Wednesday, June 4, 2008

CELCOM 100 hari 100 kereta-Judi

Apa yang CELCOM buat sebenarnya?
Kuiz 100 Camry Celcom mengenakan RM5 setiap SMS yang diterima.

Kita semua perlu membantah tindakan tidak sensitif Celcom, kita semua perlu menghantar komplen untuk menghentikan tindakan salah/mungkar ini.

Apakah caranya?

Mari kita hantar komlen dari setiap orang yang perihatin ke Consumer Complaints Bureau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di alamat: aduanskmm@cmc. gov.my

Kita boleh copy surat di bawah dan tambah komen tambahan jika mahu dan tulis nama kita di bahagian bawah emel tersebut. Saya akan membuatnya sekejap lagi selepas menulis blog ini.

_______________

Nurhidayah Muhd Hashim
Shah Alam
Tarikh: 03 Jun 08

Kepada:
Consumer Complaints Bureau
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
alamat: aduanskmm@cmc. gov.my


PER: BANTAHAN TERHADAP KUIZ ANJURAN CELCOM YANG BERUNSUR JUDI IAITU KUIZ 100 HARI 100 KERETA

Sebagai Muslim perihatin, saya ingin membuat komplen secara rasmi dan membantah usaha dan tindakan CELCOM dalam menganjurkan Kuiz 100 HARI 100 KERETA bermula pada hari Isnin 2 Jun 2008. Adalah nyata kuiz ini adalah membelakangkan serta berlawanan dengan jelas terhadap fatwa Kebangsaan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini bahawa semua kuiz berunsur judi dan eksploitasi adalah haram dan ditolak. Adalah nyata Celcom telah cuai dari menjaga sensitiviti Islam dan meneruskan kuiz walaupun jelas ianya bersifat judi yang diharamkan Islam.

Selaku pengguna yang mempunyai hak untuk menegur dan menyatakan bantahan, saya memohon pihak bertanggungjawab memberhentikan kuiz tersebut serta merta dan menjaga sensitiviti Islam di negara ini.

Sekian, terima kasih.
Nurhidayah Muhd Hashim
____________
Bersama ini disertakan fatwa berkenaan untuk perhatian pihak tuan. Rujuk Utusan Online ARKIB : 28/07/2004..

27 Julai - Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah haram kerana mengandungi unsur perjudian. Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, keputusan itu berdasarkan beberapa hujah dan latar belakang peraduan tersebut yang bersifat samar-samar, mengandungi unsur eksploitasi dan penipuan. Selain itu, katanya, ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan.

Menurut beliau, jika disebut judi, ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan yang tidak menentu serta mengeksploitasi duit orang ramai sedangkan yang mendapat keuntungan adalah pihak tertentu dalam bilangan yang terhad.

Dalam konteks kuiz melalui SMS, katanya, orang ramai terpaksa mengeluarkan wang untuk menyertai sesuatu kuiz melalui penghantaran SMS dengan harapan akan menang sedangkan yang mendapat keuntungan daripada kemenangan adalah sebilangan kecil peserta sahaja.

``Dalam kuiz sedemikian banyak peserta dapat menjawab dengan baik, tetapi mereka kena bersaing dengan orang lain untuk menang. ``Umpamanya mata minimum adalah 200 dan dia kena belanja RM20 untuk SMS, kalau nak lebih daripada itu, dia kena keluar duit yang banyak untuk kirim SMS hingga beribu-ribu ringgit. ``Tetapi akhirnya dia tidak mendapat apa-apa pulangan dan perkara ini tidak diharuskan oleh agama kita,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan di sini, hari ini.

Mesyuarat itu diadakan khusus untuk membincangkan mengenai berleluasanya penganjuran kuiz melalui SMS di negara ini sejak akhir-akhir ini termasuk promosi di media massa sehingga ada peserta tidak menyedari mereka kerugian beribu-ribu ringgit. Beberapa stesen televisyen swasta turut menganjurkan pelbagai Kuiz SMS yang menawarkan pelbagai hadiah antaranya Maxmillion, Malaysia Idol SMS Challenge dan SMS Game.

Menurut Ismail, fatwa mengharamkan peraduan kuiz melalui SMS ini bukan bermakna agama Islam menolak kemajuan dalam bidang teknologi maklumat (ICT). Sebaliknya, kata beliau, banyak kemudahan tersebut seperti e-mel dan Internet digunakan untuk kerja-kerja pendakwahan.

Bagaimanapun, katanya, dalam hal ini majlis tersebut tidak boleh membiarkan kemajuan teknologi digunakan bercanggah dengan hukum agama, oleh itu fatwa tersebut perlu dikeluarkan memandangkan ia merupakan satu perkara baru yang orang ramai masih tidak memahami hukumnya dari segi agama.

Malah, kata beliau, fatwa tersebut adalah selaras dengan garis panduan mengenai penganjuran peraduan bertujuan promosi komersial yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 20 April lalu bagi menentukan sama ada ia mengandungi unsur perjudian atau tidak. Menurutnya, Kementerian Kewangan telah mentakrifkan penganjuran atau penyertaan dalam acara cabutan bertuah atau permainan yang bergantung kepada nasib adalah termasuk di bawah gaming atau lottery mengikut Seksyen 2 Akta Rumah perjudian Terbuka 1953 dan tidak mengeluarkan permit bagi tujuan penganjurannya.

Ismail memberitahu, menurut garis panduan itu, sesuatu peraduan adalah merupakan perjudian atau loteri berdasarkan tiga fakta. Katanya, fakta tersebut ialah pembahagian hadiah; permainan atau perjalanannya secara cabutan atau nasib; dan wujudnya sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh peserta. ``Kalau perjudian dan loteri diharamkan oleh undang-undang sivil, maka ia perlulah diikuti oleh semua pihak termasuk syarikat yang menganjurkannya.

Beliau memberitahu, jika fatwa serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan diikuti, ia dapat dijadikan panduan yang amat baik dalam mengendalikan teknologi baru tersebut. ``Oleh itu orang Islam eloklah patuhi fatwa ini kerana kita sudah timbang dari semua sudut malah jika mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, pihak syarikat yang menganjurkan peraduan yang bercirikan perjudian harus mengambil tindakan sendiri menghentikannya, '' ujarnya.

Ismail memberitahu, sebelum fatwa tersebut boleh dijadikan sebagai undang-undang, ia perlu diwartakan di peringkat negeri oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri memandangkan kuasa dari segi agama terletak di tangan raja-raja. Beliau seterusnya meminta setiap negeri segera mewartakan fatwa mengenai SMS tersebut memandangkan semua mufti telah bersetuju dengan keputusan untuk mengharamkan peraduan kuiz melalui SMS itu.

``Semua mufti kena bawa perkara ini ke dalam Majlis Fatwa Negeri untuk diwartakan. Apabila diwartakan di negeri mereka, barulah ia menjadi undang-undang dan penguatkuasaannya pula adalah di bawah Majlis Agama Islam Negeri,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, jika terdapat pihak yang melanggar fatwa tersebut selepas ia diwartakan, Jabatan Agama Islam Negeri akan menyiasat dan membuat dakwaan di Mahkamah Syariah yang akan menentukan hukuman mengikut peruntukkan sedia ada.