Wednesday, January 30, 2008

Takziah Atas Pemergian Bekas Mufti Selangor

Hari ini, 30 Januari 2008, kita kehilangan seorang insan yang sangat banyak berjasa kepada agama dan negara iaitu Bekas Mufti Selangor yang terdahulu, Dato' Ishak Baharom. Allahyarham semasa menjadi Mufti Selangor sangat tegas dengan pendiriannya walaupun kadang-kadang tidak disenangi banyak pihak terutama yang tidak sependapat dengannya.

Aku masih ingat suatu ketika dahulu, timbul kes penguatkuasaan dan serbuan yang dijalankan oleh Pihak Penguatkuasaan Agama JAIS ke atas tempat hiburan di mana anak gadis Melayu Islam yang bekerja sebagai GRO dengan pakaian yang sangat menjolok mata, melayan lelaki minum minuman keras ditahan. Maka ramai orang besar, pejuang hak asasi, persatuan wanita yang bertunjangkan barat membantah dan menyelar tindakan tersebut. Tetapi Allahyarham sangat berani mempertahankan dan menyokong usaha tersebut demi mempertahankan nama baik Islam.


Begitu juga ketika timbul pertanya demi pertanyaan tentang hukum Amanah Saham Bumiputera (ASN/ASB), beliau antara yang kuat menyatakan perndiriannya.

Pendapat beliau pula sering didengar dan kesungguhan beliau sering diperhatikan oleh masyarakat ramai. Begitu juga keberanian Allahyarham dalam menyatakan pendiriannya juga menarik perhatian masyarakat untuk terus mendengar dengan penuh minat. Cara percakapannya yang tenang, sederhana dan bersahaja memang sangat menarik hatiku.



Manusia mati meninggalkan jasa dan nama.. Begitulah dengan al-marhum yang telah meninggalkan banyak jasa dengan mengorbankan masa dan tenaganya untuk menyebarkan ajaran Islam. Jasa al-marhum sangat banyak dalam menegakkan Islam di Malaysia dan khususnya di Selangor.

Pada 1997, timbul masalah apabila ramai wanita Islam masuk pertandingan ratu cantik dengan memakai baju mandi, pakaian seksi dan sebagainya, beliau dengan tegas menyatakan bahawa haram hukumnya terlibat mempromosikan aurat diri dan dengan sengaja dan sedar memakai pakaian tersebut serta memperagakan badan di hadapan orang. Ekoran fatwa yang dikeluarkannya yang menegaskan pertandingan ratu cantik adalah haram, beliau diuji dengan hebat sehingga membawa kepada kedudukannya sebagai mufti telah hilang darinya..

Pemergian al-marhum merupakan kehilangan yang sangat besar ertinya bagi orang-orang yang mencintai Islam. Kita semua berasa sangat sedih atas kehilangan seorang ulama' dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Al-marhum Dato' Ishak Baharom, bekas Mufti Selangor atas pemergian Allahyarham.

Semoga Allah mengurniakan sebesar-besar ganjaran serta meletakkan al-marhum bersama-sama golongan mereka yang soleh dan diberkati. Amin.. Al-Fatihah