Saturday, February 9, 2008

Umi Dalam Harian Metro

Sabtu, 09 Februari 2008
myMetro » BeritaUtama

Kahwin cincai
Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRANmetahad@hmetro.com.my

Nikah tanpa dokumen

KUALA LUMPUR: “Pada zaman Nabi dulu, mana ada kad pengenalan atau sijil nikah. Itu semua tidak perlu,” kata seorang jurunikah palsu kononnya berstatus kiai yang dipercayai memberi khidmat kahwin cincai kepada ratusan pasangan, baik rakyat tempatan mahu pun warga asing, terutama Indonesia.

Wakil Metro Ahad berkesempatan terbabit dalam satu pernikahan yang dilakukan kiai itu membabitkan seorang lelaki tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz, 43, dengan pasangannya, baru-baru ini.

Menurut Aziz, dia menggunakan khidmat kiai itu kerana tidak mahu perkahwinannya diketahui isteri pertama, selain prosedur nikah yang mudah dan menjimatkan, iaitu cuma RM150.“Saya mengetahui perkara ini daripada seorang rakan dan diberitahu, ramai pasangan menggunakan khidmat kiai yang terkenal alim itu.

“Apabila bertemu, kiai itu meyakinkan saya bahawa pernikahan dijalankannya sah mengikut hukum syarak, walaupun dia tidak menyediakan dokumen sebagai bukti perkahwinan.
“Alasannya, pada zaman Nabi Muhammad SAW mana ada sijil nikah (untuk pasangan bernikah). Malah, dia juga tidak meminta kad pengenalan saya.“Saya hanya datang bersama bakal isteri kedua. Kiai itu cuma tanya nama saya dan bakal isteri, ada wali hakim atau tidak, berapa mas kahwin dan terus menikahkan saya,” katanya.

Menurut Aziz, seumur hidup dia tidak pernah menghadiri mana-mana proses pernikahan yang terlalu mudah dan ringkas itu.“Saya katakan isteri saya tiada wali, tetapi dengan tenang kiai itu memberitahu boleh berwali hakim.“Saya juga tidak membawa saksi, tetapi dengan cepat kiai itu dan rakannya memanggil dua rakan mereka untuk menjadi saksi.“Dia bertanya mengenai mas kahwin, saya beritahu RM80 hutang dan dia terus buat akad nikah. Kesudahannya, saya bernikah dan hanya membayar RM150,” katanya.

Ditanya sama ada dia yakin status perkahwinan itu, Aziz menyatakan, dia yakin pernikahannya sah di sisi agama, walaupun bertentangan dengan undang-undang negara.Dalam upacara pernikahan itu, kiai yang mempunyai ramai anak murid di kalangan pekerja Indonesia itu bertanya bakal pengantin perempuan sama ada dia sedia dikahwinkan dengan pasangannya.Kiai itu juga bertanya mengenai waris yang sepatutnya menjadi wali bakal pengantin perempuan dan halangan yang menyebabkan wali terbabit tidak dapat hadir sebelum melangsungkan pernikahan dengan wali hakim.

Ketika akad nikah dijalankan, pengantin diminta memberitahu nama bakal pengantin untuk diakad oleh kiai. Tidak perlu ditunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan, memadai memberitahu nama penuh.Majlis kahwin cincai berkenaan dijalankan di sebuah rumah setinggan di lokasi perumahan yang kebanyakannya dihuni warga asing di sekitar ibu kota, lazimnya pada waktu malam.

Tidak semua orang boleh pergi ke lokasi kahwin cincai kerana ia perlu diatur terlebih dulu oleh perantara.Ini kerana kiai terbabit dikatakan berhati-hati dengan pasangan yang mahu dinikahkan kerana menyedari kegiatannya bertentangan dengan undang-undang di negara ini dan dia boleh dikenakan tindakan pihak berkuasa pada bila-bila masa.Mereka yang menggunakan khidmat kahwin cincai itu biasanya pasangan cinta terhalang oleh ibu bapa dan keluarga, lelaki mahu berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak mendapat kebenaran isteri pertama atau pasangan sengkek (tidak berduit) tetapi mahu kahwin cepat.

Mengulas kegiatan kiai terbabit, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata pihaknya mengakui kewujudan kegiatan pernikahan membabitkan sindiket di negara ini. Namun, beliau tidak mahu mengulas lanjut perkara itu kerana bimbang masyarakat tidak dapat memahami isu berkenaan dengan jelas dan boleh membawa salah faham, terutama berhubung isu status pernikahan yang dikendalikan oleh sindiket.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abdul Rani, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku apa yang dikatakan kahwin cincai seperti didedahkan Metro Ahad.Katanya, sesiapa yang ada maklumat mengenai kegiatan haram itu perlu tampil membuat aduan supaya tindakan dapat diambil.“Pihak terbabit (kiai) mengambil kesempatan menggunakan ilmu agama yang ada padanya untuk mengaut keuntungan.“Pasangan pengantin yang terdesak pula, apabila tahu ada khidmat seperti itu, mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang disediakan pihak terbabit,” katanya.

Mohd Hidayat berkata, setiap jurunikah dan wali hakim di Selangor perlu mempunyai tauliah dan jelas kahwin cincai itu hukumnya tidak sah.

______________________________

Sukar daftar kelahiran anak

KUALA LUMPUR: Sengsara kemudian hari dan mengaibkan diri sendiri. Itu yang bakal dilalui pasangan ‘kahwin cincai’, terutama wanita. Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim, berkata perkahwinan yang dikendalikan jurunikah tidak bertauliah seperti itu terang-terangan bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara ini.Katanya, ia tidak boleh didaftarkan dan surat perakuan nikah tidak boleh dikeluarkan.“Jika lahir anak, bagaimana anak itu mahu didaftarkan tanpa sijil nikah? Bagaimana mahu menyekolahkan anak?“Fikirlah mengenai masa depan sebelum memilih mengambil jalan mudah untuk berkahwin,” katanya.

Nurhidayah yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam, berkata lebih membimbangkan jika berlaku masalah seperti suami meninggalkan isteri, si isteri akan menanggung beban lebih berat.“Perkahwinan yang tidak sah daripada segi undang-undang menyebabkan si isteri tidak dapat menuntut haknya, sama ada untuk nafkah diri mahupun nafkah anak.“Si isteri juga sukar menuntut cerai daripada suami kerana sebelum sesuatu perceraian boleh dituntut, perkahwinan terlebih dulu perlu disahkan oleh mahkamah syariah. Jika berpisah, si isteri turut berdepan kesukaran jika mahu berkahwin lain,” katanya.

Nurhidayah berkata, jika berlaku kematian satu pihak, isteri atau suami sukar menuntut harta pusaka daripada pasangannya yang meninggal dunia kerana sebelum harta pusaka boleh dibahagikan, pihak yang menuntut mesti membuktikan kepada mahkamah syariah bahawa dia waris yang sah.

Katanya, penuntut terlebih dulu mendapat pengesahan daripada mahkamah syariah bahawa perkahwinannya adalah sah mengikut hukum syarak berdasarkan surat nikah yang diperoleh.“Tanpa dokumen, pasangan bukan saja mengaibkan diri sendiri, tetapi juga ibu bapa. Bagaimana ibu bapa hendak menjawab jika ditanya mengenai perkahwinan anak mereka,” katanya.

________________

Tidak sah: Mufti

KUALA LUMPUR: “Itu wali Encik Hakim, bukan wali hakim,” seloroh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika menjelaskan perkahwinan pasangan berwali hakim menggunakan khidmat jurunikah warga asing adalah tidak sah mengikut hukum syarak.

Beliau mengulas pendedahan Metro Ahad berhubung kegiatan ‘kiai’ warga asing yang menikahkan pasangan Islam dengan cara mudah, ringkas dan tidak memerlukan dokumen.

Mohd Asri berkata, pernikahan itu tidak sah kerana seseorang warga jurunikah terbabit bukan orang yang diberi kuasa oleh pemerintah atau pihak berkuasa agama negara untuk mewalikan calon pengantin perempuan.

Menurutnya, wali hakim yang dibenarkan hanya seseorang diberi pengiktirafan daripada pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam, pejabat kadi daerah atau mahkamah syariah.“Wali hakim ini adalah sebagai wakil pemerintah diberi kuasa menjadi wali apabila berlaku halangan kepada wali seseorang perempuan dalam upacara akad nikah.“Ini adalah hukum secara umum. Namun, kita kena tengok kes ini lebih teliti dan terperinci,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mohd Asri juga mempertikaikan tindakan pasangan menggunakan khidmat jurunikah sindiket, sedangkan undang-undang Islam di negara ini memberi kemudahan umat Islam di negara ini.

“Kenapa hendak menikah dengan cara begitu (khidmat jurunikah asing)? Jika bapa tidak izinkan berkahwin dengan alasan tidak munasabah, boleh minta kahwin dengan wali hakim.“Jika tidak boleh di negeri lain, datang ke Perlis. Kita tengok, kalau dihalang dengan alasan tidak munasabah, kita boleh nikahkan dengan menggunakan wali hakim,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika terbukti jelas wali perempuan menghalang perkahwinan kerana calon suami penjenayah atau penagih dadah tegar, bapa sebagai wali berhak menghalang perkahwinan.

____________

Ulasanku..

Orang yang kahwin macam ni sama ada lelaki atau perempuan adalah orang yang tidak takutkan halal haram dalam agama, semua ambik mudah mengikut kata hati dan nafsu.. Tetapi kata Dr Asri tu tak bagus, apasal asyik promosikan Perlis untuk kahwin guna wali hakim. Pendapat ini sebenarnya sama dengan pendapat yang suka memandang mudah undang-undang negara.. terutama melibatkan bidangkuasa negeri dan juga tatacara di Mahkamah Syariah.. Maksud katanya seolah-olah mengajak orang negeri lain jangan lari ke Thailand, lari ke Perlis pun boleh.. Inilah yang berlaku dalam kes Perlis baru-baru ini, anak perempuan Selangor lari ke Perlis dan berkahwin di Perlis sedangkan ayahnya tidak diberi ruang yang munasabah untuk membantah, apatah lagi anak perempuan tersebut bukannya rakyat pemastautin Perlis tetapi diuli-uli sehingga akhirnya lulus perkahwinan di sana.. Ini lah hujah mereka kerana zaman dulu pun tak ada istilah Enakmen Selangor hanya untuk orang Selangor, jadi sapa-sapa pun boleh masuk dan mendapat wali hakim di Perlis.. Jadi yang ingin ke Perlis, silakanlah....adoii...Pening betul melihat perkembangan sebegini...