Friday, October 1, 2010

Layanlah Isteri Dengan Baik..

Sekadar Pendapat Saya..

Saya dah hantar ke berita harian tapi tengoklah keluar ke tidak. Inilah pendapat saya terhadap kehidupan berumah tangga...

Layanan Baik Untuk Isteri dan Institusi Rumahtangga

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Kisah penderaan rumah tangga sehingga berlaku kecedaraan kepada salah satu akibat pertelingkahan kerap kita baca di dada-dada akhbar. Dalam banyak kes, yang menjadi mangsa selalunya adalah isteri sama ada ditampar, ditendang, dipukul dengan alat keras seperti tali pinggang, kayu, tongkat dan apa sahaja yang senang dicapai tangan semasa pergaduhan berlaku. Akibat dari itu, isteri mungkin mengalami kecedaraan, lebam pipi, luka, patah anggota dan mungkin terpaksa dibawa ke hospital. Kesakitan dan layanan ini juga membawa kepada tekanan psikologi, trauma dan ketakutan yang dialami oleh mangsa dera tersebut.


Dalam keadaan para ilmuan berbincang mengenai institusi rumah tangga yang semakin longgar, bilangan perceraian yang semakin meningkat tahun demi tahun, kes-kes sebegini menjadi bukti menyokong perkembangan menyedihkan ini.

Rumah tangga adalah tunggak kepada pembinaan masyarakat dan sekali gus memberi kesan kepada keseimbangan sosial negara. Tindakan perlu diambil untuk membuka minda kaum lelaki dan perempuan, suami dan isteri agar institusi rumah tangga dapat dipertahankan dan perkara negatif dapat diatasi dengan baik.

Perkahwinan sebagai satu ikatan murni, digambarkan sebagai ’membina masjid’ hendaklah dilihat sebagai satu yang murni dan mulia, dari awal sehingga akhirnya. Ia bukan semata-mata menjadi jalan menghalalkan hubungan seks antara leelaki perempuan tetapi melibatkan banyak hak dan tanggungjawab yang mesti dibereskan. Para penceramah terutama ceramah kursus pra-perkahwinan wajar memberi penekanan tentang kedudukan nikah, hak dan tanggungjawab dan hubungannya dengan keredaan Allah serta balasan azab apabila hak dan tanggungjawab diabaikan.

Suami bertanggungjawab menjaga kebajikan isteri dan anak, memberi nafkah, menyediakan kehidupan, tempat tinggal, makanan dan pendidikan yang baik bersesuaian dengan kemampuan suami. Suami yang mencuaikan sehingga isteri dan anak-anak terabai adalah melakukan dosa dan kecuaian itu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak. Suami yang mendera isteri adalah melakukan dosa. Rasulullah pernah menegur lelaki yang kasar dan melakukan kekasaran kepada isterinya dengan hadis baginda yang bermaksud, ’Sebaik-baik kamu adalah yang lembut dalam melayani isteri mereka dan aku adalah sebaik-baik di antara kamu’.

Pendedahan tentang hak dan tanggungjawab jika dibincangkan sebelah pihak tidak dapat menyelesaikan kekalutan sosial dan institusi keluarga. Pendidikan perlu diseimbangkan agar suami dan isteri mendapat pengajaran dan berusaha menjadi pasangan yang baik. Justeru, apabila dibincangkan tanggungjawab isteri terhadap suami seperti isteri perlu mentatai suami, jangan derhaka dan nusyuz, jangan melawan kehendak suami, perlu meminta izin suami dan lain-lain, maka perbincangan juga perlu menyentuh tanggungjawab suami terhadap isteri seperti suami wajib menjaga, melayani dengan baik, mendidik isteri dan anak, berbincang dan bekerjasama dalam menjayakan urusan rumah tangga sehingga rumah tangga dibina menjadi taman bahagia untuk kedua-dua lelaki dan perempuan.

Drama di television juga kerap kali menggambarkan watak yang silap sehingga menjadi tanggapan umum masyarakat. Contohnya suami yang kuat berpegang kepada ajaran agama, suka ke masjid digambarkan sebagai seorang yang keras, bersifat diktator, terlalu tegas sehingga tidak memberi ruang kepada isteri dan anak-anak untuk berbincang. Suami sebegini ditunjukkan mengamalkan sikap yang keterlaluan tegas, tidak boleh dibawa berbincang, kerap mengabaikan nafkah keluarga, lebih cenderung menghukum dari memberi nasihat. Manakala isteri yang baik pula digambarkan terlalu menurut sahaja, tidak bersuara, takut yang bersangatan sehingga sekiranya didera oleh suami, maka didiamkan sahaja atas anggapan itulah tindakan yang sebaiknya.

Kesilapan pemahaman sebegini perlu dibetulkan untuk membaiki insitusi rumah tangga masyarakat kita. Suami dan isteri adalah saling lengkap melengkapi. Suami yang mendera, memukul, menendang dan tidak melayan isteri dengan baik adalah melakukan dosa, berlawanan dengan gambaran suami yang baik seperti yang Rasulullah nasihatkan dalam hadith baginda.

Di dalam surah al-Baqarah, ayat 233, Allah berfirman yang bermaksud, ’Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.’

Ilmuan yang mengupas ayat ini turut membawa satu pandangan penting iaitu, sekiranya dalam urusan memberhentikan susuan kepada anak dilakukan secara musyawarah (persetujuan dan perbincangan) antara suami dan isteri, maka apatah lagi urusan-urusan lain yang besar melibatkan keluarga seperti kewangan, pendidikan dan lain-lain, wajarlah suami yang baik melibatkan pandangan isteri, bertanya dan mendengar pendapat isteri. Kerana keputusan hasil musyawarah antara suami isteri akan menghasilkan sesuatu yang baik dan memberi kesan positif kepada insitusi rumah tangga itu sendiri.

Kita perlu memberi pendidikan kepada lelaki dan perempauan sama ada yang bakal berkahwin atau sudah berkahwin untuk melihat hubungan suami isteri sebagai hubungan mulia, menjaga kesinambungan tamadun bangsa dan menjadi nadi penggerak kejayaan sesebuah negara. Pada masa masa, usaha memertabatkan kedudukan wanita selaras dengan ajaran Islam perlu dianjurkan. Wanita yang teraniya perlu diberi bantuan dan sokongan agar mereka tahu hak dan tanggungjawab yang sepatutnya.

Sekian...