Thursday, December 25, 2008

Prenuptial Agreement

Prenuptial Agreement....

Hemm.. apa tu yer? Masa saya ajar pelajar Diploma Lanjutan Guaman Syarie (DLSA) sebelum ini ada seorang pelajar yang berhujjah bahawa prenuptial agreement ni sepatutnya diterima dalam Islam sebab ia bertujuan menyelamatkan kaum wanita dari ditindas oleh lelaki-lelaki buaya yang jahat... (Pelajar DLSA ni maknanya mereka dah habis belajar Degree Undang-undang atau LL.B atau BLS dll yang sewaktu dengannya, patu plan nak ambik Diploma Guaman yang membolehkan mereka menjadi Peguam Syarie yang beramal dan bertauliah nanti.)

Eemmmm... lelaki buaya yang jahat?? Ada ker tu? Pastu kalo ada, kenapa nak juga pada lelaki buaya yang jahat ni?

Saya kata tak boleh, mana boleh dalam Islam buat perjanjian awal sebelum kahwin. Dia tak puas hati dan bagi opinion yang lain to support pandangan dia... Saya suka student cam tu..Itu satu ciri lawyer yang bagus. suka berhujah...

Salah satu hujahnya adalah jawapan Sister in Islam dalam Utusan Malaysia (tarikh dah lupa) yang mengatakan prenuptial agreement ni boleh dan wajar dilaksanakan, bahkan mereka meletakkan contoh prenuptial agreement dalam Utusan masa tu..

Tak kena jawapan mereka sebenarnya, sepatutnya draf ler perjanjian tersebut sebelum nikah, tapi lepas akad nikah, sign ler perjanjian tu.. baru ler betul.

Jadi, jika nak tahu lebih lanjut mengenai isu ini sebagai pengetahuan umum untuk kita, bacalah artikel di bawah ini. Satu artikel yang bagus tulisan Presiden PGSM disiarkan dalam berita Harian. Mana ler tahu, lepas ni ada orang tanya kita apa hukumnya buat prenuptial ni? Kita dah tahu jawapannya...
___________________________

Peguam Syarie Menulis: Islam tidak iktiraf perjanjian praperkahwinan
(Disiarkan dalam Berita Harian 24 Disember 2008)


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

AKHBAR tempatan berbahasa Inggeris memetik berita dari Associated Press (AP) Sabtu lalu mengenai penghakiman mahkamah tertinggi wilayah di Britain yang memutuskan perjanjian antara pihak sebelum perkahwinan bertentangan dengan polisi awam. Mahkamah itu juga memutuskan perjanjian yang dimeterai sebelum perkahwinan tidak boleh dilaksanakan dan tidak mengikat.

Keputusan Majlis Privy dalam kes Roderick dan Marcia Macleod itu bagaimanapun mendapat cemuhan peguam dan pengamal undang-undang di Britain.

Sejak kebelakangan ini menjadi amalan ramai membuat perjanjian sebelum perkahwinan. Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Russia dan Jerman mempunyai undang-undang mengiktiraf perjanjian sebelum perkahwinan yang lebih dikenali sebagai prenuptial agreement.

Penulis tidak berhasrat mengupas keputusan kes Majlis Privy, namun lebih berminat membuat perbandingan dengan kedudukan perjanjian seperti itu dalam Islam. Di Malaysia juga ramai pasangan yang mula membuat perjanjian sebelum pernikahan.

Sebagai peguam syarie, penulis sering disoal pasangan yang ingin berkahwin berhubung perkara itu. Ada juga perjanjian praperkahwinan yang disediakan bukan peguam syarie yang ingin dilaksanakan di Mahkamah Syariah.

Keputusan Majlis Privy itu agak sesuai dengan amalan rakyat Malaysia khususnya orang Islam. Perjanjian seperti itu bukan asing bagi pasangan Islam di Malaysia. Ada juga badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mencanangkan undang-undang Islam mengiktiraf perjanjian praperkahwinan itu.

Penulis ingin menjelaskan kedudukan perkara itu di sisi undang-undang Islam dan apa sebenarnya yang boleh dilakukan pasangan Islam bagi mendapat penyelesaian yang diharapkan. Perjanjian praperkahwinan sebenarnya bertujuan menyelesaikan permasalahan mengenai hubungan suami isteri, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh suami atau isteri, perancangan keluarga, kedudukan harta ketika dan selepas perkahwinan serta beberapa perkara lain yang dipersetujui bersama sebelum pernikahan.

Sebenarnya semua perkara sudah digariskan undang-undang Islam dengan jelas, ini bermakna perjanjian berkenaan hanya bersifat mengetepikan hak berkaitan sesuatu perkara oleh orang itu sendiri. Undang-undang Islam tidak melarang seseorang mengetepikan haknya selagi tidak menimbulkan kemudaratan kepada dirinya atau orang lain.

Namun, persoalan yang timbul dalam perjanjian praperkahwinan ialah sama ada individu itu memiliki hak yang hendak diketepikan. Persoalan itu mesti dijawab dalam bentuk negatif disebabkan kedua-dua pihak masih belum berkahwin ketika perjanjian dimeterai. Oleh kerana setiap pihak belum memiliki hak itu, pihak yang tidak berkeupayaan mengikut hukum syarak mengetepikan hak itu.

Oleh itu, Islam tidak mengiktiraf perjanjian praperkahwinan melainkan jika perjanjian itu dipersetujui selepas pernikahan. Jika perjanjian itu dimasuki selepas pernikahan disahkan, maka keadaannya berbeza.

Contoh paling mudah ialah lafaz taklik yang dilafazkan suami selepas pernikahan adalah sah dan mengikat kerana suami sudah mempunyai hak sebagai seorang suami selepas akad nikah tersebut sah. Sedangkan bakal suami tidak mempunyai keupayaan untuk menggugurkan haknya sebelum perkahwinan.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah dalam Islam, perkahwinan bukan hanya kontrak yang mempertautkan dua hati. Ia adalah ikatan suci berasaskan agama. Itulah sebabnya seseorang yang berkahwin sering dikatakan sudah membina masjid.

Masjid adalah simbol ibadah bagi orang Islam. Dalam hal ini, tidak wajar sebelum mendirikan masjid pasangan membincangkan bagaimana pula hendak meruntuhkan masjid yang dibina itu. Apatah lagi perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Berbalik kepada penghakiman Majlis Privy, penulis mendapati keputusan mahkamah di Britain mula mendekati falsafah perundangan Islam walaupun tidak menamakannya.

Kes dilaporkan bukan pertama yang selari dengan undang-undang Islam. Beberapa kes diputuskan sebelum ini juga selari dengan kehendak undang-undang Islam. Namun, segelintir NGO dan orang Islam tidak menyedarinya dan masih mengagungkan undang-undang Barat.

Natijahnya, orang Barat akan menjadi Timur dan orang Timur akan terus kebaratan. Kita sering melihat kepada orang lain apabila ingin menyelesaikan sesuatu perkara tanpa menginsafi bahawa penyelesaian sebenarnya ada dalam diri kita.

Penulis masih ingin berbicara dengan beberapa NGO yang mendesak undang-undang Islam mengiktiraf perjanjian praperkahwinan. Contoh yang sering dipetik ialah negara Barat tidak mempunyai masalah melaksanakannya.

Kes yang dilapor di atas jelas menafikan dakwaan NGO itu. Biasanya syarat sering dimasukkan sebagai terma dan waad perjanjian praperkahwinan ialah larangan kepada suami berkahwin lain, bilangan anak dan juga pembahagian harta.

Bukan hasrat penulis ingin mencampuri urusan suami isteri tetapi terma dan waad sebegitu boleh dimasuki selepas pernikahan. Rujuk kepada peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sebenar dan mendapat gambaran betul berkaitan perkara di atas.


Jangan biarkan emosi dan kedangkalan ilmu mengawal diri. Sudah tentu keadaan menjadi kelam kabut apabila kita merujuk perjanjian yang tidak sah di Mahkamah Syariah kelak. Pada masa itu sudah agak terlewat dan mahkamah tidak bersimpati atas kegagalan kita.

Pihak yang sudah memasuki perjanjian praperkahwinan dinasihatkan memeterai semula perjanjian yang baru selepas pernikahan. Tidak ada gunanya kita menyesal kemudian hari. Keputusan Majlis Privy di Britain itu jelas mengaplikasi undang-undang Islam. Ia adalah manifestasi bahawa undang-undang Islam sesuai sepanjang zaman dan di serata tempat. Walaupun tidak menamakan Islam, sudah memadai falsafah dan undang-undang Islam itu diterapkan dalam penghakiman mahkamah.

Mahkamah sivil di Malaysia juga harus mencontohi Majlis Privy dalam penghakiman. Dengan cara itu undang-undang lazim (common law) Malaysia dapat digarap tanpa lagi bergantung kepada undang-undang Inggeris. Sudah tentu undang-undang lazim Malaysia bercirikan jati diri negara yang berasaskan kepada undang-undang Islam dan adat Melayu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)