Thursday, November 29, 2007

Artikel Umi Dalam Berita Harian 28 Nov 07

Artikel tu Umi tulis masa dalam library, mengenai kes Siti Nadzirah yang bawak anak lari dari Pakistan. Kesian ingatkan ujian getir yang menakutkan yang dia lalui...

PEGUAM SYARIE MENULIS:

Implikasi perkahwinan berbeza bangsa, negara
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim


KISAH perjuangan ibu muda, Siti Nadzirah Mohd Nasir, 20, yang terbabit dalam pertikaian penjagaan anak sejak beberapa bulan lalu menarik perhatian semua. Kes ini mengenai hak jagaan anak kecil berusia setahun hasil perkahwinan antara warga negara Malaysia dengan Pakistan.


Beliau yang berkahwin di Malaysia mengikut suaminya pulang ke Pakistan untuk bertemu ibu bapa mentua. Tetapi, apabila ingin kembali semula ke Malaysia, Siti Nadzirah tidak dibenarkan membawa anaknya bersama. Beliau akhirnya kembali ke Malaysia dan meneruskan perjuangan mendapatkan hak jagaan dan seterusnya berjuang membawa anaknya kembali ke sini.



Kes itu menarik perhatian Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Hal Pengguna Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Subahan Kamal dan seterusnya menyaksikan campur tangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Kes itu akhirnya menarik pembabitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) iaitu Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar bertindak mewakili Siti Nadzirah dalam permohonan kesnya di Malaysia.


Pada 23 November lalu, Siti Nadzirah membuat tuntutan hak jagaan anak secara sebelah pihak (ex-parte) di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan mahkamah meluluskan perintah hak jagaan sementara kepada beliau hingga keputusan berhubung hak penjagaan kekal dibuat.

Penghakiman juga membenarkan suami melawat anak pada bila-bila masa dengan pengawasan polis di balai polis berdekatan. Kes tuntutan fasakh Siti Nadzirah untuk memutuskan perkahwinannya pula akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada 9 Januari depan.


Kisah wanita muda ini membuka mata kita untuk melihat kesan dan implikasi perkahwinan campur antara dua bangsa, apatah lagi antara dua negara kerana membabitkan bidang kuasa mahkamah berbeza. Kes ini bukan kes pertama. Sebelum ini kita didedahkan dengan banyak kes perceraian serta perebutan anak membabitkan dua negara seperti kes Raja Bahrain dan kes Lepat. Apabila keadaan ini berlaku, yang menjadi mangsa adalah anak.


Kita akui bahawa ajal maut, jodoh dan rezeki adalah ketentuan Allah, tetapi usaha serta tindakan manusia turut memberi kesan kepada perkara itu. Rasulullah SAW sendiri menyebut, "Dinikahi perempuan kerana empat perkara, kerana hartanya, rupa parasnya, keturunannya dan agamanya. Pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan selamat." Ini menunjukkan kita perlu membuat pemilihan dengan sebaik mungkin kerana perkahwinan adalah untuk sepanjang hayat, bukannya sehari atau setahun dua.


Apatah lagi bagi seorang perempuan, sudah tentu lebih wajar bagi yang ingin berkahwin untuk mengkaji siapakah calon suaminya kerana seorang isteri akan lebih dipengaruhi dan tertakluk kepada suaminya. Imam Hassan pernah ditanya seorang bapa, "Dengan siapakah perlu aku kahwinkan anak perempuanku? Beliau menjawab, kahwinkanlah dengan lelaki yang beragama dan bertakwa. Jika dia sayang pada anakmu, dia akan melayannya dengan baik. Jika tidak sayang, dia tidak akan melayannya dengan buruk."


Apabila seseorang ingin berkahwin dengan bangsa lain dari negara lain, banyak persediaan perlu disiapkan termasuk persediaan mental, spiritual, fizikal dan kewangan. Kegagalan membuat persediaan akan menimbulkan kejutan demi kejutan kepada pasangan dan mungkin menjadi faktor kegagalan perkahwinan dibina. Apatah lagi kita terpaksa akui perbezaan budaya, suasana, makanan, serta cara hidup sangat mempengaruhi pasangan.


Secara tidak langsung, apabila Islam menyarankan supaya menilai bakal pasangan sebelum berkahwin, ia menunjukkan bahawa perkahwinan adalah sesuatu yang dirancang. Ia bukan sekadar berserah, berkahwinlah dengan sesiapa saja dan lihatlah apa nasib yang berlaku.

Dengan kata lain, perkahwinan bukanlah penyerahan secara total, berdasarkan nafsu semata-mata, tetapi ia suatu perkara yang direncanakan, diusahakan dengan teliti, teratur dan diiringi doa mohon keberkatan daripada Allah SWT pada setiap masa.

Namun begitu, apabila setiap pasangan melangsungkan perkahwinan dan menghadapi masalah berbangkit hasil daripada perkahwinan itu, masyarakat perlu memberi bantuan. Ibu bapa wajar campur tangan bagi menyelesaikan kebuntuan. Sokongan moral, nasihat dan dokongan ibu bapa adalah bantuan tertinggi bagi pasangan yang menghadapi ujian pada saat getir ini.


Atas dasar itu, kita mengucapkan tahniah kepada ibu bapa Siti Nadzirah yang sama-sama bersusah payah dan memberi sokongan moral dalam mengharungi kesukaran di samping menemani beliau dalam setiap urusannya. Namun, apa yang agak dikesali ialah ke mana perginya badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi dan hak wanita kerana tidak ramai tampil mempertahankan hak berkenaan di kala wanita muda itu menghadapi kesulitan.


Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com