Sunday, February 24, 2008

Tulisan Presiden PGSM-Tuntutan NGOs

Tulisan yang sangat baik untuk bacaan semua. Disiarkan dalam Berita Harian pada 20 Feb yang lepas.

________________________

Peguam Syarie Menulis: Kerajaan dipilih wajar terus daulat Islam
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar



TEKA-TEKI bila Pilihan Raya Ke-12 terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen minggu lalu. Selepas pengumuman itu, parti yang bertanding berlumba-lumba menjelaskan manifesto serta perancangan masing-masing demi menarik perhatian rakyat supaya mengundi mereka pada 8 Mac 2008 nanti.

Pertubuhan Islam Malaysia yang bersifat non-partisan melihat pilihan raya sebagai wadah perubahan masyarakat. Lantas pertubuhan Islam yang dianggotai lebih 100 pertubuhan membuat tuntutan kepada semua calon dan parti politik bagi merealisasikan tuntutan itu tanpa mengira parti politik yang mereka sertai. Adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Apatah lagi, sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi dan undang-undang.

Oleh itu, segala tuntutan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular mesti ditolak. Ini termasuklah tuntutan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) bertujuan mempromosi kebebasan berlandaskan faham sekular-liberal serta penubuhan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam. Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik perlu ditangani dengan serius mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.

Pertikaian undang-undang berkaitan Islam hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah. Kita juga mendesak bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah diperluaskan menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri. NGO Islam menuntut supaya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah disamatarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.

Penyeragaman undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera dan diwujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti rakan mereka peguam sivil. NGO Islam menuntut supaya digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. NGO Islam kecewa atas kegagalan sesetengah negeri sehingga kini menggubal atau mewartakan undang-undang berkenaan.

Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Kerajaan yang dipilih kelak dituntut mengambil tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam.

Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warga negara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup. Dengan itu, NGO Islam menuntut supaya kerajaan bakal dipilih memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan termasuk menambah waktu dan pendekatan pengajaran Islam di sekolah.

Malaysia hendaklah menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan perkembangan keilmuan Islam. Bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) hendaklah dikembalikan dan buku teks percuma juga dinikmati pelajar SAR. Kerajaan dipilih juga didesak menghentikan amalan diskriminasi Kementerian Pelajaran di mana menafikan peluang murid cemerlang UPSR dan PMR dari sekolah agama swasta memasuki sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kemudahan biasiswa dinikmati pelajar Melayu juga perlu diberikan kepada pelajar Islam bukan berketurunan Melayu. Disamping itu, kerajaan digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kalangan pelajar Melayu/Islam yang cemerlang. Amalan pemberian biasiswa JPA kepada pelajar bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk mendapat tajaan.

Menteri Pelajaran yang bakal dilantik digesa tidak bersikap apologetik (meminta maaf) dalam menangani desakan kelompok sekular dan bukan Islam yang menggesa amalan Islam di sekolah kebangsaan dihentikan atas alasan mengelakkan pemisahan kaum dan agama. Amalan bacaan doa dan sambutan perayaan kebesaran Islam perlu diteruskan kerana ia sama sekali tidak menghakis keharmonian kaum dan agama, malah mendidik anak bangsa menjadi insan bersahsiah mulia.

Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji. Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak dan azan sepenuhnya hendaklah disiarkan setiap waktu. Program hiburan mempromosi budaya hendonisme Barat hendaklah dihentikan termasuk program hiburan realiti.

Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama adalah ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam. Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak.

Oleh demikian, pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama. Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak. Pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan hendaklah dikawal ketat tanpa mengira agama.

Jika pihak berkuasa agama tegas dalam melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata sangat lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain. Bagi wakil rakyat Islam yang dipilih pula, adalah menjadi kewajipan mereka memelihara kesucian akidah dan ketinggian moral.

Dengan kuasa diberikan, mereka hendaklah menolak sebarang usaha mengelirukan akidah umat Islam dengan pelbagai cara termasuk membenarkan penggunaan kalimah khusus seperti 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' bagi merujuk agama bukan Islam. Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan.

Kerajaan dipilih kelak dituntut melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan. Demikianlah tuntutan NGO Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini. Semoga semua calon yang menang dapat merealisasikan tuntutan NGO Islam yang juga umat Islam arus perdana. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengajak rakyat menggunakan hak sebagai pengundi demi kebaikan bersama.

INTI PATI Tuntutan NGO Islam

· Semua wakil rakyat dipilih perlu mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Segala tuntutan menjadikan Malaysia negara sekular mesti ditolak.

· Bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah perlu diperluas menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri.

· Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah disamatarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.

· Penyeragaman undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera dan diwujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie.

· Digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.

· Tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam.

· Memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan.

· Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji.
· Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

· Pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama. Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama hendaklah ditolak.

· Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan serta melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari ttp://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com