Friday, October 22, 2010

Ibu Tiri

Artikel..

Sekadar Pendapat saya mengenai undang-undang keluarga di Australia dan juga di negara saya, Malaysia..

__________________

Ibu Tiri dipanggil Mama?

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim


Pada 28 Mac 2010 lepas, keputusan satu kes Mahkamah Keluarga di Adelaide mengenai pertikaian panggilan dalam rumah tangga menjadi tajuk utama akhbar. Seorang ibu telah membawa kes ke mahkamah menghalang anak perempuannya berumur enam tahun daripada memanggil isteri baru bekas suaminya iaitu ibu tiri anak tersebut sebagai ’Mum’ atau ’Mummy’ atau ’my other Mummy’ (ibu saya satu lagi).


Kes ini menarik kerana ia dikaitkan dengan harga diri seorang ibu dan perasaan takut dan risau kehilangan kasih sayang dari anak terhadap diri ibu tersebut. Wanita tersebut dalam hujahnya mengatakan bahawa apabila bekas suami menyuruh dan membenarkan anak mereka memanggil ibu tiri sebagai ’Mum’, ’Mummy’ atau ’Mummy D’ (D adalah huruf pertama ibu tiri dalam kes tersebut), ia bermaksud suaminya secara langsung dengan niat telah merendahkan harga dirinya sebagai ibu kandung, menafikan peranannya sebagai ibu dan memberi kesan kepada kedudukannya sebagai ibu kandung. Ia juga bermaksud bekas suaminya berusaha menggantikan tempat beliau di hati anak dengan ibu tirinya melalui panggilan tersebut. Ia sudah tentu boleh menghakis kasih sayang anak tersebut dan beralih kepada ibu tiri.


Masyarakat barat umumnya memanggil semua orang dengan nama pertama sahaja kecuali ibu, ayah dan orang-orang terdekat. Jadi dalam kes tersebut, wanita tersebut berhujah bahawa ibu tiri seharusnya dipanggil dengan nama pertama dan tidak wajar dipanggil dengan gelaran ibu atau apa-apa semaksud dengannya. Mahkamah Keluarga Adelaide ini sebenarnya telah memutuskan satu precedent kepada ribuan keluarga yang terlibat dalam ‘pergaduhan’ panggilan nama ini.

Apa yang menarik, Mahkamah tidak membuat keputusan memihak kepada ibu tetapi menolak dari membuat sebarang arahan. Bermakna mahkamah membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang arahan tentang panggilan dalam rumah tangga.


Dalam penghakimannya, hakim prihatin bahawa sekiranya beliau membuat arahan tersebut, arahan itu akan membawa kepada tuntutan lain iaitu kemungkinan mahkamah perlu pula membuat keputusan sama ada ayah tersebut telah melanggar arahan apabila menggalakkan anak memanggil ’Mummy D’. Hakim turut menyebut harapannya adalah apabila anak itu besar, di akan dengan secara rela hatinya sendiri akan mula memanggil ibu tirinya dengan nama pertama.


Bagaimana jika perkara sebegini berlaku di negara kita? Dalam masyarakat kita, ibu tiri selalunya dipanggil ibu, mak, umi, mama atau mak muda atau makcik. Perkara ini kerap berlaku dalam keluarga berpoligami atau pasangan berkahwin lain selepas bercerai, namun ia jarang digembar-gembur dalam masyarakat kita. Mungkin kerana masyarakat kita menganggap ia perkara kecil dan tidak wajar orang lain tahu. Apa yang penting, Islam menyuruh kita menghormati orang tua, mereka yang lebih mulia dan berusia dengan memberi panggilan hormat yang bersesuaian dengan mereka. Ini adalah sebahagian dari adab dan akhlak mulia dianjurkan agama.


Menarik juga untuk kita perhatikan apabila kes melibatkan keluarga, perebutan anak dan sebagainya, mahkamah hanya melaporkan dengan nama pertama atau nama keluarga sahaja dengan nombor kes yang diberikan pendaftar mahkamah. Contohnya Whisler v Whisler (2010 42 Fam LR 633), atau Smith v Smith , Allen v Green, tanpa merekodkan nama penuh pasangan. Ia sangat penting untuk menjaga nama baik pasangan terutama anak-anak yang terlibat dalam kes yang dilaporkan. Nama anak-anak dalam setiap laporan kes juga hanya menggunakan huruf pertama sahaja seperti ’Pasangan mempunyai anak iaitu L (enam tahun) dan juga M (dua tahun)’. Walaupun kes tersebut dilaporkan dalam mana-mana bahan bercetak atau secara maya dalam arkib mahkamah, atau dirujuk dalam artikel ilmiah perundangan, nama mereka yang bertelingkah tidak diketahui secara nyata. Yang penting adalah prinsip dan penghakiman yang ingin dirujuk.


Saya berpendapat Mahkamah Syariah dan juga Sivil yang membicarakan kes-kes melibatkan pertelingkahan keluarga wajar menggunakan pendekatan sebegini. Apabila sesuatu kes dibicarakan dalam mahkamah terbuka dan dilaporkan dalam Malayan law Journal (MLJ), Jurnal Hukum, CLJ dan sebagainya, ia adalah dianggap harta umum. Sekiranya dengan menggunakan nama pertama sahaja, pembaca tidak mengetahui siapa yang terlibat dan nama baik mereka yang menjadi plantif dan defendan serta anak-anak dalam pertelingkahan tersebut akan terpelihara dan terjaga.