Thursday, August 18, 2011

Buang Sampah


Sekadar Pendapat Saya Pasal Pelupusan Sampah Tersusun..

Saya baca pasal buang sampah dalam Berita Harian online kemarin, terfikir tentang kaedah pembungan sampah di sini yang memang menarik hati saya dari dulu lagi. Saya punya seronok tiap kali lori sampah datang, saya akan tunggu dan tengok 'tangan' lori tersebut ambik sampah. Ia menakjubkan pada saya. Bahkan saya banyak kali ambik gambar lori-lori ni tengah pungut sampah. Saya berharap suatu hari nanti, keadaan sebegini akan berlaku di Malaysia.

Saya tulis artikel di bawah, send ke Berita Harian tadi, tak tahu lah editornya suka ke tak..
If suka, ia akan keluar dalam Berita Harian, kita tengok nanti.
Kalau tidak, ia keluar kat sini, dalam blog saya..

kerana ia adalah Sekadar Pendapat Hidayah...

Pembuangan Sampah: Belajar dari Australia

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim







Malaysia akan mula bergerak ke arah sistem pelupusan sampah sarap yang lebih teratur. Laporan Berita Harian bertarikh 12 Ogos mengenai usaha kerajaan memperkenalkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 adalah suatu usaha yang sangat bagus dan harus disambut baik. Kesungguhan pihak berwajib menangani isu ini akan membuatkan masyarakat kita secara otomoatik menjadi bangsa yang prihatin terhadap alam sekitar (environmental conciousness). Kementerian juga dilaporkan akan mengadakan pelbagai program bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai tanggungjawab masing-masing.

Akta tersebut dilaporkan mempunyai peruntukan yang mewajibkan orang ramai mengasingkan bahan-bahan sisa pepejal dan bahan kitar semula dan mereka yang tidak berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang. Namun begitu, masyarakat diberi dua tahun untuk berusaha dan membiasakan diri sebelum undang-undang tersebut dikuatkuasakan seperti disebut dalam kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ahli masyarakat digesa mula mengasingkan sampah sarap di rumah masing-masing, antara sisa pepejal dengan hasil bungan yang boleh dikitar semula.

Negara-negara maju seperti Australia, Jepun, dan lain-lain sangat mengambil berat isu pembungan sampah kerana ia berkait rapat dengan kebersihan alam sekitar, kepanasan ozon dan kelestarian hidup manusia. Ia juga adalah amalan baik yang digalakkan dalam Islam. Sebagai perbandingan, pengalaman penulis melihat bagaimana kerajaan tempatan di Melbourne, Australia menguruskan sistem pembungan sampah mereka adalah sangat menarik untuk dibandingkan.

Usaha menangani pembuangan sampah dimulakan dengan pendidikan dan juga penguatkuasaan. Di sini, setiap rumah mempunyai 3 tong sampah plastik dengan warna yang berbeza, iaitu penutup hijau gelap untuk sampah buangan sisa pepejal seperti barangan dapur, makanan, bahan kaca yang pecah dan lain-lain. Sampah ini perlu diikat dalam plastik untuk mengelakkan tumpah. Tong sampah penutup kuning untuk sampah yang dikitar semula seperti bekas air minuman, kotak, surat khabar, botol dan aluminium. Manakala tong sampah penutup hijau muda untuk bahan organik seperti dedaunan, bunga dan juga rumput. Setiap rumah dibekalkan pamplet kaedah pembuangan sampah dengan tarikh-tarikh lori pemungut sampah bertugas di kawasan tersebut.

Tong sampah plastik tersebut disediakan oleh pihak perbandaran tempatan dengan nombor rumah ditanda di setiap tong tersebut. Ini memudahkan penguatkuasaan undang-undang yang ditetapkan sekiranya ada yang tidak meletakkan sampah dengan betul. Setiap rumah perlu mengeluarkan tong sampah dan meletakkannya di tepi jalan sebelum jam 5.00 pagi untuk memudahkan lori pemungut sampah yang akan datang dalam waktu tersebut. Sekiranya sampah yang diletakkan tidak tepat seperti diletakkan surat khabar kitaran semula dalam tong sampah sisa pepejal, atau diletakkan berlonggok di tepi jalan, sampah kita tidak akan dikutip dan besar kemungkinan kita menerima teguran, saman dan sebagainya.

Sampah dikutip seminggu sekali untuk bahan sisa pepejal dan dua minggu sekali secara bergilir untuk bahan kitar dan juga bahan organik. Contohnya jika sampah dikutip setiap hari Jumaat, maka Jumaat minggu pertama adalah untuk tong sampah sisa pepejal bersama dengan tong sampah bahan kitaran. Manakala Jumaat minggu seterusnya adalah tong sampah sisa pepejal dengan tong sampah bahan organik. Begitulah seterusnya setiap minggu.

Pihak kerajaan tempatan yang memungut sampah juga datang dengan tiga lori yang berbeza. Lori pemungut bahan sisa pepejal tidak akan mengambil bahan kitaran semula, begitu juga dengan bahan organik. Tong sampah yang sama besar, disediakan oleh pihak kerajaan tempatan sebenarnya berkait rapat dengan penggunaan lori pemungut sampah. Mereka menggunakan lori yang canggih, mempunyai ’tangan’ memungut tong sampah yang sama saiz tanpa menggunakan tenaga manusia. Hanya ada seorang pemandu sahaja bertugas dalam satu masa. Ia sekaligus mengurang kebergantungan kepada tenaga buruh dan sudah tentu sangat cepat, cekap dan bersih. Setiap rumah hanya mengambil masa 2-3 saat sahaja.

Perlaksanaaan undang-undang denda di sini juga ketat dan tidak ada ruang belas ihsan. Maksud saya, contohnya jika kita melakukan kesalahan pembuangan sampah yang bercampur aduk, mereka tidak akan mengutipnya. Sekiranya ada saman dikeluarkan, tidak ada alasan untuk kita berikan seperti tidak tahu jenis sampah dan sebagainya. Ia sekali gus mendidik masyarakat dan menjadikan mereka peka dengan sistem pembuangan tersusun.

Pembuangan sampah yang tersusun, kemas dan sistemastik akan memberi kelesaan hidup kepada kita semua. Justeru, usaha kerajaan ini harus disambut baik. Namun begitu, ia juga seharusnya datang dengan persediaan yang baik dari semua sudut. Setiap rumah di Malaysia perlu ada paling tidak dua tong sampah untuk sampah sisa pepejal dan juga bahan kitaran semula. Usaha memisahkan sampah di rumah tanpa persediaan tong sampah yang sesuai akan melemahkan semangat ahli masyarakat untuk bertindak. Apatah lagi jika bahan kitaran semula perlu dibawa ke tempat lain seperti tempat kitaran berpusat juga tidak menarik minat masyarakat. Usaha membina masyarakat menjaga pembuangan sampah perlu bersifat memudahkan ahli masyarakat mengambil tindakan. Begitu juga dengan persediaan lori pemungut sampah, jika satu lori memungut dua atau tiga jenis sampah sekali gus, usaha pengasingan sampah juga akan bermasalah.

Apabila semua aspek bergerak selari dengan dikuatkan dengan penguatkuasaan undang-undang yang baik, usaha membina masyarakat yang peka dengan isu pelupusan sampah tersusun di negara kita akan berjaya dilaksanakan.