Wednesday, August 19, 2009

Uphold Syariah


Wanita disebat..

Kat Kuantan, Mahkamah Syariah menjatuhkan sebatan 6 kali pada wanita yang disabitkan minum arak baru-baru ini. Ramai yang membantah. Editor Berita Harian hubungi saya mintak saya tulis artikel berkaitan dengan mengetengahkan pandangan sebagai seorang wanita.. [humppp...] Saya menghargai permintaan mereka dan saya tulis artikel di bawah.

DISIARKAN DALAM BERITA HARIAN PADA :
RABU 19 OGOS 2009
_____________



Hapus prejudis hukuman Mahkamah Syariah


Oleh Nurhidayah Muhd Hashim



PENGHAKIMAN Mahkamah Syariah di Kuantan yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan kepada wanita Melayu Islam berumur 32 tahun kerana minum arak di khalayak ramai menarik pandangan banyak pihak. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987).

Ada yang memuji keberanian Mahkamah Syariah, ada yang mengutuk dan ada juga tidak menyokong atau menentang. Apa yang menarik adalah penerimaan terbuka wanita itu sesuatu yang berbeza dengan penerimaan pihak lain.

Beberapa laman web mengutuk penghakiman serta tindakan Jabatan Agama Pahang itu. Antara dakwaannya ialah ramai lagi umat Islam minum arak, berjudi tetapi tidak dihukum. Begitu juga beberapa NGO mengutuk penghakiman atas alasan mangsa ialah wanita yang tidak harus disebat kerana undang-undang sivil di Malaysia turut mengecualikan wanita daripada hukuman rotan.


Dengan menjatuhkan hukuman itu, Mahkamah Syariah dikatakan zalim, menyeksa wanita dan penghakiman ini dianggap berlawanan dengan hak asasi manusia kerana hukuman itu memalukan wanita berkenaan dan tidak bertamadun.

Persoalan apakah wanita terkecuali hukuman sebat? Dalam Islam, taklif atau beban melaksanakan agama adalah sama antara jantina. Apabila Allah SWT menetapkan hukum mencuri mengikut undang-undang Islam dipotong tangan, Allah turut meletakkan hukuman sama terhadap wanita. Begitu juga hukuman zina. (Surah al-Nur)

Cuma kaedah pelaksanaan kewajipannya agak berbeza tetapi di sisi Allah, kedua-dua pihak bertanggungjawab atas perlakuan mereka.


Masyarakat sering sensitif terhadap hukuman Mahkamah Syariah. Penghakimannya selalu dikupas dan menjadi polemik tidak berkesudahan. Media juga kerap memainkan isu seperti ini yang menggambarkan kelemahan Mahkamah Syariah seperti tidak efisien, hukuman tidak bagus dan kes memakan masa lama.

Bukankah kita berpegang kepada keluhuran undang-undang dan menghormati sistem perundangan negara? Kenapa apabila sesuatu penghakiman di Mahkamah Sivil dijatuhkan, semua boleh menerima dengan baik, berlapang dada menghormatinya, tetapi tindakan sebaliknya diberikan kepada Mahkamah Syariah. Tindakan double standard seperti ini tidak harus diteruskan.

Justeru, apabila ketidakpuasan hati berlaku terhadap penghakiman mahkamah, medan perundangan juga jawapannya. Merayu ke mahkamah lebih tinggi kaedah sewajarnya, buka menghina dan mengkritik penghakiman Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah menjatuhkan penghakiman berdasarkan bidang kuasanya yang kecil dan ini wajar diperbincangkan atau ditambah baik agar mahkamah berfungsi dengan baik.

Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak 1988) menyebut bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah yang ditubuhkan mengikut undang-undang negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang Islam dan berkenaan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun agama Islam oleh orang yang menganuti agama itu yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis: Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman itu. Akta ini yang perlu dibincangkan dan dicadangkan penambahbaikan oleh semua yang prihatin.

Bahkan laman web itu juga membawa kenyataan jika sesiapa ingin melakukan perkara haram dan menempah neraka atas pelakuannya, maka itu adalah urusan dia dengan Allah. Tidak ada kena mengena dengan orang lain sama ada manusia atau pemerintah. Ia adalah urusan peribadi dan bukan urusan rakyat dan pemerintah Dengan kata lain mahkamah tidak berhak mencampuri urusan mereka.

Sebenarnya, undang-undang bertujuan mengawal selia pelakuan salah manusia untuk kehidupan lebih baik. Jika semua orang bebas melakukan apa saja, apakah akan berlaku dalam masyarakat? Semua masyarakat dunia menerima undang-undang sama ada dari agama atau bertujuan menjaga agar keburukan dahsyat dikurangkan melalui penguatkuasaan undang-undang.

Oleh itu, apabila menerima Islam, kita juga mesti menerima taklif beban pertanggungjawaban ke atas perkara ditetapkan agama. Apabila wujud perlanggaran kepada peruntukan, ia kewajipan semua pihak untuk menegur dan membetulkan pesalah. Apabila ia melepasi sistem perundangan, maka mahkamah adalah medan memutuskannya. Melakukan yang haram bukan hak asasi manusia dan melanggar hak Allah adalah jenayah dan bukan hak.

Di samping kita harus mengetahui perbezaan kaedah pelaksanaan hukuman rotan antara perundangan sivil dan syariah, penghakiman terhadap kesalahan wanita ini patut memberi kita pengajaran lain iaitu:

l Sebagai Muslim baligh, kita bertanggungjawab atas pelakuan sendiri, melakukan kehendak agama sebaiknya, menjauhi perkara diharamkan dan memberi pendidikan sewajarnya kepada zuriat kita untuk menghormati Islam dan nilainya. Sangat menyedihkan jika orang Islam menghina agama sendiri. Jika orang Islam menghina dan menjatuh taraf agamanya, siapakah untuk kita harap mempertingkatkannya?

l Sudah sampai masanya pihak berwajib mengambil pendekatan tepat dan cepat mengemas kini perundangan berkaitan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan demi membina penghormatan selayaknya. Kritikan penghakiman Mahkamah Syariah perlu dihentikan kerana ia menghina mahkamah.

l Penyeragaman undang-undang syariah di negeri wajar dipercepatkan demi menegakkan keadilan dan mengelak salah faham masyarakat terhadap kepelbagaian peruntukan di setiap negeri yang belum berjaya diseragamkan.

l Peruntukan kaedah pelaksanaan hukuman ini juga perlu diperhalusi segera untuk mengelak kekeliruan yang menyebabkan kepercayaan masyarakat terus tergugat.

Antaranya di mana pelaksanaan dilakukan, di penjara biasa atau penjara khusus? Siapakah tukang rotan? Di depan khalayak atau keluarga? Kerajaan negeri perlu menyegerakan kelengkapan prasarana, urusan teknikal dan bersungguh-sungguh memartabatkan perundangan syariah.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam dan sekarang menyambung PhD Undang-Undang di Australia