Sunday, February 10, 2008

Artikel ku mengenai Perkembangan Wali Hakim Perlis

Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro awal Nov 2007 sebagai feed back terhadap press statement YB Shahidan Kasim yang mengatakan bahawa Perlis bersedia menerima anak-anak gadis yang tidak mendapat restu bapa sebagai wali untuk berkahwin di Perlis dan juga respon Dr Asri pada awal Oktober tahun lepas. Artikel ini dah hilang dari simpananku, baru dijumpai kembali dan dimasukkan dalam blog ini untuk rujukan, teringat selepas membaca respon Dr Asri mengenai Kahwin Cincai dalam harian Metro 3 Feb baru-baru ini..
________________________________

WALI HAKIM APABILA BAPA ENGGAN
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim

Nov 2007

Baru-baru ini, akhbar melaporkan bahawa Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis akan dipinda untuk membenarkan Mahkamah mengeluarkan kebenaran berkahwin bagi wanita tidak mendapat persetujuan wali. Dengan itu wanita Perlis atau mana-mana negeri di mana wali enggan mewalikan mereka tidak perlu kahwin lari ke Thailand seperti dilakukan sebelum ini, sebaliknya hanya perlu pergi ke Perlis sahaja. Apakah ini isu baru atau sebenarnya isu lama yang diberi nafas baru oleh negeri Perlis?

Wali berasal dari perkataan wilayah bermakna kuasa cakapan ke atas orang lain. Wali mujbir adalah bapa kandung dan datuk kepada pengantin. Sekiranya bapa tidak ada kerana mati atau disahkan hilang, maka datuk mengambil alih tugas mewalikan. Apabila datuk tidak dapat menjalankan tugas itu, barulah dipindahkan kepada wali nasab lain.

Apabila tiada wali nasab, kuasa wali berpindah kepada Sultan dipanggil wali hakim. Contohnya perempuan mualaf atau anak tak sah taraf, wali mereka adalah wali hakim.

Persoalan sekarang apabila bapa (wali mujbir) masih ada tetapi enggan mewalikan anaknya. Apakah si anak boleh menggunakan wali hakim sebagai ganti dan mengetepikan langsung bapa kandungnya?

Hukum wali mengikut jumhur fuqaha’ adalah wajib. Tanpanya perkahwinan tidak sah berdasarkan hadis Rasulullah iaitu, "Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka nikahnya adalah batal, dan nikahnya batal, nikahnya batal. Dan jika suaminya telah menyetubuhinya maka hendaklah dibayar mahar. Jika mereka (walinya) bertikai maka Sultan (pemerintah) menjadi wali bagi sesiapa yang tidak ada wali.’

Dari sudut undang-undang, contohnya Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003 dalam seksyen 13 memperuntukkan sesuatu perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini kecuali setelah kedua pihak suami/isteri bersetuju atau samada,
a) Wali pengantin perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syara’, atau;
b. Hakim Syarie yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana pengantin perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas oleh Hakim Syarie itu telah, selepas melakukan penyiasatan yang wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakadinikahkan oleh Wali Raja mengikut hukum Syarak.

Izin wali adalah syarat sah akad di sisi undang-undang. Tetapi jika bapa enggan mewalikan, undang-undang memberi peluang si anak berkahwin menggunakan wali hakim melalui permohonan di Mahkamah Syariah di mana dia bermastautin.

Kedudukan permastautinan sangat penting kerana ia memberi hak kepada raja tempat wanita bermastautin untuk mengambil alih kuasa wali hakim dalam perkahwinan apabila perlu.

Bermastautin bermaksud tinggal tetap atau pada kelazimannya dalam sesuatu kawasan tertentu. Ia boleh dibuktikan melalui alamat kad pengenalan, pengesahan ketua kampung atau apa-apa dokumen disahkan. Oleh itu, jika seorang perempuan bermastautin di Kelang, tetapi pergi ke Perlis untuk 2 minggu, memohon menukar alamat dalam kad pengenalan dan diluluskan. Kemudian memohon menggunakan wali hakim di Perlis, dia tidak sekali-kali dianggap bermastautin di Perlis. Dia tetap pemastautin Selangor, cuma pergi bercuti ke Perlis.

Apa yang sewajarnya dijelaskan adalah, peruntukan wali hakim kerana bapa enggan telah sedia ada di setiap negeri, maka mana-mana perempuan menghadapi masalah ini, harus membawa kesnya ke Mahkamah Syariah berkaitan. Contohnya Raja Perlis adalah wali hakim kepada pemastautin Perlis sahaja dan Raja Selangor adalah wali hakim kepada pemastautin Selangor. Isu permastautinan tidak wajar dipandang rendah kerana ia memberi kesan kepada proses pentadbiran undang-undang Syariah negara ini.

Amalan di negeri-negeri sekarang ini ialah apabila permohonan dibuat atas sebab wali enggan, maka wali tersebut dipanggil untuk diketahui alasan kenapa enggan mewalikan. Untuk memanggilnya mesti mengikut tatacara yang ditetapkan. Jika alasannya tidak munasabah di sisi Syarak maka Mahkamah akan memerintahkan wali mewalikan pernikahan ataupun mengeluarkan perintah wali hakim. Dengan cara ini dapat dipastikan alasan keengganan munasabah atau sebaliknya. Ini selaras dengan peruntukan dinyatakan di atas dan sejajar dengan hak asasi manusia iaitu kedua belah pihak diberi hak untuk didengar.

Namun apa dicadangkan berlaku di Perlis seolah-olah menafikan hak wali untuk didengar alasannya. Pelbagai perkara boleh dilakukan bagi menghalang seseorang wali dari hadir ke mahkamah. Tidak mustahil seseorang mengambil tindakan sebegini apatah lagi tiada syarat dikenakan dalam undang-undang bagi memastikan saman ataupun kertas kausa perundangan lain diserahkan kepada wali.

Justeru, apa dicadangkan dilaksanakan di Perlis wajar diperhatikan dengan lebih terperinci demi keadilan semua pihak. Apatah lagi keadilan adalah tunjang perundangan Islam itu sendiri. Isu wali enggan sebenarnya bukan isu baru, negeri lain telah lama memutuskan perkara ini sedangkan Perlis baru mengambil tindakan untuk memasukkan peruntukan ini dan ditunjukkan seolah-olah Perlis pula menjadi negeri pertama memperjuangnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam