Thursday, September 17, 2009

Ramadhan Kareem



Berita Harian 17 Sept 2009

Ramadan di Perantauan: Bazar Ramadan meriahkan suasana puasa di Melbourne
Daripada Nurhidayah Muhd Hashim di Melbourne, Australia





BAZAR Ramadan di Kampung VicNorth, Melbourne tetap meriah dengan pelbagai masakan Melayu.


Perantau kongsi semangat 1Malaysia jalani ibadah seperti di tanah air

SEPERTI penduduk Islam di negara kita, kami rakyat Malaysia di Melbourne, Australia turut berusaha menjalani ibadah Ramadan dengan semangat 1Malaysia. Pelbagai usaha dijalankan untuk menyemarakkan rasa bersama di kalangan masyarakat Malaysia.

Secara kasarnya, lebih 7,000 pelajar termasuk siswa ijazah dan pasca ijazah bujang atau berkeluarga berada di Victoria. Adalah suatu yang sangat menarik di utara Melbourne, komuniti masyarakat pelajar di sini berusaha merapatkan hubungan dan menggelar diri mereka sebagai Kampung VicNorth.

Di sebuah penempatan lain dikenali sebagai Desa Bundoora dan sebagainya. Semua ini bertujuan menjaga perhubungan sesama pelajar di sini, merancang program kemasyarakatan dan keagamaan di samping tidak melupakan tugasan hakiki sebagai pelajar.


Puasa dan bazar Ramadan sesuatu yang sukar dipisahkan. Jika di Malaysia, pelbagai jenis makanan dijual di bazar Ramadan di seluruh negara. Kerinduan kepada makanan Malaysia sangat ketara terutama bagi mereka yang kali pertama berpuasa di sini.

Namun, kerinduan ini dapat diatasi juga atas keprihatinan beberapa perkumpulan penduduk di sini yang bersepakat mengadakan bazar Ramadan di tempat yang berbeza setiap minggu. Bagi yang pandai memasak, digalak menyediakan pelbagai juadah dan kuih-muih untuk dijual kepada rakan. Antara yang menarik perhatian ramai adalah sate, kuih ketayap, lepat pisang, bubur lambuk, qasidah, rojak, popia goreng dan rendang tok. Walaupun tidak sehebat bazar di tanah air, ia tetap meriah.

Di sini juga menjadi tempat melepaskan rindu mendapatkan kuih tradisi di samping merapatkan persahabatan sesama anak Malaysia. Melbourne tempat yang subur dengan kepelbagaian bangsa.

Dari segi aliran pemikiran, mazhab Hanafi dikatakan mazhab paling ramai diikuti di sini. Terdapat masjid yang dikenali mengikut latar belakang penduduk setempat seperti Masjid Somalia, Masjid Albania dan Masjid Turki.

Ramai juga pelajar Malaysia yang hadir beribadah di masjid berdekatan sepanjang Ramadan. Masjid di sini hampir semua mengadakan lapan rakaat Tarawih dengan bacaan panjang mengikut juzuk al-Quran dan tiada selawat antara solat Tarawih dan witir seperti di Malaysia.

Komuniti pelajar Malaysia yang prihatin turut mengadakan solat Tarawih berjemaah secara bergilir dari rumah ke rumah setiap malam. Bagi yang mempunyai rumah agak besar, mereka akan menawarkan diri menjadi tuan rumah dan rakan lain akan datang beramai-ramai dengan keluarga bersolat.

Solat Isyak, Tarawih serta witir dan disudahi dengan tadarus beramai-ramai dan juga moreh yang dibawa secara pot luck. Kemeriahan memang jelas dirasai apabila beramai-ramai menghadiri majlis seperti ini

Persatuan pelajar juga tidak terkecuali menganjurkan majlis iftar dan solat Tarawih berjemaah untuk pelajar Malaysia di Victoria. Setiap Sabtu dan Ahad, Dewan Malaysia Melbourne menjadi tumpuan pelajar di sini untuk beribadah dan mengeratkan silaturahim.

Umpamanya, pada 5 September lalu, beberapa badan pelajar seperti Ehsan, VMPG dan KUAM bekerjasama menaja iftar pelajar di sini. Dilihat sekali lalu, semangat beribadah dan kemeriahan serta keakraban pelajar di sini seumpama tidak terasa bahawa kami sebenarnya berada jauh dari Malaysia.

Ia seumpama negara kecil Malaysia dengan semangat 1Malaysia berada jauh di bumi Kangaroo ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam melanjutkan PhD undang-undang di Melbourne, merangkap Presiden Victoria Malaysia Postgraduate Association (VMPG)


_______________

p/s Sebenarnya En Yusuf Editor Berita Harian menghubungi saya meminta saya menulis mengenai bagaimana kami di sini menyambut Ramadhan. Saya menghargai permintaan tersebut dan menulis serta mencari gambar yang menunjukkan apa yang saya tulis. Saya hubungi En Rasul bertanyakan kalau ada gambar bazar di rumahnya dan saya juga mengirim gambar rakan-rakan solat terawih di rumah-rumah. Tetapi En Yusuf maklumkan semua gambar tak beolh pakai, pecah kerana tak cukup pixelnya.. Akhirnya gambar Rasul tenagh jual sate dipakai. Ia adalah gambar yang diambil oleh Subhan (kawan Rasul). Saya juga berjanji dengan En Yusuf bahawa saya akan cuba menghantar 2 artikel sebulan untuk ruangan agama.. Semoga saya mampu melakukannya.. insya Allah..

Sekarang saya tengah menyusun jadual hidup saya dengan lebih tersusun dan saya perlu patuh kepada jadual tersebut. Research PhD adalah no 1. Yang lain-lain mengisi ruang sebagai sumbangan saya kepada masyarakat, kerana Allah sebagai amal jariah untuk saya di hari kemudian...