Wednesday, December 31, 2008

Sambut Tahun Baru 2009

Satu artikel yang baik untuk dibaca, semoga dapat manfaat bersama.

__________

Peguam Syarie Menulis:
Biar ada objektif sambut tahun baru, perbaiki kelemahan
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar



2009 pasti menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha bersungguh-sungguh merubah keadaan MINGGU ini adalah minggu yang penuh bermakna. Tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertukar pada minggu ini.

Dua hari lalu umat Islam meraikan tahun baru Hijrah ke-1430. Perayaan ini lebih dikenali sebagai Maal Hijrah yang membawa maksud bergerak bersama hijrah. Esok pula tahun Masihi yang baru akan muncul.

Tahun 2009 Masihi seperti biasa akan disambut oleh segenap lapisan masyarakat. Pelbagai program dibuat bagi menyambut tahun baru ini. Bukanlah tujuan penulis ingin menyanggah program sambutan tahun baru, tetapi sambutan itu biarlah berpada-pada dan mempunyai maksud yang jitu. Sambutan Maal Hijrah dan tahun baru sepatutnya dibuat dengan objektif memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada tahun ini dan tidak mengulanginya pada masa akan datang.


Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjentik minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimana pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiada gunanya tahun berlalu tanpa sebarang manfaat yang kita peroleh.

Tiada manfaatnya tahun berlalu tanpa kita memperbaikinya untuk masa akan datang. Apa yang berlaku sudah tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa dapat mengubahnya. Sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh yang demikian, kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang berlaku kepada kita.

Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang tahun, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita. Bersama-samalah kita meneliti kembali apa yang berlaku dan mencari jalan bagaimana mengatasinya. Umpamanya alam bersuara kerana kerakusan manusia melakukan pembangunan yang langsung tidak mengambil kira panduan yang diberikan agama.

Walaupun al-Quran menegaskan gunung ganang itu adalah pasak bumi, ketamakan manusia mengatasi panduan ini kerana mereka memusnahkan pasak yang akan mengelakkan tanah runtuh dan malapetaka. Itulah sebabnya Allah memberi amaran kepada kita dengan mendatangkan musibah.

Namun, ternyata Allah masih sayangkan kita kerana musibah yang melanda masih kecil berbanding musibah yang terpaksa ditempuhi orang lain di tempat lain. Ramai juga yang menanam keazaman tatkala muncul tahun baru. Namun, azam itu kebanyakannya hanya tinggal azam tanpa mendatangkan hasil. Inilah yang menjadi masalahnya kerana tiada kesungguhan di dalam merealisasikan keazaman masing-masing.

Penulis mengharapkan tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambahbaikan itu mula dirasai, ia bukannya suatu jaminan agar umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan.

Walaupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Walaupun keputusan beberapa kes di mahkamah berpihak kepada Islam, peguam Islam perlu menghadapi lebih banyak kes yang mencabar kedaulatan Islam pada tahun depan.

Melihat kepada cabaran akan dihadapi nanti, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru. Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya bangsa dan agama.

Bagi anak yang mula melangkah ke alam persekolahan tentulah 2009 menjanjikan kelainan kepada pelajar. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan. Begitu juga bagi pelajar lain yang bercuti lebih sebulan akan memasuki semula sekolah masing-masing. Sudah pasti ketika cuti sekolah pelbagai aktiviti dilakukan bagi memanfaatkan cuti sekolah mereka.

Rutin harian persekolahan akan kembali mewarnai hari persekolahan. Penulis juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula akan dapat ditingkatkan di samping saling menghormati antara satu sama lain sejajar prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.

Apa yang penting ialah kita menelusuri sejarah dan berpegang dengannya. Jangan sesekali mengherdik orang lain seperti kita sendiri tidak mahu diri kita diherdik. Jangan memperlekehkan orang lain seperti kita tidak mahu diri kita diperlekehkan. Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi 1430H/2009M ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada 2009.

Perjuangan tidak akan berhenti. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Perjuangan masih belum selesai. Oleh itu, setiap umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing bagi menegakkan syiar Islam. Setiap orang penting dan perlu menggalas tanggungjawab masing-masing. Besar atau kecil, Allah yang menentukannya.

Walaupun 2008 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2009 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang berlaku. Untuk itu pihak kerajaan, -badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja.

Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa. Bagi pihak Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), penulis mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah dan selamat tahun baru kepada semua ahli PGSM, pembaca ruangan Peguam Syarie Menulis dan Hak Muslim serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Bagi yang bukan Islam PGSM mengucapkan selamat tahun baru. Penulis juga mengambil kesempatan ini untuk mengukir sebuah penghargaan kepada pengurusan Berita Harian termasuk pengarang dan wartawan yang menjadi sahabat kepada PGSM dan memperuntukkan ruangan kepada PGSM. Moga pertautan erat sebegini akan dapat diperkukuhkan tahun depan dan seterusnya. Semoga keimanan kita makin bertambah.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.