Thursday, November 29, 2007

Artikel Umi Dalam Harian Metro 28 Nov 07

Hari ini, dua artikel Umi keluar dalam papers. Satu dalam Berita Harian, satu lagi dalam Harian Metro ruangan MINDA. Umi tulis dua-dua artikel mengenai perkahwinan, beza pendekatan jer sket..






Memelihara Ikatan Suci Perkahwinan
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim





Kisah artis berkahwin dan kemudian bergaduh dan bercerai selalu memenuhi ruang akhbar. Kisah sebegini pula selalu menarik minat masyarakat awam. Mereka ingin tahu siapa pilihannya, bagaimana perlaksanaan majlis perkahwinan, berapa hantarannya dan bagaimana mereka berpakaian semasa majlis tersebut. Keadaan akan jadi lebih heboh apabila artis yang baru berkahwin bergaduh dan bercerai.




Kesukaan masyarakat ini dimanfaatkan pula oleh media untuk menayangkan dalam ruangan yang besar isu-isu berkenaan. Isu-isu sebegini sebenarnya boleh menyebabkan masyarakat menerima hakikat kahwin dan cerai adalah perkara biasa di kalangan artis sepertimana berlaku di Barat. Ini merupakan perkembangan yang sangat tidak positif dan tidak bermanfaat.

Perkahwinan dalam pandangan Islam adalah satu perkara suci dan tinggi nilainya. Ia adalah saranan Allah kepada manusia bagi meraikan fitrah kejadian manusia ciptaan-Nya. Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.


Oleh itu, semua orang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga. Namun begitu, sekiranya seseorang belum mampu untuk berkahwin, hendaklah berusaha menahan hawa nafsu sebaiknya. Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy mendefinisi perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'Justeru, terdapat beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:




  • Perkahwinan menyatukan dua insan dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksanakan. Oleh itu, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang perkahwinan berlangsung.

  • Perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Islam mengharamkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik-beradik , anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya.

  • Selepas wujudnya akad, barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal maka perlu dijawab di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian itu.

  • Bagi pasangan yang belum berkahwin sama ada sedang bercinta atau bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka. Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah.

  • Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai peranan dalam tindakan dibuat. Kerana itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin bukan mengaibkan dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.

  • Akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Barat menerima lelaki berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.


Justeru, wajar dipelihara sebaik mungkin ikatan perkahwinan kerana ia bukan sahaja ikatan suci yang menggabungkan dua insan, tetapi juga dua keluarga dan keturunan. Dengan itu, silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan insan akan menjadi lebih berseri.