Saturday, February 2, 2008

Bernama 1 Feb

Kisah Siti Nazirah dibincangkan lagi dalam berita di bawah tajuk Berita Am disiarkan dalam laman web bernama.com pada 1 Feb 2008. Dalam artikel tersebut diletakkan nama sy.
______________________

01 Februari, 2008 10:41 AM

Persediaan Mental Dan Spiritual Penting Jika Ingin Kahwin Warga AsingOleh Ayu Dalita Pendek

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kepayahan ibu muda Siti Nadzirah Mohd Nasir dalam memperjuangkan hak penjagaan terhadap anak lelakinya berusia setahun hasil perkahwinan dengan warga Pakistan mungkin boleh dijadikan iktibar kepada wanita dalam memilih pasangan hidup.Ungkapan jodoh pertemuan di tangan tuhan adalah satu ketentuan tetapi sewajarnya seoang wanita mengkaji dahulu siapakah calon suami sebelum bersetuju mengikat tali perkahwinan.

Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Nurhidayah Muhd Hashim berkata apabila seorang ingin berkahwin dengan warga asing, banyak persediaan perlu dilakukan khususnya persediaan mental, spiritual, fizikal dan kewangan."Kita terpaksa mengakui perbezaan budaya, suasana, makanan, serta cara hidup seseorang itu akan mempengaruhi pasangan. Ajaran Islam juga menyarankan agar menilai bakal pasangan yang secara tidak langsung menunjukkan perkahwinan itu adalah sesuatu dirancang dan bukan sekadar berserah," katanya kepada Bernama di sini.

Nurhidayah berkata adalah amat penting bagi seorang perempuan untuk mengkaji latar belakang calon suami kerana selepas berkahwin mereka terpaksa akur dengan keputusan suami, termasuk perlu meninggalkan keluarga di negara sendiri dan mengikut suami ke negara asing."Kegagalan membuat persediaan boleh menimbulkan kejutan demi kejutan yang mungkin menjadi faktor kepada kegagalan perkahwinan," katanya.

Menurutnya apabila sudah berkahwin, isteri perlu mengikut suami yang pastinya akan kembali semula ke negara asal dan pada peringkat ini perbalahan sering terjadi yang seterusnya membawa kepada perpisahan. Nurhidayah berkata kesan daripada perpisahan itu adalah perebutan anak dan lebih memilukan sehingga berlakunya insiden menculik anak antara bekas isteri dan suami.

Siti Nadzirah, 20, masih berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan kekal terhadap anaknya Arman Khan hasil perkahwinan dengan Faizal Azim pada 17 Januari 2006 yang kemudian mengikut suaminya pulang ke Pakistan pada 14 Februari tahun lepas.Sepanjang lima bulan berada di Pakistan, Siti Nadzirah mendakwa diberi layanan buruk dan hanya diberi minum susu kerbau dicampur air gula oleh keluarga mertuanya menyebabkan beliau nekad untuk pulang ke Malaysia.

Sementara itu, Peguam Syarie dan Runding Cara Keluarga Islam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain berpendapat berkahwin dengan lelaki warga asing boleh diatasi sekiranya individu itu mempunyai pegangan agama yang kuat."Kita tak boleh halang...tetapi sebaiknya sebelum mengahwini lelaki warga asing, fikirkan sedalamnya akan risiko yang bakal dihadapi dan jangan jadikan rasa cinta menguasai diri," katanya.

Mohd Zaidi berkata antara jalan terbaik mengatasi masalah berebut anak ialah ketepikan sikap pentingkan diri, bertolak ansur dan fikirkan masa depan anak.Mengenai kes seumpama itu yang pernah dikendalikannya, beliau berkata kebanyakan kes membabitkan usia perkahwinan yang masih di peringkat bawah lima tahun.

Terdapat beberapa kes yang mula dikendalikan ketika usia anak baru berumur setahun masih belum selesai walaupun anak itu kini telah mencecah 18 tahun semata-mata kerana sikap pasangan yang enggan bertolak ansur dan sukar menerima keputusan awal mahkamah, katanya.Statistik menunjukkan bagi tempoh tiga tahun sehingga 2006, seramai 5,577 wanita tempatan berkahwin dengan lelaki asing sementara 19,633 lelaki tempatan mengahwini wanita asing.-- BERNAMA

____________