Thursday, November 22, 2007

Artikel Umi Dalam Berita Harian 6 Jun 07

Artikel ini mengenai kes Lina Joy semasa penghakimannya pada 31 Mei 2007. Masa tu, aku ambik cuti untuk menghadiri penghakiman tersebut. Kisah ini dah lama, tetapi saja di masukkan dalam blog ini untuk tujuan rekod dan boleh freshkan kembali ilmu berkenaan perkara ini.

Pada hari tersebut, jam 8 pagi, aku drive alone from Shah Alam ke Putrajaya. Sampai sana orang dah ramai dan aku tak dapat masuk dalam Dewan sebab semua kerusi dah penuh. Jadi terpaksa duduk di luar sehingga selesai.

Sementara duduk di luar, aku memang ada projek lain, seorang reporter majalah Forward nak interview mengenai Hak wanita Islam dalam dan selepas berkahwin dan Kes di Mahkamah Syariah. Jadi aku suruh dia datang ke Mahkamah di Putrajaya. Kira plan A, if dapat masuk dalam Dewan Bicara, maka interview buat lepas keputusan Lina Joy. Plan B, jika tak dapat masuk, interview dibuat di mana-mana kawasan munasabah di POJ (dulu dipanggil Palace of Justice) sekarang dah tukar ke Istana Keadilan. Akhirnya plan B yang berlangsung.

Selepas interview, kawan-kawan dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang dapat masuk dalam Dewan Bicara keep smsing me bagitau perkembangan dalam Dewan Bicara. Jadi sebelum diisytiharkan oleh Setiausaha ABIM masa tu di perkarangan POJ, aku dah tahu dulu keputusan kes tersebut.

Pada masa tersebut Ketua Hakim adalah Tun Ahmad Fairuz, tetapi selepas tersiarnya video Lingamgate dan Tun Fairuz telah tamat kontrak, Acting Ketua Hakim Negara adalah Datok Hamid. Dari sudut kecil hatiku, aku simpati pada Tun Fairuz, sehingga segala sumbangannya hilang begitu sahaja dengan pendedahan Lingamgate tersebut.. Seolah-olah habislah segala yang baik yang dilakukan....Semuanya gone with the wind...

Artikel yang keluar 6 Jun 2007 dalam Berita Harian di bawah adalah berkaitan dengan kes tersebut dan penghakiman diketuai dan dibaca oleh Tun Fairuz....
____________________



Peguam Syarie Menulis: Hak Mahkamah Syariah dipertahan
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Penghakiman kes Lina Joy perlu dihormati, selesai kemelut berkaitan maruah Islam

PADA 30 Mei lalu, seluruh negara dan sebilangan negara asing menunggu serta mengupas dengan penuh minat penghakiman kes rayuan Lina Joy yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Kes itu adalah rayuan perayu untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Dalam kes itu, majoriti panel hakim, iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Datuk Alauddin Mohd Sherif menolak rayuan Lina Joy sementara Datuk Richard Malanjum membenarkannya.

Pada masa yang sama, kita melihat sesetengah pihak, terutama media asing cuba memainkan polemik bahawa negara kita tidak mengamalkan kebebasan beragama dan keputusan itu seolah-olah menunjukkan permusuhan antara agama Islam dan Kristian. Kita tidak harus melihat keputusan itu dari sudut sempit tetapi isu terpenting hasil penghakiman ialah kedudukan sistem perundangan sivil dan syariah di negara kita.

Sebenarnya penghakiman itu hanya satu isu yang dipertimbangkan oleh mahkamah, iaitu sama ada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) betul mengikut undang-undang apabila menolak permohonan perayu untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya dengan memerlukan suatu sijil atau perintah murtad daripada Mahkamah Syariah terlebih dulu. Tidak timbul langsung isu negara ini memusuhi agama Kristian dan menghalang orang Kristian mengamalkan agama mereka.

Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tepat pada waktunya dengan menegaskan isu terbabit tidak patut disalahertikan. Sekiranya kerajaan memusuhi agama Kristian, sudah tentu tiada gereja dan paderi dihalang daripada mengendalikan upacara keagamaan mereka.

Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah sivil tertinggi di Malaysia dan kita hendaklah menghormati keputusan diberikan sama ada memihak kepada kita atau sebaliknya. Kes ini sebenarnya tidak bertujuan memutuskan sama ada perayu seorang Muslim ataupun Kristian. Ia hanya berkaitan dengan tindakan untuk memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalan, berasaskan dakwaan bahawa dia sudah memeluk Kristian dan dibaptiskan oleh sebuah gereja di Kuala Lumpur.

Ahmad Fairuz dalam penghakimannya mengatakan bahawa jika JPN menerima dan mengesahkan seseorang bukan lagi seorang Muslim hanya berdasarkan pengakuan dan pengisytiharan bahawa dia sudah murtad, JPN mengambil risiko apabila mengecap secara silap seseorang sebagai bukan Muslim, manakala menurut undang-undang Islam, orang itu masih lagi Islam.

Sekiranya hanya berdasarkan pengisytiharan dan pengakuan, ia juga akan memberi ruang dan menyenangkan orang yang lahir sebagai seorang Muslim tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam dengan mengisytiharkan mereka dan mengklasifikasikan diri sebagai bukan Muslim hanya semata-mata untuk mengelak daripada hukuman atas kesalahan mengikut syariah. Ini semua akan menyebabkan celaan kepada Islam dan masyarakat Islam.

Dengan sekadar pengakuan bahawa seseorang keluar agama bukanlah satu ketentuan muktamad bahawa dia tidak lagi menganut Islam. Dengan itu, dakwaan perayu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang yang menganuti agama Islam tidak dapat diterima.

Cara seseorang keluar daripada sesuatu agama semestinya mengikut kaedah atau undang-undang yang ditetapkan oleh agama itu sendiri. Kebebasan beragama mengikut Perkara 11 Perlembagaan memerlukan seseorang mematuhi amalan atau undang-undang Islam, terutama mengenai keluar daripada agama itu. Seseorang tidak boleh dengan sesuka hati keluar dan masuk Islam.

Apabila seseorang menganuti sesuatu agama, akal budi sendiri memerlukan dia mematuhi amalan dan undang-undang agama itu. Untuk memudahkan pemahaman orang awam, kita perlu mengetahui bahawa negara kita mempunyai dua sistem undang-undang, iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa yang berbeza seperti digariskan Perlembagaan.

Melalui pindaan Perkara 121 (1A) yang menyatakan antara lain bahawa sebarang keputusan Mahkamah Syariah ke atas satu-satu perkara yang berada dalam bidang kuasanya tidak boleh diganggu gugat lagi oleh Mahkamah Sivil memberi petunjuk bahawa kedua-dua sistem ini harus dihormati dan dipelihara sebaiknya.

Jika kita meneliti secara mendalam penghakiman majoriti kes itu, kita dapati bahawa penghakiman itu memberi pengiktirafan kepada mahkamah syariah dan undang-undang syariah di Malaysia. Ia adalah kejayaan kepada usaha memartabatkan perundangan syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini.

Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi di negara ini dengan jelas mengesahkan pemakaian Perkara 121 (1A) dan mengiktiraf bahawa semua urusan keislaman, keluar masuk Islam adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan ia mesti dihormati sewajarnya. Keputusan ini sangat penting untuk menjadi panduan kepada hakim di mahkamah sivil bagaimana membuat keputusan jika isu yang sama berbangkit lagi.

Peranan dan fungsi kedua-dua mahkamah juga dapatlah difahami sebagai saling lengkap melengkapi dan tidak bersaing antara satu sama lain. Kedua-dua mahkamah ini mengadili secara muktamad dalam bidang masing-masing dan mahkamah yang satu lagi tidak boleh mencampuri urusan dan keputusan sesuatu mahkamah.

Dalam kes Lina Joy, Majlis Agama Islam sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia serta Ketua Pengarah Pendaftaran Negara sebagai responden kedua dan ketiga hanya ingin menegakkan kebenaran menurut undang-undang semata-mata. Ia terbukti selepas penghakiman diisytiharkan memihak kepada mereka, peguam utama perayu memohon supaya tiada perintah dibuat untuk kos.

Apabila ditanya kepada responden, mereka tidak membantah permohonan itu. Oleh hal yang demikian mahkamah tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos. Ia dapat mengelakkan Lina Joy daripada membayar ratusan ribu ringgit sebagai kos di Mahkamah Persekutuan dan mahkamah bawahan.

Fakta ini langsung tidak disentuh oleh kebanyakan media, seolah-olah ia tidak memberi sebarang implikasi terhadap Lina Joy. Tindakan pihak responden ini sebenarnya menunjukkan matlamat utama pihak responden adalah untuk menegakkan keadilan dengan cara baik dan bukan untuk mencari titik pertembungan.

Oleh itu, sama-samalah kita merapatkan jurang dan carilah titik persamaan antara kita. Kita meminta semua pihak menerima penghakiman itu dengan hati terbuka dan jangan terjerumus dalam perpecahan. Sesungguhnya penghakiman bersejarah itu meletakkan mahkamah sivil dan mahkamah syariah di landasan masing-masing dengan betul. Bertitik-tolak daripada landasan itulah kita akan bergerak maju ke arah keharmonian dan saling hormat menghormati dalam menuju wawasan negara untuk menjadi negara majmuk yang gemilang dan terbilang.