Friday, February 4, 2011

Masjid Melayu Melbourne

Masjid...


Hj Hamid minta saya tolong dan saya tolong dengan besar hati. Akhirnya artikel sudah siap, saya dah emailkan pada Berita Harian tadi 4 Feb 2011..

____________________

Masjid Melayu di Melbourne

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim

Masjid adalah syiar Islam, menjadi tempat tumpuan dan pertemuan masyarakat Islam. Sejarah menunjukkan pada zaman Nabi dan para sahabat, selain menjadi tempat solat berjemaah, masjid menjadi institusi setiap aktiviti masyarakat Islam, sama ada urusan melibatkan kemasyarakatan, pendidikan, ekonomi, riadah, dan sebagainya. Masjid menjadi pemangkin kepada aktiviti harian masyarakat.

Jika di Malaysia, kita tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencari masjid. Hampir setiap daerah, kampung, taman perumahan mempunyai masjid atau surau untuk kegunaan ramai. Kita tidak susah untuk mendapatkan tempat bersolat, dan tempat pertemuan sesama ahli masyarakat.

Walaupun terdapat beberapa perbahasan mengatakan masjid-masjid di Malaysia masih belum dimaksimumkan penggunaannya untuk kebajikan sejagat, namun terdapat beberapa buah masjid yang berusaha ke arah itu, menjadi hub atau pusat pembangunan masyarakat. Contohnya dengan membina perpustakaan yang dibuka untuk awam, mengendalikan kuliah agam secara sistematik, mempunyai ruang bermain untuk kanak-kanak, mengadakan kursus berbentuk perkhemahan sempena cuti sekolah dan lain-lain.

Di dalam buku ‘Muslim in Australia’, Profesor Abdullah Saeed menyatakan bahawa bancian 2006 menunjukkan Melbourne mempunyai 103,000 Muslim dengan lebih 30 masjid. Masjid yang ada kebanyakannya dinamakan sempena negara dan bangsa seperti masjid Albania, masjid Somalia atau masjid Turki. Masyarakat Melayu di Melbourne, Victoria turut mempunyai cita-cita tinggi untuk mempunyai sebuah masjid yang dapat digunakan untuk tujuan kebajikan semua.

Dengan tujuan merealisasikan hasrat mempunyai masjid sendiri, masyarakat Melayu terdiri daripada rakyat Singapura dan Malaysia bergabung menubuhkan Malay Education & Cultural Centre of Australia (MECCA) pada akhir 2009. Selain mereka yang telah mendapat status penduduk tetap, rakyat Malaysia termasuk pelajar pascaijazah turut sama menjadi sukarelawan bersama-sama menggerakkan MECCA ini. Antara tujuan utama adalah ingin mencari dana bagi membeli tanah dan bangunan sebagai masjid untuk kegunaan masyarakat Melayu di sini. Pada masa yang sama, MECCA berhasrat menyediakan perkhidmatan dan membantu masyarakat awam dalam banyak aspek termasuklah aspek sosial, kebudayaan, menjaga kebajikan, pendidikan, latihan dan program keagamaan untuk masyarakat Melayu di Melbourne.

Dalam rangka mewar-warkan kewujudan MECCA, mencari derma serta sokongan ramai ke arah penubuhan masjid Melayu di Melbourne, Jawatankuasa MECCA merancang pelbagai aktiviti. Antaranya adalah majlis ‘Jualan Sate Ria’ pada 19 Julai 2009, ‘Kulcher Foodfest’ pada 12 Disember 2009, ‘Sarapan Amal untuk Masjid Melayu’ pada 27 Disember 2009, Majlis Ramah Mesra MECCA’ pada 9 Januari 2010, MECCA & SAS Fundraising Dinner’ pada 3 Julai 2010, ‘Harmony Market Festival’ pada 10 Oktober 2010 dan Family Fun Day Fundraising’ pada 5 Disember 2010.

Pada 26 Januari 2011 yang lepas, MECCA melancarkan laman web terbaru iaitu www.binamasjid.com.au dalam pertemuan keluarga bersama beberapa pertubuhan di Melbourne. Antara yang hadir memberi sokongan adalah Pertubuhan Pembangunan Komuniti Muhajiroon (MCDA), Kampung Utara Melbourne (KUM), Persatuan Pelajar Pasca Siswazah Malaysia Victoria (VMPGA), Badan Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Insan (Ehsan), Ikatan Muslimin Malaysia – Victoria (Isma- Victoria), Kelab Umno Australia Melbourne (KUAM), Suara Melayu Melbourne (3ZZZ) dan juga perkumpulan penduduk pelajar Malaysia di Kampong Vic, Desa Bondoora dan juga Komuniti Bahagian Tenggara (SEFC).

Dalam pertemuan tersebut, ditekan dan disepakati bahawa, usaha membina masjid pertama kelolaan Melayu adalah satu keperluan bersama dan semua pihak akan sama-sama memberikan sokongan padu menjayakan perlaksanaannya, dan bersetuju agar usaha penerusan mencari dana dijalankan oleh MECCA sebagai badan induk ke arah mencapai objektif tersebut.

Menurut Tuan Hj Abdul Hamid Ashari, Pengerusi Jawatankuasa MECCA, harga hartanah di Melbourne yang tinggi menyebabkan usaha membina masjid Melayu Melbourne memerlukan dana yang cukup tinggi. Keseluruhan kos pembelian tanah dan bangunan dianggarkan AUD 3.4 Million. Setakat ini, AUD30 Ribu telah berjaya dikumpulkan hasil derma orang ramai, termasuklah derma beberapa orang pembesar dan kerabat diraja di Malaysia. Antara usaha susulan adalah mendekati dan mendapatkan derma dari negara-negara lain seperti Brunei dan sebagainya.

Adalah menjadi harapan MECCA dan semua orang agar Masjid Melayu Melbourne berjaya direalisasikan. Namun begitu, perkara penting yang turut menjadi pertimbangan adalah keprihatinan kepada masjid yang bakal dibina dan bagaimana cara untuk memakmurkannya. Masjid ini sudah pasti memerlukan komitmen yang tinggi daripada penduduk Melayu Melbourne untuk memeriahkannya. Ia diharap menjadi institusi masjid yang memenuhi ciri-ciri masjid seperti yang dibangunkan pada zaman Nabi, sebagai pusat ibadah, tempat pendidikan sama ada ceramah agama, tuisyen untuk kanak-kanak, perpustakaan, tempat perbincangan, pusat ekonomi dan sudah pasti mesra kanak-kanak, keluarga dan orang tua.

Pihak MECCA mengharapkan bantuan dan derma daripada rakyat Malaysia yang sudi berderma ke arah menjayakan projek ini. Sila layari laman web MECCA di www.binamasjid.com.au dan menghubungi Jawatankuasa untuk tujuan tersebut. Semoga usaha murni ini mendapat ganjaran Allah dan diharapkan ia berjaya direalisasikan.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam, sedang melabjutkan pelajaran di Melbourne, Australia.