Friday, February 15, 2008

Turki dan Isu Tudung

This article was published in Berita Harian on 13 Februari 08. Actually the content was so beautiful especially about the cases of the ladies who have converted to Islam because of the help given by my respected President. Personally, I do like this article very much... (perasan.. hehe..)

____________




Iktibar isu batal pengharaman bertudung di Turki
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim



PADA 28 Januari lalu, media melaporkan Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan mahu larangan memakai tudung di universiti dihapuskan secepat mungkin melalui arahan Parlimen. Perkembangan di Turki mengenai isu penarikan balik pengharaman tudung menarik perhatian dunia. Perubahan itu akan membabitkan pindaan Perlembagaan Turki. Sejak berada di bawah kepemimpinan Parti AK, ada banyak kemajuan berhubung penghayatan Islam dilaksanakan walaupun mendapat tentangan sesetengah golongan.



Akhirnya pada 10 Februari lalu, media massa melaporkan Parlimen Turki mengundi iaitu 411 menyokong berbanding 103 menentang penarikan balik pengharaman berkenaan. Kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah dan tahniah atas kejayaan usaha negara sekular itu.

Turki adalah negara didiami 99 peratus rakyat beragama Islam, namun terikat kepada sistem sekular diasaskan Mustapha Kamal Attartuk masih lagi menebal. Bahkan, jelas dalam Perlembagaan Turki menyatakan ciri sekular negaranya. Walaupun diancam golongan aristokrat dan tentera Turki, golongan Islam tidak pernah berputus asa berusaha menegakkan kalimah Allah di bumi Turki. Namun, kita melihat usaha murni Parti AK yang didukung oleh Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menteri baru-baru ini hanya berlaku secara unilateral dan langsung tidak disokong pejuang hak asasi kemanusiaan.

Persoalan ketara, di manakah pejuang hak asasi kemanusiaan dalam isu itu?


Andai kata Turki mewajibkan pelajar wanitanya memakai tudung di universiti dan ada usul menarik balik perintah itu, sudah tentu pejuang hak asasi daripada seluruh dunia berbondong-bondong memberi tekanan dan melobi supaya perintah itu ditarik balik. Tetapi apabila pengharaman memakai tudung diusulkan untuk ditarik balik, di mana pejuang hak asasi manusia? Adakah pejuang hak asasi mengamalkan sikap berat sebelah apabila membabitkan isu hak Muslim dalam beramal? Adakah wanita Islam di Turki tidak mempunyai hak mengenakan tudung di universiti?


Isu penarikan pengharaman tudung di universiti awam hanyalah secebis daripada isu di perantauan yang menjadi tamsil kepada masyarakat Islam di Malaysia. Ia sewajarnya memberi iktibar kepada semua untuk menilai apakah yang berlaku dalam masyarakat kita.



Contohnya, ketika kes Subahsini lawan Saravanan @ Mohd Shafi dibicarakan, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama memperjuangkan hak wanita dari dalam dan luar negara mengeluarkan kenyataan mengecam Saravanan dengan tuduhan ingin melarikan diri daripada tanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya dengan memeluk Islam, termasuklah tuduhan memaksa anaknya memeluk Islam bersamanya.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada beliau dan mereka melaungkan bahawa seorang wanita ditindas atas tindakan suaminya memeluk Islam. Seolah-olah si suami langsung tidak mempunyai hak mengamalkan kepercayaan agamanya.

Namun, keadaan berbeza dapat dilihat dalam beberapa kes lain di mana yang memeluk Islam itu ialah wanita dan wanita Islam ini terpaksa menempuh pelbagai rintangan serta halangan dalam mengamalkan agamanya.

Hampir tidak kedengaran langsung NGO mempertahankan hak wanita mualaf ini. Mereka juga memerlukan bantuan dan sokongan. Adakah semata-mata kerana mereka adalah wanita memeluk Islam, mereka tidak disokong?

Wanita seperti nama Nor Laily, Aishah Sandera, Siti Aisyah Lachimi, Nor Adriana Qistina dan ramai lagi memeluk Islam selepas mendapat hidayah Allah dan sekarang menghadapi kesukaran dalam rumah tangga mereka kerana suami enggan memeluk Islam. Mereka berada di persimpangan antara hidayah Allah dan suami.


Nama-nama itu begitu asing bagi kita berbanding dengan nama Subahsini yang dipertahankan atas nama hak asasi memilih agama. Lantaran timbul persoalan kenapakah perkara sebegini boleh berlaku di negara kita?


Kebebasan beragama dijamin Perlembagaan Persekutuan dinikmati semua rakyat melangkaui batas agama dan bangsa. Namun, kebebasan itu bukanlah kebebasan mutlak yang tidak mengenal had dan sempadan. Sekiranya hak itu dinafikan sudah tentu wanita mualaf ini juga wajar mendapat perhatian daripada NGO yang memperjuangkan hak wanita.


Begitu juga kita berdepan dengan beberapa permasalahan membabitkan kod berpakaian tidak membenarkan wanita Islam memakai pakaian sopan menutup aurat seperti dilaksanakan beberapa syarikat besar di negara ini.


Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah yang terkenal mensyaratkan pakaian yang sopan untuk pekerja lelaki, tetapi sangat terdedah, sendat dengan skirt pendek yang tidak bersesuaian nilai ketimuran bagi pekerja wanitanya. Begitu juga beberapa syarikat lain termasuk pasar raya besar, kedai gambar dan sebagainya.


Bagi yang membuat keputusan memakai pakaian menutup aurat, mereka dinafikan kerja itu walaupun mempunyai kelayakan dan minat. Kenapa perkara seperti itu tidak diangkat oleh kesatuan sekerja mahupun kumpulan hak asasi manusia demi kepentingan wanita terbabit? Apakah kita ingin melihat satu lagi kes seperti Habshah Jaafar yang terpaksa memilih diberhentikan daripada jawatan besar yang dipegangnya di sebuah hotel besar di ibu kota semata-mata kerana memilih memakai tudung seperti berlaku sebelum ini?


Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka sebenarnya berpaksikan ketidakfahaman mengenai ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan.


Apa yang diperjuangkan adalah mengembalikan kedudukan Islam seperti mana sebelum datangnya penjajah. Jika atas nama hak asasi diperjuangkan, maka mereka perlu berlaku adil menilai dua keadaan berbeza.


Apabila seseorang tidak mahu melakukan sesuatu dan dipaksa melakukannya, maka ia dianggap melawan hak asasi seseorang. Justeru, apabila seseorang wanita memilih memakai tudung sedangkan ada peruntukan melarangnya memakai tudung, maka itu juga melawan hak asasi mereka.


Dalam kes sebegini, kita mendesak pihak kerajaan dapat memberi teguran dan NGO yang mengetengahkan isu hak asasi manusia wajib berlaku adil dengan memberi bantuan serta sokongan kepada isu beramal dengan ajaran Islam termasuk memberi sokongan moral terhadap isu wanita mualaf, juga isu tudung di negara Turki.


Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com