Thursday, November 22, 2007

Tribute to Dr Syeikh The Angkasawan

Artikel ini adalah tulisan aku dan Presiden PGSM, disiarkan dalam Berita Harian pada 31 Oktober 2007. Tulisan ini adalah tribute pada Dr Syeikh, angkasawan Malaysia pertama ke ISS. Semoga Dr Syeikh dalam pengembaraan spritualnya menjadikan dia seorang Muslim yang lebih taat, lebih baik dan jadi contoh untuk peminat-peminatnya...

Bila aku tanya Aisyah, "Aisyah, Aisyah nak tak jadi angkasawan bila besar?..

"Angkasawan tu apa benda Umi.."

Dalam hati aku...'kesiannya anak umi ni, awatnye tertinggal keretapi pulak ker....angkasawan pun tak tau...'

"Angkasawan tu yang naik roket tu macam dalam TV, pergi ke bulan, boleh tengok bumi dari atas langit.. cantik boleh tengok Malaysia dari atas langit..nanti boleh tengok banyaknyer Allah cipta.. ada langit, ada laut, ada bumi, ada macam-macam..."

Tapi Aisyah jawab, "Aisyah tak nak jadi angkasawan. Aisyah nak jadi Doktor.. sebab bila Umi dan Abah tua, Umi mesti sakit, Aisyah nak bagi ubat kat Umi.. sebab tu Aisyah kena jadi doktor..."

"Ye ker.. bagusnyer anak Umi ni...."

Anak umi sayang, semoga Allah selalu merahmati Aisyah hari ini, esok, masa depan di dunia ini dan di akhirat kelak..Amin

Tulisan di bawah ini adalah tribute khusus untuk Dr Syeikh.......

_____________________________

Peguam Syarie Menulis:


Kejayaan Dr Muszaphar amat bererti kepada tamadun Islam
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhd Hashim


KEJAYAAN Dr Syeikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha pergi dan kembali dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 21 Oktober 2007 adalah sejarah besar bagi pencapaian negara. Impian menerokai bidang angkasa lepas dicetuskan pada 2003 berjaya direalisasikan dengan izin Allah yang Maha Esa. Sudah tentu, nama Dr Sheikh Muszaphar terpahat sebagai orang Malaysia pertama dan yang lebih penting sebagai angkasawan Malaysia Melayu Muslim pertama menjejak kaki ke ISS.

Sejarah membuktikan di zaman keagungan tamadun Islam terdahulu, umat Islam atau lebih tepat sarjana Islam, sudah menerokai banyak bidang sains mendahului zaman ketika itu. Umat Islam terkenal sebagai ilmuwan dalam banyak bidang seperti astronomi, matematik, kedoktoran, membina dan mempelopori banyak penemuan baru berbanding Barat yang masih berada di 'Zaman Kegelapan'.

Saintis itu pula pada masa sama adalah seorang yang berilmu tinggi dalam bidang agama, pakar ilmu syariah dan tafsir, menghayati suruhan Allah SWT dan berpegang dengan jati diri Islam yang kukuh. Jika kita dapat mengingat kembali pameran 'Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam' anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Institut Sejarah Sains Arab-Islam dan Johann Woofgang Goethe University, Jerman pada Januari 2007 lalu, ada banyak maklumat didedahkan berkaitan perkara ini.

Kita melihat umat Islam terdahulu mendahului dalam pencapaian sains, bagaimanakah umat Islam hari ini? Justeru, bagi pencinta keilmuan dan tamadun Islam, kejayaan Dr Sheikh Muszaphar adalah pencapaian yang sangat diraikan, mudah-mudahan menjadi titik permulaan kepada ketinggian tamadun Islam hari ini dalam bidang ini.

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dengan penuh kerjasama mengeluarkan panduan beribadah di angkasa untuk menjadi rujukan. Dr Sheikh Muszaphar sudah menjawab dengan teratur perasaan beliau serta apa yang terlintas di benaknya sepanjang perjalanan itu. Beliau menjawab, "Saya membanyakkan bacaan al-Quran dan zikir. Saya sempat berpuasa dua hari di angkasa."

Begitu pula apabila ditanya mengenai tanggungjawab sebagai Muslim, beliau dengan tegas memberi keyakinan perjalanannya tidak akan menggugat tugasnya dalam melaksanakan ibadat wajib terhadap Ilahi. Satu jawapan beliau yang sangat memberi kesan ketika ditanya perasaannya melihat bumi dari angkasa, beliau menjawab, "Sesuatu yang mengasyikkan dan hebat. Susah nak gambarkan kepada rakyat Malaysia tetapi saya tulis dalam diari mengenai kebesaran Allah SWT ketika di angkasa supaya dapat dikongsi bersama."

Selain hasil kajian dibuat boleh memberi banyak manfaat kepada manusia di sini, perjalanan itu adalah perjalanan spiritual yang membuka hati, minda dan boleh menambahkan kekuatan iman mengenai betapa hebatnya kuasa Pencipta dan betapa kerdilnya seorang manusia.

Dalam al-Quran, Allah SWT banyak menyentuh mengenai kekuatan spiritual hasil pengetahuan mendalam mengenai kebesaran Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian jin dan manusia! Jika kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan." (Surah al-Rahman, ayat 33)

Begitu juga Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam." (Surah Ali-Imran, ayat 27)

Inilah yang dinyatakan Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal." (Surah Ali-Imran, ayat 190) Bagaimana dapat dilihat bukti penciptaan itu melalui angkasa?

Ada tiga kelompok insan dalam menangani keilmuan sains. Pertama, mereka yang terlalu memuja sains dan pencapaian atau penghasilan baru tanpa meletakkan sebarang hubungan dengan Allah SWT. Penemuan baru dilihat hasil keintelektualan akal semata-mata dan bukan membina celik spiritual kepada kewujudan dan kebesaran Allah SWT. Mereka ini bukan lebih dekat kepada Tuhan tetapi bahkan lebih jauh dari Tuhannya.

Kelompok kedua menolak sains secara keseluruhan dan melihat semua hasil sains tidak boleh diguna pakai dan pendekatan sains mesti ditolak.

Kelompok ketiga melihat sains adalah alat membuktikan betapa berkuasanya Pencipta, sekali gus membenarkan perbincangan al-Quran dan Sunnah serta menjadikan saintis itu tunduk dan lebih taat kepada Ilahi. Kelompok ketiga inilah yang dijelmakan oleh sarjana sains dalam tamadun Islam silam. Mereka menjaga solat, beramal dengan ibadat asas, menghafal al-Quran, memahami tuntutan al-Quran, tidak melakukan maksiat dengan sengaja, melihat dengan mata kasar dan mata hati sehingga pencapaian sains menjadikan mereka lebih dekat kepada Tuhannya.

Kerajaan juga sudah menyatakan kesungguhan untuk memberi penekanan kepada disiplin ilmu sains dan angkasa lepas. Suka kita sarankan sistem pembelajaran di Malaysia dan kurikulum berkaitan ditambah baik supaya dapat menyemai elemen kebesaran Ilahi dalam pengajaran di samping memetik sumber al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman.

Abu al-A'la al-Mawdudi (1987) pernah menyatakan bahawa dalam mendidik manusia, elemen kebesaran Ilahi perlu dimasukkan dalam kurikulum yang ada. Jika tidak dikaitkan dengan Allah SWT dan nilai keagamaan, fenomena kompleks yang ada di alam raya dan makhluknya sebagai bukti kebesaran Allah SWT tidak mampu dilihat oleh pelajar. Mereka tidak akan mampu melihat kehadiran Allah SWT dan tidak akan berupaya untuk menyatukan (synthesize) ideologi yang bertentangan dengan satu penyatuan sepadu.

Berbalik kepada program angkasawan Malaysia, kita sangat berbangga dengan kesungguhan dan ketaatan yang dizahirkan angkasawan Muslim pertama ini. Semoga perjalanan spiritual beliau walaupun tidak dilalui bersama oleh kita semua, dapat dikongsi melalui perkongsian ilmu yang akan disampaikan nanti. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan syabas atas kejayaan Dr Sheikh Muszaphar dan semoga ia menjadi pemangkin kepada generasi baru mencintai sains dan astronomi.

Penulis ialah Presiden dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).