Saturday, February 9, 2008

Sweet Memories of Padang & Bukit Tinggi



Pada 3 hb Jan (Ahad)- Umi, Abah dan Aisyah bersama-sama dengan 22 yang lain dari opis CITU, UiTM Shah Alam telah berangkat ke Padang menggunakan Air Asia. Kami sampai di LCCT jam 5.30 pagi, lepas check in, kami semua solat Subuh di airport. Kapal terbang Air Asia bertolak jam 7.30 pagi dan sampai di Padang 1 jam selepasnya.

Rombongan ini diketuai oleh Pak Takiyuddin sama Pak Ghazali... Semua sekali adalah 12 orang pensyarah, di sana di panggil dosen dengan ahli keluarga masing-masing.

Aisyah sangat teruja nak ke Indonesia dan asyik bertanya, sama ada Padang tu dekat tak dengan Jakarta.? Bila Umi jawab jauh sangat, dia terus kata, 'Kalau dekat, Aisyah nak pergi cari Nabila Mutiara Hati...'.. 'tak habis-habis dengan Nabila..' hehe..

Apabila kami sampai, kumpulan Mukmin Travels di Malaysia bekerjasama dengan Shann Travel di sana jadi mereka dah tunggu dengan 1 bas dan 1 van. Tapi yang paling terkejutnya, Bapak Hasim, Ketua Kantor Agama Province Sumatera Barat juga turut tunggu dengan MPVnya dan ingin membawa kami ke tempat seterusnya.

Ke mana yer..?

Rupanya mereka bawak kita semua pusing-pusing Padang, sambil pemandu pelancong yang bernama Pak Osman bercerita tentang Sumatera Barat, Padang, Bukit Tinggi, jumlag penduduknya, Bupatinya, kantor-kantornya, universitas dan pasentren yang ada... Pagi tersebut hujan sikit jadi tak boleh turun, hanya duduk dalam bas ronda-ronda sampai jam 10.30, kami di bawa makan tengahari di Restoran Family, best jugak makanan dia...

Lepas makan, dalam jam 12.30 kami di bawa ke hotel Pengiran City di tengah bandar. Hotel ini bukan mewah sangat, dalam tahap 3 bintang macam De Pelma kat Malaysia. Umi, Abah dan Aisyah diberi bilik 207. Selepas masukkan barang, kita semua rehat-rehat dan ada yang tidur sebab keletihan. Aisyah tidur jadi Abah kata, kita tak perlu keluar dulu sebab kesiankan Aisyah..

Semua orang diberi waktu bebas sehingga jam 7 malam untuk dinner.. Ada yang dah keluar awal-awal lagi membeli belah dan ada yang tidur sahaja di bilik..
Lepas solat jama' takdim, dalam jam 4 petang Aisyah dah bangun, maka bermulalah pengembaraan kami sekeluarga...

Oppss.. masa mencari baju cantik-cantik untuk Aisyah pakai, rupanya Umi telah melakukan satu kesilapan yang dasyat sangat.. 'Macamna ler buleh jadi macam ni..? Umi bawa seluar panjang Aisyah 6 helai tetapi hanya bawa baju Aisyah 2 helai sahaja.. isyyy....Akhirnya kami ke supermarket bernama Supermarket Matahari dan Aisyah telah mendapat 8 helai baju yang cantik-cantik termasuklah satu helai jaket panjang untuk tahan sejuk..


Umi memang pening dengan duit Indonesia yang beribu-ribu dan juta-juta.. jadi bahagian duit, abah yang pegang. Umi cuma jadi tukang ambil barang dan Abah yang bayar... hehe.. Akhirnya semua baju dan seluar Aisyah berjumlah hampir RM100 atau hampir 300 Ribu Rupiah...(betol ker??)


Masa nak balik ke hotel, kita naik Bendi.. power betul pengalaman naik bendi ni.. dan lagi power pengalamannya dengan Pakcik yang bawa Bendi tu.. Brutal bangat..Bila Umi tanya, 'Pak, bendi ni atas jalan raya besar, tak berlaku accident ker?' Apa jawabannya..'Kalo nama kenderaan, mesti accident.. Kalau nama atas jalan, tak ada accident, itu bukan kenderaan..' Udahler brutal jawapannya, bawak pun brutal.. main cross je jalan, tak de signal-signal.. adoii.. banyak kali Umi rasa kecut perut sebab van dan kereta dekat betul kat belakang bendi tu, macam nak langgar jer..
Kami bertiga di hadapan Bendi

Kami naik bendi pusing-pusing bandar sampai ke tepi laut yang ada Bukit Nurbahyah.. Pakcik tu siap bagi tempat mana yang bagus ambik gambar.. 'Mari sini saya ambikkan gambar kamu..'.. brutal ler bapak ni... hehe..


Malamnya kami semua dinner di Hotel BumiMinang yang berdekatan. Katanya hotel BumiMinang adalah hotel yang paling mahal di Padang, setaraf 4 bintang. Makanannya boleh tahan jugak..

_______________


Hari kedua, 4hb Feb
jam 7.30 kami sudah check out dari Hotel Pengiran City kerana akan melawat beberapa tempat sebelum menuju ke Bukit Tinggi pada sorenya.. Seawal jam 8 pagi kami sudah menuju ke Universitas Andalas, ada perbincangan ke arah membina MOU antara CITU, UiTM dan UNAND. Kami disambut oleh Bapak Timbalan Rektor dan Dekan-dekan di sana.

Berjalan dari bas ke Bangunan Rektorat UNAND, dan di sana Ayah Li mewakili CITU, UiTM berucap dan mencari titik temu MOU antara dua buah institusi.


Rupanya di UNAND ada hampir 250 pelajar Malaysia sedang membuat jurusan Perubatan kerana UNAND diiktiraf oleh LAN (MQA) di negara kita mempunyai fakultas perubatan yang terkenal dengan kemudahan terkini. Aku telah membuat kaji selidik dan questionaires telah diserahkan kepada Pak Hasim untuk membawanya ke tengah, tajuk kajianku adalah,

'Masalah dan Cabaran Pelajar Malaysia di luar negara: Kajian Kes di Universiti di Padang'.



Selepas itu kami ke restoran untuk makan tengahari, selepas makan kami bergerak ke Institut Agama Negeri Padang (AIAN) dan disambut oleh Rektor dan 10 orang Dekan-dekan dan di sana, MOU nampak lebih terserlah. Aku sendiri bercakap sedikit, memberi buah fikiran ke arash membina kerjasama antara Fakultas Hukum di sana dengan CITU terutama melibatkan perbandingan undang-undang antara Sivil dan Syariah dan juga perbandingan perlaksanaan dan peruntukan Undang-undang Syariah di sana dengan di negara kami. Rupanya AIAN terlibat dalam gempa bumi baru-baru ini dan banyak bangunannya yang merekah. Kelengkapan dan kemudahan serta fizikal bangunan AIAN juga sangat kurang jika dibandingkan dengan UNAND.



Namun begitu, sambutan mereka hanya Allah yang tahu, sangat hebat dan menceriakan dengan jamuan pelbagai bentuk makanan termasuklah nasi mereka (nasi anang kot??? -lupa dah namanya.. huhu..) Rektornya, Timbalan Rektor dan Dekan-dekannya semua menunggu rombongan kami. Selepas berbincang, kami mengambil gambar kenangan beramai-ramai di hadapan bangunan AIAN tersebut.



Selepas solat jama' ta'khir zohor dan asar, kami menuju ke Bukit Tinggi dan melihat pelbagai keindahan panorama ciptaan Allah yang amat indah dan tersusun. Sampai di Bukit Tinggi, suasana agak sejuk juga dan kami dibawa ke kedai baju-baju. Wah.. banyaknya barang, dan semua orang teruja terutama yang kaya-kaya ler.. semua orang adalah jutawan... huyooo... Beli Buk.. jangan tak beli..


Selepas makan malam jam 9 pm di restoran, kami mula bergerak untuk check in di Hotel Grand Malindo. Semua orang mengalami keletihan yang amat sangat. Terus tidur selepas solat jama' ta'khir maghrib dan isyak.
___________

Hari ketiga, 5 hb Feb.

Jam 7.30 pagi kami mula bertolak ke Rumah Hamka, mendengar pensejarahan Buya Hamka yang banyak berjasa.. Pemandangan menuju ke sana amat cantik.. Sungguh besar kekuasaan-Mu ya Allah, yang Maha Berkuasa menjadikan begitu cantik panorama alam. Aku terpegun dengan penuh merendah diri pada kebesaran penciptaan-Mu. Subhanallah...


Perjalanan ke rumah Hamka, melalui Lekoh 44. Gambar diambil di antara lekoh-lekoh tersebut..

Mendengar pensejarahan Buya Hamka, menjadikan kami semua semakin mengenalinya. Semoga Allah mengurniakan pahala yang besar kepada Buya atas semua jasa-jasanya menyebarkan Islam di nusantara. Ayah Li aka Prof Madya Ghazali telah menjemput Pak Hanif (keponakan Buya Hamka yang menceritakan kisah Buya Hamka) ke CITU pertengahan tahun ini untuk Pensejarahan Tokoh dalam Seminar Jabatan kami dan Bapak Hanif telah bersetuju menerima undangan tersebut. Aku telah menulis namaku, terpahat dalam buku lawatan ke Rumah Buya Hamka pada tarikh 5 Feb, aku telah sampai ke rumah kelahiran Buya Hamka, tokoh yang amat aku kagumi dan hormati...

Rombongan kami sedang khusyuk mendengar Pak Hanif menceritakan pensejarahan Buya Hamka di dalam Rumah Buya Hamka..


Aku sangat meminati buku tulisannya. Aku ada koleksi Tafsir Hamka, dan di sini, aku telah membeli 7 buah buku tulisan Hamka iaitu 'Di bawah Lindungan Ka'bah' dan juga buku 'Tenggelamnya Kapal Ven De Bourgh' untuk dihadiahkan pada kawan-kawan baikku.. Yang pastinya sebuah darinya adalah untuk my beloved anak saudaraku Tasnim yang cantik dan solehah atas kejayaannya mendapat 9A dalam PMR baru-baru ini, dengan harapan semoga Tasnim akan menjadi insan solehah dan mengenali penulis2 besar dalam kelompok Islam di nusantara ini.

Jam 12 pm, kami ke Pesantren Tauhid bersebelahan Masjid Bayur, Masya Allah.. sambutannya hanya Allah yang menilai.. Kami sangat terharu melihat mereka menyambut kami dengan penuh gembira...Pak Hasim, Ibu-ibu dari kantor Agama Province Sumatera Barat menemani kami sepanjang lawatan ini. Terima kasih ye Pak sama ibu-ibu..


Kami disambut dengan khemah berwarna kuning, habis gambarpun menjadi kuning. Dengan susunan kerusi di atas pentas yang dibina semata-mata untuk meraikan kami semua. Terharunya melihat begitu sekali mereka meraikan kehadiran kami.


Selepas diraikan dengan ucapan alu-aluan, kami dibawa solat di Masjid Bayur yang sangat cantik dan penuh dengan binaan yang mengagumkan..



Kami solat jama' takdim zohor dan asar, selepas solat, kami dijamu dengan makan nasi berlaukkan semua ikan-ikan dari Tasik Malinjau, ikan kecil digoreng tepung, isi ikan diuli-uli dan dibakar seperti sata, ikan besar dibakar seperti otak-otak.. Bestnye.. aku makan sampai bertambah dua kali.. Adoii.. sedapnya..

Selepas Pengetuanya berucap dan menceritakan betapa gembiranya mereka kerana buat pertama kali didatangi tetamu dari luar negara.. Masya Allah.. Kami sangat terharu dengan sambutan yang diberi..

Selepas itu, kami dibawa ke Rumah Bupati, ditunggu oleh Bupati atau Wali Kota atau Shah Bandar province.. Masya Allah Bupati sekeluarga menunggu kami untuk makan tengahari, sedangkan aku sudah penuh sangat perutku.. Tetapi mengingatkan kami tetamu dan mengikut adat Minang bahawa pantang bagi tetamu tidak menjamah makanan yang dihidang, kami semua makan walaupun agak sedikit..

Aku diminta makan bersama isteri Bupati dan sambil bercerita tujuan kedatangan kami ke Sumatera Barat, aku menceritakan tentang negaraku dan Shah Alam serta UiTM sendiri. Beliau menceritakan akan membuat satu lawatan ke Shah Alam selepas ini kerana ingin melihat perkembangan Taman Asuhan Kanak-kanak mengikut Tatcara Islam yang banyak dijalankan di tempat kami, mudah2an ada yang boleh dibawa contohnya ke Sumatera Barat.. Dan aku akan menunggunya bersama dengan ahli rombongan yang lain.. Insya Allah.


Selepas itu, kami ke Pesantren Hidayah di Kabupatan Agam.. Masya ALlah.. sekali lagi kami rasa nak menangis melihatkan betapa sambutan yang dibuat. Seluruh ahli kampung turun ke jalan raya, memukul gendang, menari tarian sambutan tetamu, dan beratur di sepanjang jalan selepas bas kami berhenti sehingga ke Dewan bersidang Pesantren tersebut.. Kami dijamu makan nasi Minang lagi sekali..


Wahai Allah.. apa yang patut kami buat, semua orang perut sudah hampir pecah, tetapi kami makan juga dan semasa bertemu dengan ibu-ibu di sana, aku memuji mereka dan mengatakan 'Sedap bangat makanan yang ibu-ibu masak, apakah semua ibu-ibu di sini turun gotong royong bersama?' Dan mereka sangat seronok apabila aku memuji dan mengatakan, 'Ibu makan lagi ye buk..'..Aku dengan penuh senyum yang besar di bibirku mengatakan 'Saya amat suka dan sangat ingin untuk makan lagi.. mudah-mudahan suatu hari nanti saya akan sampai lagi ke sini..'

Mereka menyambut dengan penuh kebesaran adat Minang dengan pakaian Minangkabau, jual beli pantun dalam bahasa Minang yang kami tidak paham walau pun sekelumit, tetapi kami mendengar dengan penuh minat. Pesantren tersebut sangat dhaif kerana baru ditubuhkan. Selepas itu Ayah Li berucap mewakili UiTM, dan Pak Hasim serta Pengetua Madrasah tersebut pula berucap..

Matahari hampir tenggelam, dan kami semua perlu balik ke Hotel Grand Malindo dengan penuh keletihan..Perjalanan sangat jauh kerana perlu naik semula melepasi Lekoh 44 tetapi kerana semua sudah terlalu letih, kami tertidur di sepanjang jalan sehingga sampai ke atas.

Sedar-sedar kami di bawa ke restoran yang telah menunggu kami dengan makanan padang untuk makan malam.. Selepas itu, kami beli belah lagi di tepi hotel dan selepas itu, semua tidur keletihan selepas mengerjakan solat jama' ta'khir maghrib dan isya'..
________________

Hari ke 4 iaitu 6hb Feb.

Jam 7.30 pagi kami sudah bertolak ke Pesantren ketiga iaitu Madrasah iaitu Madrasah SumateraThawalib Parabek. Madrasah ini adalah bekas tempat belajar Buya Hamka, Pak Naser dan ramai lagi nama-nama yang terkenal sama ada sebagai ulama' atau pentadbir negara.



Jam 7 pagi, selepas selesai breakfast dan check out di Gran Malindo, kami sekeluarga menuju ke Lubang Jepang untuk melihat hasil peninggalan Jepun semasa berada selama 3 tahun di Indonesia. Lubang Jepang berada sangat dekat dengan Hotel Gran Malindo jadi kami hanya berjalan kaki sahaja. Masa sangat suntuk kerana sekitar jam 7.30am pagi, kami akan bertolak ke Madrasah tersebut.

Masuk ke sana perlu bayar tiket 3000 Rupiah setiap orang.. Melihat lubang Jepang, aku betul-betul kagum dan terpegun. Pandanganku melampaui fizikal yang terzahir di hadapanku. Apabila petugas tersebut mendengar pandanganku, dia terpegun dan tercengang.. agaknya dia tidak pernah mendengar pendapat orang lain sepertiku.. hehe..

Apa agaknya pendapat ku yang power tu?? hehe..

Petugas tersebut bercerita dengan penuh perasaan sejarah lubang Jepang tersebut. Rupanya dalam tempuh tiga tahun Jepun masuk ke Sumatera Barat, mereka telah mengambil secara paksa hampir seramai 1000 orang penduduk setempat dan memaksa mereka menggali lubang dan membuat kubu untuk tentera Jepun. Terdapat banyak bilik di dalamnya dan hampir 100 anak tangga perlu dilalui untuk masuk ke dalam tanah tempat tentera Jepun berkubu. Terdapat beberapa bilik yang khusus untuk dewan mesyuarat, tempat masak, tempat buruh paksa tersebut diletakkan, tempat masak dan juga tempat di mana Jepun boleh mengintip melihat aktiviti masyarakat setempat sebelum ditahan dan dirampas makanan mereka.



Apabila ada buruh paksa melawan arahan Jepun, mereka akan dibunuh dan mayatnya akan diloloskan melalui satu lubang yang akan terus menuju ke sungai. Justeru, mayat yang dibunuh dan dilempar tidak dapat dikesan di mana kuburnya dan berapa bilangannya. Petugas tersebut memberitahu, tiada siapa yang tahu kewujudan lubang Jepang ini sehingga selepas Indonesia merdeka barulah dijumpai dan ia sungguh memeranjatkan semua pihak.

Aku bertanya, Jika tiada yang tahu kewujudan lubang ini, dan tiada rakyat tempatan yang selamat, bagaimana Bapak boleh ceritakan ini bilik apa, ini tempat apa dan sebagainya. Dari mana info ini Bapak perolehi?' Agaknya petugas tu gabra kot aku tanya macam-macam soalan, terus ditunjukkan beberapa kali kad gambarnya, di mana dia belajar dan ketahui sejarah ini, bagaimana ada Jepun dan document Jepun yang diperolehi menceritakan satu persatu tentang kedudukan lubang atau kubu ini.. 'Jangan gabra Pak, saya tanya saja..' kataku..hehe..



Dia asyik bercerita betapa kesiannya rakyat tempatan kerana menjadi buruh paksa dan dibunuh. Betapa tersiksa mereka menggunakan cangkul dan alatan tradisional lain apabila dipaksa membuatnya sepanjang siang dan malam tanpa henti.. Aku membayangkan semua ini dalam fikiranku, membayangkan kesiksaan dan betapa teruknya layanan dan kejahatan penjajah Jepun ketika itu. Bagaimana kes sama berlaku di Malaysia semasa Buruh Paksa Tanah Melayu dikerah membuat landasan keretapi maut dahulu. aku teringat kisah yang aku tonton dalam movie P Ramlee 'Sarjan Hassan', cerita "Embun' dan cerita lain-lain lagi..



Tetapi yang bermain difikiranku juga pada ketika itu adalah gambaran orang Jepun, aku cuba visualize dalam fikiranku pakar-pakar Jepun dalam bidang Architecture yang mendraf kedudukan kubu tersebut, Engineernya yang mamastikan aliran air, edaran udara, bagaimana ventilation yang ada dalam lubang tersebut dan lain-lain.

Dan akhirnya aku kata pada petugas tersebut, 'Saya betul-betul simpati kepada rakyat tempatan yang telah dibunuh dan dipaksa menjadi buruh dan diseksa. Saya sangat simpati mengingatkan mereka bertungkus lumus membuat lubang, menebuk batu dan tanah keras sehingga menjadi lubang sebesar ini..Tapi Pak, yang sangat takjub juga pada saya adalah bagaimana bijaknya Jepun Pak pada zaman itu, kita belum tahu apa-apa dia boleh merancang begini canggih satu binaan di dalam tanah, dengan pengedaran udara, lubang yang kecil dan terus menjunam ke laut/sungai.. Semua ini memerlukan ilmu yang sangat tinggi.. Saya kagum betul bagaimana mereka sampai ke tahap itu..'

Petugas itu kata,' Selalunya orang sebut simpati kepada rakyat tempatan tetapi ibu memuji Jepang.??' Sure dia pelik..'Saya bukan memuji Jepang kerana menganiaya orang kita Pak, tapi kerana mereka begitu bijak sampai ke tahap itu..Kita patut menjadi ilmuwan segitu Pak.. pandai dan bijak sehingga melepasa zaman. '



Yea.. itulah cabaran untuk orang Islam hari ini, kita perlu menjadi Ilmuwan yang berfikir dan berbuat melepasi zaman dan waktu.. Aku teringat satu papan tanda yang disediakan oleh Syarikat Gergasi di Padang iaitu Syarikat Siemen Padang bersebelahan Universitas Andalas iaitu..'KAMI TELAH MEMBUATNYA SEBELUM ORANG LAIN MEMIKIRKANNYA'.. Ayat itu benar-benar memenuhi fikiranku, membuat aku terfikir dan memikir apakah Muslim hari ini mampu menjadi seperti itu.. Membuat sesuatu sebelum orang lain memikirkannya.. Bolehkah?? Entahlah...



Selepas keluar dari Lubang Jepang, kami ke Madrasah Parabek. Sambutan yang diberi juga hebat dengan pelajar-pelajarnya membuat persembahan tarian menyambut tetamu dan kami dibawa ke Dewan Madrasah dan pensejarahan madrasah dengan nama-nama Alumni Madrasah tersebut. Pak Fauzi, Ketua Kabupatan Agam juga turun dan memberi ucapan. Ayah Li sekali lagi memberi ucapan mewakili CITU.

Sambutan di Madrasah Parabek dengan penuh adat



selesai program tersebut, kami di bawa ke Jam Gadang. Tetapi masa juga suntuk, hanya diberi 1 jam sahaja kerana ada beberapa tempat lagi yang ingin dilawati. Aku pula perlu menghubungi my Bos mengenai lawatan Bos ke Australia nanti pada 19 Februari. Bos dah SMS dan call aku beberapa kali bertanyakan maklum balas dari Profesor Saeed yang mungkin diemelkan kepadaku. Wah.. susahnya nak cari Cyber Cafe kat sini. Line internet pula tak ada di hotel. Akhirnya berjumpa juga Cyber Cafe dan selepas membuka emel yahooku, rupanya ada emel dari Personal Assistant Prof Saeed. Aku terus forwardkan pada Bos dan masa hanya tinggal 30 minit lagi untuk membeli belah...

AKhirnya kami pusing sekejap saja, beli hadiah untuk my two parents only (my own parents and my parents in law) dan mengambil gambar di sekitar Jam Gadang.

Kami di hadapan Jam Gadang.



Aisyah sepanjang lawatan ini sangat gembira sebab berjumpa dengan kawannya Huda anak Ustaz Taki, Huda ni kawan sekolah TADIKA Littel Caliph yang sama dengan Aisyah, tetapi berpisah selepas masuk darjah satu, Huda ke Hira' dan Aisyah ke ISSA. Sepanjang perjalanan, dua orang ni duduk satu kerusi dan asyik berkepit ke mana-mana..



Selepas itu, kami melawat Rumah Hajah Rosma tempat membuat ukiran kain dan sebagainya. Cantik jahitan mereka...Selepas itu ke tempat membuat kopi dan menjual air pinang muda yang baik untuk pria dan bukan pria.. hehe.. Ayah Li, Dr Nik dan lain-lain buat joke, Ustaz Rahman dan Ustazah Normah kena usik, Kak Asma' pun kena usik jugak.. "Aaa.. sapa nak minum air pinang muda.. cepat...karang balik Malaysia, teringat , kempunan pulak...' Best jugak air tu.. hehehe...

Lepas tu makan tengahari di restoran dekat sawah padi, kami ke Istana Minangkabau.. rupanya Istana asal dah terbakar pada

Feb 2007.. Pusing-pusing lihat kawasan bangunan Istana yang cantik tersebut.. lepas tu pergi solat jama' ta'khir zohor dan asar .

Kemudian, kami dibawa singgah kat tempat air terjun tepi jalan, indahnya air terjun tu.. Masya Allah.. Cantik betul air terjun tu.. Pak Osman kata air terjun ni dipanggil Air terjun Awet Muda.. fuyooo.. sapa yang sempat terjun dalam kolam tu power ler nanti.. hehehe..



Lepas tu kami perlu balik ke hotel di Padang semula, hotel yang sama iaitu Pengiran City.. kami singgah di restoran untuk dinner. Lepas tu dalam jam 11 malam, kami sampai ke hotel tersebut. Letih betul... Selepas solat jama' ta'khir, kita perlu kemas barang kerana esok pagi jam 6 pagi lepas solat subuh kita akan berangkat ke airport. Ada di kalangan kami yang terkilan sebab masa sangat suntuk untuk membeli belah.. Aku faham perasaan mereka...Tetapi apa nak buat, kerana perjalanan ini dicampur antara libur dan lawatan akademik.. Harap-harap lain kali lah pergi lagi untuk membeli belah dan melawat tempat-tempat bersejarah yang lain..

Tapi kalau ada peluang, aku nak ke Bandong pula, then ke Bali, kemudian ke Bandar Acheh dan yang pastinya nak ke Jakarta, sebab anak kesayanganku yang cantik tu nak cari Nabila Mutiara Hati dan nak cari Ibu Arini di Jakarta... hehe..

Esoknya, kita semua telah berangkat balik ke Malaysia jam 8.30 waktu sana dan selamat sampai di LCCT sejam selepasnya. Akhirnya kami meninggalkan bumi Padang dengan penuh kenangan manis hasil lawatan yang sangat bererti..

Umi, Aisyah, PM Asma' dan anaknya Najihah di airport Padang

Akhirul kalam.....Thank you Allah for giving us the opportunity to see the beauty of Your creations and to meet so many good Muslim people who stay around us..

My entry for this beautiful journey is also completed... Amin and Alhamdulillah.....




Aku abadikan lagu Ayam Den Lapeh di sini. Rupanya lagu ni adalah lagu klasik orang Minang.. Aku tak tau pun.. hehe.. Dalam video ni ada ditunjukkan main sabung ayam yang diharamkan dalam Islam kerana menganiaya binatang. Tapi semua budaya tak baik tersebut telah luput pada pendapatku (yangmasih kabur pasal Minang) kerana sepanjang di sana, banyak papan tanda Islamic diletakkan disepanjang jalan. Perubahan banyak berlaku hasil Bupati yang lebih Islamic. Semoga Islam lebih gemilang di bumi Minang..

Tapi bolehler kita tengok lagu klasik mereka ni yer..