Tuesday, February 1, 2011

Peranan Ibu Bapa


Ibu bapa tak boleh lepas tangan tugas didik anak
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

2010/12/31

Keperibadian kanak-kanak banyak dipengaruhi hasil didikan, teladan daripada orang tua

KISAH seorang ayah sanggup melempar bayinya yang menangis sehingga koma menyentak hati. Begitu juga laporan ibu bapa bercerai dan membiarkan anak tanpa kasih sayang, bapa tidak memberi nafkah, kisah anak didera dan bermacam lagi. Kepincangan institusi kekeluargaan kian membimbangkan dan menimbulkan tanda tanya, apa yang berlaku dalam masyarakat.

Anak adalah kurniaan Allah yang tidak ternilai, yang perlu dijaga sebaiknya dan diberi perlindungan serta pendidikan. Jiwa mereka perlu diisi dengan ilmu kerohanian supaya berjaya menjadi perisai kepada segala cabaran di sekeliling mereka.

Peranan ibu dan bapa tidak boleh dipandang mudah kerana akan dipertanggungjawabkan Allah di hari perhitungan kelak. Atas dasar itu, ibu bapa perlu berilmu dan tahu tanggungjawab yang digalas.

Setiap ibu bapa perlu berusaha keras menanam nilai Islam kepada anak ketika mereka masih kecil. Ketika itu jiwanya masih kosong, suci dan senang menerima apa yang diajarkan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah (kesucian agama yang sesuai dengan naluri), sehingga lancar lidahnya, maka kedua orang tuanya yang menjadikan dia beragama Yahudi, Nasrani dan Majusi.” (Riwayat Tabrani dan Bayhaqi)
Islam memandang berat dan menuntut ibu bapa memberi perhatian dalam usaha mencorakkan kehidupan anak mereka. Namun, ada kalanya kita terlepas pandang dan kurang mengambil berat urusan menanam teras kepada anak hingga mereka mencari sendiri.

Ada ibu bapa menyerahkan anak kepada orang gaji sepenuhnya tanpa mengambil kisah pengisian diberikan, menghantar ke rumah pengasuh tanpa memikirkan aspek spiritual dan keselamatan anak.

Sebenarnya, tanggungjawab ibu bapa memastikan anak berjaya dalam bidang ilmu fardu kifayah dengan merancang kejayaan mereka seperti menghantar ke kelas tuisyen, melihat kerja sekolah, membantu ketika musim peperiksaan serta menerapkan semangat jati diri yang kuat.

Semua ini perlu selari dengan kecemerlangan agama, ketinggian akhlak, menghormati guru dan orang tua, mentaati ibu bapa serta taat kepada ajaran agamanya.

Ibu bapa penentu kejayaan anak dan bagi tujuan itu mereka perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan, mengetahui pendekatan mendidik dan pada masa sama, menjaga keperibadian supaya sentiasa sabar membesar serta mendidik anak.

Pujangga Islam berkata ‘orang yang fakir, tidak mampu memberi’ sangat berkaitan dengan ibu bapa kerana jika mereka miskin ilmu, akhlak, peribadi dan nilai tentunya tidak boleh mendidik anak menjadi insan berguna dan berakhlak.

Apabila anak menghadapi masalah, mereka tidak tahu cara menangani masalah itu. Maka, ibu bapa perlu berusaha memahami karakter anak mereka supaya mudah berkomunikasi serta menjalin hubungan rapat.

Persekitaran rumah tangga turut mempengaruhi pembesaran anak kerana budaya positif diamalkan di rumah akan melahirkan insan yang berfikiran positif. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh ibu bapa.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Bukanlah musuhmu itu orang yang apabila engkau bunuh dia, bererti kamu menjadi menang dan kalau kamu mati terbunuh maka kamu akan masuk syurga. Tetapi musuhmu itu terkadang adalah anak yang lahir daripada tulang rusukmu sendiri. Kemudian musuhmu yang paling berat lagi ialah harta benda yang kamu miliki.” (Hadis riwayat Tabrani)

Oleh itu, ibu bapa perlu melihat tugasan mendidik anak sebagai tugasan mulia yang perlu dilaksanakan tidak kira bagaimana cabarannya. Andainya, berhadapan masalah, mereka perlu berusaha mencari jalan penyelesaian.

Selepas berusaha mendidik serta membesarkan mereka, ibu bapa perlu berserah kepada Allah serta berdoa semoga usaha mereka mendidik anak menjadi insan berguna akan diberkati Allah dan anak akan menjadi anak yang berjasa kepada agama, ibu bapa, masyarakat dan negara.