Wednesday, October 13, 2010

Wanita dan Hak Mereka..



Artikel..

Sekadar pendapat saya mengenai seorang kejadian Allah bernama WANITA dan juga hak mereka dalam hidup ni...


Disiarkan dalam Berita harian 12 Okt 2010

__________

Hak wanita dalam perundangan Islam

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Isu hak asasi sering menjadi tumpuan. Masyarakat kini sering berbincang tentang hak asasi manusia, hak asasi kanak-kanak dan tidak terkecuali hak asasi kaum wanita. Apabila isu hak wanita diutarakan, terdapat suara mengatakan wanita dalam Islam tidak terbela hak mereka kerana Islam melihat wanita sebagai kelas kedua dalam masyarakat. Amalan dalam masyarakat di mana kelaki sangat mendominasi kehidupan wanita dijadikan asas menunjukkan bahawa Islam menindas wanita. Atas premis tersebutlah maka golongan yang mendakwa mereka mengangkat taraf kaum wanita tumbuh dalam masyarakat.

Dalam perundangan Islam, wanita mempunyai hak dalam kehidupan seperti hak manusia yang lain. Antara lain seperti hak untuk hidup, hak untuk mendapat pendidikan, hak untuk dilayan secara adil dan bermaruah, hak memilih pasangan, hak untuk menyimpan harta, hak untuk bekerja, hak untuk bersuara dan sebagainya.

Merujuk kepada sistem perundangan keluarga Islam, antara hak wanita yang digariskan adalah hak memilih suami, menuntut ganti rugi sekiranya berlaku putus tunang tanpa alasan munasabah, hak untuk berkahwin, dilindungi dan dijagai dengan baik oleh suami, hak mendapat nafkah, hak untuk menuntut perceraian sama ada menggunakan fasakh atau taklik sekiranya dizalimi, ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya. Begitu juga wanita tidak dinafikan untuk menuntut harta sepencarian jika berlaku perceraian, menuntut hak jagaan atau hak lawatan anak, menuntut muta’ah dan sebagainya.


Sebagai contoh merujuk kepada Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003, seksyen 15 memperuntukkan sekiranya bakal pasangan memutus pertunangan, wanita berhak menuntut ganti rugi persediaan yang telah dikeluarkan untuk perkahwinan. Seksyen 23 pula mengenai poligami di mana isteri sedia ada perlu dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan permohonan suami berpoligami supaya Mahkamah menilai kemampuan suami sebelum membuat keputusan. Terdapat pula seksyen memperuntukkan hak isteri untuk keluar dari hubungan pernikahan apabila keadaan memerlukan seperti seksyen 49 untuk isteri menebus talak atau khuluq, seksyen 50 mengenai perceraian secara takliq. Manakala alasan-alasan isteri untuk menuntut fasakh diperuntukkan dalam seksyen 53 seperti suami menghilangkan diri, suami memukul, suami berpoligami secara tidak adil dan sebagainya. Apabila berlaku perceraian, hak wanita tetap dipertahankan untuk mendapat mutaah seperti diperuntukkan dalam seksyen 58, hak mendapatkan nafkah dan juga nafkah tertunggak yang telah diabaikan suami dalam beberapa seksyen iaitu seksyen 60 sehingga seksyen 71. Wanita juga berhak membuat tuntutan hadanah atau jagaan ke atas anak-anak selepas bercerai diperuntukkan dalam seksyen 82 sehingga 88. Seksyen 122 pula memperuntukkan wanita berhak menuntut harta sepencarian sepanjang perkahwinan berlangsung.

Namun begitu, tidak dinafikan walau pun peruntukan disediakan tetapi banyak berlaku keadaan wanita diabai seperti digantung tidak bertali, tidak diberi nafkah, anak dilarikan daripada mereka dan sebagainya. Peruntukan yang ada sememangnya sudah baik dan memberi jalan untuk kaum wanita mendapatkan hak mereka, tetapi ia hanya akan menjadi peruntukan undang-undang jika tidak digunakan.

Dalam mana-mana masyarakat manusia, terdapat ahli masyarakat yang patuh kepada peraturan, mengikut dengan baik apa yang ditentukan oleh agama dan undang-undang manakala ada pula yang sering melakukan perkara sebaliknya. Pada masa sama, terdapat ahli masyarakat yang bersemangat tinggi mencari keadilan menegakkan hak mereka dan ada pula yang pasif sehingga tidak membuat apa-apa tindakan.

Sebagai contoh, seorang suami wajib memberi nafkah dan melindungi isteri kerana itu adalah hak isteri. Ramai yang patuh kerana ia termaktub dalam agama dan undang-undang. Namun terdapat segelintir yang suka mendera isteri, meninggalkan isteri tanpa perceraian, selalu memukul isteri walaupun atas perselisihan yang kecil.

Walaupun wujud peruntukan yang memberi peluang bahawa isteri boleh menunutut fasakh sekiranya didera, tetapi ramai isteri berdiam diri sahaja sehingga bertahun-tahun didera. Terdapat kes mahkamah di mana isteri membiarkan dirinya dipukul sehingga lebam, ditendang, ditampar selama 17 tahun perkahwinan sebelum mengambil tindakan menuntut fasakh. Begitu juga terdapat kes mahkamah menunjukkan isteri tidak mengambil sebarang tindakan walaupun selepas 10 tahun ditinggalkan suami tanpa nafkah walaupun peruntukan undang-undang memberi mereka hak menuntut keadilan selepas empat bulan ditinggalkan.

Masyarakat kita perlu diberi pendidikan supaya lebih berpengetahuan tentang hak dan tanggungjawab mereka. Wanita perlu diberi ilmu agar mereka tahu hak mereka kerana undang-undang bertujuan membantu untuk memperkasakan mereka. Begitu juga kaum lelaki perlu diberi kesedaran bahawa menjaga amanah, takutkan balasan Allah atas pengabaian tanggungjawab adalah perkara besar yang akan disoal di padang mahsyar nanti.