Wednesday, February 27, 2008

Hari Yang Menggembirakan

Buku ketigaku diterbitkan

Pada hari Jumaat 22 Feb 2008 merupakan hari yang bermakna untukku. Pada hari ini sebuah lagi buku tulisanku telah diterbitkan oleh Pusat Penerbitan UiTM (UPENA). Buku ini adalah buku ketigaku yang telah berjaya diterbitkan. Yang pertama bertajuk Tamadun Islam diterbitkan oleh iBook. Buku kedua adalah buku yang aku terjemahkan bersama 3 pensyarah yang lain yang diterbitkan oleh UPENA pada tahun 2006 bertajuk 'Towards the Development of Hadhari Society in Malaysia'. Insya Allah ada tiga buah lagi di peringkat akhir di bawah UPENA.. Mereka menyebutnya sebagai 'pipe line'..
Harap dapat diterbitkan sekitar Julai 2008 ini. Semoga Allah permudahkan.. amin..

Buku ketiga ini bertajuk 'Perceraian Secara Fasakh: Konsep dan Amalan di Malaysia'. Alhamdulillah.. Syukur pada Allah atas keizinan-Nya buku ini berjaya diterbitkan.

Buku ini sebenarnya adalah sebahagian besar dari kajianku semasa membuat Masters Syariah dan Undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 2001. Tetapi aku telah menyusun kembali dengan sebaik mungkin (setakat termampu) dengan memudahkan ayat-ayatnya supaya boleh diterima dan difahami dengan baik oleh orang awam.

Perjalanan buku ini sebenarnya agak panjang..Aku telah menyerahnya kepada pihak UPENA pada Jun 2006 dan mengikut perancangan UPENA sendiri, ia sepatutnya berada dalam pasaran paling lambat pada Feb 2007. Tetapi yea... perancangan manusia tidak selalunya berjaya..

Pelbagai masalah berlaku bermula dengan selepas dummy dibuat, baru aku perasan peruntukan seksyen-seksyen undang-undangnya lari dan tidak bertepatan dengan yang sepatutnya. Selepas dibetulkan aku menghantarnya semula kepada UPENA. Tetapi tidak berapa lama selepas itu, komputer pihak designer telah crash dan semua soft copy buku ini telah hilang dan perlu diserahkan semula. Selepas waktu tersebut, pihak pencetak pula memendamkan buku ini atas alasan ayat-ayat quran tidak boleh dibaca dengan baik oleh mesin.. Macam-macam jadi.. sehingga aku rasakan agaknya Allah tak izinkan buku ni keluar kot..

Namun Alhamdulillah, pada Khamis lepas, Ustaz Salehuddin, staf UPENA telah menghantar SMS memberitahu bahawa buku ini akan keluar Jumaat ini.. Alhamdulillah aku bersyukur pada Allah atas keizinan yang diberikan.

Buku ini membincangkan apa sebenarnya cerai fasakh dan banyak pendetailan dari segi pandangan mazhab-mazhab. Yang menjadikan buku ini lebih menarik (pada pendapatku..) adalah statistik dan kes-kes yang aku perolehi semasa hampir satu tahun aku berada di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur sepanjang tahun 2000. Aku juga memasukkan tatacara di mahkamah bagaimana kes di bawa.

UPENA meletakkan harganya RM21 sebuah. Buku ini semuanya 159 muka surat dengan font 10 Times Roman. Tadi Ustaz Fairooz Pensyarah KUIS di Bangi mengambil 200 buah untuk dijual kepada pelajar-pelajarnya. Kawanku Peguam, Siti akan mengambil 200 buah esok untuk dijual kepada Peguam-peguam Syarie di Kedah. Selepas ini kawanku di UM akan membawanya untuk dijual kepada pelajar Syariah di sana. Aku juga telah menjualnya sebanyak 20 buah semalam kepada pelajar DLSA di UiTM..

Alhamdulillah.. Semoga buku ini akan habis dijual sebelum aku berangkat ke Melbourne pada Oktober 08 nanti.. Itulah doa dan perancanganku..

Buku ini juga sangat mahal dalam nilaianku kerana prakatanya ditulis oleh tiga orang yang sangat aku hormati dan muliakan..

Mereka adalah:

1- Yang Amat Arif Tuan Haji Hussain Ahamad. (Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan)
2-Tuan Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden Peguam Syarie Malaysia)
3- Dr Hj Rahimi Osman (Pengarah CITU, UiTM @ Bos tempat aku bekerja)

Buku ini telah aku hadiahkan kepada dua orang doktor perubatan yang rapat denganku yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang. Dr pertama yang berumur 60 tahun telah memberi remarks yang sangat positif sehingga aku berasa sangat terharu..

Katanya:

"Saya seorang yang sangat susah untuk membaca buku kecuali ia benar-benar menarik minat saya, apatah lagi jika buku tersebut menyentuh isu-isu agama..Tetapi saya telah membaca buku awak sebanyak 3 kali habis dalam masa tiga hari. Ia benar-benar menarik saya sehingga saya teruja membaca dalam keadaan bersantai. Walaupun buku tersebut adalah buku undang-undang, tetapi saya sangat santai membacanya dan dapat memahami dengan baik. Kemungkinan kerana keikhlasan awak menulisnya mempengaruhi pembaca memahaminya...'

Alangkah sayunya hatiku mendengar pujian tersebut...


Terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan pada Prof Madya Dr Syireen (Penolong Timbalan Naib Chanselor InKA) yang sangat banyak memberi jalan dan memudahkan jalan untukku memasuki laluan UPENA. Begitu juga kepada Tn Hj Haris (Pemangku Pengarah UPENA sekarang). Untuk Ustaz Salehuddin, Ustaz Yadman, Prof Madya Dr Ghafar di UPENA, setinggi terima kasih diucapkan kerana membantu perjalanan hidupku sehingga ianya menjadi sangat menarik dan mudah.. Semoga Allah memberi pahala yang banyak kepada anda semua...


Doaku,

'Wahai Allah.. semoga buku ini dapat membantuku diakhirat kelak, sebagai bukti aku ingin berbakti untuk masyarakatku.. terimalah ia sebagai amal solehku wahai Allah.. dan kurniakanlah pahalanya untukku, kedua ibu bapaku, suamiku dan semua orang yang aku kasihi.. amin...'

Nanti aku akan scan muka depan buku ini untuk dimasukkan di sini.