Monday, May 17, 2010

Artikel Agama

Politik kepartian tak wajar masuk masjid
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

2010/05/17 Berita Harian

Larangan berkempen dalam rumah ibadat untuk elak umat Islam berpecah-belah

PERBAHASAN mengenai penggunaan masjid dan surau sebagai medan berpolitik masih panas dibincangkan masyarakat. Walaupun pada mulanya saya tidak berminat membicarakan isu ini kerana beranggapan ia adalah isu perbezaan politik, namun apa yang berlaku itu menambat hati saya untuk memberikan pandangan. Ada sebahagian golongan yang menyatakan bahawa politik harus dijauhkan dari masjid dan surau bagi memberi peluang kepada pengunjung masjid dan surau beribadat dan tempat ibadat itu sepatutnya menjadi tapak kesatuan umat Islam bukan perpecahan. Ada sebahagian golongan yang lain pula berpandangan bahawa politik adalah sebahagian dari Islam dan tidak boleh dipisahkan dari masjid dan surau. Ini adalah kerana terdapat banyak isu politik yang terbit dari agama seperti fiqh al daulah (feqah kenegaraan) dan sebagainya. Golongan ini mahukan Islam diamalkan sepenuhnya sebagai sebuah tatacara hidup yang sempurna.

Perbahasan yang panas ini mencetuskan ketegangan kerana ia membabitkan Sultan, institusi agama dan juga ahli politik. Pada pandangan peribadi penulis, Islam itu adalah agama yang syumul. Islam juga mencakupi bidang politik yang menjadi elemen penting dalam menegakkan hukum agama. Tanpa politik mungkin agama tidak dapat dimartabatkan. Kepentingan berpolitik di Malaysia amat besar apatah lagi dalam menjaga kedudukan Islam di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Malah penulis tidak pernah meragui politik dan agama tidak boleh diasingkan kerana politik adalah sebahagian daripada agama. Namun persoalannya kenapakah masih ada sebahagian golongan yang mahu politik diletakkan di luar pintu pagar masjid dan surau? Penulis cuba menyelami hasrat dan tujuan yang diutarakan itu.

Penulis percaya titah Sultan Selangor mengarahkan persoalan politik itu tidak dibicarakan dalam masjid dan surau mempunyai niat yang baik iaitu untuk mengelakkan perpecahan dan penyalahgunaan masjid dan surau. Sebagai ketua agama sudah pasti Sultan Selangor mahu rakyatnya tidak berpecah-belah dan berpegang kepada agama. Namun bagi penulis, politik kepartian itulah yang harus dikekang daripada diperdebatkan dalam masjid dan surau, bukannya politik secara umum untuk menegakkan syiar Islam.
Politik adalah sebahagian daripada Islam. Mungkin itu sebabnya Sultan Selangor menitahkan masjid dan surau tidak boleh menjadi medan berpolitik, lebih-lebih lagi larangan itu dibuat ketika musim pilihan raya kecil. Hakikatnya agak sukar untuk membuat garisan pemisah antara perbincangan politik dalam Islam dan perbincangan politik kepartian.

Umpamanya, isu merotan pelajar. Apabila pakar perubatan memperkatakan isu ini, sudah tentu ia menjadi isu perubatan. Begitu juga apabila ahli akademik bercakap mengenai isu merotan pelajar, ia akan menjadi isu akademik. Manakala jika ahli perundangan pula yang bercakap isu yang sama ia akan menjadi isu undang-undang. Sudah tentu apabila ahli politik bercakap mengenai isu yang sama ia akan menjadi isu politik. Jadi di manakah garisan pemisah untuk membezakan isu politik kepartian atau tidak?

Memang agak sukar membezakan sesuatu isu itu kerana ia banyak bergantung kepada siapa dan cara bagaimana ia disampaikan.

Berbalik kepada isu berpolitik dalam masjid dan surau, penulis berpendapat ia boleh dibahaskan di tempat ibadat bagaimanapun hendaklah setakat politik untuk menegakkan syiar Islam. Namun berkempen untuk parti politik ataupun membuat sesuatu demi kepentingan politik kepartian haruslah dijauhi dari masjid dan surau kerana ia akan menggalakkan seseorang itu bermasam muka dengan saudara seagamanya sendiri.

Namun ia tidak bermakna memungkiri titah Sultan Selangor. Keprihatinan baginda dalam menitahkan larangan itu akibat kekhuatiran baginda bahawa masyarakat Islam akan berpecah-belah jika rakyat dibenarkan berpolitik dalam masjid dan surau. Politik sempit yang diamalkan oleh sebahagian daripada kita perlulah dihindari.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

______


p/s Kawan saya ni tulisannya makin lama makin baik .


Tahniah yer!