Wednesday, June 17, 2009

Sister in Islam

Are You?

'Are you Sister in Islam?'

'Yes, I am your sister in Islam. But I am not a member of Sisters in Islam..'

Saya ditanya oleh seorang peserta dari US dalam Konvensyen Hak Asasi dulu dan saya menjawab seperti jawapan di atas. Pelik?? Saya memang seorang saudara anda dalam Islam, tapi saya bukan ahli NGO Sisters in Islam (SIS) yang berpusat di PJ, Selangor.

Kenapa?
Bagi yang tak tahu apa dan siapa Sisters in Islam, memang pelik dengan soalan dan jawapan di atas.

SIS adalah sebuah NGO yang bekembang dengan pesat di Malaysia dan juga ke negara luar serantau. Ahli-ahlinya bersemangat waja dan saya mengkagumi kesungguhan mereka dalam hal ini. Sehingga hampir semua orang yang mengambil tahu berkenaan isu-isu gender dan Syariah akan mengetahui kewujudan mereka. Dengan kata lain, masyarakat tahu bahawa mereka wujud, dan mereka berjuang membawa kesamaan gender dan menentang apa-apa peruntukan dan amalan yang dilihat menentang kesamaan gender antara lelaki dan wanita.

Saya mempunyai hubungan yang agak baik juga dengan beberapa orang di kalangan pimpinan SIS. Dan saya tahu mereka sedar saya ada bersetuju dan ada tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Saya pernah juga dijemput hadir dalam beberapa perbincangan mereka. Apabila perlu dan ada jalan, saya selalu bangun membantah dan menyuarakan pendapat saya.

Stand saya adalah: Saya tidak menerima feminisme dalam keadaan keterlaluan sehingga boleh membantah peruntukan agama seperti kedudukan wanita dan lelaki dengan peruntukan, hukum, tanggungjawab dan peranan berbeza yang termaktub dalam nas. Saya menekankan apa yang berada dalam nas qatie, kita tidak mempunyai hak untuk membantah. Itu adalah hak Allah untuk meletakkan hukum, wajib menutup aurat, wajib solat, wajib membahagikan pusaka begian begian dan semua peruntukan agama yang bersifat qatie. Tugas kita mematuhi sebagai hamba yang dicipta. Namun jika peruntukan bersifat zanni, ia terbuka kepada ijtihad dan pendapat baru dan berbeza.

Namun saya memang membantah perlakuan salah seperti lelaki melayan wanita secara kasar seperti wanita didera, dipukul dalam isu rumahtangga dan sebagainya. Saya juga membantah perlakuan lelaki yang sepatutnya menjaga kebajikan anak walian tetapi tidak memberi nafkah, hilang tanpa nafkah - meninggalkan anak sehingga anak terpaksa mencari ayah untuk mewalikan mereka untuk berkahwin (bagi yang perempuan) dan lain-lain lagi.

Saya membantah amalan tidak adil lelaki yang melakukan poligami. Namun saya tidak membantah keharusan poligami. Saya membantah semua perlakuan pelaku tersebut kerana ia membawa pandangan buruk dan menjatuhkan nama baik Islam.

Sebenarnya masa saya menulis untuk majalah semasa belajar di UIA dulu, [termasuklah yang menggunakan nama samaran 'Fathi Yakan Malaysia'], banyak tulisan saya yang disiarkan di majalah berkenaan isu-isu begini. Saya banyak menulis artikel menjawab tulisan 'mereka' tetapi untuk kesejahteraan diri, saya sembunyikan nama betul saya.

Tapi itu dah lama, berbelasan tahun yang lepas. Sekarang saya sudah agak berani meletakkan nama saya dalam semua tulisan saya. Saya bertanggungjawab atas apa yang saya tulis.

Baru-baru ini di Malaysia khabarnya isu SIS timbul selepas Parti PAS membawa usul supaya Majlis Fatwa menyiasat perjuangan mereka samada selari atau tidak dalam Islam dan mewartakan fatwa berkenaan pergerakan ini. Sebagai ahli akademik, saya tidak berpihak kepada kepartian, tetapi membawa isu SIS untuk bacaan kita.

Kawan saya Hj Zainul ada menulis pandangannya mengenai isu SIS dan usul tersebut.
Agak baik juga huraiannya untuk kita baca bersama..

Saya sertakan...
_________________

USUL PAS MEMINTA MAJLIS FATWA MENYIASAT AKTIVITI SISTER IN ISLAM (SIS)


Saya amat mengalu-alukan usul Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang diluluskan tanpa bahas yang menyeru Majlis Fatwa Kebangsaan agar menyiasat aktiviti Sisters in Islam (SIS) dan jika mendapati ianya bertentangan dengan ajaran Islam mengharamkan pertubuhan tersebut. SIS adalah sebuah badan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965.



Sebagai sebuah pertubuhan yang membawa nama Islam sudah seharusnya aktiviti SIS tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Biarlah Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat perkara ini kerana Majlis tersebut adalah badan yang berotoriti mengkaji samada aktiviti SIS bertentangan dengan ajaran Islam atau tidak. SIS tidak perlu gusar sekiranya mereka berpendapat aktiviti mereka tidak bertentangan dengan ajaran Islam malah SIS hendaklah membantu Majlis Fatwa Kebangsaan dalam siasatan mereka dengan mengemukakan apa sahaja bukti yang diperlukan bagi mencapai keputusan yang adil. Janganlah tergopoh gapah membuat kesimpulan

Majlis Fatwa Kebangsaan akan membuat keputusan yang tidak memihak kepada SIS.

Sayugia diingatkan orang bukan Islam khususnya Majlis Peguam agar tidak mencampuri urusan dalaman agama Islam (intrafaith) semata-mata atas nama hak asasi.

Perkara ini melibatkan hal ehwal dalaman agama Islam dan adalah tidak wajar orang bukan Islam mencampuri urusan ini sebagaimana orang Islam tidak pernah mencampuri urusan agama bukan Islam lain.

Sudah sewajarnya sebarang pertubuhan yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam tertakluk kepada agama Islam itu sendiri. Piawaian yang digariskan Islam hendaklah dipatuhi dan diikuti dengan ketat agar tidak menimbulkan salah sangka atau representasi salah terhadap nama yang dibawa itu.

Adalah amat tidak masuk akal jika sebuah pertubuhan itu menggunakan nama Islam tetapi tidak memperjuangkan Islam. Perkara inilah sebenarnya yang harus disiasat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Hal ehwal sesuatu agama hanya boleh ditadbir oleh golongan agama itu sahaja sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 11(3) Perlembangaan Persekutuan.

Malah telah termaktub di bawah Perlembagaan Perseketuan Artikel 11(4) pula, kedududukan orang Islam di bawah Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri di dalam Persekutuan boleh memulihara kepentingan Islam dan Muslim dengan memperuntukan undang-undang bagi memuliharanya dari anasir-anasir yang silap, salah dan menyeleweng saperti juga yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes-kes Sulaiman Takrib (pengikut Ayah Pin), Abdul Kahar (Rasul Melayu) dan Mamat bin Daud. Sayugia di ingatkan bahawa kepada mereka yang merujuk pada dasar Perlembagaan Perseketuan sebagai dasar polemik harus juga menghormati peruntukan yang ada yang telah di tafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan tersebut



Walaupun demikian saya akur perlunya diadakan dialog yang terurus dengan SIS ataupun mana-mana pertubuhan lain berkaitan dengan sesuatu isu ataupun pendirian. Ia bertujuan bagi memahami aspirasi dan objektif sesuatu perkara itu. Ruang dialog hendaklah tidak ditutup dan gunakanlah ruang ini bagi menyelesaikan segala permasalahan mengikut kehendak agama. Namun di dalam berdialog mencari kebenaran itu kedua dua belah pihak hendaklah mempunyai niat yang ikhlas dan suci bagi mencari penyelesaian yang tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.



Inilah pandangan peribadi saya setelah beberapa pihak bertanyakan kepada saya berhubung perkara ini.

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

#Zainul Rijal Abu Bakar adalah bekas Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, sekarang beliau adalah Setiausaha Peguam Pembela Islam (PPI) dan Penolong Setiausaha Agong Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)