan untuk pelbagai keperluan termasuk bayaran yuran pengajian, duit poket, insurans kesihatan, bayaran sewa rumah dan sebagainya. Jumlah perbelanjaan pula berbeza antara peringkat pengajian dan juga bidang yang diambil.

Dengan harapan untuk melihat negara luar yang mempunyai seribu macam perbezaan, memperoleh pengalaman mencari ilmu di negara lebih maju, mempelajari budaya dan kepelbagaian bahasa di tempat orang adalah sebahagian daripada faktor pendorong seseorang pelajar menanam cita-cita dan memilih untuk belajar di luar negara.

Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah besar wang untuk tujuan pendidikan termasuk menghantar pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) ke luar negara.

Australia adalah antara tempat yang menjadi pilihan ramai pelajar Malaysia. Antara banyak negeri di Australia, Victoria pula adalah tempat yang mempunyai bilangan pelajar Malaysia yang paling ramai. Setakat ini ada hampir 7,000 pelajar tajaan yang mencari ilmu di situ dalam pelbagai bidang sama ada peringkat ijazah atau lepasan ijazah.

Kehidupan di luar negara sebenarnya sangat berbeza dengan apa yang dilalui dalam negara kita. Dengan perbezaan taraf hidup, kadar mata wang yang tinggi dan persekitaran yang berbeza adalah cabaran baru yang perlu dihadapi.

Di Victoria, pelajar Malaysia kerap menghadapi masalah mendapatkan sewa rumah yang sesuai dan dekat dengan tempat pengajian. Rata-ratanya sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik ditawarkan dengan kadar sewaan A$300 (RM870) seminggu atau A$1,300 (RM3,770) sebulan dan ia akan menjadi lebih mahal jika berdekatan dengan universiti.

Ada sebahagian pelajar Malaysia yang berkeluarga terpaksa menyewa rumah A$350 (RM1,015) seminggu atau A$1,500 (RM4,350) sebulan semata-mata kerana terdesak mendapatkan rumah yang dekat dengan universiti. Keadaan mungkin agak berbeza bagi pelajar bujang yang boleh berkongsi dengan beberapa pelajar lain untuk menjimatkan perbelanjaan.

Pada masa sama, keperluan menjadi lebih mendesak apabila kedua-dua pasangan belajar. Anak-anak perlu ditinggalkan kepada seseorang atau menghantarnya ke tempat asuhan. Semua ini memerlukan tambahan perbelanjaan sekitar A$300 sebulan.

Bagi yang terpaksa berulang menggunakan kenderaan awam dari rumah ke universiti, lebih banyak lagi wang terpaksa diperuntukkan, apatah lagi tiada tambang konsesi diberikan kepada pelajar luar negara dewasa ini. Kita berharap agar pelajar luar negara seperti pelajar Malaysia akan diberikan tambang konsesi dalam mendapatkan khidmat kenderaan awam di Victoria pada masa akan datang.

Dari segi keagamaan, persekitaran berbeza turut menjadi cabaran bagi pelajar beragama Islam yang membawa anak-anak ke sini. Tidak ada kelas pengajian agama formal atau kelas mengaji al-Quran disediakan di sekolah kerajaan.

Ada beberapa sekolah berorientasikan agama di Victoria seperti Sekolah Darul Ulum, Kolej ILIM, Kolej King Khaled dan lain-lain, namun yuran pengajiannya agak mahal antara A$3,000 hingga A$6,000 (RM8,700 - RM17,400) setahun bagi setiap anak. Sudah tentu ia agak membebankan bagi yang mempunyai anak ramai.

Justeru, bagi ibu bapa yang prihatin, mereka terpaksa mengajar anak-anak mengaji di rumah sendirian atau menghantarnya ke sekolah agama yang diusahakan pihak tertentu yang sudah mendapat status penduduk tetap di sini.

Umpamanya bagi pelajar Malaysia yang berada di sekitar utara Melbourne, ada yang menghantar anak ke sekolah agama setiap hari Ahad dikenali sebagai Madrasah al-Muhajirun dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari yang dikendalikan oleh warga Singapura di sini.

Sudah tentu ia tidaklah mencukupi untuk memantapkan tahap pengajian agama dan menerapkan nilai Islam kecuali diteruskan oleh ibu bapa di rumah. Namun ia boleh dianggap memadai daripada tiada langsung sentuhan mata pelajaran agama untuk anak-anak kita.

Bagi anak-anak yang memilih untuk memakai tudung ke sekolah, mereka selalunya berdepan pelbagai pertanyaan daripada rakan sebaya atau guru mengenai pakaian dipakai. Ia juga adalah cabaran bagi ibu bapa yang memilih untuk mendidik anak-anak mereka bertudung menutup aurat.

Bahkan ia juga cabaran besar untuk anak terbabit sama ada mampu untuk menjawab dan bertahan dengan soalan demi soalan. Ada kes yang mana pelajar Malaysia ditanya kenapa mengenakan tutup kepala kepada anak mereka. Antara alasan diberikan adalah memaksa anak menutup aurat satu perlanggaran terhadap hak asasi kanak-kanak dan ia tidak oleh dilakukan.

Namun selepas anak berkenaan menjawab bahawa dia sendiri suka dan memilih untuk memakai pakaian menutup aurat, barulah pihak yang menahannya meninggalkan mereka dan memohon maaf atas tindakan mereka.

Perbezaan yang dihadapi sebenarnya boleh memberi kesan positif dan boleh juga sebaliknya. Bagi yang negatif, ia melihat semua cabaran ini sebagai sesuatu yang menyusahkan dan memilih untuk mengalah kepada keadaan.

Namun bagi mereka yang positif, perubahan ini memberi kekuatan dalaman untuk menjadi Muslim lebih tabah sekali gus mensyukuri nikmat yang diberikan. Perbezaan dan cabaran ini juga membawa kepada satu pengertian dalaman betapa indah dan bertuahnya hidup di negara sendiri, Malaysia.


Penulis ialah pensyarah kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Shah Alam, kini mengambil PhD Undang-Undang di Melbourne merangkap Presiden Persatuan Lepasan Ijazah Malaysia Victoria (VMPGA) 2009/2010.