Friday, October 31, 2008

Perlembagaan Malaysia

Artikel ni sangat bagus membincangkan mengenai Perlembagaan Persekutuan, telah disiarkan dalam Berita Harian pada 22okt 08. Artikel ini adalah hasil tulisan kawan saya Presiden PGSM, saya edit sebahagian daripadanya. Artikel ini telah disiarkan dalam web PGSM di http://peguamsyarie.org

_______________________-
Peguam Syarie Menulis: Perlembagaan Persekutuan manifestasi keharmonian rakyat
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


Undang-undang Islam masih berkuat kuasa jika berlaku darurat

KEBELAKANGAN ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat Malaysia mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Perkembangan itu adalah baik kerana rakyat celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Tokoh perundangan negara, Prof Shad Saleem Faruqi, berkata hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Pertama, hak dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada warga negara atau tidak.

Umpamanya Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, perkara 11 (kebebasan beragama) dan perkara 13 (hak terhadap harta).

Kedua, hak diberikan kepada warga negara saja seperti hak bersuara dan berhimpun iaitu dalam Perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan. Hak itu hanya dinikmati oleh warga negara Malaysia.
Ketiga, hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7, hak mendapat ganti rugi jika tanah diambil dan Perkara 13 hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam.

Dalam erti kata lain, hak yang termasuk dalam kategori itu boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika darurat dalam negara saja. Dalam situasi lain, perlembagaan menjamin hak itu dilindungi.

Keempat, hak dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya.

Oleh itu walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, ia bukan bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan oleh perlembagaan itu sendiri.
Kelima, hak yang dilindungi walaupun dalam darurat. Perkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak itu berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Ruangan kali ini cuba mengupas kategori kelima iaitu kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Secara tersirat, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara yang tidak diperuntukkan perlembagaan.

Hal ini termasuk Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapapun boleh mempertikaikan undang-undang disebutkan diatas.

Tidak keterlaluan dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Kedudukan yang sah undang-undang Islam sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir pandangan perundangan negara kerana ia melupai sejarah perundangan negara dan juga kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang meletakkan undang-undang Islam di tempat tinggi.

Tafsiran secara tuntas bagi memberhentikan fenomena tidak normal yang mempertikaikan undang-undang Islam hendaklah dibuat segera bagi menamatkan cabaran terhadap undang-undang Islam di Malaysia.

Janganlah kita memaling muka terhadap undang-undang Islam tanpa mengkaji susur galur sejarah, kedudukan dan kehendak majoriti umat Islam di negara ini. Apa yang lebih penting ialah kita mengetepikan emosi dan mengkaji undang-undang Islam dengan hati ikhlas bagi mencari kebenaran. Sudah pasti jalan lurus akan ditemui.

Undang-undang Islam seharusnya menjadi penaung yang menambat undang-undang lain daripada dihakis. Ini kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan hakikat bahawa walaupun dalam keadaan darurat undang-undang Islam tidak langsung terjejas.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa.

Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh beroperasi dan orang Islam masih boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Inilah keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Malah keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam takkan selepas lebih lima dasawarsa negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Meletakkan Islam di tempat sewajarnya sejajar ketinggian agama Islam sebagai agama Persekutuan yang tersurat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum perlembagaan wujud. Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini.

Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat. Perimeter digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihayati kerana tanpanya negara mungkin goyah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org