Thursday, June 11, 2009

Hari Ibu Sepanjang Tahun..

Selamat Hari Ibu..

Kita semua tak sebut dah pasal hari Ibu sebab dah lepaskan? yelah masa 10 Mei hari Ibu, sekarang orang bercerita pasal hari bapa le pulak.. Walaupun dah lepas, saya nak share jugak pasal cerita hari ibu walaupun ia telah berlalu sebulan yang lepas. Artikel ini BH tak siar sebab dah terlepas dari tema Hari Ibu, tapi itu tak jadi masalah pada saya..
Saya siarkan di sini..
dalam blog saya ..
kerana blog ini adalah Sekadar Pendapat Hidayah..
So no worries.....

____________________

To All Mums in the World....
by: Nurhidayah Muhd Hashim

‘Apakah anda telah memberi sekuntum bunga untuk Ibu anda? Jika belum, telefonlah ibu anda hari ini menyatakan kasih anda’. Nota kecil bertulis kata-kata di atas ditampal di semua muka hadapan surat khabar yang dijual di Melbourne pada 10 Mei sempena Hari Ibu yang lepas. Ayat tersebut mengingatkan pembeli dan pembaca akhbar agar mengingati ibu mereka sempena hari tersebut.

Kita semua telah melihat bagaimana seluruh dunia termasuklah rakyat Malaysia meraikan ibu masing-masing sempena Hari Ibu 10 Mei baru-baru ini. Ada yang memberikan ibu mereka hadiah berharga, membawa ibu makan besar di restoran mewah, membelikan bunga, rantai leher dan pelbagai cara untuk menzahirkan kasih sayang terhadap ibu sempena Hari Ibu.

Persoalan yang wajar diperhatikan adalah, bagaimana selepas sambutan Hari Ibu? Apakah semangat meraikan dan menghormati ibu sudah hilang atau masih hangat seperti mana hari tersebut?

Hari ibu sebenarnya disambut berbeza-beza mengikut Negara. Kebanyakan negara dunia menyambut Hari Ibu pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei yang kebetulannya jatuh pada 10 Mei bagi tahun ini. Ada yang menyambutnya pada bulan Februari, ada pula menyambutnya pada hari Ahad kedua bulan Mac dan sebagainya.

Terdapat beberapa perkara menarik sepanjang pemerhatian penulis berkenaan sambutan Hari Ibu di Australia. Sepanjang sambutan Hari Ibu, televisyen di Australia menayangkan pelbagai tayangan gambar menunjukkan pengorbanan ibu terhadap keluarga. Iklan harga runtuh bagi barangan seperti rantai emas, loket, barangan kesihatan dan bermacam-macam lagi yang boleh dijadikan hadiah untuk ibu ditayang dengan kerap setiap hari. Mereka menjadikan Hari Ibu sebagai satu hari yang sangat penting dalam kalendar mereka.

Sekolah juga tidak terkecuali memainkan peranan mereka. Dalam dua minggu pertama bulan Mei, pihak sekolah akan menjadikan acara mereka cipta, melukis dan mewarna kad ucapan yang dibuat oleh pelajar untuk ibu masing-masing sebagai acara penting dalam bilik darjah. Semua pelajar diminta melukis dan meluahkan perasaan sayang kepada ibu dalam kad tersebut. Kad tersebut akan disimpan di sekolah sehinggalah hari terakhir sebelum tibanya Hari Ibu dan pelajar diminta menyerahkan pada ibu masing-masing pada hari Ahad sempena Hari Ibu tersebut.

Pihak sekolah juga menulis surat kepada ibu bapa supaya dapat memberi anak-anak sejumlah wang seperti $3-$5 untuk membeli hadiah untuk ibu masing-masing yang dijual oleh pihak sekolah. Antara hadiah yang sekolah sediakan seperti lampu meja, buku, lampu kristal berbentuk hati dan macam-macam lagi. Tujuannya supaya setiap anak mempunyai satu hadiah dan satu kad untuk ibu mereka pada hari tersebut.

Tindakan pihak sekolah ini pada pendapat penulis adalah suatu yang positif bagi membina semangat dan kesungguhan pelajar dalam menghargai ibu mereka. Wajar juga amalan tersebut digalakkan di sekolah-sekolah di Malaysia bagi menanam semangat cintakan ibu di kalangan para pelajar.

Usaha akhbar di sini yang meletakkan nota kecil di muka hadapan akhbar bagi mengingatkan pembeli dan pembaca akhbar terhadap ibu masing-masing juga adalah usaha yang baik dan wajar dicontohi di Malaysia.

Namun begitu, kita tidak bersetuju jika ibu diraikan hanya pada hari tersebut sahaja. Ibu dan bapa adalah insan mulia yang wajib dihormati dan diraikan sepanjang hayat sama ada mereka adalah Muslim ataupun bukan Islam sekali pun.

Dalam meraikan sambutan Hari Ibu, para ilmuan Islam sebenarnya berbeza pendapat. Ada setengah ulama' berpendapat menyambutnya adalah haram atas dasar ia menyerupai amalan orang bukan Islam dan orang Islam meniru membuta tuli tanpa menyelidik apakah yang ada di sebalik sambutan tersebut. Apatah lagi tindakan mengambil satu hari dan dinamakan Hari Ibu tidak diamalkan semenjak zaman Rasulullah atau pun para sahabat terdahulu.

Pendapat kedua mengatakan ianya harus dan dibolehkan dengan syarat si anak menunjukkan penghormatan dan menjaga kebajikan ibu bukan dihadkan pada hari tersebut sahaja, tetapi meraikan ibunya sepanjang masa. Cumanya mungkin pada hari tersebut, dilebihkan penzahiran kasih sayang dan penghormatan yang diberikan berbanding hari-hari lain.

Pendapat Sheikh Faysal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) yang disiarkan dalam islamonline sangat menarik untuk diperhatikan. Beliau menyebut bahawa, pertamanya, semua Muslim wajib menghormati ibu dan bapa masing-masing, terutamanya ibu. Apa yang Islam tidak benarkan adalah kita meniru orang bukan Islam dengan meletakkan satu hari sebagai hari meraikan ibu, seolah-olah hari lain ibu tidak diraikan. Sekiranya kita ingin menjadikan seluruh hari dalam setahun adalah Hari Ibu, maka Islam sangat meraikannya dan tidak ada sebarang bangkangan dalam pandangan Islam.

Apa yang berlaku dalam segelintir kehidupan orang barat adalah terdapat anak-anak yang meninggalkan dan tidak menjaga kebajikan ibu mereka, tetapi kembali ke rumah ibu bapa bertanya khabar hanya pada Hari Ibu dan menunjukkan penghargaan kepada ibu mereka pada hari tersebut sahaja. Selepas hari ibu, keadaan akan kembali kepada biasa. Hidup terpisah seperti sebelumnya.

Umat Islam sewajarnya mempunyai pendirian yang jelas dalam isu ini. Kita mesti menghormati, meraikan dan menzahirkan kasih sayang dan menjaga kebajikan ibu dan juga bapa sepanjang mereka masih hidup. Mengambil tahu kebajikan mereka, melawat mereka di kampung dan memberi sumbangan kewangan setiap bulan bagi memastikan kehidupan mereka tidak terabai. Bahkan meneruskan berbuat baik dan menghadiahkan pahala dan doa untuk mereka selepas mereka meninggal dunia.

Apa yang boleh diterima adalah pada Hari Ibu, mungkin lebih penekanan boleh diberikan kepada si anak agar dapat meraikan dan menunjukkan penghargaan yang lebih lagi kepada ibu mereka, selari dengan arahan al-Quran supaya berbuat baik kepada ibu bapa. Namun dalam meraikan ibu tersebut, kita jangan sama sekali terbabas dengan melakukan sesuatu yang dilarang Allah, tetapi meraikan mengikut adab-adab dalam Islam. Dengan cara itu, kita tidak mengikut dengan membuta tuli apa sahaja sambutan yang dibuat oleh barat kecuali kita tahu apakah rahsia, kaedah dan prinsip di sebalik sambutan tersebut.

_________

[Nanti saya akan uploadkan gambar lampu meja yang Aisyah belikan dan hadiahkan untuk Umi...sempena hari Ibu]